أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Sabtu, 13 Februari 2010

93. MAULIDURRASUL PEMANGKIN KESATUAN UMMAH

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 65 surah al-Anfal:
يـــأيها النبي حرض المؤمنين على القتال إن يكن منكم عشرون صــبرون يغلبوا مائتين وإن يكن منكم مائة يغلبوا ألفا من الذين كفروا بأنهم قوم لايفقهون
Maksudnya : Wahai nabi! Semarakkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antara kamu maka mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir disebabkan orang-orang kafir itu merupakan kaum yang tidak mengerti
Kita kini sedang menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal yang telah mencatatkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah umat Islam terutama sekali saban tahun apabila tibanya bulan Rabiul Awwal maka seluruh umat Islam sedunia sama-sama mengingati tarikh kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w rasul bertuah, putera kepada Abdullah dan Siti Aminah pada Tahun Gajah di bumi Mekah sebagai perubah kepada dunia yang kelam dalam kegelapan jahiliah. Kelahiran dan kebangkitan nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi lagi rasul akhir zaman telah membawa sinar bahagia kepada umat yang selama ini ditindas dan bermusuhan antara satu sama lain di mana yang kuat memerintah yang tidak berdaya, yang kaya memeras yang miskin, yang gagah menindas yang lemah. Perundangan terletak pada pandangan nafsu bukannya wahyu sehingga dunia menjadi bercelaru kehilangan pedoman dan ketiadaan sistem yang mampu dijadikan tempat rujukan untuk berlindung. Kelahiran nabi Muhammad s.a.w sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam semakin terserlah dengan penghapusan kepada semangat kebangsaan sempit bersesuaian dengan pengutusan nabi Muhammad s.a.w itu sendiri sebagai rasul pembawa agama Islam untuk semua bangsa bukannya dikhususkan kepada sesuatu bangsa tertentu sahaja sebagaimana nabi-nabi sebelum ini. Kekuatan Islam dapat dilihat dengan jelas apabila umatnya bersatu dalam satu aqidah, mengadap ke arah satu Ka’abah, mengguna pakai seluruh sistem berdasarkan satu al-Quran kalimah Allah. Manakala kelemahan umat Islam dapat dilihat juga dengan jelas apabila aqidah umat Islam dipecahkan sehingga ramai yang mengambil ideologi ciptaan kuffar sebagai pedoman hidup serta ramai di kalangan umat Islam menyuburkan kembali semangat kebangsaan yang sempit yang menyebabkan jurang pemisah mula timbul kembali setelah dihapuskan oleh Rasulullah s.a.w. Disamping itu umat Islam hanya menggunakan al-Quran sebagai bahan bacaan dalam mengejar pahala semata-mata sedangkan segala system yang terkandung dalam al-Quran yang turut melibatkan masalah pemerintahan, perundangan, ekonomi, kemasyarakatan terus diabaikan dan ada juga menerima pakainya tetapi dalam bab yang berkenan di hati sahaja. Inilah antara penyakit yang merbahaya yang timbul dalam masyarakat Islam sehingga mereka dihinakan oleh Allah dengan pelbagai penyakit termasuk peperangan.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Apapila menyebut tentang tahun kelahiran Rasulullah s.a.w sebagai seorang rasul berjasa, pemimpin bijaksana, pendakwah setia, ketua keluarga mulia maka ia tidak dipisahkan daripada turut mengingati peristiwa bersejarah apabila Ka’abah Baitullah di Kota Mekah tempat tumpuan ummah dalam beribadat hampir diroboh oleh tentera bergajah pimpinan Abrahah akibat daripada perasaan hasad dengki yang menguasai diri. Seorang pemimpin angkuh merasakan kedudukannya masih belum sempurna di singgah sana kerajaan Yaman selagi ramai umat manusia terus tertumpu ke Kota Mekah menziarahi Ka’abah rumah Allah walau pun beliau telah membina dan mewujudkan banyak pembangunan di Yaman untuk menarik perhatian ramai. Oleh itu tindakan nekad diambil iaitu Ka’abah mesti diruntuhkan di mana suatu bala tentera yang besar dan kuat dikerahkan menuju ke Kota Mekah. Walau pun cuba dihalang tetapi keangkuhan dan kekuatan tentera bergajah pimpinan Abrahah terus mara. Umat manusia pada masa itu termasuk kaum quraisy pimpinan Abdul Muttalib datuk nabi hanya mampu melihat sambil berlindung disebalik bukit agar tidak menjadi mangsa amukan tentera penceroboh yang ganas. Dalam masa yang begitu cemas masih terdetik di hati Abdul Muttalib untuk pergi bersama di Ka’abah bagi memanjat doa meminta pertolongan daripada Allah Yang Maha Kuasa agar menyelamatkan Ka’abah. Keyakinan bahawa Ka’abah ada pemiliknya iaitu Allah dan kepercayaan yang tidak berbelah bahagi kepada adanya suatu kuasa yang lebih kuat dan hebat daripada tentera bergajah Abrahah iaitu kuasa Allah yang menyebabkan Allah menurunkan pertolongan dengan dihantarkan burung-burung kecil yang melontar batu beracun yang membawa kepada hancurnya kulit tentera Abrahah dan kemudiannya mereka mati dalam penuh kehinaan di dunia dan di akhirat nanti bakal menerima seksaan yang lebih dahsyat. Kekuatan Ka’abah sebagai punca kepada penyatuan ummah terus berlangsung sehingga hari qiamat. Sebab itulah dengan pelbagai kekurangan dan kelemahan umat Islam yang berpecah tetapi masih ada sinar harapan untuk kembali disatukan terutama setiap tahun ramai di kalangan umat Islam yang mewakili bangsa dan negara datang berkunjung Baitullah di Mekah dalam menunaikan ibadat fardhu haji yang sedikit sebanyak dapat meniupkan semula ruh persaudaraan berdasarkan aqidah yang satu. Maka tidak hairanlah adanya suara bacul daripada pengganas yahudi mencadangkan agar Ka’abah dibom bagi memastikan umat Islam terus berpecah tanpa ada di sana suatu titik untuk kembali bercantum.
Tindakan tentera Abrahah adalah sama dengan tindakan Amerika pada hari ini yang telah dihasut oleh yahudi dalam menentang umat Islam. Akibat bimbang umat Islam akan kembali kepada ajaran Islam yang menyeluruh yang boleh membawa kepada kurang bergantungnya umat Islam kepada system ciptaan kuffar terutama yahudi serta betapa tergugatnya kedudukan negara haram Israel jika umat Islam kembali bersatu atas dasar iman dan taqwa menentangnya maka suatu usaha yang rapi berbentuk serangan saraf dan fizikal telah dilancarkan secara besar-besaran agar negara umat Islam dapat dijajah kembali. Kuffar telah melihat hasil penjajahan sebelum ini telah berjaya memecah belahkan umat Islam serta menjauhkan mereka daripada ajaran Islam yang sebenar. Kuffar berjaya mengaut keuntungan hasil perpecahan umat Islam dengan mengaut hasil bumi yang ada serta hasil daripada penggunaan kepada system ciptaan mereka seperti kapitalis, sosialis dan komunis. Dendam dan dengki kuffar terutama yahudi terhadap Islam terus membara dan bila ia meletus maka ramailah rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman. Cuma kekuatan Amerika adakah terus dapat bertahan bagi meneruskan keganasan atau akan dihancurkan penuh kehinaan sebagaimana tentera bergajah Abrahah. Kita dapat lihat bahawa dunia sudah tidak dapat menerima keganasan Amerika yang tidak menghormati kawan dan lawan sehingga timbulnya pakatan baru terutama dari segi persenjataan antara Perancis, Jerman dan Russia dalam menangani masalah Amerika yang mahu ianya sahaja yang berkuasa di atas dunia pada hari ini. Keganasan tidak dapat dielakkan apabila ada kuasa besar yang tamak dan bongkak yang bertindak sesuka hati tanpa peraturan dan ia akan hancur lebih cepat sebagaimana hancurnya kuasa Rom dan Parsi sebelum ini akibat perkara yang sama.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Menyedari tentang bahaya dan ruginya perpecahan di kalangan umat Islam yang menyebabkan kita terus dijajah maka kita wajib kembali bersatu atas dasar Islam sebagaimana yang telah dilakukan dengan jayanya oleh Rasulullah s.a.w. Sempena menyambut ketibaan bulan Rabiul Awwal ini maka seluruh umat Islam bukan sahaja menyebut tentang kemuliaan dan kehebatan yang ada pada diri Rasulullah s.a.w tetapi mesti bertindak segera dalam mengikuti segala yang telah dilaksanakan oleh nabi kita dalam mengembalikan semula kegemilangan dan kemuliaan umat Islam. Biarlah perasaan gembira yang kita gambarkan dalam mengadakan sebarang majlis Maulidurrasul sama keadaannya antara perasaan pada zahir dan batin bukannya pada zahir kita begitu gembira menyambut hari kelahiran Rasulullah s.a.w sedangkan pada batinnnya umat Islam sedang menangis hiba akibat dijajah dan diperangi oleh musuh akibat kesilapan dan kesalahan mereka sendiri. Permintaan ulama’ agar amalan dasar kuku besi oleh pemimpin di negara umat Islam perlu dihentikan segera mestilah disahut dengan penuh ikhlas oleh semua pemimpin agar umat Islam dapat disatukan kembali atas dasar Islam. Tiada gunanya pemimpin bermati-matian memerangi pejuang Islam dalam negara atas alasan pengganas disamping berusaha menghapuskan pusat pengajian agama, membuang masalah jihad daripada mata pelajaran kerana ini semua akan merugikan umat Islam. Sedarlah bahawa umat Islam lebih mudah dijajah apabila tiada kefahaman yang mendalam terhadap agama Islam dan masalah jihad. Sebenarnya pengajian agama dan masalah jihad bukan penyebab kepada kemunduran, pengangguran dan juga keganasan tetapi agama dan jihad adalah perkara yang menggerunkan musuh Allah terutama Yahudi dan Kristian yang menyebabkan mereka menekan pemimpin negara umat Islam agar segera menghapuskannya. Musuh Allah tidak akan berhenti daripada menyerang umat Islam sekali pun pemimpin telah menghapuskan pengajian agama dan masalah jihad. Oleh itu kurangkan perpecahan antara umat Islam dan tumpukan perhatian untuk bersatu di bawah panji Islam dari semua segi. Jangan sama sekali tunduk kepada kehendak kuffar yang sememangnya sentiasa mencari jalan untuk melagakan umat Islam. Kenyataan seorang yahudi yang menyatakan bahawa hanya 2 agama sahaja yang akan ada di atas muka bumi iaitu yahudi dan Kristian kerana Islam akan dihancurkan lebih-lebih lagi umat Islam sudah lemah di mana dalam setiap peperangan terbaru maka Islam akan kalah. Kata-kata penghinaan ini mesti disahut oleh seluruh umat Islam dengan kembali bersatu atas dasar iman dan Islam serta berkorban dengan seluruh kemampuan yang ada dalam mempertahankan Islam. Islam tidak sama sekali hancur tetapi hanya pejuang Islam yang sentiasa bertukar silih berganti sehingga datangnya kemenangan daripada Allah. Ingatlah kita bahawa jika kita tidak mahu memperjuangkan Islam maka Allah mempunyai orang lain untuk memperjuangkannya dan umat Islam yang tidak mahu berjuang tadi akan dihancurkan oleh Allah dengan penuh kehinaan di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 39 surah at-Taubah :
إلا تنفروا يعذبكم عذابا أليما ويستبدل قوما غيركم ولاتضروه شيئا والله على كل شىء قدير
Maksudnya : Jika kamu tidak turut serta berangkat untuk berperang nescaya Allah akan menyiksa kamu dengan siksaan yang pedih dan digantikan kamu dengan suatu kaum yang lain dan kamu tidak dapat memberi kemudharatan kepadaNya sedikit pun. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Yakinlah kita bahawa dengan Islam sahaja maka kita mampu meraih kemuliaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jadikanlah diri kita sebagai pejuang agama Allah bukan penentang Islam. Ingatlah bahawa kita bukan orang pertama dan terakhir yang memperjuangkan Islam sebaliknya kita ialah rantaian kepada perjuangan umat terdahulu dan akan datang. Ingatlah juga bahawa kita bukan orang yang memulakan perjuangan Islam sebaliknya kita adalah penerus dan penyambung kepada tugas yang telah dilakukan oleh para nabi dan rasul serta pejuang Islam sebelum ini. Tiada erti letih dalam berjuang jika kita yakin bahawa perjuangan Islam adalah suci sebaliknya kuffar dan golongan munafik lebih letih menentang pejuang Islam kerana mereka berjuang untuk mendapat habuan dunia berupa takhta dan harta yang semuanya berbentuk sementara. Yakinlah kepada janji pertolongan dan kemenangan daripada Allah. Islam kan subur tatkala kuffar semakin hancur, Islam kan menang ketika kuffar mula keletihan, Islam kan berdiri gagah ketika kuffar semakin lemah, Islam kan kembali merajai dunia ketika kuffar jatuh penuh hina.
Ingatlah firman Allah ayat 14 surah as-Sof :
يــأيهاالذين ءامنوا كونوا أنصار الله كما قال عيسى ابن مريم للحواريـــن من أنصارى إلى الله قال الحواريون نحن أنصار الله فـئامنت طائفة من بني إسرائيل وكفرت طائفة فأيدنا الذين ءامنوا على عدوهم فأصبحوا ظــهرين
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika dia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka jadilah mereka orang-orang yang menang.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

