أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Isnin, 21 Januari 2019

Syiar dan Syariat Islam DiMartabat Jahiliah DiSekat

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ..... فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 32 surah al-Hajj: ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّـهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ ﴿٣٢﴾ Maksudnya : Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin. Al-Quran banyak menyebut tentang 'syiar' yang secara bahasa bererti tanda untuk mengenali sesuatu. Kata syiar berasal dari kata syu`ur, yang bermakna rasa, kerana syiar dibangun agar setiap orang yang melihatnya merasakan keagungan Allah. Syiar sjuga difahami sebagai tanda ibadah termasuk ibadah haji. Syiar boleh menunjuk pada tempat-tempat yang mulia, seperti Ka`bah, Sofa, Marwah, Arafah, dan al-Masy`ar al-Haram; boleh menunjuk pada waktu, seperti bulan Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram, dan Rejab; dan dapat pula menunjuk pada amalan-amalan agama. Menurut al-Razi, syiar tidak hanya menunjuk pada amalan ibadah haji semata-mata, tetapi semua ibadah yang lain bahkan semua aktiviti yang menjadi simbol kepatuhan seseorang kepada Allah. Syiar diagungkan sebagai melambangkan rasa taqwa. Kegiatan mengagungkan syiar Allah difahami oleh para ulama dalam beberapa makna antaranya : [1] Ihtifal di mana aktiviti keagamaan yang bernilai syiar, perlu dilakukan secara terbuka, meriah dalam batas syarak dan ikhlas. [2] Iltizam di mana mengagungkan syiar itu merupakan kewajiban agama yang harus ditunaikan oleh setiap Muslim sebagai bagian dari proses tazkirah iaitu mengingatkan manusia pada keagungan Allah. [3] Itmam di mana syiar harus dilakukan sebaik dan sesempurna mungkin. Contohnya dalam konteks syiar haji, Rasulullah s.a.w memberikan 100 ekor unta sebagai qurban. Sebagaimana telah dikemukakan bahawa syiar bertalian dengan taqwa. Ahli tafsir Zamahsyari dan Ibn `Asyur, memahami taqwa sebagai mabda', atau pangkal permulaan kepada kegiatan syiar. Bagi Al-Alusi, selain sebagai mabda', juga sebagai ta`lil, yakni alasan perlunya syiar. Ini bererti, syiar Islam tak boleh dilihat dari sisi simboliknya semata-mata sebaliknya pada makna tersurat dan tersirat bagi melahirkan semangat taqwa untuk menggerakkan manusia mencapai pangkat taqwa. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Jumuaah: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٩﴾ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan laungan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya) Syiar Islam yang berada dekat kita ialah masjid, begitu juga laungan azan. Azan merupakan syiar kaum muslimin sehingga Nabi s.a.w tidak menyerang suatu daerah jika terdengar azan di dalamnya. Dari Anas bin Malik beliau berkata, كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صلي الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُغِيرُ إِذَا طَلَعَ الْفَجْرُ وَكَانَ يَسْتَمِعُ اْلأَذَانَ فَإِنْ سَمِعَ أَذَانًا أَمْسَكَ وَإِلاَّ أَغَارَ - رواه مسلم Maksudnya : “Rasulullah s.a.w menyerang (suatu kaum) ketika terbit fajar. Dan Baginda memperhatikan azan. Apabila Baginda mendengar, maka Baginda s.a.w menahan. Dan bila tidak (mendengar), maka Baginda s.a.w menyerang”. Oleh itu laungan azan bukan suatu yang boleh dipermainkan malah ia sepatutnya menjadi seruan penting dalam menyatukan hati kita bukan sahaja untuk datang solat berjemaah malah menegakkan semua system Islam bermula dalam diri sendiri, anak isteri, masyarakat, negeri seterusnya negara Begitulah juga masjid bukan untuk dihias cantik tetapi simbol kehebatan Islam apabila mampu dihidupkan. Setiap diri kita wajib menjadikan diri kita sebagai kaki masjid serta mendidik anak cucu kita sebagai pemuda Masjid. Kejayaan menarik seramai mungkin anak muda ke masjid pasti menjanjikan kesan yang baik kepada masyarakat. Sebaliknya kegagalan memenuhkan ruangan masjid dengan anak muda bakal membawa bencana dan kerosakan kepada masyarakat Antara tips untuk menjinak anak muda dengan masjid ialah: [1] Wujudkan suasana yang mempengaruhi fikiran dan minat kepada masjid supaya remaja terbiasa menjadikan masjid sebagai tempat