أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 31 Mei 2013

Isra' Mikraj DiHayati, Solat DiHargai, Kemenangan DiRai

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra’ : سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Setiap kali berada pada bulan Rejab maka kita tidak lekang daripada memperkatakan tentang suatu peristiwa besar yang pernah berlaku pada tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu peristiwa Isra’ Mikraj yang menguji tahap keimanan manusia. Peristiwa yang hebat ini berlaku setelah tentangan terhadap dakwah Islam semakin memuncak terutama dengan kematian isteri tercinta Siti Khadijah yang selama ini banyak membantu nabi disamping kehilangan bapa saudaranya Abu Tolib yang banyak memberi sokongan. Dakwah nabi mendapat tentangan yang hebat dari permulaan daripada masyarakat Mekah yang keras ditambah dengan penolakan oleh masyarakat Taif. Itu belum lagi berdepan dengan kuasa besar Rom dan Parsi yang merupakan empayar terbesar pada masa itu. Namun kesungguhan nabi Muhammad s.a.w dalam menyebarkan dakwa Islam tidak terhenti malah pergantungan diri dengan Allah semakin kuat sehingga berlakunya peristiwa Isra’ Mikraj yang menyaksikan nabi menjadi tetamu Kerajaan Allah untuk menyaksikan alam nyata dan ghaib, alam bumi dan langit yang membuktikan Kekuasaan Allah. Peristiwa ini mengajar bahawa tiada kerajaan yang lebih kuat dan hebat mengatasi Kerajaan Allah. Tidak ada kerajaan yang kekal memerintah kecuali Kerajaan Allah. Oleh itu setiap kerajaan yang ada mesti tunduk patuh kepada Kerajaan Allah jika mahu selamat dan berjaya dunia dan akhirat. Usah sombong takabbur bila diberi amanah untuk memegang kuasa kerana ia boleh ditarik bila-bila masa oleh Allah. Jangan hilang rasa pergantungan diri kepada Allah setiap masa dan tempat supaya bantuan dan pertolongan daripada Allah sentiasa bersama kita Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Hajj: أَفَلَمْ يَسِيرُ‌وا فِي الْأَرْ‌ضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا ۖ فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ‌ وَلَـٰكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ‌ Maksudnya : Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. Sebelum dibawa dengan suatu perjalanan yang hebat maka dada nabi Muhammad s.a.w telah dibelah untuk dibersihkan hati baginda yang mulia. Ia mengajar kita bagaimana pentingnya pembersihan hati daripada sebarang unsur syirik dan sifat mazmumah atau tercela daripada hati kita. Hati yang mati punca utama kepada kerosakan akhlak di mana ia hanya mendengar tentang peristiwa Isra’ Mikraj tetapi tidak mampu untuk dijadikan pengajaran. Begitu juga dengan begitu banyak bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, ribut taufan, angin puting beliung yang banyak mengorbankan harta dan nyawa hanya dilihat biasa saja tanpa diambil pengajaran berharga dalam memperbanyakkan lagi amalan soleh disamping segera bertaubat atas dosa yang dilakukan. Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia ini marilah kita sama-sama bermusabah menghitung diri kita terutama tahap kesihatan hati kita samada sihat atau sakit. Imam Hasan Al-Basri pernah mengajarkan teknik bagi menyemak kesihatan hati dengan katanya: “Rasakanlah kemanisan dalam 3 perkara: [1] ketika melakukan solat, [2] ketika membaca al-Quran dan [3] ketika berzikir. Jika engkau merasakan kemanisan dalam ibadat itu maka bergembiralah kerana hatimu masih hidup dan sihat. Namun jika engkau tidak merasakan kemanisan dalam ibadat maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah tertutup”. Ibrahim Al-Khawas pula mengajar kita tentang 5 cara untuk mengubat hati iaitu : [1] Membaca al-Quran sambil memahami maknanya, [2] mengosongkan perut, [3] solat malam, [4] berdoa pada waktu fajar dan [5] bergaul dengan orang-orang soleh. Jika kita tidak segera mengubati hati yang sakit, ia akan terus sakit. Suatu hari nanti, iaboleh