أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 15 April 2011

Cara Hidup Islam Subur Umat Makmur

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالآخِرَةِ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِ فَيُقْتَلْ أَو يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Kini kita berada pada bulan Jamadil Awwal yang pernah menyaksikan bagaimana berlakunya peperangan Mu’tah, Jordan pada tahun ke 8 Hijrah disebabkan oleh pengkhianatan terhadap seorang utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra iaitu Harith bin Umair al-Azdi di mana beliau telah gugur syahid apabila direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas. Peperangan Mu’tah merupakan antara siri awal peperangan tentera Islam di luar semenanjung Tanah Arab menghadapi tentera bukan Arab. Sebagaimana maklum bahawa selepas pembukaan Kota Mekah pada bulan Ramadhan tahun yang sama maka tiada lagi berlaku peperangan besar dengan kafir Quraisy sebaliknya tumpuan dakwah Islam mula dikembangkan ke luar tanah arab melalui penghantaran utusan yang membawa surat daripada Rasulullah s.a.w yang biasanya turut ditulis beberapa ayat al-Quran kepada ketua qabilah, raja-raja dan pemimpin negara berhampiran. Jawapan yang diterima daripada pemimpin qabilah dan negara terhadap seruan dakwah melalui surat yang dihantar ini bermacam-macam di mana ada yang menerima Islam, tidak kurang yang menolak secara lembut dan ada juga yang menolak secara kasar termasuk dalam kes utusan kepada Raja Busra yang dibunuh secara kejam. Pada hari ini jarang berlaku pemimpin negara umat Islam yang menghantar surat dakwah kepada pemimpin bukan Islam sebaliknya ramai yang mengutus surat untuk terus taat setia kepada kuasa kuffar dan sistem ciptaan manusia. Apa yang lebih malang apabila pemimpin negara sanggup menggunakan khidmat nasihat syarikat APCO yang mempunyai kaitan dengan zionis yahudi pembunuh kejam dunia sehingga musuh dijadikan kawan manakala saudara seagama dijadikan sasaran serangan serta keadaan keselamatan negara terdedah kepada musuh Islam

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 29 surah al-Fathu:
مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّـهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya : Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.
Peperangan Mu’tah turut mengajar kita bagaimana ketegasan Rasulullah s.a.w terhadap musuh Islam di mana walau pun seorang utusan Islam yang dibunuh namun nyawanya mesti ditebus sehingga dihantar tentera ke Mu’tah dengan motif dakwah terlebih dahulu sebelum melakukan serangan jika musuh tidak mahu tunduk. Jika Rasulullah s.a.w dan banyak pemimpin Islam zaman silam sanggup menghantar tentera walau pun seorang umat Islam yang dibunuh atau dihina oleh musuh sebaliknya pada hari ini ramai pemimpin umat Islam sendiri sanggup bersekongkol dengan penjenayah dan pengganas dunia iaitu Amerika Syarikat dan zionis yahudi dalam menjajah dan membunuh umat Islam seperti di Palestin, Iraq dan terbaru di Libya. Kita lihat Libya bakal menjadi Iraq kedua di mana atas alasan mahu menggulingkan pemimpin berkuku besi maka musuh Islam melakukan serangan dan akhirnya ia dijajah dengan pemimpin boneka dijadikan sandaran. Inilah antara amaran nabi Muhammad s.a.w apabila sesebuah negara tidak melaksanakan sistem Islam dan memilih pemimpin yang jahat maka negara tersebut akan dijajah oleh penjajah yang jauh lebih jahat dan kejam.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 10 surah al-Buruj :
إِنَّ الَّذِينَ فَتَنُوا الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَتُوبُوا فَلَهُمْ عَذَابُ جَهَنَّمَ وَلَهُمْ عَذَابُ الْحَرِيقِ
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang mencetuskan bencana fitnah [untuk memesong dan memporak - perandakan] orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam (kerana perbuatan keji itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).
Peperangan Mu’tah juga menyaksikan bagaimana Rasulullah s.a.w telah melantik tiga panglima perang sekaligus iaitu Zaid bin Harithah di mana jika beliau gugur syahid maka tempatnya akan digantikan oleh sepupu nabi Jaafar bin Abi Tolib dan seterusnya jika beliau turut gugur syahid maka tempatnya akan diganti oleh Abdullah bin Rawahah. Ketiga-tiga panglima perang yang dilantik ini menerima tugas yang diberikan dengan penuh kerelaan di mana mereka yakin bahawa perkataan nabi adalah benar dan mereka tidak sekali-kali merasa takut walau pun dari segi arahan nabi tadi bermakna mereka bertiga akan gugur syahid dalam peperangan nanti. Pemilihan sebagai pemimpin mesti berlandaskan syarak bukannya hawa nafsu dan rasuah bagi memastikan keadilan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat antaranya ialah mesti sanggup berkorban bukan sahaja harta benda malah jiwa raga dalam mempertahan dan menjulang sistem Islam bukan memilih pemimpin yang hanya tahu mengumpul kekayaan dengan merompak hasil mahsul negara. Memilih pemimpin yang sanggup menjaga maruah dan nyawa rakyat jelata bukannya pemimpin yang membiarkan budaya fitnah dan pelanggaran maruah seperti isu liwat dan video seks yang meletakkan maruah umat Islam lebih murah daripada besi buruk tanpa ada usaha dalam menyekat perbuatan terkutuk ini demi mengejar dan menjaga harta dan takhta. Memilih pemimpin yang menjadikan Allah sebagai Penguasa yang paling berkuasa sehingga tunduk patuh terhadap segala sistemNya bukannya pemimpin yang hanya melaungkan hak asasi manusia sedangkan hak Allah dilanggar sesuka hati. Bijak memilih pemimpin bawa bahagia, salah memilih pemimpin bawa derita. Ia bukan perkara kecil tetapi bakal ditanya di akhirat kelak