selesa untuk menambah pahala dan mendekatkan diri kepada Allah serta menyelesaikan masalah. [2] Komitmen ibubapa untuk mendidik anak dari kecil untuk berjinak dengan masjid sebagaimana kita merasakan anak wajib ke sekolah begitulah juga masjid [3] Ibubapa menjadi teladan yang baik dengan diri sendiri sentiasa datang ke masjid. Pesan Ulama’ jika kita mahu anak kita mewarisi amalan suka ke masjid, sentiasa baca al-Quran, suka bersedekah maka mulailah dari kita. Anak-anak akan mencontohi kita samada kaki masjid atau anti masjid. [4] Tidak salah untuk kita memberi Hadiah sebagai motivasi yang besar sehingga anak cenderung untuk melakukan apa yang lebih baik lagi dari yang dia lakukan sebelumnya [5] Menjadikan Masjid mesra remaja di mana masjid mampu membuat anak-anak tenang, tidak canggung dengan pengisian yang pelbagai Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 81surah Toha : كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَلَا تَطْغَوْا فِيهِ فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِي ۖ وَمَن يَحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِي فَقَدْ هَوَىٰ﴿٨١﴾ Maksudnya : Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia. Simbol atau lambang jika disalahguna boleh mendatangkan bahaya termasuk dari segi makan minum. Oleh itu kita mengambil serius tindakan sesetengah peniaga bukan Islam yang menggunakan ayat-ayat al-Qur’an, nama dan imej Islam di premis perniagaan dan juga bahan jualan mereka di mana tindakan tersebut dipercayai untuk menarik minat dan kepercayaan pengguna Muslim untuk membeli barang dan perkhidmatan yang ditawarkan. Tindakan tersebut seolah-olah memperlekehkan Islam dan mengelirukan pengguna Muslim. Kita memberi kepercayaan kepada JAKIM untuk mengatasi masalah ini termasuk mengedar suatu maklumat lengkap yang menyenaraikan premis-premis bermasalah untuk dipaparkan kepada umum sebagai satu panduan pengguna. Selain itu, satu tindakan tegas seperti penarikan lesen perniagaan dan hukuman berat perlu dikenakan terhadap mereka yang menyalahgunakan pendekatan ini. Disamping itu umat Islam sendiri sepatutnya lebih mengutamakan kedai dan produk keluaran orang Islam bagi menjaga halal haram. Kita sudah lama menjadi pengguna dan pembeli setia kepada barangan bukan Islam. Bantulah dalam meramaikan lagi usahawan dan pengeluar produk muslim supaya kita tidak selamanya bergantung kepada orang bukan Islam. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Kita juga wajib memperkasakan kerja amar makruf nahi mungkar termasuk mengurangkan lessen arak, judi dan kelab malam yang merupakan ibu maksiat yang mengundangkan pelbagai masalah sosial dan jenayah dalam negara. Kita tidak mahu golongan yang membantu dalam kerja mencegah kemungkaran diberkas sedangkan penyebar maksiat, budaya songsang, liberal dibiarkan bergerak bebas termasuk di media perdana. Kita berasa malu dan kecewa dengan sikap setengah pihak apabila berdepan dengan pendaftaran sekolah tahfiz bagaikan singa lapar untuk menutupnya sebaliknya tetapi bila berdepan dengan premis maksiat dan munkar seperti kelab malam bagaikan tikus ketakutan sehingga ia bukan sahaja tidak mampu dikurangkan seperti di Ibu Negara sendiri yang kini direkodkan mempunyai 627 premis hiburan berlesen. Malah ketika pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha menghadkan operasi premis berkenaan setakat jam 1 pagi tetapi akhirnya dilihat tunduk dan akur dengan tuntutan desakan para pengusaha premis maksiat dan munkar itu. Sedangkan jika kita perhatikan di Singapura sendiri mereka lebih ketat berkaitan jualan arak dan operasi kelab malam. Jadilah penentang kemungkaran, jangan menjadi pengundang bala Allah قال رَسُوْلُ اللهِ صلي الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : فِي هَذِهِ الْأُمَّةِ خَسْفٌ وَمَسْخٌ وَقَذْفٌ . فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْمُسْلِمِينَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَتَى ذَاكَ ؟ قَالَ : إِذَا ظَهَرَتْ الْقَيْنَاتُ وَالْمَعَازِفُ وَشُرِبَتْ الْخُمُورُ – رواه الترمذي Maksudnya: Berlaku pada umat ini, gempa bumi, diubah menjadi rupa makhluk lain dan fitnah. “Seorang laki-laki dari kaum muslimin bertanya :” Wahai Rasulullah ! bila berlaku perkara itu? Sabda nabi: “Apabila semakin banyak nyanyian dan alat-alat muzik dan minum arak. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Saidatina Aisyah berkata bahawa Rasulullah ﷺ sangat sensitif dengan lambang salib: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «لَمْ يَكُنْ يَتْرُكُ فِي بَيْتِهِ شَيْئًا فِيهِ تَصَالِيبُ إِلَّا نَقَضَهُ – رواه البخاري Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah ﷺ tidak akan meninggalkan sesuatu yang mempunyai lambang salib di dalam rumahnya melainkan Baginda akan mengubah lambang tersebut. Saidatina Aisyah pernah meminta seorang wanita supaya meninggalkan kain yang mempunyai lambang salib. كُنَّا نَطُوفُ بِالْبَيْتِ مَعَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ، فَرَأَتْ عَلَى امْرَأَةٍ بُرْدًا فِيهِ تَصْلِيبٌ، فَقَالَتْ أُمُّ الْمُؤْمِنِينَ: " اطْرَحِيهِ اطْرَحِيهِ، فَإِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَأَى نَحْوَ هَذَا قَضَبَهُ – رواه أحمد Maksudnya : “Kami pernah menunaikan tawaf bersama dengan Ummul Mukminin Aisyah. Apabila beliau terlihat kain yang terdapat lambang salib pada seorang wanita, Aisyah lantas berkata: Tinggalkan kain ini, tanggalkannya. Sesungguhnya Rasulullah ﷺ sekiranya Baginda melihat lambang salib, maka Baginda akan mencabutnya. Sebagaimana maklum bahawa Islam adalah agama negara maka sebarang usaha dalam menghinanya adalah suatu kesalahan yang besar. Oleh itu kita menyokong saranan Mufti Pulau Pinang supaya pihak berkuasa dengan seberapa segera mengarahkan pemaju mengubah kedudukan lampu-lampu di satu bangunan komersil bukannya rumah ibadat Kristian supaya tidak kelihatan seperti lambang salib besar yang tidak disenangi oleh kalangan umat Islam. Adalah tidak menjadi kesalahan bagi orang yang beriman untuk merasa sensitif dengan simbol kekufuran. Ini adalah Sunnah Rasulullah, iaitu tidak redha dengan kekufuran. Bahkan di dalam hadith yang sahih, Rasulullah ﷺ menjelaskan bahawa apabila tiba hari kiamat nanti, Nabi Isa sendiri akan menghapuskan lambang salib. Sabda Rasulullah: لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَنْزِلَ فِيكُمْ ابْنُ مَرْيَمَ حَكَمًا مُقْسِطًا، فَيَكْسِرَ الصَّلِيبَ – رواه البخاري Maksudnya : “Tidak akan berlaku hari kiamat melainkan akan turunnya Nabi Isa dan Baginda akan menjalankan hukuman yang adil dan menghapuskan (lambang-lambang) salib.” Tegakkan syiar dan syariat Islam dalam kehidupan untuk Berjaya dunia akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 17 Januari 2019

Islamkan Pendidikan Negara Menuju Masyarakat Sentosa

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ..... فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 1-2 surah al-Kahfi: الْحَمْدُ لِلَّـهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا ۜ﴿١﴾ قَيِّمًا لِّيُنذِرَ بَأْسًا شَدِيدًا مِّن لَّدُنْهُ وَيُبَشِّرَ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًا حَسَنًا ﴿٢﴾ Maksudnya : Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya (Muhammad), Kitab suci Al-Quran, dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok (terpesong): (Bahkan keadaannya) tetap benar lagi menjadi pengawas turunnya Al-Quran untuk memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) dengan azab yang seberat-beratnya dari sisi Allah, dan memberi berita gembira kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik. Keberadaan kita pada hari Jumaat yang merupakan Penghulu segala hari yang memiliki kelebihan yang besar di mana kita mesti menggunakan sebaik mungkin kehadiran hari Jumaat untuk menambahkan amal ibadat disamping memohon keampunan daripada Allah atas ketelanjuran. Antara amalan terbaik pada hari Jumaat yang mulia ini ialah memperbanyakkan selawat ke atas nabi s.a.w, istighfar, berdoa dan membaca al-Quran terutama surah al-Kahfi قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الكَهْفِ في يَوْمِ الجُمُعَةِ، أَضَاءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الجُمُعَتَيْنِ – رواه الحاكم والبيهقي Maksudnya : Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya Allah menerangi baginya dengan cahaya di antara dua Jumaat. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 13-14 surah al-Kahfi: إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى. وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَهًا لَقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا Maksudnya : Sesungguhnya mereka itu para pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambah lagi bagi mereka petunjuk. Dan Kami kuatkan hati-hati mereka dengan kesabaran, tatkala mereka berdiri lalu berkata; Tuhan kami, Pengurus bagi langit-langit di bumi, kami tidak akan seru Tuhan selain Allah kerana kalau begitu, bererti kami berkata sesuatu yang melewati batas. Kita baru sahaja menyambut tahun baru 2019 di mana kebanyakan ibubapa dan anak-anak begitu kalut dengan alam persekolahan. Setiap masing-masing ada pilihan tersendiri samada memilih sekolah kerajaan, swasta, tahfiz atau pondok dengan matlamat untuk lahir sebagai hamba Allah yang beriman dan beramal soleh yang berjaya di dunia dan akhirat. Ilmu ada suatu yang wajib dituntut terutama berkaitan dengan fardhu ain dan fardhu kifayah agar ia dapat memandu kita ke jalan yang benar serta tidak memisahkan antara agama dengan urusan dunia disampingkan sentiasa memberi ingatan penting tentang halal haram, dosa pahala, Syurga dan Neraka dalam setiap gerak kerja kita sebagai hamba Allah. Imam al-Ghazali menukilkan bahawa semua manusia boleh belajar dan diajar dengan katanya: “Haiwan yang tidak berakal pun boleh dibentuk dan diajar, apatah lagi manusia yang waras dan berakal itu. Sudah tentu boleh mencapai dan mendapat ilmu dengan mempelajarinya dan belajar.” Manakala Imam al-Syafie berpesan tentang 6 asas penting dalam menuntut ilmu yang perlu dipegang dan perlu ada dalam diri penuntut ilmu iaitu : kepintaran, keinginan, kerajinan, cukup perbelanjaan, sentiasa mendampingi dengan guru dan masa yang panjang Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 13 surah Luqman: وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّـهِ ۖ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ ﴿١٣﴾ Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:" Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar" Iman merupakan teras dalam pendidikan demi terbentuknya kesan didikan yang boleh dilihat dalam kehidupan. Khususnya adab dan tingkah laku berinteraksi dengan Allah Tuhan Pencipta dan juga makhlukNya. Justeru, iman menjadi keperluan penting dalam pendidikan. Dalam tugas keguruan, iman teramat penting untuk menjamin kelangsungan pendidikan dan kecemerlangannya. Guru yang beriman sentiasa bertindak mengikut peraturan dan keputusan yang dicapai bersama demi kejayaan umat dan yang kemuncaknya mencapai keredhaan Allah Dalam konteks pendidikan, kerjaya kependidikan itu sendiri adalah tanggungjawab yang bermula dari sekecil-kecil perkara. Seorang ibu atau bapa bertanggungjawab untuk anaknya sejak seawal dalam alam rahim hinggalah dilahirkan ke dunia. Semenjak dilahirkan itu juga tanggungjawab pendidikan awal anak-anak teutama dalam akidah adalah amat besar yang akan menentukan sama ada anak-anak itu menjadi Majusi, Nasrani, Yahudi atau teguh sebagai Muslim. Ini bermakna pendidikan formal anak-anak iaitu di institusi pendidikan adalah kelangsungan tanggungjawab keluarga tersebut oleh seseorang guru. Guru juga adalah sebagai ibu dan bapa. Tanggunggjawab akan disusuli dengan ganjaran oleh Allah di akhirat. Kita perlu akui bagaimana cabaran dalam mendidik anak-anak pada zaman yang penuh dengan ujian terhadap keimanan dan akhlak ini memerlukan kesungguhan dan berterusan tanpa mengenal erti penat dan lelah. Sayydina Umar Al-Khattab r.a pernah berpesan : “Ajarilah anak-anakmu sesuai dengan zamannya kerana mereka hidup pada zaman mereka bukan zamanmu. Sesungguhnya mereka diciptakan untuk zamannya, sedangkan kalian diciptakan untuk zaman kalian”. Suatu ungkapan syair arab : “Seorang ibu adalah umpama sebuah sekolah, jika kamu persiapkannya; kamu sebenarnya mempersiapkan sebuah generasi yang baik akhlak dan keturunannya”. Oleh itu musuh Islam berusaha dalam merosakkan 2 golongan iaitu perempuan sebagai ibu supaya meninggalkan peranan sebagai pendidik dengan disibukkan dengan kerjaya dan perkara lain serta merosakkan remaja dengan ideology sesat seperti