mati. Orang yang mati hati lebih berbahaya daripada mati jasad. Sebab orang yang mati jasad boleh segera dikuburkan. Sedangkan orang yang mati hati akan menjadi sampah masyarakat. Ia sangat mengganggu kehidupan masyarakat, namun tidak boleh dibuang ataupun ditanam Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 45 surah al-‘Ankabut: اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ ۖ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ ۗ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ Maksudnya : Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. Hadiah yang paling berharga yang dibawa pulang oleh nabi Muhammad s.a.w dalam peristiwa Isra’ Mikraj ialah solat 5 waktu sehari semalam. Ia sebagai bukti bahawa betapa pentingnya solat dalam kehidupan kita kerana solat banyak memberi manfaat untuk dunia seperti adanya kajian sains yang menunjukkan bagaimana solat yang sempurna mampu menajamkan otak, memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh, gerakan jantung lebih teratur, orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang, ubat mati pucuk kalangan lelaki dan masalah kelamin kaum wanita serta seribu macam lagi kebaikan. Apatah lagi kebaikan solat untuk agama dan akhirat kita. Solat 5 waktu merupakan ruang dalam kita berhubung dengan Allah ke arah mendekatkan diri kepadaNya disamping menanam rasa taqwa di mana semuanya ini boleh menghilangkan rasa takut dan begitu bergantung kepada makhluk yang lain sehingga mengenepikan arahan dan larangan Allah, meyakini bahawa hanya Allah yang Maha Besar sedangkan makhluk yang lain kerdil dan hina. Bila perasaan ini berjaya dihasilkan daripada solat kita maka masalah kerosakan akhlak dan jenayah dapat ditangani. Banyak berlakunya masalah sosial dikeliling kita akibat daripada pengabaian solat walau pun ada juga yang mempersoalkan bagaimana ramai juga yang sembahyang tapi turut terlibat dengan masalah keruntuhan akhlak. Maka jawapan mudah ialah kualiti solat yang tidak dijaga sehingga dirosakkan oleh hilangnya khusyu’, riya’ dan perkara yang menghilangkan ruh solat itu sendiri menyebabkan solat seseorang tidak mampu menghalangnya daripada perkara mungkar. Ia ibarat manusia yang bertubuh sasa tetapi tidak bernyawa sehingga dia tidak mampu menahan serangan orang lain walau pun kanak-kanak kecil. Oleh itu bersungguhlah kita dalam memastikan kualiti solat kita sentiasa ditingkatkan dari masa ke semasa agar ia bukan sahaja diterima oleh Allah malah mampu menjadi perisai daripada terlibat dengan perkara mungkar. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 59 surah Maryam: فَخَلَفَ مِن بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلَاةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ ۖ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيًّا Maksudnya : Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka), Allah telah menjelaskan dalam al-Quran bagaimana akibat meninggalkan solat membawa manusia kepada kerosakan akibat hawa nafsu menjadi ikutan sehingga agama diketepikan. Nabi Muhammad s.a.w ketika saat hampir wafat turut memberi wasiat penting agar menjaga solat. Oleh itu kita menyokong penuh usaha dalam memastikan sebarang pengambilan pegawai baru kerajaan serta kenaikan pangkat mesti daripada kalangan orang yang menjaga solat kerana manusia yang takut kepada Allah pasti menjauhi amalan buruk seperti pecah amanah dan rasuah. Ibubapa sendiri mesti memastikan diri sendiri dan anak-anak menjaga solat. Begitu juga apabila memilih menantu mesti dipastikan dahulu dari segi sembahyang bukan setakat tanya tentang pekerjaan dan gaji bulanan Kita juga mendesak agar suatu program khusus diatur bagi memberi kesedaran dan keinsafan kepada rakyat yang meninggalkan solat seperti Kursus Bina Tatanegara digunakan untuk melahirkan pegawai yang jaga solat bukan mengapi-apikan sikap rasis perkauman sempit. Begitu juga Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) misalnya