أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Selasa, 17 Mei 2011

Sistem Islam Terabai Maruah Tergadai

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 77 surah Ali ‘Imran :
إِنَّ الَّذِينَ يَشْتَرُونَ بِعَهْدِ اللّهِ وَأَيْمَانِهِمْ ثَمَنًا قَلِيلاً أُوْلَـئِكَ لاَ خَلاَقَ لَهُمْ فِي الآخِرَةِ وَلاَ يُكَلِّمُهُمُ اللّهُ وَلاَ يَنظُرُ إِلَيْهِمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلاَ يُزَكِّيهِمْ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan menyucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih
Masa berlalu semakin cepat dan pantas sebagai peringatan besar kepada kita semua bahawa dunia kini berada dipenghujung usianya iaitu semakin hampir kepada berlakunya Qiamat yang dahsyat. Semakin hampir kita dengan saat kehancuran dunia maka semakin banyak cubaan dan fitnah terhadap keimanan dan agama kita. Rasulullah s.a.w telah memberi peringatan yang begitu banyak kepada kita agar tidak terheret dan ditenggelamkan oleh fitnah akhir zaman dengan berpegang kemas kepada al-Quran dan sunnah nabi. Akibat fitnah yang begitu dahsyat terhadap keimanan sehingga digambar oleh nabi bagaimana ada orang yang beriman pada pagi harinya tetapi kufur pada petangnya, ada yang pada petangnya beriman tetapi menjadi kufur pada pagi keesokannya akibat daripada menjual agama dengan harga yang terlalu murah. Dunia menjadi matlamat hidup sehingga akhirat dipinggirkan, nafsu menjadi pedoman sehingga wahyu Allah diketepikan
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 6 surah al-Hujurat :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِين
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Masyarakat negara kita dibentangkan dengan beberapa isu besar melalui media massa sama ada tv, radio, akhbar dan internet dengan menggunakan kaedah pemesongan pemikiran sehingga yang jahat dilihat baik, yang zalim dianggap adil, yang rosak didakwa berguna, yang hak dihukum batil, yang benar dipandang dusta. Apa yang lebih malang apabila hukum agama dipermainkan sesuka hati termasuk dalam sumpah laknat jika sebelum ini dalam tuduhan liwat, kini dalam tuduhan zina. Budaya suka bersumpah laknat dibiarkan berlaku sedangkan dalam perundangan Islam jelas masalah ini mesti diselesaikan di mahkamah sama ada yang dituduh jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hudud atau yang menuduh boleh dikenakan hukum Qazaf jika berdusta. Jika budaya sumpah laknat dibiarkan berleluasa akhirnya menyebabkan hilangnya fungsi mahkamah kerana semua masalah akan diselesaikan melalui sumpah sahaja. Apa yang lebih menakutkan apabila perbuatan ini akan menyebabkan turun laknat yang begitu dahsyat daripada Allah.
قال الرسول  : الْكَبَائِرِ: الِإشْرَاكُ بِاللهِ، وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ و قَتْلُ النَّفْسِ وَالْيَمِينُ الْغَمُوس
Maksudnya: “Dosa besar itu adalah, syirik kepada Allah, derhaka ibu bapa, membunuh dan sumpah yang dusta.”
Ibn Hajar Al-‘Asqalani menghuraikan sumpah daripada pendusta merupakan salah satu daripada dosa besar. Ghamus ertinya tenggelam dan Imam An-Nawawi menyatakan dalam ‘Tahzib Al-Asma wa al-Lughaat’, sumpah tersebut dinamakan ghamus kerana penyumpah tenggelam dalam dosa dan bakal ditenggelamkan di dalam neraka Allah di akhirat kelak. Oleh itu dalam menghadapi berita fitnah dan tidak jelas maka ikutilah nasihat ulama’ besar iaitu Abu Laith al-Samarqandiy melalui 6 cara. Pertama, jangan percaya kerana orang yang memfitnah itu tidak dapat diterima penyaksiannya. Kedua, kamu harus mencegah dari fitnah itu, sebab mencegah kemungkaran itu wajib. Ketiga, kamu harus membencinya, kerana ia adalah maksiat dan dosa. Keempat, kamu jangan bersangka jahat terhadap saudaramu yang difitnah itu, sebab berburuk sangka terhadap sesama Muslim itu hukumnya haram. Kelima, jangan kamu selidiki keadaan orang difitnah itu, sebab Allah melarang menyelidiki kejahatan orang. Keenam, jika kamu tidak menyukai perbuatan orang yang memfitnah itu, maka jangan mengikuti cakapnya, iaitu jangan memberitahu sesiapapun segala fitnah disebarkan itu