liberal, tolak agama dan hanyut dalam hiburan melampau Kita begitu bimbang apabila falsafah pendidikan barat yang diakui gagal oleh pakar pendidikan barat sendiri iaitu hanya melahirkan individu yang mementingkan diri sendiri dalam mengejar pangkat dan harta, tiada perasaan akibat jauh daripada panduan agama. Akhirnya bilangan sekolah dan university begitu banyak tetapi masalah kerosakan akhlak dan jenayah juga semakin banyak. Misalnya jenayah pelajar yang tercicir awal diperingkat sekolah menjadi pencuri kecil-kecilan manakala yang ada sijil Universiti menjadi perompak besar-besaran termasuk rasuah dan pecah amanah wang negara. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 35-36 surah al-Kahfi : وَدَخَلَ جَنَّتَهُ وَهُوَ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ قَالَ مَا أَظُنُّ أَن تَبِيدَ هَـٰذِهِ أَبَدًا﴿٣٥﴾ وَمَا أَظُنُّ السَّاعَةَ قَائِمَةً وَلَئِن رُّدِدتُّ إِلَىٰ رَبِّي لَأَجِدَنَّ خَيْرًا مِّنْهَا مُنقَلَبًا ﴿٣٦﴾ Maksudnya : Dan dia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang dia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata: "Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya. Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini. System pendidikan yang bersepadu antara agama dan dunia bakal melahirnya anggota masyarakat yang bertaqwa termasuk golongan kaya yang memikirkan masalah umat bukannya hanya memikirkan wang kekayaan semata-mata walau pun terpaksa mengorbankan maruah dan nyawa orang ramai. Kita berasa malu dan kecewa dengan sikap setengah pihak apabila berdepan dengan pendaftaran sekolah tahfiz bagaikan singa lapar untuk menutupnya sebaliknya tetapi bila berdepan dengan premis maksiat dan munkar seperti kelab malam bagaikan tikus ketakutan sehingga ia bukan sahaja tidak mampu dikurangkan seperti di Ibu Negara sendiri yang kini direkodkan mempunyai 627 premis hiburan berlesen. Malah ketika pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha menghadkan operasi premis berkenaan setakat jam 1 pagi tetapi akhirnya dilihat tunduk dan akur dengan tuntutan desakan para pengusaha premis maksiat dan munkar itu. Sedangkan jika kita perhatikan di Singapura sendiri mereka lebih ketat berkaitan jualan arak dan operasi kelab malam. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 83-84 surah al-Kahfi : وَيَسْأَلُونَكَ عَن ذِي الْقَرْنَيْنِ ۖ قُلْ سَأَتْلُو عَلَيْكُم مِّنْهُ ذِكْرًا﴿٨٣﴾ إِنَّا مَكَّنَّا لَهُ فِي الْأَرْضِ وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا ﴿٨٤﴾ Maksudnya : Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya". Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. Sistem pendidikan juga bakal membentuk arah tuju negara samada tunduk patuh kepada syariat dan aqidah Islam atau sebaliknya. Ramai orang tidak melihat kepentingan status negara sama ada negara Islam atau sekular, sebaliknya menganggapnya sebagai jenama biasa sahaja. Bagi umat Islam yang sayang kepada agama, status itu penting kerana menggambarkan sejauh mana kefahaman tabiatnya, bahkan memberi kesan kepada hala tuju perjuangan Islam di negara. Jika gerakan meletakkan status negara sekular berjaya, maka tabiat Islam sebagai cara hidup sempurna dan menyeluruh akan terpencil sebagai ritual agama dalam konteks amalan peribadi. Islam tidak lagi mengawal kehidupan bermasyarakat mahupun negara sedangkan tabiat ajaran Islam bukan begitu, bahkan ia cara hidup lengkap daripada peringkat peribadi, masyarakat dan negara. Jika kempen menjadikan status negara sekular berjaya, maka perbincangan mendaulatkan undang-undang dan peraturan Islam akan terhenti serta tidak relevan lagi. Ini kerana bagi fahaman sekular, agama semata-mata urusan peribadi. Misi membuktikan Islam itu rahmahtan lil ‘alamin akan terbantut kerana Islam sebagai sistem hidup termasuklah bernegara akan terhenti setakat amalan individu. Orang bukan Islam pula tidak berpeluang melihat betapa rahmatnya Islam apabila berkuasa akibat system Islam terhalang daripada dilaksana. Di negara sekular, hala tuju perjuangan Islam akan mencapai kemuncaknya sekadar menumpukan kepada isu seperti ibadat khusus dan akhlak peribadi, manakala menguatkuasakan al-hisbah dan menyuruh makruf