digunakan sebaik mungkin dalam melahirkan generasi muda yang menjaga solat dan menutup aurat dengan sempurna bukannya dijadikan pusat mengajar pergaulan bebas yang menambah masalah akhlak yang sedia ada Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ : فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar Ketika membicarakan tentang peristiwa Isra’ Mikraj juga maka tidak ketinggalan untuk kita mendoakan kemerdekaan bumi Isra’ Palestin daripada cengkaman Yahudi. Kita pernah menyaksikan bagaimana kejayaan Salehuddin al-Ayyubi dalam memerdekakan Masjid Aqsa daripada tentera Salib dengan memastikan angkatan tenteranya daripada kalangan mereka yang menjaga solat malam. Maka kita pada hari ini wajib memastikan Negara kita merdeka daripada system yang bercanggah daripada Islam dan seterusnya memerdekakan bumi Palestin dengan melahirkan generasi yang sentiasa menjaga solat. Mari kita berusaha dalam memenuhkan ruang masjid dan surau dengan solat berjemaah dan majlis ilmu terutama dari kalangan anak-anak muda bagi memastikan kemenangan yang dijanjikan oleh Allah semakin dekat dan hampir. Inilah sumber kekuatan kita di mana jika mencari dengan cara lain yang bercanggah dengan Islam maka selagi itulah kita dihinakan dengan kekalahan dan kehinaan di dunia akhirat. Jagalah solat dalam menjana kemenangan. Jagalah solat dalam meraih kejayaan بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Jumaat, 24 Mei 2013

Julang Islam Raih Kemenangan Gemilang

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 38 surah at-Taubah : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَا لَكُمْ إِذَا قِيلَ لَكُمُ انفِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ اثَّاقَلْتُمْ إِلَى الْأَرْضِ ۚ أَرَضِيتُم بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا مِنَ الْآخِرَةِ ۚ فَمَا مَتَاعُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فِي الْآخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya apabila diseru kepada kamu: “Berangkatlah untuk berperang pada jalan Allah”. Kamu berasa berat dan ingin tinggal di tempatmu. Adakah kamu berpuas hati dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat sedangkan kenikmatan hidup di dunia ini dibandingkan dengan kehidupan di akhirat hanyalah sedikit. Kini kita berada bulan Rejab yang pernah mencatatkan beberapa peristiwa besar terutama peristiwa Isra’ dan Mikraj dan Peperangan Tabuk tahun 9H. Peristiwa-peristiwa ini meninggalkan begitu banyak pengajaran dan iktibar yang mesti diambil dalam meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Pelbagai cabaran dan halangan pasti akan ditempuhi dalam menegakkan system Islam atas muka bumi ini di mana kita bukan sahaja dituntut untuk mengorbankan masa dan tenaga malah menuntut tumpahnya darah ke bumi dan berpisahnya nyawa dari badan. Perjuangan Islam bukan dihamparkan dengan permaidani merah sebaliknya menempuh pelbagai ujian dan cabaran samada luaran mahu pun dalaman. Sebelum berlakunya Isra’ Mikraj, kita dapat melihat bagaimana tentangan terhadap dakwah nabi Muhammad s.a.w bukan sahaja oleh majoriti penduduk Mekah malah turut menerima tentangan daripada penduduk Taif. Ia mengajar kita bagaimana bukan suatu kerja yang senang dalam memberi kesedaran tentang kebaikan Islam samada kepada orang yang paling hampir dari sudut hubungan kekeluargaan atau persahabatan dengan kita apatah lagi mereka yang agak jauh hubungan daripada kita. Walau pun ramai ahli keluarga terdekat yang menentang namun begitu dakwah nabi banyak juga dibantu oleh orang yang terdekat seperti isteri tersayang Siti Khadijah dan sokongan bapa saudaranya Abu Tolib. Malah nabi sentiasa peringatkan kita tentang bahayanya ahli keluarga terdekat kepada agama kita jika kita tidak cermat dan berhati-hati di mana betapa ramai ibubapa yang rosak akibat anak, anak yang rosak akibat ibubapa, isteri yang rosak akibat suami dan sebaliknya, rakan