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Kesungguhan dan kecekalan nabi Muhammad s.a.w dan pejuang Islam dalam menjaga dan mengembangkan dakwah Islam sehingga sanggup gugur syahid di medan perjuangan wajib diteruskan barulah kita dianugerahkan dengan kemuliaan di dunia dan akhirat. Tugas menyebarkan Islam bukan dijanjikan dengan kejayaan yang mudah sebaliknya menuntut kepada penat dan lelah, tidak dihamparkan dengan permaidani merah sebaliknya menuntut kepada tumpahnya darah merah ke tanah. Kita sepatutnya merasa malu dengan gerakan Kristian contohnya yang begitu bersungguh dalam menyebar luas ajaran mereka termasuk melalui tekanan politik yang membolehkan mereka mengedar Bible berbahasa Melayu. Bagaimana pula dengan usaha kita dalam mempertahankan aqidah umat Islam yang semakin luntur disamping dakwah kepada orang bukan Islam agar mereka sama-sama merasai nikmat iman dan Islam atau sekurang-kurangnya mereka tidak menentang sistem Islam. Ketika menyoroti sejarah bagaimana umat Islam di China yang mampu mempertahankan agama walau pun ratusan tahun berada di bawah cengkaman komunis antaranya dengan menjaga solat berjemaah sehingga ada masjid bilangan jemaah solat Jumaatnya menjangkau 30 ribu orang manakala hari raya 200 ribu orang. Kita di negara ini wajib merasa gerun dan bimbang sekiranya semakin ramai umat Islam sendiri semakin jahil dan menjauhi cara hidup Islam apatah lagi bilangan orang bukan Islam yang membenci Islam semakin bertambah. Sesungguhnya seseorang itu akan membenci dan memusuhi apa yang dia tidak ketahui. Oleh itu, marilah kita sama-sama mengorak langkah dengan serius dan bersungguh dalam menjadikan Islam sebagai cara hidup dalam setiap aspek kehidupan sehingga Islam dilihat sebagai satu-satunya cara dalam menangani pelbagai masalah masyarakat dan negara. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat.
Firman Allah dalam ayat 149 surah Ali Imran:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تُطِيعُوا الَّذِينَ كَفَرُوا يَرُدُّوكُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ فَتَنْقَلِبُوا خَاسِرِينَ
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu mengikuti orang-orang kafir nescaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang (kekufuran) lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