mencegah mungkar akan terhenti kerana akan dianggap mengganggu kehidupan peribadi. Membuat penegasan negara ini sebagai Islam tatkala ada pihak bersungguh-sungguh mengungkapkannya sebagai sekular adalah tepat pada masanya dan sebagai langkah berani kerana didokong fakta terang dari sudut syarak, sejarah mahupun Perlembagaan Persekutuan. Jangan mengkhianati usaha murni pejuang kemerdekaan yang begitu bersungguh dalam memastikan Islam menjadi agama negara. Sebaliknya kita memperkasakan lagi usaha ini sehingga seluruh system Islam termasuk politik, ekonomi, sosial dan lain-lain mestilah berteraskan Islam. Islamlah nescaya kita selamat dunia dan akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 10 Januari 2019

Ujian Allah DiSantuni Jatidiri DiMiliki

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ..... فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 22 surah al-Hijr : وَأَرْسَلْنَا الرِّيَاحَ لَوَاقِحَ فَأَنزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَسْقَيْنَاكُمُوهُ وَمَا أَنتُمْ لَهُ بِخَازِنِينَ ﴿٢٢﴾ Maksudnya : Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air dan pemindah benih; maka dengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian Kami berikan kamu meminumnya; dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannya atau) menyimpannya Pergerakan angin merupakan sebahagian dari tanda kebesaran Allah. Seringkali angin bertiup sepoi-sepoi bahasa dan menyamankan. Ada kalanya juga kencang dan berlaku ribut sehingga menimbulkan sesuatu yang kita tidak suka. Ini semua berlaku dengan qadha dan qadar Allah dengan hikmah yang tersendiri. Oleh sebab itu tidak layak jika seorang muslim mencaci angin yang dicipta dan diutuskan-Nya kerana angin itu makhluk Allah dan tunduk kepada perintah-Nya. Angin yang datang ada berbentuk angin yang bertiup tenang dan membawa banyak manfaat kepada kehidupan manusia sewajarnya disyukuri atas nikmat-Nya itu. Ada juga angin ribut yang bertiup kencang sehingga menimbulkan ketakutan, menumbangkan pepohonan, merobohkan bangunan, dan semisalnya. Kita dilarang mencacinya, kerana tidaklah menciptakan angin, mengutusnya dan menentukan bentuk bertiupnya kecuali Allah . Tidak ada seorang pun yang mampu mengendalikan angin kecuali penciptanya iaitu Allah. Oleh itu nabi s.a.w mengajar kita untuk berdoa seperti : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ هَذِهِ الرِّيحِ وَخَيْرِ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ : وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا أُرْسِلَتْ بِهِ – رواه مسلم Maksudnya : “Ya Allah sesungguhnya daku memohon kepada-Mu kebaikan angin ini dan kebaikan yang ada padanya dan kebaikan yang dibawanya. Dan daku berlindung kepada-Mu dari keburukan angin ini, keburukan yang ada padanya dan keburukan yang dibawanya.“ Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 214 surah al-Baqarah : أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّـهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّـهِ قَرِيبٌ﴿٢١٤﴾ Maksudnya : Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga sedangkan belum datang kepadamu ujian sebagaimana yang pernah berlaku ke atas umat terdahulu sebelum kamu?. Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan dengan pelbagai cubaan sehingga berkatalah rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya : “ Bilakah lagi akan datangnya pertolongan Allah?”. Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. Telah menjadi sunnah ketetapan Allah di mana setiap diri manusia akan dicuba, akan diuji, akan diperiksa samada kenyataan kepada keimanan mereka kepada Allah dan seluruh ajaranNya melalui kata-kata mereka adalah betul dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan mereka atau pun hanya terhenti setakat di mulut sahaja. Kita sebagai umat akhir zaman yang hidup dalam zaman yang penuh cabaran fitnah maka mesti mempunyai bekalan ilmu dan aqidah yang kukuh agar segala keyakinan kita di hati diikuti dengan pengucapan kita di mulut dan disertakan dengan pengamalan terhadap seluruh kewajipan agama sebagai tanda tunduk dan patuh kepada perintah Allah samada dalam keadaan senang atau susah, sihat atau sakit, muda