merosakkan rakannya yang lain dan sebagainya. Kesungguhan dan istiqamah dalam menjalankan kerja dakwah merupakan suatu yang dituntut dalam memastikan perkembangan Islam terus berlangsung. Apa yang lebih penting ialah pergantungan kita dengan Allah dalam setiap keadaan yang menjamin kebahagiaan dan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat. Tanam dalam diri kita tentang semangat kental yang diajar oleh nabi Muhammad s.a.w iaitu biarlah kita dibenci oleh seluruh manusia asalkan kita diredhai oleh Allah atas amal dan usaha yang dilakukan. Jangan sekali-kali kita mencari redha manusia atas kemurkaan Allah Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 41 surah at-Taubah : انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ Maksudnya : Berangkatlah kamu baik dalam keadaan ringan atau pun berasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah. Demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui Begitu juga kita ambil iktibar tentang Perang Tabuk di mana sebelum keluar ke Tabuk, Rasulullah s.a.w terpaksa berhadapan dengan beberapa golongan iaitu [1] golongan yang menangis kerana tiada kelengkapan terutama tunggangan untuk turut sama ke sana. Golongan ini mempunyai keinginan yang tinggi untuk turut keluar berperang tetapi akibat tidak mempunyai kemampuan maka mereka tidak mampu berbuat demikian. Oleh itu marilah kita bermusabah menghitung diri tentang usaha yang telah, sedang dan akan kita lakukan dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Ingatlah bahawa setiap diri kita ada tugas masing-masing mengikut kelayakan dan kemampuan masing-masing. Tiada alasan untuk rehat atau tidak terlibat dengan perjuangan Islam. Manakala golongan ke-[2] ialah golongan yang meminta keuzuran daripada Rasulullah daripada turut serta dalam peperangan dengan alasan yang tidak diterima oleh Allah kerana mereka cukup dengan kelengkapan tetapi takut dan malas untuk berbuat demikian demi kepentingan peribadi terutama begitu terpesona dengan dunia seperti musim mengait kurma yang sedang masak dan sebagainya. Oleh itu nabi banyak mengajar kita berdoa kepada Allah agar tidak menjadikan dunia sebagai matlamat sebaliknya sentiasa bersiap dengan bekalan akhirat antara doa baginda اللَّهُمَّ اقْسِمْ لَنَا مِنْ خَشْيَتِكَ مَا يَحُولُ بَيْنَنَا وَبَيْنَ مَعَاصِيكَ ، وَمِنْ طَاعَتِكَ مَا تُبَلِّغُنَا بِهِ جَنَّتَكَ ، وَمِنَ اليَقِينِ مَا تُهَوِّنُ بِهِ عَلَيْنَا مُصِيبَاتِ الدُّنْيَا Maksudnya : Ya Allah! Bahagikan untuk kami akan rasa takut kepadaMu yang akan menghalang antara kami daripada menderhakaiMu. Ketaatan kepadaMu yang akan menyampaikan kami kepada SyurgaMu dan keyakinan yang menyebabkan musibah dunia itu menjadi mudah dan ringan atas kami Begitu juga kita bukan sahaja tidak mudah tertipu dengan tipuan dunia yang sementara malah menjadikan nikmat dunia sebagai alat untuk menambah pahala akhirat. Peristiwa Isra’ Mikraj turut mengingatkan kita tentang godaan dunia قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " نِعْمَتِ الدَّارُ الدُّنْيَا لِمَنْ تَزَوَّدَ فِيهَا خَيْرًا لآخِرَتِهِ مَا يُرْضِي بِهِ رَبَّهُ ، وَبِئْسَتِ الدَّارُ لِمَنْ صَدَّتْهُ عَنْ آخِرَتِهِ ، وَقَصَّرَتْ بِهِ عَنْ رَضِيَ رَبِّهِ – رواه الحاكم Maksudnya : Sebaik-baik tempat di dunia adalah orang yang menjadikannya sebagai tempat untuk mempersiapkan bekal di akhirat sehingga mendapat keredhaan Tuhannya. Dan seburuk-buruk tempat di dunia adalah yang menghalangi untuk mendapatkan akhirat dan terhalang pula daripada meraih keredhaan Tuhannya Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, Firman Allah dalam ayat 55 surah at-Taubah : فَلَا تُعْجِبْكَ أَمْوَالُهُمْ وَلَا أَوْلَادُهُمْ ۚ إِنَّمَا يُرِ‌يدُ اللَّـهُ لِيُعَذِّبَهُم بِهَا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَتَزْهَقَ أَنفُسُهُمْ وَهُمْ كَافِرُ‌ونَ Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau tertarik hati kepada harta benda dan anak-anak