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 4 surah an-Nuur :
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya : Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan 4 orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya kerana mereka adalah orang-orang yang fasik
Penyebaran berita yang tidak bertanggungjawab dan melampau juga membawa kehancuran kepada masyarakat seperti isu seks yang dibicara secara terbuka bukan sahaja menjatuhkan maruah sebelum dibicara malah merosakkan minda terutama remaja yang ingin tahu dan mencuba benda yang negatif. Oleh itu mimbar Jumaat hari ini mengutuk tindakan tidak bermoral dan melanggar batas agama yang dilakukan oleh pengamal media yang tidak amanah ini. Jika pada zaman nabi tugas jahat ini dimainkan oleh penyair-penyair maka pada hari ini ia diteruskan oleh wartawan yang tidak beretika kerana menurut perintah orang atasan yang mementingkan harta dan takhta.
Begitu juga dengan tiupan api perkauman sempit bagi menggambarkan suasana keamanan negara yang semakin tergugat sedangkan yang tergugat oleh pangkat golongan yang menindas rakyat. Amaran Allah akan berlakunya penindasan bila kekayaan negara hanya berlegar di kalangan pemimpin dan kroni sahaja tidak dipeduli sedangkan setiap kali harga barang naik dengan alasan menjimatkan subsidi negara diterima dengan dada yang lapang sedangkan betapa banyak kekayaan negara hancur akibat rasuah, pecah amanah dan pembaziran. Betapa malangnya apabila amaran nabi agar tidak memilih pemimpin yang tidak berkelayakan seperti zalim dan tidak amanah akan menyebabkan berlakunya huru hara tidak dihirau sedangkan alasan lapuk seperti kenaikan harga gula bagi mendidik rakyat supaya tidak terlalu banyak menggunakan gula bagi menjamin kesihatan boleh diterima bulat-bulat. Jahiliah hanya akan berterusan apabila kejahilan rakyat disuburkan tetapi bila rakyat semakin berilmu serta bijak berfikir maka jahiliah yang zalim semakin lemah dan bakal menyembam tanah bila-bila masa sahaja. Kita akan dirikan keadilan dan kehebatan Islam di atas runtuhan jahiliah tersebut

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Kita juga merasa kecewa bila isu agama seperti isu Kristian mahu dijadikan agama rasmi negara dimainkan cuba dijadikan senjata dalam menjaga takhta dan harta sesetengah golongan. Kita akui bagaimana licik dan bersungguhnya Kristian dalam menyebarkan agamanya di negara ini namun untuk memainkan isu yang berunsur fitnah itu bukan menyelesaikan masalah bahkan ia semakin teruk. Pemimpin sepatutnya lebih bersungguh dalam menangani masalah murtad dan kerosakan akhlak akibat hiburan dan cara hidup yahudi dan Kristian yang semakin subur dalam kehidupan seharian umat Islam bermula cara berpakaian, pergaulan bahkan pemikiran. Ini ditambah lagi dengan pengekalan perundangan penjajah dalam politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Rakyat perlu sedar siapa yang bertanggungjawab dalam mengurangkan jumlah bilangan ahli parlimen yang beragama Islam, siapa yang menjadi dalang dalam melemahkan pusat pengajian agama, mahkamah syariah yang semakin dipertikaikan termasuk hukum qazaf yang sedia ada diketepikan, kedudukan mufti yang tidak berkuasa. Sepatutnya Islam yang diiktiraf oleh perlembagaan negara diperkasakan dengan memberi ruang kepada sistem Islam untuk dilaksanakan bukan semakin dimandulkan peranannya. Islamlah nescaya kita selamat dan bahagia dunia dan akhirat
Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali ‘Imran :
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