26. ULAMA’ TERPIMPIN UMAT TERBIMBING

mالحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 144 surah ali Imran :
وما محمد إلا رسول قد خلت من قبله الرسل , أفإن مات أو قتل انقلبتم على أعقبكم , ومن ينقلب على عقبيه فلن يضر الله شيئا , وسيجزي الله الشكرين .
Maksudnya : Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul . Apakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling tadah (murtad)?. Sesiapa yang berpaling tadah maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada mereka yang bersyukur
Kita masih berada bulan Rabiul Awwal yang dijadikan bulan perayaan dalam memperingati Maulidurrasul s.a.w. Pujian ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w meniti di mulut-mulut umat Islam bagi menandakan betapa kasih dan sayangnya kita terhadap nabi yang banyak menabur jasa dalam menyampaikan risalah Islam dialam buana ini. Nabi Muhammad s.a.w mesti dijadikan contoh teladan yang paling mulia oleh seluruh umat manusia dalam semua perkara samada dari segi akhlaknya, pemerintahannya, kemasyarakatannya dan kehidupannya. Nabi Muhammad s.a.w telah meninggalkan segala kemewahan dunia kerana bimbang lebih ramai umatnya akan dikufurkan dan dihanyutkan oleh godaan dunia yang mempesona. Nabi Muhammad s.a.w yang merupakan ketua keluarga, pemimpin negara, nabi kepada seluruh umat manusia telah menunjukkan kepada kita semua melalui percakapan dan perbuatannya yang berdasarkan wahyu bukannya nafsu tentang bagaimanakah cara yang terbaik di dalam mengejar keredhaan Allah demi mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Kini lebih 1400 tahun nabi Muhammad s.a.w meninggalkan kita tetapi kerana keyakinan yang tinggi terhadap kebenaran dan kesucian Islam maka kita sebagai umat yang menyatakan bahawa kita lebih cintakan akhirat melebihi cinta kita terhadap dunia fana terus memperjuangkan pelaksanaan Islam dalam diri dan alam nyata dalam seluruh aspek kehidupan. Ini bagi membuktikan bahawa kita mahu menjadi golongan yang dikasihi dan dicintai oleh nabi iaitu golongan yang mencintai dan mengasihi nabi walau pun tidak pernah bertemu dengan baginda semasa hayatnya dan juga terus mengikut ajaran nabi dan memperjuangkan Islam.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Perjuangan dalam meneruskan dakwah Islam dan pelaksanaan seluruh sistem Islam yang melibatkan ibadat, kemasyarakatan, pemerintahan telah diwariskan kepada para ulama’ akhirat yang soleh dan bertaqwa. Hadis nabi yang menyatakan " العلماء ورثة الأنبياء "iaitu para ulama’ itu merupakan pewaris para nabi dalam mengembangkan usaha dakwah dan melaksanakan seluruh amanah Allah dalam mentadbir dunia dengan hukuman Allah dan menjaga kesucian Islam daripada dicemari oleh tangan-tangan kotor yang berusaha menjauhkan umat manusia daripada ajaran Islam yang menyeluruh. Nabi Muhammad s.a.w turut menyatakan bahawa umat manusia tidak akan sesat selama-lamanya jika terus menjadikan al-Quran dan as-Sunnah sebagai pedoman dalam setiap tindakan mereka. Inilah betapa hebat dan terjaganya Islam di mana Allah telah menyatakan bahawa al-Quran terus terjaga daripada sebarang pengurangan atau penambahan oleh mana-mana pihak sehingga ia menjadi sumber tertinggi kepada seluruh umat manusia. Al-Quran tidak akan terjadi sebagaimana kitab Taurat dan Injil yang telah diselewengkan sesuka hati oleh paderi dan pendita yahudi dan Kristian. Hadis nabi turut dijaga oleh ulama’ dari segi kesohihannya sebelum dijadikan hujah di mana para ulama’ hadis sentiasa berusaha dalam menolak hadis-hadis palsu agar kesucian hadis nabi terus terjaga.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Pemilihan ulama’ sebagai pewaris kepada perjuangan nabi turut meletakkan Islam sebagai agama yang berasaskan ilmu bukannya terdiri di atas kejahilan dan paksaan. Ulama’ akhirat terpaksa memikul amanah yang berat ini dengan penuh rasa tanggungjawab dan tidak boleh dilaksanakan secara sambil lewa. Memandangkan betapa besarnya peranan ulama’ dalam mengembalikan semula keagungan Islam sebagai agama yang memerintah dunia bukannya agama yang diperintah oleh manusia berdasakan akal yang lemah bersesuaian dengan peranan ulama’ sebagai pewaris kepada perjuangan nabi maka musuh-musuh Islam terus memainkan peranan penting dalam memburuk-burukkan para ulama’ yang ikhlas berjuang untuk Islam bukannya untuk wang. Yahudi dan Kristian terutamanya tidak senang duduk apabila melihat ulama’ menjadi ketua kepada umat Islam dalam memperjuangkan Islam. Kristian tidak dapat menafikan kepentingan paderi dan cerdik pandai mereka sebelum ini dalam menyebarkan Kristian dan pembangkit semangat juang dalam menghancurkan Islam terutama semasa penjajahan tetapi setelah amalan sekularisme diamalkan akibat cengkaman paderi yang begitu kuat ke atas rakyat maka pengikut Kristian sendiri memisahkan di antara peranan paderi dan pemerintah. Kita juga dapat melihat peranan paderi dan ilmuan yahudi di dalam kerajaan Israel hari ini di mana paderi inilah yang memainkan peranan besar dalam menghasut umat yahudi terutama melalui kitab Talmud yang merupakan kitab yang paling keras menentang Islam dan bangsa selain daripada yahudi di mana paderi yahudi ini merupakan penyokong kuat terhadap kebiadapan dan penindasan ke atas umat Islam di Palestin. Tidak ketinggalan peranan sami hindu yang melampau dalam membangkitkan rasa permusuhan terhadap umat Islam di India sehingga pelampau Hindu sanggup membakar dan membunuh umat Islam sesuka hati. Tanpa peranan dan semangat yang ditanamkan oleh golongan ulama’, paderi, sami atau ilmuan dalam agama maka perjuangan seluruh agama tidak begitu kuat. Oleh itu kita sebagai umat Islam yang cintakan Allah dan rasulNya maka semestinya terus berada dibelakang para ulama’ yang ikhlas berjuang untuk sama-sama meninggikan kalimah Allah yang tinggi. Biar dikeji, dicaci, dimaki dan dilontar dengan pelbagai tohmahan namun perjuangan Islam mesti terus diteruskan sehingga hari qiamat. Kita begitu yakin dengan janji kemenangan oleh Allah kepada Islam yang sempurna ini. Waktu dan ketika untuk datangnya pertolongan dan kemenangan daripada Allah itu sudah begitu hampir. Cuma persediaan kita dalam melahirkan diri sebagai umat yang bakal duianugerahkan dengan kemenangan yang dijanjikan ini sahaja yang mesti disiapkan segera..Tiada lagi masa untuk kita berehat dan bergurau senda untuk mencapai perkara ini