mereka, (kerana) sesungguhnya Allah hanya hendak menyeksa mereka dengan harta benda dan anak-anak itu dalam kehidupan dunia, dan hendak menjadikan nyawa mereka tercabut sedang mereka berkeadaan kafir (untuk mendapat azab akhirat pula). Ketika Perang Tabuk juga Rasulullah s.a.w terpaksa berdepan dengan golongan yang ke-[3] yang menjadi musuh dalam selimut ialah golongan munafik yang diketuai oleh Abdullah bin Ubai. Golongan ini bukan sahaja cuba menarik seramai mungkin umat Islam supaya tidak keluar berperang bermula dari awal lagi, sebahagian lagi cuba mempengaruhi tentera Islam yang sedang menunju ke Tabuk untuk menarik diri dan sebahagian lagi menunggu kepulangan nabi Muhammad s.a.w untuk merasmikan Masjid Dhirar yang dibina oleh golongan yang merupakan musuh dalam selimut ini. Akhirnya bukan sahaja usaha mereka gagal malah Allah memerintahkan nabi supaya meruntuhkan masjid Dhirar yang bukan dibina atas asas Taqwa malah sebagai lambing perpecahan dan pengkhianatan terhadap Islam. Peristiwa ini memberi peringatan penting kepada kita agar pembinaan Masjid mestilah atas asas Taqwa bukannya untuk menunjuk-nunjuk atau hanya untuk dapat projek sahaja sehingga yang terbaru ada kes masjid runtuh walau pun kos binaan jutaan ringgit. Masjid yang dibina mesti disuburkan dengan pelbagai aktiviti dalam memperkasakan Islam dan umatnya bukan hanya gah dengan binaan yang besar dan cantik sahaja tetapi kosong daripada hidayah Allah. Sesuai dengan kita berada pada bulan Rejab yang merupakan bulan kita memperingati peristiwa Isra’ Mikraj yang dianugerahkan dengan kewajipan solat 5 waktu maka kita mahu setiap diri kita bukan sahaja menjaga solat fardhu malah menggunakan peluang yang ada untuk memenuhi ruang di masjid dan surau. Musuh Islam termasuk zionis yahudi pernah menyatakan bahawa mereka tidak akan bimbang dengan umat Islam sehinggalah umat Islam mampu memenuhi masjid terutama pada waktu Subuh sebagaimana umat Islam datang beramai-ramai ke masjid pada hari Jumaat maka barulah saat hancurnya zionis yahudi akan tiba. Ayuh kita sahut cabaran mereka untuk sama-sama memastikan kita, anak-anak kita, rakan-rakan kita, jiran-jiran kita untuk memenuhi masjid dan surau tiap waktu agar janji kemenangan daripada Allah semakin dekat dan hampir dalam genggaman Firman Allah dalam ayat 18 surah at-Taubah : إِنَّمَا يَعْمُرُ‌ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ‌ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ Maksudnya : Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Jumaat, 3 Mei 2013

Jihad Ubah Kepimpinan Zalim Kepada Adil

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 26 Surah Ali ‘Imran: قُلِ اللَّـهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ‌ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ‌ Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Islam mengajar kita bagaimana hanya Kerajaan Allah sahaja merupakan kerajaan yang sebenar dan berkekalan. Manakala kerajaan lain merupakan suatu amanah yang sementara sahaja yang bakal disoal tentang corak pemerintahannya di akhirat nanti. Semua kerajaan lain berada di bawah genggaman kekuasaan Allah di mana Allah boleh menaik dan menjatuhkan sesebuah kerajaan mengikut kehendakNya. Ia mengingatkan kita semua bahawa tidak ada kerajaan yang terus kekal memerintah selama-lamanya agar pemimpin sentiasa bertaqwa dalam memerintah negara dengan menjauhi penyalahgunaankuasa yang menyebabkan kerajaan mereka bukan sahaja dijatuhkan di dunia malah di akhirat kelak akan diseksa dalam api neraka Allah yang dahsyat bakarannya. Allah pernah memberi kerajaan kepada nabi Sulaiman dan nabi Muhammad s.a.w di mana baginda berdua memerintah negara dengan taqwa dan adil sehingga keadilan dan keselamatan dirasai bukan sahaja oleh manusia malah makhluk yang lain. Begitu juga Allah pernah menyerahkan kerajaan kepada Namrud dan Firaun namun mereka melakukan kezaliman dan kerosakan dengan kekuasaan yang ada sehingga kerajaan mereka dijatuhkan dengan penuh kehinaan. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 6 surah al-Hujurat : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَن تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. Memandangkan pemilihan pemimpin bukan suatu yang kecil malah akan dipertanggungjawab di akhirat nanti maka kita wajib memilih pemimpin berdasarkan petunjuk wahyu bukannya mengikut hawa nafsu. Antaranya dengan kita menapis segala bentuk berita dan maklumat yang tersebar melalui tv, radio, akhbar dan media massa yang lain agar kita tidak tertipu dan dipermainkan oleh emosi sehingga mengambil langkah yang salah dalam memilih pemimpin. Kita sedar bahawa hidup pada akhir zaman penuh dengan fitnah dan seribu macam penipuan sehingga hukum hakam Islam dipermainkan dengan dirujuk kepada bukan ahlinya. Akhirnya timbul kata-kata yang menghina hukum Islam tanpa tindakan sewajarnya seperti jika hukum Hudud dilaksanakan maka Negara menjadi mundur kerana ramai umat Islam kudung kaki dan tangan, penutupan aurat hanya sesuai di Negara arab sahaja kerana di sana suasana padang pasir yang berdebu dan masyarakat arab yang kuat nafsu. Malah seruan terbaru yang dikatakan sebagai jihad agar mengubah Kerajaan Kelantan yang telah mengharamkan judi, menghad penjualan arak di kalangan bukan Islam, menyimpan wang kerajaan dalam perbankan Islam, telah melulus enakmen Hudud disamping banyak lagi program yang berteraskan Islam sedangkan sudah 55 tahun Negara ini diperintah oleh golongan sekulerisme ini bukan sahaja hasil arak dan judi bertambah malah ada orang Islam yang menjadi ahli pengarah kepada syarikat arak dan judi. Begitu juga masalah hiburan melampau yang merosakkan akhlak rakyat terus disuburkan di mana selepas pilihanraya nanti telah dirancang suatu program yang menelan belanja RM 26 juta bagi menjemput artis dalam dan luar Negara untuk menambahkan lagi masalah Negara. Malangnya penggunaan tv, radio, akhbar dan media massa yang berat sebelah menyebabkan manusia yang merosakkan agama dianggap sebagai pejuang agama, orang yang menghancurkan bangsa Melayu dianggap sebagai pejuang Melayu عن و أبو هريرة قال : قال النبي :سيأتِي على الناسِ سنواتٌ خدّاعاتٌ ، يُصدَّقُ فيها الكاذِبُ ، ويُكذَّبُ فيها الصادِقُ ، ويُؤتَمَنُ فيها الخائِنُ ، ويخونُ الأمينُ ، وينطِقُ فيها الرُّويْبِضَةُ . قِيلَ : وما الرُّويْبِضةُ ؟ قال : الرجُلُ التّافِهُ يتَكلَّمُ في أمرِ العامةِ – رواه ابن ماجه Maksudnya : “Akan datang kepada manusia tahun-tahun penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang jujur didustakan, pengkhianat dipercayai sedangkan orang amanah dianggap pengkhianat. Pada saat itu ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya, “Apakah dimaksudkan dengan ruwaibidhah?”. Beliau menjawab, “Orang bodoh yang turut campur dalam urusan masyarakat luas.” Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 7-8 Surah Yunus: نَّ الَّذِينَ لَا يَرْ‌جُونَ لِقَاءَنَا وَرَ‌ضُوا بِالْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَاطْمَأَنُّوا بِهَا وَالَّذِينَ هُمْ عَنْ آيَاتِنَا غَافِلُونَ ﴿٧﴾ أُولَـٰئِكَ مَأْوَاهُمُ النَّارُ‌ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami,. Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan. Kita wajib memilih pemimpin yang mampu memperkasakan Islam, menjulang maruah bangsa dan menjaga kestabilan negara. Kita mesti menjadi manusia yang cerdik yang tidak boleh dijual beli undi mereka dengan habuan yang sedikit sedangkan bakal berdepan dengan kesengsaraan dengan kenaikan harga minyak yang menyebabkan harga barang akan naik, harga tol, bil elektrik, telefon, air terus naik, saman automatik seperti saman ekor yang memeras duit rakyat untuk kayakan syarikat kroni, cukai yang membebankan, hutang PTPTN kepada pelajar Universiti diteruskan sehingga ramai yang diheret ke mahkamah kerana hutang belajar ribu ringgit sahaja sedangkan dalam masa yang sama