atau tua, lapang atau suntuk. Betapa ramai umat manusia sebelum kita telah diuji oleh Allah sehingga jelaslah kedudukan iman dan penyerahan diri mereka samada mereka benar-benar beriman sehingga sanggup menyerahkan seluruh jiwa raga untuk Islam dan tidak kurang mereka yang tewas disebabkan keyakinan yang nipis terhadap Allah walau pun mulut mereka lantang menyatakan bahawa mereka merupakan umat yang beriman kepada Allah tetapi apabila datangnya ujian dan cabaran maka mereka tidak mampu menghadapinya. Sidang Jumaat yang berkati Allah, Kebanyakan umat Islam diuji dengan 5 perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafiq yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya. [1] Saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya di mana perasaan hasad dengki biasanya datang kerana sikap suka menimbulkan permusuhan, perasaan takabbur atau membesarkan diri, perasaan ‘ujub, gila kuasa, terlalu mementingkan diri sendiri sehingga sanggup mengorban atau mengkhianati orang lain dan perasaan hasad dengki juga sentiasa bersarang dalam diri disebabkan kebakhilannya. Selagi mana hati ini dikotori dengan penyakit hasad dengki maka dirinya sentiasa memusuhi kebenaran dan membenci saudara seagama atas dasar yang bercanggah dengan syarak. Oleh itu sebagai membuktikan keimanan kepada Allah maka kita wajib membersihkan diri kita daripada sifat yang tercela ini demi mencapai keredhaan Allah. عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم : لاَ تَحَاسَدُوا وَلاَ تَنَاجَشُوا وَلاَ تَبَاغَضُوا وَلاَ تَدَابَرُوا وَلاَ يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُوْنُوا عِبَادَ اللهِ إِخْوَاناً . الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يَخْذُلُهُ وَلاَ يَكْذِبُهُ وَلاَ يَحْقِرُهُ . التَّقْوَى هَهُنَا –وَيُشِيْرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ – بِحَسَبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ، كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ - رواه مسلم Maksudnya : “Kamu sekalian, satu sama lain Janganlah saling mendengki, saling menipu, saling membenci, saling menjauhi dan janganlah membeli barang yang sedang ditawar orang lain. Dan jadilah kamu sekalian hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim itu adalah saudara bagi muslim yang lain, maka tidak boleh menzhaliminya, menelantarkannya, mendustainya dan menghinakannya. Taqwa itu ada di sini (seraya menunjuk dada beliau tiga kali). Seseorang telah dikatakan berbuat jahat jika ia menghina saudaranya sesama muslim. Setiap muslim haram darahnya bagi muslim yang lain, demikian juga harta dan kehormatannya” [2] Kita akan diuji dengan sikap permusuhan yang dicetuskan oleh golongan munafiq yang merupakan musuh di dalam selimut. Golongan ini begitu merbahaya kerana mereka sentiasa menyembunyikan sikap permusuhan mereka dengan menyatakan bahawa mereka juga beriman kepada Allah sedangkan banyak kelakuan dan tindakan mereka ke arah memerangi ajaran Islam yang menyeluruh. Golongan munafiq ini hanya mengambil ajaran Islam yang sesuai dengan kehendak nafsu serakah mereka dan memusuhi segala ajaran Islam yang berlawanan dengan kehendak mereka. Kadang-kadang golongan munafiq ini lebih terkehadapan dalam menyatakan kecintaan mereka terhadap Islam sedangkan dalam masa yang sama dari segi tindakan maka merekalah golongan yang berani menghina hukuman Allah yang adil, mencaci Rasulullah s.a.w, memaki para ulama’ pewaris nabi dengan menjadikan akal yang lemah sebagai sumber ilmu yang tertinggi mengatasi wahyu Firman Allah dalam ayat 14-15 surah al-Baqarah : وَإِذَا لَقُوا الَّذِينَ آمَنُوا قَالُوا آمَنَّا وَإِذَا خَلَوْا إِلَىٰ شَيَاطِينِهِمْ قَالُوا إِنَّا مَعَكُمْ إِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِئُونَ ﴿١٤﴾ اللَّـهُ يَسْتَهْزِئُ بِهِمْ وَيَمُدُّهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ ﴿١٥﴾ Maksudnya : Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".(14) Allah (membalas) memperolok-olok, dan membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka (yang melampaui batas itu). Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 109 surah al-Baqarah : وَدَّ كَثِيرٌ مِّنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُم مِّن بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِّنْ عِندِ أَنفُسِهِم مِّن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ ۖ فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّـهُ بِأَمْرِهِ ۗ إِنَّ اللَّـهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿١٠٩﴾ Maksudnya : Ramai di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. [3] kita akan diuji dengan golongan kuffar yang sentiasa memusuhi dan memerangi kita dengan pelbagai cara samada melalui serangan pemikiran sehingga mampu menjauhkan umat Islam daripada ajaran agama mereka atau pun melalui serangan fizikal yang menyebabkan ramai di kalangan umat Islam yang menjadi mangsa kepada senjata canggih milik kuffar durjana. Sesungguhnya kita mesti memperakui bahawa permusuhan yang dicetuskan oleh golongan kuffar terutama yahudi dan kristian akan berlarutan sehingga hari qiamat kerana golongan kuffar ini akan berusaha sedaya upaya mereka untuk membuatkan kita agar berlutut di kaki mereka walau dengan apa cara sekali pun. Walau pun jumlah umat Islam hari ini begitu ramai tetapi kita tidak ubah seperti buih air banjir atau buih di laut disebabkan umat Islam diserang dengan dua penyakit yang merbahaya iaitu terlalu cintakan dunia sehingga sanggup mengorbankan prinsip agama dan diserang penyakit terlalu takut kepada kematian sehingga sanggup membiarkan saudara seagama terus ditindas dan menjadi mangsa peluru dan bom kuffar terutama di negara yang diuji dengan peperangan seperti di Palestin, Syria, Yaman, Myanmar dan selainnya. Pengganas kuffar kini menghalakan mucung senjata mereka ke arah yang satu iaitu umat Islam kerana Islam dianggap musuh utama kuffar yang tidak pernah padam hajat mereka untuk menguasai dunia dengan melakukan pelbagai kekejaman dan penindasan demi membolot hasil mahsul bumi yang ada. Oleh itu marilah kita sebagai umat Islam yang bermaruah kembali bersatu di bawah panji Islam. Umat Islam merupakan umat pilihan dan akan kembali menjadi umat yang mulia apabila kembali bernaung di bawah keseluruhan sistem Islam yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk pemerintahan, ekonomi, sosial dan lainnya bukan hanya terhenti setakat ibadat khusus seperti solat, puasa dan haji sahaja. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 120 surah an-Nisa’ : يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ ۖ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلَّا غُرُورًا﴿١٢٠﴾ Maksudnya : Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata. [4] Kita akan menghadapi godaan syaitan dan yang ke-[5] hawa nafsu yang merupakan teman rapat dalam memujuk kita ke arah kesesatan. Syaitan dan nafsu jahat akan sentiasa berusaha mengheret kita untuk melakukan maksiat sehingga manusia yang bertuhankan nafsu dan sentiasa mengikut telunjuk syaitan akan sentiasa melakukan segala tegahan Allah sehingga semakin meluasnya gejala social seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, bertambahnya kes sumbang mahram dan sebagainya. Dalam menghadapi ujian nafsu ganas dan syaitan ini maka manusia mesti diisi dengan ilmu kefahaman agama yang secukupnya disamping dikawal dengan pelaksanaan hukuman berasaskan agama demi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Hukuman dunia walau pun sekeras mana pun tindakannya tetapi tidak mampu menginsafkan manusia dan juga penerima hukuman dunia dalam kes yang telah jelas hukumannya di sisi Allah akan sekali lagi menerima hukuman di atas kesalahan yang sama di akhirat nanti. Alangkah sesat dan zalimnya hukuman dunia berbanding hukuman Allah yang adil. Islamlah necaya kita selamat dunia dan akhirat. Firman Allah dalam ayat 27 surah an-Nisa’ : وَاللَّـهُ يُرِيدُ أَن يَتُوبَ عَلَيْكُمْ وَيُرِيدُ الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الشَّهَوَاتِ أَن تَمِيلُوا مَيْلًا عَظِيمًا ﴿٢٧﴾ Maksudnya : Dan Allah hendak (membersihkan kamu dari dosa dengan) menerima taubat kamu, sedang orang-orang (yang fasik) yang menurut keinginan hawa nafsu (yang diharamkan oleh Allah itu) hendak mendorong kamu supaya kamu menyeleweng (dari kebenaran) dengan penyelewengan yang besar bahayanya بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