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Kekuatan Islam juga tidak berdiri di atas kekuatan perseorangan tetapi ia tertegak di atas kekuatan jemaaah. Perjuangan Islam mesti dilakukan ikhlas kerana Allah bukannya disebabkan seseorang pemimpin. Oleh itu Allah sendiri mengingatkan umat Islam agar tidak kembali murtad disebabkan kewafatan nabi kerana nabi merupakan pemimpin yang juga akan mati setelah selesainya tugas yang dijalankan. Tugas dan peranan nabi selepas itu mesti diteruskan oleh para ulama’ bukannya terhenti dengan kewafatan nabi s.a.w. Kita ingat bagaimana adanya umat Islam yang kembali murtad dan ramai yang lemah semangat serta tidak kurang yang tidak dapat menerima hakikat bahawa nabi telah wafat termasuk Sayyidina Umar al-Khottab sendiri sehingga dalam keadaan yang tidak terkawal ini lalu Sayyidina Abu Bakar berdiri gagah dihadapan para muslimin dan mengeluarkan kata-katanya yang tegas :
أيها الناس ! من كان يعبد محمدا فإن محمدا قد مات , ومن كان يعبد الله فإن الله حي لا يموت
Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Sesiapa dikalangan kamu yang menyembah Sayyidina Muhammad s.a.w maka sesungguhnya nabi Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah terus hidup dan tidak sekali-kali akan mati
Oleh itu kita jangan letakkan perjuangan disebabkan seseorang tetapi ia mesti dilakukan secara jemaah agar kekuatan dan perjuangan Islam terus kuat dan utuh.
Firman Allah dalam ayat 128 dan 129 surah at-Taubah
لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف رحيم . فإن تولوا فقل حسبي الله لاإله إلا هو عليه توكلت وهو رب العرش العظيم .
Maksudnya : Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah : “Cukuplah Allah bagiku, tiada tuhan selain Dia, hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung”.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْن

46. TARBIAH PEMANGKIN KEJAYAAN DAKWAH

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 128 dan 129 surah at-Taubah
لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف رحيم . فإن تولوا فقل حسبي الله لاإله إلا هو عليه توكلت وهو رب العرش العظيم .
Maksudnya : Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul daripada kalangan kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah : “Cukuplah Allah bagiku, tiada tuhan selain Dia, hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung”.
12 Rabiul Awwal mencatat sejarah gemilang dengan kelahiran seorang bayi yang akhirnya dilantik menjadi nabi lagi rasul bagi mengubah dunia daripada kelam kufur kepada terangnya iman, daripada kezaliman hukum berdasarkan nafsu kepada keadilan system berasaskan wahyu, daripada penindasan jahiliah kepada keluasan Islam. Pengutusan nabi Muhammad s.a.w bersama kitab al-Quran merupakan suatu rahmat bagi sekalian alam di mana dunia yang telah lama gersang daripada turunnya wahyu mula subur kembali, umat manusia yang bergerak tanpa pedoman mula menemui semula sinar kebenaran. Sempena kedatangan bulan Rabiul Awwal buat sekian kalinya mestilah digunakan dengan sebaik mungkin bukan sahaja dalam menyebut keindahan akhlak dan perjuangan Rasulullah s.a.w tetapi apa yang lebih penting ialah kita mesti mengikut segala jejak langkah dan ajaran yang ditinggalkan oleh baginda. Kita wajib menyanjung Rasulullah s.a.w dan dalam masa yang sama kita mestilah menjunjung segala perintah Allah S.W.T dan rasulNya. Pastikan perasaan kasih dan sayang kita kepada diri Rasulullah s.a.w benar-benar ikhlas dengan memastikan setiap tindakan dan kelakuan kita selari dengan apa yang diajar dan disuruh oleh Rasulullah s.a.w. Kita tidak mahu menjadi umat yang hanya gembira menyebut akhlak dan jasa nabi tetapi mereka sendiri tidak mahu mengikut jejak langkah dan ajaran nabi. Buktikanlah rasa syukur kita di atas kurniaan Allah S.W.T yang begitu besar iaitu pengutusan nabi Muhammad s.a.w dengan kita sentiasa berselawat ke atas baginda dan bersungguh-sungguh dalam mempertahankan kemulian nabi serta menjulang kembali seluruh system Islam yang telah dibawa oleh nabi biar apa pun yang berlaku. Ingatlah kita kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim yang bermaksud : Tidaklah beriman seseorang itu sehinggalah aku lebih dikasihinya daripada dirinya sendiri, anak, ayah dan manusia seluruhnya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 6-11 surah ad-Duha:
ألم يجدك يتيما فئاوى ووجدك ضالا فهدى ووجدك عائلا فأغنى فأما اليتيم فلاتقهر وأما السائل فلا تنهر وأما بنعمة ربك فحدث
Maksudnya : Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau kebingungan mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayat petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya. Adapun orang yang peminta bantuan maka janganlah engkau tengking herdik. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.
Melalui berapa ayat daripada surah ad-Dhuha, kita dapati bagaimana kehidupan Rasulullah s.a.w telah dikawal oleh Allah semenjak masih kecil lagi bagi menjamin dakwahnya apabila dilantik menjadi nabi lagi rasul mudah diterima oleh masyarakat. Rasulullah s.a.w diuji dengan kematian beberapa orang kesayangan bermula dengan ayahnya Abdullah diikuti pula dengan bondanya Aminah dan datuknya Abdul Muttalib ketika baginda masih memerlukan perhatian dan kasih sayang. Ujian kepada kewafatan ahli keluarga tercinta ini telah banyak melahirkan nabi sebagai seorang yang cepat matang dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Melalui ujian ini juga mampu mendidik jiwa nabi agar mengasihani terhadap anak yatim kerana baginda sendiri pernah merasai keperitan hidup sebagai anak yatim piatu. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul
Rasulullah s.a.w turut diuji dengan kemiskinan dan kesusahan di mana ibundanya Siti Aminah setelah kewafatan ayahanda tercinta Abdullah maka kehidupannya agak susah. Kemiskinan dan kesusahan yang dihadapi telah mengajar erti kesabaran dan kasih sayang kepada orang lain. Rasulullah s.a.w yang terkenal dengan gelaran al-Amin iaitu seorang yang amanah kerana benar percakapannya, mulia akhlaknya dan menjadi kepercayaan ramai telah berusaha menyara hidup dengan melakukan pelbagai pekerjaan yang halal. Akhirnya Allah S.W.T menjadikan nabi sebagai peniaga yang berjaya ditambah lagi melalui perkahwinan baginda dengan wanita hartawan iaitu Siti Khadijah. Kesenangan yang dicapai tidak melupakan nabi kepada manusia yang susah kerana baginda sendiri telah merasai kesusahan hidup. Ini semua melahirkan sifat kasih dalam diri nabi kepada orang susah walau pun telah menjadi pemimpin yang agong. Malah kejayaan besar yang dicapai oleh nabi Muhammad s.a.w adalah hasil daripada sifat baginda yang sanggup mengharungi kesusahan bersama dengan umatnya sehingga baginda lebih suka memilih jalan susah daripada mewah. Ia berbeza dengan sikap sesetengah pemimpin pada hari ini yang menyuruh rakyat hidup papa sedangkan dia sendiri hidup kaya raya, sanggup melihat rakyat hidup menderita akibat rumah diroboh sedangkan dia membina mahligai yang menelan belanja berjuta-juta, menyuruh rakyat berjimat-cermat sedangkan banyak wang negara dibazirkan pada perkara yang tidak berfaedah untuk rakyat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Sabda Rasulullah s.a.w :
مَثَلُ المُؤْمِنِيْنَ فِى تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ الجَسَدِ الوَاحِدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الجَسَدِ بِالسَّهْرِ وَالحُمَّى
Maksudnya : Perumpamaan orang-orang beriman dalam erti kasih sayang, belas kasihan dan bertimbang rasa sesama mereka seperti tubuh yang satu iaitu apabila mana-mana anggota badan berasa sakit maka seluruh tubuh yang lain turut berjaga malam dan menanggung kesakitan
Sifat kasih sayang yang ditunjukkan oleh nabi Muhammad s.a.w mestilah dicontohi dan diteladani oleh kita semua dalam mengembalikan kemenangan dan kemuliaan umat Islam. Umat Islam yang masih terasa bagaimana kebiadapan musuh Islam yang bertindak menghina nabi Muhammad s.a.w melalui lukisan karikatur mestilah bangkit dalam mempertahankan kemuliaan nabi disamping bersungguh-sungguh mengembalikan semangat bantu-membantu terhadap saudara seagama yang sedang ditindas dan dijajah oleh musuh Islam. Kita wajib berusaha dalam menghentikan kezaliman musuh Islam terutama terhadap saudara kita di Iraq yang saban hari dibunuh dengan kejam. Umat Islam juga wajib membantu saudara kita di Palestin yang sedang ditekan oleh Amerika dan sekutu kuffarnya kerana menjaga kepentingan yahudi Israel. Musuh Islam sepatutnya menghormati kemenangan gerakan Islam HAMAS yang baru membentuk kerajaan di Palestin sesuai dengan dakwaan mereka yang mendokong sistem demokrasi. Tindakan kejam menarik segala bantuan serta meminta agar bank-bank dunia tidak memberi ruang kepada sebarang bantuan untuk disalurkan kepada kerajaan Palestin adalah suatu yang bacul dan tidak bertamadun. Oleh itu menjadi kewajipan kita bersama untuk menghulurkan bantuan kepada saudara seagama di Palestin melalui cara yang termampu. Kita turut mendesak agar pemimpin-pemimpin negara umat Islam supaya berani menyalurkan bantuan kepada Palestin. Jangan tunduk kepada tekanan musuh Islam sehingga saudara kita terus menderita. Tiada untungnya tunduk kepada musuh yang tidak pernah belas kasihan kepada umat Islam. Jangan serahkan batang tengkuk kita untuk disembelih oleh kuffar sebaliknya tunjukkanlah keberanian kita berasaskan Islam agar musuh tidak lagi berani menghina dan menindas umat Islam sesuka hati
Firman Allah dalam ayat 15 surah al-Hujurat :
إنما المؤمنون الذين ءامنوا بالله ورسوله ثم لم يرتابوا وجــهدوا بأمولهم وأنفسهم فى سبيل الله أولئك هم الصــدقون
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah mereka yang beriman kepada Allah S.W.T dan rasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah S.W.T. Mereka itulah orang-orang yang benar
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

136. PERLANTIKAN SAYYIDINA ABU BAKAR

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali Imran :
وكأين من نبي قـتل معه ربيون كثير فما وهنوا لما أصابهم فى سبيل الله وما ضعفوا وما استكانوا والله يحب الصـبرين
Maksudnya : Dan berapa ramaikah para nabi yang berperang sedangkan bersama mereka sejumlah besar daripada pengikut yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu dan tidak pula menyerah kepada musuh. Allah menyukai mereka yang sabar.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Khalifah atau pemimpin merupakan suatu jawatan yang penting dalam menjaga amanah dalam menguruskan urusan dunia dan menjaga kesucian agama. Oleh itu sejarah Islam pernah menyaksikan bagaimana pada hari kewafatan Rasulullah s.a.w iaitu pada hari Isnin 12 Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah maka pada hari tersebut jugalah umat Islam begitu sibuk dalam menyelesaikan masalah perlantikan khalifah. Kewafatan nabi disebabkan sakit tenat kesan daripada memakan kambing yang dibubuh racun oleh seorang perempuan yahudi di Khaibar di mana disebabkan masalah perlantikan khalifah menyebabkan jenazah nabi yang mulia terpaksa dikebumikan pada keesokan harinya iaitu Selasa malam Rabu di bilik Siti Aisyah bertepatan dengan sabda nabi yang menyuruh agar disemadikan jasadnya di tempat baginda wafat disamping mimpi Siti Aisyah di mana dia melihat 3 biji bulan jatuh ke biliknya dan Sayyidina Abu Bakar menyatakan bahawa mimpi itu menunjukkan bagaimana tiga orang manusia yang mulia akan dikebumikan di bilik Siti Aisyah antaranya yang paling mulia ialah Rasulullah s.a.w diikuti Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar.