boleh hapus kira hutang MAS sebanyak RM 500 juta kepada kroni. Kita di Kelantan dirompak royalti 12 bilion kemudian dituduh tidak mampu membina lebuhraya yang berharga RM 2 bilion. Inilah bahayanya bila memilih pemimpin yang berniaga dengan rakyat iaitu beri sedikit ditarik balik berjuta-juta. Dasar pemimpin jenis ini terus mengekalkan rakyat dalam keadaan miskin agar mereka terus dapat menekan dan mengugut rakyat jelata dengan kuasa yang ada. Pemimpin jenis ini juga lebih suka berhutang sehingga negara hampir muflis akibat hutang telah mencecah RM 500 bilion iaitu setiap rakyat menanggung beban hutang negara RM 22 ribu seorang. Begitu juga banyak negeri dalam negara kita lebih banyak berhutang daripada membayar kecuali negeri yang diperintah oleh pemimpin berjiwa rakyat seperti Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang. Jangan biar negara menjadi muflis baru kita menyesal untuk mencari pemimpin yang dapat menyelesaikan masalah yang parah ini. Berubah sebelum parah, beringat sebelum kena, berhati-hati sebelum menyesal Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Laungan khurafat yang sering dilaungkan oleh penjajah ialah penjajah tidak akan memberi pemerintahan kepada anak watan kerana mereka tidak pandai memerintah. Maka laungan khurafat ini diteruskan oleh anak didik penjajah dengan mengatakan golongan selain mereka tidak pandai memerintah walau pun sepanjang 55 tahun memerintah begitu banyak hutang Negara ditimbun, amalan rasuah semakin parah sehingga indek rasuah peringkat antarabangsa semakin menjunam , pecah amanah menjadi amalan malah ada pemimpin yang boleh mempermainkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa rasa takut. Akhinya undang-undang dalam Negara tidak lebih daripada sarang labah-labah iaitu jika rakyat di bawah dikejar sehingga ke lubang cacing sedangkan pemimpin atasan boleh menari di depan undang-undang. Sedangkan Rasulullah s.a.w pernah memberi jaminan bahawa system Islam akan dilaksanakan walau pun kepada Puteri kesayangannya sendiri Siti Fatimah yang membuktikan ketelusan system Islam tanpa memilih bulu. Begitu juga politik fitnah dan lucah boleh dimainkan tanpa rasa takut kepada Allah. Oleh itu tidak pelik apabila golongan ini begitu takut kepada hukum Islam yang melarang dan mengambil tindakan tegas sekiranya tersebarnya fitnah terutama dalam masalah zina dan liwat. Firman Allah dalam ayat وَالَّذِينَ يَرْ‌مُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْ‌بَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ Maksudnya : Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; - Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Imam al-Ghazali pernah berpesan bahawa sebodoh-bodoh manusia ialah orang yang menjual akhiratnya kerana dunia orang lain iaitu dia sendiri tidak kalut dengan dunia tetapi terus mempertahankan orang yang gila dunia dan kuasa. Kita juga mesti mengelak daripada terlibat dgn sebarang rasuah dlm memilih pemimpin tambahan pula pemimpin tersebut adalah zalim terhadap rakyat. Jika mereka menabur wang ringgit dan menyuruh agar memilih serta mengekalkan kedudukan mereka lalu penerima wang tadi menurut kehendaknya semata-mata kerana mengambil wang tersebut maka dia telah terlibat dengan rasuah. Rasulullah pernah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan Ibnu Majah iaitu antara 3 orang yang Allah S.W.T tidak bercakap dengan mereka pada hari kiamat serta tidak disucikan mereka dan mendapat azab pedih ialah: …. وَرَجُلٌ بَايَعَ إِمَامًا لايُبَايِعَهُ إِلا لِدُنْيَا . فَإِنْ أَعْطَاهُ مِنْهَا وَفَى لَهُ وَإِنْ لَمْ يُعْطِهِ مِنْهَا لَمْ يَفِ لَهُ Maksudnya : ….dan seorang lelaki yang taat setia kepada pemimpin di mana dia tidak taat kecuali kerana dunia. Jika pemimpin memberinya habuan maka dia tunai ketaatan baginya tetapi jika pemimpin tidak memberinya maka dia tidak mentaatinya بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