Sidang Jumaat yang dihormati,
Pertemuan dalam melantik khalifah selepas kewafatan nabi telah diadakan di Saqifah Bani Saadah iaitu dewan mesyuarat yang terletak berhampiran dengan Masjid Nabawi. Pada mulanya perhimpunan ini tidak diketahui oleh kaum keluarga nabi dan tokoh Quraisy sehinggalah ada 2 orang sahabat datang memberitahu bahawa adanya suatu perhimpunan penting di situ. Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar bergegas ke sana dan mendapati keputusan perlantikan belum dibuat disebabkan timbulnya pertikaian di kalangan kaum Aus seramai 70 orang yang tidak bersetuju dengan perlantikan Saad bin Ubadah daripada kaum Khazraj sebagai khalifah. Mereka mengakui bahawa Saad bin Ubadah merupakan seorang yang layak bagi memikul amanah yang berat ini memandangkan beliau merupakan seorang yang banyak berbakti kepada Rasulullah s.a.w, bijak dalam pengurusan, seorang yang terkenal serta pernah ditugaskan menjaga kota Madinah sewaktu rombongan ke Abwa'. Malah beliau diriwayatkan orang yang layak dan terpilih dalam memimpin Madinah jika Rasulullah s.a.w tidak berhijrah ke Madinah sebelum ini.
Pelbagai pandangan dilontarkan bersama dengan hujah masing-masing di mana antara cadangan ialah agar perlantikan khalifah di pilih daripada kalangan Ansar memandangkan merekalah anak tempatan yang memberi perlindungan dan bantuan kepada Rasulullah s.a.w dan para muhajirin yang datang dari Mekah. Manakala Sayyidina Abu Bakar pula mencadangkan agar jawatan khalifah ini diberikan kepada orang Quraisy berdasarkan kepada sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Khalifah hendaklah dipilih daripada kaum Quraisy yakni muhajirin. Di samping itu alasan Sayyidina Abu Bakar lagi bahawa kaum Muhajirin merupakan golongan pertama memeluk Islam tanpa menafikan bakti dan segala jasa yang telah dihulurkan oleh golongan Ansar dari kaum Aus dan Khazraj. Beliau menambah lagi bahawa jika jawatan itu diserahkan kepada golongan Ansar maka ia akan memberi kesan yang negatif kepada masyarakat Islam kerana golongan Ansar terdiri daripada dua suku kaum yang terbesar dan terpengaruh di mana sudah pastinya akan timbul peristiwa perpecahan antara keduanya sebagaimana sebelum kedatangan Islam disebabkan tidak puas hati dengan perlantikan salah satu daripada kedua kaum tersebut sebagai khalifah.Mendengar penjelasan Sayyidina Abu Bakar lalu Hubab bin al-Munzir dari kaum Khazraj bangun mencadangkan agar dua orang khalifah dilantik iaitu seorang daripada golongan Muhajirin dan seorang lagi daripada golongan Ansar. Sayyidina Umar menolak cadangan ini kerana dua orang ketua tidak boleh memimpin dan mentadbir sebuah negara di mana perselisihan faham antara keduanya sering berlaku yang membawa kepada keruntuhan negara.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Pertikaian menjadi bertambah hangat sehinggalah Sayyidina Abu Bakar tampil menenangkan suasana dan menyejukkan perasaan golongan Ansar dengan kata-katanya : Kami adalah Umara' (ketua) dan kalian adalah Wuzara'(menteri pembantu). Kata-katanya ini disokong oleh Saad bin Ubadah dan kemudiannya Sayyidina Abu Bakar memberikan nama cadangannya iaitu Sayyidina Umar dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah sebagai calon untuk dilantik sebagai khalifah. Walau bagaimanapun Sayyidina Umar dengan pantas mengangkat tangan Sayyidina Abu Bakar dan membaiahnya atau janji setia terhadap perlantikan Sayyidina Abu Bakar sebagai khalifah. Beliau telah berkata : " Demi Allah! aku lebih suka dibawa ke hadapan lalu ditebas leherku tanpa dosa daripada diangkat sebagai pemimpin suatu kaum di mana terdapat Abu Bakar". Setelah mendengar kata-kata Sayyidina Umar lalu semua yang hadir terus membaiah Sayyidina Abu Bakar sebagai khalifah tanpa pertikaian lagi termasuk Saad bin Ubadah. Sayyidina Ali sendiri telah memberi baiah untuk kali pertama kepada perlantikan Sayyidina Abu Bakar pada hari Selesa keesokannya sebelum memberi bai’ah untuk kali kedua 6 bulan selepas itu iaitu selepas kewafatan isterinya Siti Fatimah yang juga merupakan salah seorang puteri nabi. Di sini kita dapat lihat bagaimana cermat dan berhati-hatinya umat Islam dalam memilih khalifah kerana ia bersangkutan dengan akhirat bukan sebagaimana dakwaan golongan sekulerisme yang memisahkan antara pemerintahan dan agama. Pemisahan antara urusan dunia dengan akhirat menyebabkan dunia huru-hara dan kezaliman bermaharajalela.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Sayyidina Abu Bakar memiliki kelayakan untuk menjadi khalifah. Rasulullah s.a.w sendiri sering memberikan kepercayaan kepada beliau antaranya tentang persetujuan baginda terhadap pandangan beliau sewaktu menyelesaikan kes tawanan perang Badar, keduanya Sayyidina Abu Bakar telah diberikan kepercayaan dalam mengendalikan urusan haji ke Mekah pada tahun 10 Hijrah dan beliau juga berperanan sebagai imam solat menggantikan baginda pada 11 Hijrah sewaktu baginda uzur. Pernah suatu hari Sayyidina Umar menjadi imam apabila diminta kerana Sayyidina Abu Bakar tidak kelihatan yang menyebabkan Rasulullah s.a.w yang sedang sakit apabila terdengar bukan suara Sayyidina Abu Bakar menjadi imam lalu baginda menyatakan rasa tidak puas hati. Malah nabi juga ada menyebut tentang kelebihan Sayyidina Abu Bakar termasuk dalam khutbahnya yang terakhir.
Sayyidina Abu Bakar ketika mula-mula dilantik menjadi khalifah lalu beliau menyampaikan ucapan antaranya : Wahai umat manusia! Sesungguhnya aku telah dilantik dikalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik. Maka jika aku melakukan kebaikan maka bantulah aku tetapi sekiranya aku terpesong maka betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah dan dusta itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu merupakan orang yang kuat disisiku sehingga aku akan menunaikan kemahuannya serta memberikan haknya semula. Manakala orang yang kuat di kalangan kamu merupakan orang lemah disisiku sehingga aku akan mengambil kembali hak yang telah dirampas. Oleh itu taatilah aku selagimana aku mentaati Allah dan rasulNya dan jika aku mengengkari Allah dan rasulNya maka janganlah kamu mentaatiku.
Ucapan ini menyatakan kepada kita bagaimana pimpinan mestilah telus dan terikat dengan perundangan sebagaimana yang dikenakan terhadap rakyat jelata bukannya pemimpin kebal daripada sebarang perundangan yang menyebabkan kezaliman berleluasa.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Sayyyidina Abu Bakar turut menyatakan bahawa penerimaan terhadap jawatan khalifah itu adalah kerana umat Islam bersepakat membai’ahnya dan kebimbangannya jika berlakunya fitnah dan murtad jika beliau menolak bai’ah tersebut. Perkara ini menunjukkan bagaimana pentingnya khalifah untuk mengurus urusan dunia dan menjaga amanah agama bukannya pimpinan itu untuk mencari kekayaan dunia sehingga timbulnya politik wang, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Sebab itulah ulama’ hari ini mula menerima kembali jawatan sebagai pimpinan apabila golongan pemerintah sebelum ini ramai yang mengkhianati amanah dan memerangi agama walau pun beragama Islam sehingga ramai ulama’ yang dibunuh. Penerimaan jawatan ini bukan kerana mahu kemewahan tetapi bagi memastikan amanah agama ditunaikan dengan sebaiknya menurut kehendak Allah dan rasulNya.
Firman Allah dalam ayat 149 surah Ali Imran:
ياأيها الذين ءامنوا إن تطيعوا الذين كفروا يردوكم على أعقــبكم فتنقلبوا خــسرين
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu mengikuti orang-orang kafir nescaya mereka akan mengembalikan kamu ke belakang (kekufuran) lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

95. SANJUNGI RASULULLAH & JUNJUNGI AGAMA ALLAH

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 6-11 surah ad-Duha:
ألم يجدك يتيما فئاوى ووجدك ضالا فهدى ووجدك عائلا فأغنى فأما اليتيم فلاتقهر وأما السائل فلا تنهر وأما بنعمة ربك فحدث
Maksudnya : Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayat petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya. Adapun orang yang peminta bantuan maka janganlah engkau tengking herdik. Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.
Rabiul Awwal hampir tiba ke penghujungnya di mana tidak lama lagi ia bakal meninggalkan kita buat sekian kalinya namun suara meriah dalam memuji kehebatan dan kemuliaan nabi Muhammad s.a.w terus berkumandang. Umat Islam terus melahirkan rasa syukur di atas pengutusan nabi Muhammad s.a.w sebagai rasul akhir zaman yang berjaya memecah benteng assobiyyah berdasarkan bangsa, budaya, bahasa dan negara. Nama nabi Muhammad s.a.w terus disebut dan ajarannya terus diikut oleh umat Islam tidak kira di mana mereka berada walau pun baginda telah lama meninggalkan kita. Nama nabi Muhammad s.a.w terus disanjung dan perjuangan Islam terus dijunjung walau pun adanya tangan-tangan jahat musuh Islam yang cuba bersunguh-sungguh untuk memadamkannya. Al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar dan kekal terus dijaga oleh Allah daripada diselewengkan, hadis nabi turut dikawal daripada direka dan sirah perjalanan hidup nabi turut dijauhi daripada anasir penipuan. Pengutusan nabi daripada kalangan manusia bersesuaian dengan tugas manusia itu sendiri sebagai khalifah di atas muka bumi ini. Allah tidak melantik malaikat yang hanya dianugerahkan akal sebagai nabi kerana payah untuk diikuti oleh manusia yang mempunyai akal dan nafsu. Oleh itu umat manusia tidak mempunyai sebarang alasan untuk menolak ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w kerana setiap perbuatan nabi merupakan contoh dan ikutan terbaik dalam mencari keredhaan Allah di dunia dan akhirat.
Kejayaan Rasulullah s.a.w yang menghilangkan kekufuran umat manusia dengan iman yang kukuh telah dinodai oleh umat Islam hari ini yang meninggalkan perundangan Islam yang menyebabkan umat manusia kembali kufur setelah beriman ditambah pula dengan adanya usaha dalam mewujudkan suatu pertubuhan dalam menyamakan kedudukan semua agama dan membenarkan kebebasan untuk murtad di negara ini. Kejayaan Rasulullah s.a.w dalam menghilangkan amalan jahiliah seperti menanam anak perempuan hidup-hidup dengan ajaran Islam turut dinodai oleh umat Islam yang memilih perundangan ciptaan manusia yang sesat menyebabkan amalan yang lebih buruk iaitu membuang dan membunuh anak lelaki dan perempuan terus meluas. Selagi umat Islam lebih memilih kekufuran daripada iman serta memilih cara hidup jahiliah daripada Islam maka selama itulah kita akan dihinakan oleh Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Melalui catatan sejarah maka kita dapati bagaimana kehidupan Rasulullah s.a.w telah dikawal oleh Allah semenjak masih kecil lagi bagi menjamin dakwahnya apabila dilantik menjadi nabi lagi rasul mudah diterima oleh masyarakat manusia. Walau pun hidup dalam suasana masyarakat jahiliah yang sesat bertuhankan nafsu namun diri Rasulullah s.a.w terus dijaga oleh Allah. Rasulullah s.a.w tidak pernah terlibat dalam penyembahan berhala, minum arak, berjudi malah tidak pernah berhibur dengan hiburan yang melalaikan walau pun pernah nabi semasa remajanya cuba menghadiri suatu majlis perkahwinan yang diadakan acara hiburan namun nabi tertidur sehingga tamat majlis. Rasulullah s.a.w turut bersifat amanah sehingga di gelar “ al-Amin” serta sentiasa menjaga pergaulan dan percakapan seharian. Didikan dan tarbiah daripada Allah ini akan menjadi dalil dan hujah yang kuat dalam melaksanakan tugas sebagai nabi lagi rasul nanti.
Rasulullah s.a.w turut dididik dengan ujian bagi mematangkan pemikiran dan tindakannya di mana sejak kecil lagi nabi telah kehilangan ayahandanya Abdullah yang wafat di Madinah semasa bondanya Siti Aminah baru mengandung nabi dua bulan. Ketika nabi masih memerlukan belaian kasih sayang seorang ibu maka sekali lagi nabi diuji dengan kawafatan ibundanya Siti Aminah dalam perjalanan pulang dari melawat makam ayahandanya Abdullah iaitu di Abwa’. Penjagaan nabi yang kini yatim piatu diambil alih oleh datuk kesayangan Abdul Muttalib. Allah menguji lagi nabi dengan kematian datuknya itu ketika baru berusia lapan tahun di mana pemeliharaan baginda berpindah kepada bapa saudaranya Abu Tolib. Cubalah kita bayangkan bagaimana nabi yang bakal melaksanakan tugas Islam yang begitu besar dan berat telah diuji dengan kehilangan ahli keluarga yang begitu penting dalam mengasuhnya ketika usianya begitu kecil. Allah Maha Penentu segala-galanya di mana setiap sesuatu yang dibuat ada di sana hikmatnya yang tersendiri. Ujian kepada kewafatan ahli keluarga tercinta telah banyak melahirkan nabi sebagai seorang yang cepat matang dan tidak terlalu bergantung kepada orang lain. Melalui ujian ini juga mampu mendidik jiwa nabi agar mengasihani terhadap anak yatim apatah lagi ketika menjadi pemimpin maka ramai di kalangan rakyatnya terdiri daripada anak yatim terutama mereka yang kehilangan ayah yang gugur semasa mempertahankan Islam. Jika Rasulullah s.a.w memberi layanan yang baik kepada anak yatim maka kita pada hari ini mestilah melakukan perkara yang sama kepada anak yatim sekitar kita atau pun menghulurkan bantuan kepada mangsa perang yang kehilangan tempat bergantung terutama di Palestin, Iraq dan terbaru di Aceh, Indonesia.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Rasulullah s.a.w turut diuji dengan kemiskinan di mana ibundanya Siti Aminah setelah kewafatan ayahanda tercinta Abdullah maka kehidupannya agak susah sehingga pada mulanya tiada perempuan yang mahu menyusukan nabi setelah menyedari keluarga baginda miskin. Namun akhirnya Halimah Sa’adiah yang tidak mendapati kanak-kanak lain lagi untuk disusui telah bersetuju untuk mengambil nabi. Tanda kenabian nabi Muhammad s.a.w telah terserlah apabila pelbagai peristiwa pelik berlaku kepada keluarga Halimah Sa’adiah antaranya binatang peliharaannya yang selama ini kurus menjadi gemuk dan mengeluarkan susu yang banyak. Ketika berada dalam asuhan Halimah lah maka dada Rasulullah s.a.w telah dibelah oleh dua malaikat bagi membersihkan hatinya daripada penyakit dunia dan syaitan bagi persediaan awal kepada kenabian. Hati merupakan raja segala anggota di mana jika hati baik maka manusia akan baik tetapi jika hati jahat maka manusia turut bersikap jahat. Dalam menjaga hati maka umat Islam mestilah sentiasa mengingati Allah sepanjang masa. Umat Islam yang mempunyai hati yang sentiasa ingat dan dekat kepada Allah sahaja lah yang akan diberikan pertolongan dan kemenangan oleh Allah di dunia dan akhirat manakala umat Islam yang hatinya sentiasa lalai daripada mengingati Allah maka ia mudah dikalahkan oleh musuh terutama syaitan.
عن ابن عباس رضى الله عنهما قال : قال الرسول  : الشَيْطَانُ جَاثِمٌ عَلَى قَلْبِ ابْنِ آدَمَ فَإِذَا ذَكَرَ الله َتَعَالَى خَنَسَ وَإِذَا غَفَلَ وَسْوَسَ ( أخرجه البخاري مُعَلَّقًا )
Daripada Ibnu ‘Abbas katanya : Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Syaitan itu duduk mencangkung di atas hati manusia. Apabila manusia menyebut nama Allah maka ia akan mengundur diri dan apabila manusia lalai maka ia akan membisikkan kejahatan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Lahirnya nabi Muhammad s.a.w sebagai seorang buta huruf yang tidak tahu membaca dan menulis bukanlah melemah dan mencacatkan keadaan baginda yang bakal menjadi nabi lagi rasul sebaliknya ianya membenarkan lagi kenabiannya. Antara sebab kepada buta hurufnya nabi ialah bagi membuktikan lagi kenabiannya dan mukjizat kehebatannya di mana walau pun tidak tahu membaca dan menulis tetapi apabila diturunkan sesuatu wahyu maka nabi dapat mengingatinya dengan baik sebelum disampaikan kepada umatnya tanpa menambah dan mengurangkannya walau sedikit pun dengan pertolongan daripada Allah. Jika nabi Muhammad s.a.w bukannya nabi maka dengan keadaannya yang buta huruf sudah pasti dia tidak dapat mengingati ayat Allah dengan baik. Ini dijelaskan oleh Allah dalam ayat 6 surah al-A’la :
سنقرئك فلا تنسى
Maksudnya : Wahai Muhammad! Kami akan bacakan al-Quran kepadamu maka engkau tidak akan lupa
Keadaan Rasulullah s.a.w yang buta huruf yang menyebabkan baginda tidak mampu membaca dan menulis Kitab yang terdahulu daripada al-Quran serta tidak pernah belajar daripada cerdik pandai dan rahib pada masa itu maka ia tentunya menjadi hujjah bahawa al-Quran adalah mukjizat dan buta hurufnya nabi merupakan suatu kelebihan dalam menjawab tohmahan liar musuhnya yang mengatakan bahawa nabi mereka-reka al-Quran dan pandai kerana belajar daripada rahib pada masa itu. Al-Quran menjelaskan keadaan ini melalui ayat 48 surah al-‘Ankabut :
وما كنت تتلوا من قبله من كتـب ولا تخطه بيمينك إذا لارتاب المبطلون
Maksudnya : Dan engkau tidak pernah membaca sebelumnya (al-Quran) sesuatu Kitab pun dan engkau tidak pernah menulis sesuatu Kitab dengan tangan kananmu. Sekiranya engkau pernah membaca dan menulis maka benar-benar ragulah orang yang mengengkarimu.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sebelum kenabiannya nabi Muhammad s.a.w turut memelihara kambing dan sentiasa berbangga dengan kerjanya itu dengan menyatakan bahawa kebanyakan nabi memelihara kambing. Jika kita bercakap tentang kerja nabi iaitu memelihara kambing kepada masyarakat yang dihidapai penyakit kebendaan maka mereka akan mengatakan bahawa pekerjaan ini merugikan masa dan tidak menguntungkan. Umat Islam hari ini ramai yang merasa hina untuk menjadi pengembala binatang ternakan sehingga negara umat Islam begitu bergantung kepada binatang dan daging import untuk kegunaan mereka. Apa yang peliknya ada umat Islam di negara ini merasa jijik menjadi pengusaha lembu dan kambing tetapi dalam masa yang sama tidak merasa berdosa menjadi pengusaha babi. Jika tidak kerana bala Allah dengan penyakit JE maka ramai lagi umat Islam yang menjadi kaya raya kerana menternak babi. Akhirnya Malaysia yang dilaungkan sebagai sebuah negara Islam menjadi antara pengeluar utama daging babi sehingga mampu dieksport keluar sedangkan dalam masa yang sama terpaksa mengimport daging lembu dari luar. Setelah babi mendatangkan penyakit JE dan ditambah dengan penyakit sindrom pernafasan teruk ( SARS ) yang terbaru maka sedarlah wahai umat Islam bahawa lebih banyak hasil halal yang diperlukan daripada hasil haram. Hasil halal menyembuh penyakit sedangkan hasil haram mendatangkan penyakit. Ambillah yang halal dan tinggallah yang haram dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 128 dan 129 surah at-Taubah
لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف رحيم . فإن تولوا فقل حسبي الله لاإله إلا هو عليه توكلت وهو رب العرش العظيم .
Maksudnya : Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah : “Cukuplah Allah bagiku, tiada tuhan selain Dia, hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung”.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

158. KEWAFATAN RASULULLAH S.A.W

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Janganlah kita hanya tahu mendengar sahaja perkataan taqwa serta menyebutnya sedangkan ia tidak menyerap ke dalam sanubari kita . Hitunglah diri kita setiap masa samada semakin hampir kepada Allah atau sebaliknya. Adakah amalan soleh kita semakin meningkat atau pun menurun….

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 128 dan 129 surah at-Taubah
لقد جاءكم رسول من أنفسكم عزيز عليه ما عنتم حريص عليكم بالمؤمنين رؤوف الرحيم . فإن تولوا فقل حسبي الله لاإله إلا هو عليه توكلت وهو رب الغرش العظيم .
Maksudnya : Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. Jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah : “Cukuplah Allah bagiku, tiada tuhan selain Dia, hanya kepadaNya aku bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung”.
Kini hampir seminggu kita meninggalkan bulan Rabiul Awwal yang merupakan bulan yang telah mencatat sejarahnya yang agung dengan kelahiran bayi bertuah yang diberi nama Muhammad di mana baginda telah diangkat oleh Allah menjadi nabi lagi Rasul kepada umat akhir zaman. Pada hari ini marilah kita sama-sama menghitung diri kita samada sambutan maulidur rasul yang kita adakan pada bulan yang lalu hanya akan berlalu begitu sahaja atau pun sudah nampak disana perubahan pada diri kita dan masyarakat dalam sama-sama menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w dan melaksanakan setiap apa yang dibawanya. Jangan kita jadikan perayaan lalu hanya untuk menyambut dan memuja tubuh Rasulullah s.a.w sahaja sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab yang menyembelih 100 ekor unta kerana kegembiraan di atas kelahiran nabi Muhammad s.a.w. Tetapi akhirnya dialah yang menjadi penghalang dan penentang yang utama terhadap dakwah Rasulullah s.a.w sehingga adanya surah al-Lahab dalam al-Quran yang memberitahu kita semua bagaimana kecelakaan yang besar menimpa Abu Lahab dan isterinya kerana menolak dan mencerca dakwah suci Rasulullah s.a.w. Kita juga tidak mahu segala sifat mulia Rasulullah s.a.w diketahui dan disebut oleh kita saban hari samada melalui pembacaan buku, pendengaran melalui kuliah atau pun sebutan dalam berzanji dan juga selawat tetapi sekadar menjadi pengetahuan sahaja tanpa ada di sana usaha ke arah mencontohi dan melaksanakan kewajipan yang disuruh. Kita tidak mahu menjadi seperti ahli kitab dari golongan Yahudi dan Krisitian yang mengenali keperibadian Rasulullah s.a.w sebagaimana mereka mengenali anak mereka sendiri tetapi setelah kelahiran nabi Muhammad s.a.w, merekalah yang menjadi musuh utama kepada dakwahnya. Oleh itu marilah kita hendaklah menjadikan sambutan maulidur rasul ialah untuk memuji kemulian tubuh dan sifat Rasulullah s.a.w dan juga untuk melaksanakan segala syariat yang dibawanya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam kita bergembira dengan mengingati kelahiran Rasulullah s.a.w pada bulan Rabiul Awwal janganlah kita terlupa bahawa dalam bulan yang sama turut merakamkan peristiwa yang sedih dan memilukan seluruh umat Islam. Sebagaimana maklum bahawa selepas mengerjakan haji wida’ di Mekah pada tahun ke-10 hijrah lalu baginda s.a.w pulang ke Madinah. Setelah tiba di Madinah, Rasulullah s.a.w telah memerintah tentera Islam untuk menyerang Rom yang berkubu di Balqa’, Jordan dan Palestin di mana baginda memilih Usamah bin Zaid sebagai panglima perang.
Setelah persiapan perang telah siap dan hanya menunggu arahan seterusnya daripada Rasulullah s.a.w maka bermula dari sinilah baginda s.a.w mulai sakit tenat. Pada suatu larut malam, Rasulullah s.a.w telah pergi bersama dengan Muwaihibah ke kawasan perkuburan Baqi’ berhampiran Masjid Nabawi kerana diperintah supaya beristighfar di sana.Sekembalinya dari kawasan perkuburan Baqi’ , Rasulullah s.a.w telah mengadu bahawa kepalanya begitu sakit dan pening kepada ummul mukminin Sayyidatina ‘Aisyah. Peristiwa ini berlaku pada akhir bulan Sofar tahun 11 hijrah. Rasulullah s.a.w pada mulanya terlantar sakit di rumah ummul mukminin Sayyidatina Maimunah di mana selepas mendapat persetujuan daripada isteri-isterinya lalu baginda dipindahkan ke rumah Sayyidatina ‘Aisyah dengan dipapah oleh al-Fadhil bin Abbas dan Ali bin Abu Talib. Rasulullah s.a.w setelah bersiap lalu memberitahu bahawa baginda ingin keluar ke masjid bagi memberi ucapan kepada para muslimin. Selepas selesai sembahyang lalu baginda s.a.w sebelum menaiki minbar bersabda agar para muslimin berdoa ke atas para syuhada’ yang mati dalam peperangan Uhud dan.setelah berdiri di atas mimbar lalu Rasulullah bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya Allah memberi pilihan kepada hamba antara dunia dengan apa yang ada disisiNya (Allah) maka memilih hamba itu apa yang ada disisi Allah. Mendengar ucapan itu lalu bercucuran air mata Sayyidina Abu Bakar kerana beliau faham bahawa apa yang dimaksudkan dengan hamba itu ialah diri Rasulullah s.a.w di mana baginda merasai telah hampir saat kewafatannya. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda : Wahai Abu Bakar! Jangan engkau menangis, sesungguhnya daripada mereka yang beriman kepadaku pada menemaninya, hartanya ialah Abu Bakar. Jika aku mengambil seorang teman rapat nescaya aku akan menjadikan Abu Bakar tetapi persaudaraan Islam dan kemanisannya. Tidak akan kekal dalam masjid satu pintu melainkan ada penghadang melainkan pintu Abu Bakar. Hadis ini menunjukkan kelebihan Sayyidina Abu Bakar.
Sabdanya lagi bermaksud: Sesungguhnya aku mempunyai tanggungan yang berat antara kamu, aku merupakan saksi kepadamu, sesungguhnya janji kepadamu ialah telaga kauthar, Sesungguhnya aku melihatnya sedangkan aku berada ditempatku ini. Sesungguhnya aku tidak bimbang kamu akan syirik tetapi yang paling aku bimbang ialah kamu akan berebut-rebut kemewahan dunia ketika dibentangkan kepadamu.
Pada suatu malam ketika para muslimin menunggu-nunggu ketibaan Rasulullah s.a.w bagi menunaikan solat Isya’, baginda tidak dapat berbuat demikian kerana terlalu sakit sehingga baginda memerintah Sayyidina Abu Bakar menjadi imam menggantikan baginda. Setelah diberitahu tentang perintah nabi lalu Sayyidina Abu Bakar meminta Sayidina Umar untuk menjadi imam tetapi Sayyidina Umar menggesa agar Sayyidina Abu Bakar melaksanakan perintah nabi untuk menjadi imam kerana beliau merupakan orang yang paling layak. Pada hari seterusnya setelah Rasulullah s.a.w merasai lega sedikit daripada kesakitan yang ditanggung lalu baginda keluar ke masjid dengan dipimpin oleh dua orang sahabat bagi menunaikan solat Zohor. Melihat kedatangan Rasulullah s.a.w maka Sayyidina Abu Bakar ingin berundur dari tempat imam tetapi Rasulullah s.a.w meminta agar beliau terus berada ditempat itu dan baginda sendiri meminta agar dua orang sahabat yang memimpinnya supaya mendudukkannya ditepi Sayyidina Abu Bakar. Sayyidina Abu Bakar bersembahyang mengikut solat nabi yang mengerjakannya sambil duduk manakala muslimin yang lain mengikut solat Sayyidina Abu Bakar.Ini merupakan solat terakhir Rasulullah s.a.w bersama para muslimin di mana para sahabat begitu gembira melihat nabi mampu bersembahyang bersama-sama mereka menandakan baginda akan sembuh dari sakit. Tetapi kegembiraan itu hanya sementara di mana kesakitan baginda semakin parah dan apabila ditanya kepadanya lalu baginda menyatakan : Tiada daripada orang islam yang ditimpa kesakitan maka tidak selainnya melainkan Allah akan menggugurkan kejahatannya sebagaimana daun yang gugur dari pokok.

Sidang Jumaat yang berbahagia
Pada suatu hari ketika para isteri nabi berada disampingnya lalu anaknya Siti Fatimah datang menghampirinya. Para isteri nabi yang lain melihat bagaimana Rasulullah s.a.w menceritakan sesuatu kepada Siti fatimah di mana buat kali pertama dia menangis kesedihan dan buat kali kedua dia tersenyum gembira. Apabila ditanya maka Siti fatimah mengatakan bahawa dia sedih pada cerita pertama kerana Rasulullah s.a.w memberitahu bahawa setiap tahun malaikat Jibril akan menyampaikan wahyu al-Quran sekali manakala pada tahun ini dia datang sebanyak dua kali.Dia tidak melihatku melainkan kedatangannya kerana telah tiba ajalku. Sesungguhnya engkau wahai fatimah merupakan ahli keluarga pertama yang akan mengiringiku dan sebaik-baik salaf ialah aku bagi engkau maka aku menangis mendengar kata-kata itu. Manakala cerita yang menyebabkan aku gembira ialah apabila Rasulullah s.a.w bertanya : Adakah engkau tidak redha menjadi Penghulu bagi seluruh umat wanita yang beriman atau ketua bagi wanita umat ini maka aku merasa gembira dengan perkara ini.
Dalam keheningan Fajar Subuh hari Isnin 12 Rabiul Awwal tahun 11 hijrah ketika mana Sayyidina Abu Bakar dan para muslimin bersiap untuk solat Subuh, mereka telah terpandang wajah Rasulullah s.a.w yang berseri-seri sedang tersenyum apabila tabir dari bilik Sayyidatina ‘Aisyah terbuka lalu Abu Bakar memberi ruang kepada baginda kerana pada sangkaannya baginda ingin solat bersama-sama mereka. Para muslimin yang berada dibelakang turut bergembira apabila melihat keadaan nabi ketika itu tetapi akhirnya nabi mengisyaratkan dengan tangan agar mereka menyempurnakan solat mereka. Selepas itu para muslimin terus berasa senang hati melihat keadaan nabi yang mana pada sangkaan mereka telah hampir pulih. Namun sangkaan mereka meleset sama sekali kerana selepas menutup kembali tabir bilik Sayyidatina ‘Aisyah dan Rasulullah s.a.w kembali berbaring ditempatnya maka kesakitannya bertambah tenat. Itulah senyuman yang terakhir daripada seorang rasul dan pemimpin yang agung buat muslimin dan itulah juga senyuman perpisahan daripada nabi dan ketua yang penyayang buat muslimin sebelum Rasulullah s.a.w menemui Allah.
Pada saat-saat akhir, Usamah bin Zaid telah masuk menemui Rasulullah s.a. Ketika berada disampingnya dia diam lalu melihat bagaimana nabi telah meletakkan tangan baginda ke atasnya dan kemudiaannya mengangkat kedua tangannya di mana dia tahu bahawa nabi telah berdoa untuknya.
Antara ucapan atau wasiat yang terakhir sebelum baginda menghembuskan nafas yang terakhir ialah : Wahai manusia! Sesungguhnya tidak akan kekal berita atau wahyu kenabian melainkan rukya solehah yang akan diperlihatkan kepada orang islam atau pun dia melihatnya. Ada pun sesungguhnya aku telah mengakhiri pembacaan al-Quran ketika rukuk dan sujud. Ketika rukuk maka besarkanlah Allah manakala ketika sujud maka bersungguhlah meminta doa Maka lakukanlah nescaya akan dimaqbulkan. Selepas itu baginda menghembuskan nafas yang terakhir untuk pergi menemui kekasih sejati Allah Rabbul Izzati meninggalkan syariat yang akan terus dilaksana dan disampaikan oleh umatnya sehingga hari qiamat.
Kewafatan Rasulullah s.a.w telah tersebar luas sehinggalah Sayyidina Abu Bakar mendapat berita sedih ketika berada di atas kuda dalam perjalanan pulang kerana pada sangkaannya baginda telah beransur pulih. Sayyidina Abu Bakar bergegas menuju ke Masjid Nabawi lalu memasuki bilik Sayyidatina ‘Aisyah dimana terletaknya jasad Rasulullah s.a.w. Beliau duduk berhampiran jasad nabi yang mulia lalu menyingkap kain yang menutupi bahagian muka nabi di mana beliau terus mengucupnya dan menutup kembali seterusnya keluar menemui para muslimin yang masih sedih dan terkejut menerima berita yang sedih ini. Suasana ketika itu hampir tidak terkawal kerana masing-masing bagaikan tidak percaya apabila menerima berita kewafatan rasul yang begitu dikasihi, ketua yang disegani, pemimpin yang telah memimpin umat daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya iman dan islam. Sayyidina Umar sendiri tidak mempercayai berita kewafatan nabi malah memberi amaran keras akan memancung kepala sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat kerana baginya Rasulullah s.a.w tidak akan wafat melainkan setelah kaum munafik dihancurkan. Ada juga para muslimin yang tidak kuat imannya kembali murtad kerana tidak dapat menerima hakikat kewafatan nabi ini.
Dalam keadaan yang tidak terkawal ini lalu Sayyidina Abu Bakar berdiri gagah dihadapan para muslimin lalu mengeluarkan kata-katanya yang tegas :
أيها الناس ! من كان يعبد محمدا فإن محمدا قد مات , ومن كان يعبد الله فإن الله حي لا يموت
Maksudnya : Wahai sekalian manusia! Sesiapa dikalangan kamu yang menyembah Sayyidina Muhammad s.a.w maka sesungguhnya nabi Muhammad telah wafat dan sesiapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah terus hidup dan tidak akan mati
Selepas itu beliau membaca ayat 144 surah ali Imran :
وما محمد إلا رسول قد خلت من قبله الرسل , أفإن مات أو قتل انقلبتم على أعقبكم , ومن ينقلب على عقبيه فلن يضر الله شيئا , وسيجزي الله الشكرين .
Maksudnya : Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul . Apakah jika baginda wafat atau dibunuh maka kamu akan berpaling tadah (murtad)?. Sesiapa yang berpaling tadah maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun. Dan Allah akan memberi balasan kepada mereka yang bersyukur
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Jumaat, 12 Februari 2010

108. ISLAMKAN DASAR PENDIDIKAN

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 2 surah al-Jumaat :
هو الذي بعث فى الأميئن رسولا منهم يتلوا عليهم ءايــته ويزكيهم ويعلمهم الكتب والحكمة وإن كانوا من قبل لفى ضلــل مبين
Maksudnya : Dialah (Allah) yang telah mengutuskan kepada kalanganorang-orang arab yang buta huruf seorang rasul dari bangsa mereka sendiri yang membacakan ayat-ayat Allah yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya. Dan membersihkan mereka daripada aqidah yang sesat serta mengajarkan mereka kitab Allah dan hikmat pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat. Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan nabi Muhammad s.a.w adalah dalam kesesatan yang nyata.
Islam dan ilmu tidak dapat dipisahkan kerana Islam itu sendiri tertegak di atas keyakinan yang pasti melalui ilmu yang disuluhi cahaya wahyu Allah. Kekuatan Islam yang berkembang dan mampu membina tamadun bersepadu antara kemanusiaan dan kebendaan adalah hasil daripada kekuatan ilmu bukannya berdasar kepada paksaan dan kejahilan. Islam yang merupakan agama fitrah adalah agama yang mampu dipeluk dan diamalkan oleh seluruh umat manusia tanpa mengira keadaan takhta dan harta, bangsa dan negara, usia dan budaya. Keadaan fitrah manusia yang mahukan kebaikan dan begitu benci kepada kejahatan telah menyebabkan hati mereka mudah tertarik kepada seluruh ajaran Islam yang sempurna.
Melalui ayat 2 surah al-Jumaat tadi maka dapat disimpulkan bagaimana dasar yang penting yang mesti ada dalam proses tarbiah atau pendidikan demi mencapai keredhaan Allah. Jika berlakunya sebarang pengabaian terhadap sebarang dasar pendidikan yang telah diberitahu oleh Allah dan rasulNya maka di sana akan berlakunya kegagalan dalam pendidikan dan pembinaan manusia dalam sesebuah negara.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Dasar pendidikan pertama yang ditekankan oleh Allah melalui ayat tadi ialah sesuatu ilmu yang diajar tidak boleh bebas daripada berpegang kepada aqidah Islam iaitu mestilah disertakan dengan ayat al-Quran dan hadis nabi. Melalui catatan sejarah maka kita dapati dasar pendidikan negara kita terutama selepas merdeka masih tidak mampu keluar daripada dasar yang telah digubal oleh penjajah. Banyak ilmu moden dijauhkan daripada pegangan aqidah yang menyebabkan umat Islam di negara kita terus terikut-ikut dengan cara hidup barat dengan menjadikan Islam sebagai agama peribadatan khusus dan adat semata-mata sebagaimana agama Kristian, Budha dan Hindu dan mereka lebih suka ulama’ Islam hanya mengajar bab ibadat khusus sahaja tanpa menyentuh ajaran Islam yang lain terutama yang melibatkan ekonomi, kemasyarakatan dan pemerintahan.
Kejayaan barat dalam memisahkan ilmu moden daripada aqidah Islam turut dibantu dengan pengurangan serta penghapusan kepada penggunaan bahasa arab dengan mengantikannya dengan bahasa Inggeris. Negara kita pernah dikejutkan dengan penghapusan kepada penggunaan tulisan jawi yang menyebabkan ramai umat Islam yang tidak memahami agama disebabkan kebanyakan kitab agama yang dikarang oleh ulama’ ditulis dalam bahasa jawi dan juga bahasa arab. Cara ini turut dibuat oleh kerajaan Thailand yang menterjemahkan kitab jawi kepada bahasa Thai atas alasan untuk memudahkan rakyat belajar agama sedangkan pada hakikat yang sebenar ialah mereka mahu menghancurkan pengajian Islam kerana berapa banyakkah kitab yang mampu diterjemahkan dan adakah isi yang diterjemah itu tepat dengan kitab asal atau diselewengkan. Pada hari ini isu penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan negara mula bergema kembali kerana ia didakwa sebagai lambang kemajuan sedangkan negara barat sendiri masih memerlukan tenaga penterjemah dari negara arab untuk menterjemahkan kitab-kitab karangan ulama’ Islam silam terutama dalam ilmu sains, ekonomi, falsafah dan lainnya kepada bahasa Inggeris dan bahasa negara Eropah yang lain. Mengapakah negara-negara umat Islam gagal bersatu untuk mengembalikan semula kitab-kitab yang telah dicuri oleh penjajah barat untuk membina kembali kekuatan Islam tanpa perlu menghinakan diri untuk tunduk kepada penjajah yang sememangnya mahu menghancurkan umat Islam. Penjajah barat begitu benci kepada bahasa arab kerana ia akan menyebabkan umat Islam mudah memahami al-Quran, hadis dan kitab-kitab ulama’ muktabar dan ia juga mampu menyatukan semula kesatuan umat Islam sedangkan apabila umat Islam dijauhkan daripada bahasa arab seterusnya tunduk kepada penggunaan bahasa Inggeris yang meluaskan maka ia membolehkan pemikiran umat Islam mudah untuk dijajah oleh ideologi barat melalui sebaran kepada hasil tulisan dan kajian orientalis barat yang banyak menyelewengkan ajaran dan sejarah Islam.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Dasar pendidikan kedua yang ditekankan oleh Allah ialah pembersihan umat manusia daripada aqidah sesat. Penekanan ini adalah penting dalam melahirkan umat Islam yang benar-benar berpegang kepada seluruh ajaran Islam yang sempurna. Melalui dasar ini maka umat Islam mampu melahirkan pakar-pakar yang akan membina tamadun yang tinggi tanpa memisahkan antara agama dan dunia. Apabila seluruh umat Islam didedahkan secara lebih mendalam mengenai ilmu sains, ekonomi, politik, sosial berasaskan Islam maka tiada lagi erti pemisahan ilmu –ilmu tersebut sebagaimana yang dilakukan oleh barat. Pada masa ini seluruh dunia terutama yang berkaitan dengan ilmu moden mengamalkan dualisme iaitu pemisahan antara ilmu agama dan ilmu moden sedangkan ia sepatutnya diajar secara bersepadu. Apabila berlakunya pemisahan antara ilmu moden dengan aqidah Islam yang menyebabkan umat Islam terlalu berpegang kepada falsafah sesat barat sehingga menolak kaitan agama dengan ilmu tersebut. Sebagai contohnya dalam masalah ilmu sains yang terlalu berpegang kepada falsafah yang menolak ketuhanan yang menyebabkan sebarang kajian hanya berbentuk keduniaan semata-mata bukannya ke arah mengkaji kejadian yang diciptakan oleh Allah untuk mengenali Pencipta alam ini. Oleh sebab itulah kita dapati ramai di kalangan ahli sains bukan Islam yang tekun mengkaji tentang kejadian alam ini dengan menolak falsafah anti ketuhanan akhirnya memeluk Islam apabila timbulnya dalam hati mereka bagaimana perjalanan kepada dunia ini mesti ada Pencipta dan PenjagaNya iaitu Allah sebagaimana yang diajar oleh Islam. Melihat kepada perkara ini maka perlunya untuk kita sama-sama kembali kepada ilmu yang menerapkan aqidah di dalamnya di mana pemimpin negara umat Islam perlu bersungguh dalam mengislamkan semula semua ilmu moden yang telah dibuang roh Islam oleh barat. Jika semua ilmu moden ini berjaya di Islamkan kembali maka lebih mudah usaha dakwah dan penerimaan Islam oleh orang bukan Islam disamping menyatukan kembali antara ulama’ dan profesional dalam membina tamadun Islam yang bersepadu
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Setelah ilmu yang diajar telah diterapkan ayat al-Quran dan hadis nabi serta dibersihkan daripada unsur syirik yang sesat dengan memasukkan roh aqidah Islam maka selepas itu dasar pendidikan ketiga yang mesti diterapkan ialah pengajaran kepada seluruh ajaran Islam yang merangkumi semua aspek kehidupan. Kita perlu sedar bahawa kemunduran umat Islam di negara ini adalah disebabkan mereka meninggalkan Islam. Setelah pihak penjajah bertanggungjawab mengubah sistem ekonomi Islam kepada sistem kuffar dan diteruskan dengan sistem kapitalisme oleh pemimpin negara hari ini telah menyebabkan ekonomi di negara dipegang oleh orang bukan Islam kerana mereka lebih pakar tentang ekonomi kuffar itu. Umat Islam sendiri terbahagi dua iaitu golongan yang memahami sistem ekonomi Islam melalui pengajian tetapi tidak mampu bersaing kerana sistem yang digunakan dalam negara bukan sebagaimana yang dipelajari di dalam kitab. Golongan Islam kedua pula ialah mereka yang seratus peratus terlibat dengan sistem kuffar tetapi tidak mampu maju kerana berperang dengan Allah dan rasulNya apabila terlibat dengan riba dan rasuah. Ekonomi Islam sepatutnya mudah tetapi apabila ia tidak dilaksanakan maka ia dirasakan begitu payah dan dikatakan ketinggalan zaman sedangkan pada hakikatnya ia begitu mudah apabila djalankan sepenuhnya dalam negara dengan membuang terus sistem kapitalisme yang meletakkan manusia lemah menyembah manusia yang kuat. Orang bukan Islam dapat menerima sistem ekonomi Islam jika ia dilaksanakan dengan baik sebagaimana kita dapat lihat orang bukan Islam terutama yang berbangsa Cina lebih ramai yang menyimpan di dalam bank melalui sistem perbankan Islam sedangkan umat Islam sendiri lebih suka bergelumang dengan dosa riba dan rasuah serta skim cepat kaya. Malangnya pada hari ini disebabkan semua ilmu Islam yang berkaitan dengan ekonomi, perundangan, politik dipenjarakan oleh pemimpin sekularisme yang begitu takut jika Islam dilaksanakan secara menyeluruh di mana ini semua akan menyebabkan mereka akan kalah dan disingkirkan daripada jawatan yang dipegang selama ini. Jika semua ilmu Islam ini dapat dilaksanakan maka dakwah Islam lebih mudah tersebar tidak sebagaimana hari ini di mana umat bukan Islam lebih yakin menggunakan sistem kuffar dalam ekonomi dan perundangan kerana pemimpin yang mendakwa bahawa negara ini adalah negara Islam lebih suka menggunakan sistem kuffar daripada menerima sistem Islam. Golongan sekularisme sanggup mati dalam menentang pelaksanaan sistem Islam daripada mati dalam melaksanakan perundangan Islam. Oleh itu ingatlah kita bahwa di hadapan kita ada dua pilihan samada kita mahu mati sebagai pejuang yang memperjuangkan Islam atau lebih rela mati sebagai petualang yang melawan dan menentang Islam. Tepuklah dada tanyalah iman.
Firman Allah dalam ayat 45 surah al-Anfal
ياأيهاالذين ءامنوا إذا لقيتم فئة فاثبتوا واذكروا الله لعلكم تفلحون
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu memerangi pasukan musuh maka teguhkanlah hatimu dan banyakkanlah menyebut nama Allah agar kamu beroleh kejayaan
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

92. BERSATU HADAPI TENTERA BERGAJAH MODEN

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1- 5 surah al-Fiil :
ألم تركيف فعل ربك بأصحــب الفيل ألم يجعل كيدهم فى تضليل وأرسل عليهم طيرا أبابيل ترميهم بحجارة من سجيل فجعلهم كعصف مأكول
Maksudnya : Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? . Dan Dia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpuak-puak; .Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras; .Lalu Dia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.
Kita mula mahu meninggalkan bulan Sofar bagi sama-sama menyambut kedatangan bulan Rabiul Awwal yang telah mencatatkan pelbagai peristiwa penting dalam sejarah umat Islam terutama sekali saban tahun apabila tibanya bulan Rabiul Awwal maka seluruh umat Islam sedunia sama-sama mengingati tarikh kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w. Kelahiran dan kebangkitan nabi Muhammad s.a.w sebagai nabi lagi rasul akhir zaman telah memecahkan benteng pemisah antara jurang bangsa, budaya, negara kepada umat yang berpegang kepada aqidah yang satu dengan mengadap ke arah qiblat yang satu serta mengamalkan ajaran dan sistem yang ditunjukkan oleh al-Quran yang satu. Tidak timbul dalam hati mereka yang beriman dari kalangan bukan berbangsa arab tentang wajarkan mereka menerima Islam yang di bawa oleh seorang nabi yang berbangsa arab dan tidak timbul perasaan ragu-ragu tentang sistem pemerintahan, ibadat, ekonomi, kemasyarakatan yang ada dalam al-Quran yang berbahasa arab samada sesuai untuk dilaksanakan di negara dan oleh bangsa selain arab. Kekuatan aqidah terhadap Allah dan rasulNya telah melenyapkan segala perasaan ragu-ragu atau was-was tentang keadilan dan kemurnian system Islam yang bukan sahaja berkaitan dengan hubungan antara manusia dengan Allah, manusia dengan dirinya sendiri malah meliputi hubungan antara manusia sesama manusia samada seagama atau berlainan agama.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Ketika mengingati tahun kelahiran nabi Muhammad s.a.w maka ia tidak dapat dipisahkan daripada menyebut tentang peristiwa serangan tentera bergajah pimpinan Abrahah dari Yaman ke atas Kota Mekah bagi menghancurkan Ka’abah. Perbuatan dan tindakan Abrahah ini akibat daripada perasaan dengki terhadap sambutan yang telah diberikan kepada Kota Mekah dengan adanya Ka’abah sehingga tidak mampu diberi saingan oleh kerajaan Abrahah walau pun telah membuat pelbagai pembangunan bagi menarik minat ramai. Oleh itu kedudukan Ka’abah mengikut pandangan Abrahah mesti dirobohkan segera bagi memastikan manusia mengalih tumpuan ke Yaman pula. Walau pun ada yang cuba menghalang tetapi telah dikalahkan oleh Abrahah yang mempunyai angkatan tentera yang kuat. Apabila hampir dengan Kota Mekah lalu datuk nabi iaitu Abdul Muttalib datang bertemu dengan Abrahah agar diserahkan 200 ekor untanya bukannya berunding agar Abrahah tidak meruntuhkan Ka’abah. Ketika menjawab pertanyaan Abrahah lalu Abdul Muttalib mengatakan bahawa dia hanya meminta unta kerana ia adalah miliknya sedangkan Ka’abah mempunyai tuan yang akan menjaganya iaitu Allah. Selepas itu Abdul Muttalib meminta agar kaumnya berlindung di sebalik bukit agar tidak menjadi mangsa kepada tentera Abrahah manakala dia bersama beberapa orang lagi telah menuju ke Ka’abah dan memegang gelang pintunya sambil berdoa memohon pertolongan daripada Allah. Akhirnya Allah telah menghantar tentera berupa burung-burung kecil yang melontar batu ke atas tentera bergajah Abrahah sehingga hancur kulit-kulit mereka dan mereka mati dalam penuh kehinaan.
Tindakan tentera Abrahah adalah sama dengan tindakan Amerika yang telah dihasut oleh yahudi dalam menentang umat Islam. Akibat bimbang umat Islam akan kembali kepada ajaran Islam yang menyeluruh yang boleh membawa kepada kurang bergantungnya umat Islam kepada system ciptaan kuffar terutama yahudi serta betapa tergugatnya kedudukan negara haram Israel jika umat Islam kembali bersatu atas dasar iman dan taqwa menentangnya maka suatu usaha yang rapi berbentuk serangan saraf dan fizikal telah dilancarkan secara besar-besaran agar negara umat Islam dapat dijajah kembali. Kuffar telah melihat hasil penjajahan sebelum ini telah berjaya memecah belahkan umat Islam serta menjauhkan mereka daripada ajaran Islam yang sebenar. Kuffar berjaya mengaut keuntungan hasil perpecahan umat Islam dengan mengaut hasil bumi yang ada serta hasil daripada penggunaan kepada system ciptaan mereka seperti kapitalis, sosialis dan komunis. Dendam dan dengki kuffar terutama yahudi terhadap Islam terus membara dan bila ia meletus maka ramailah rakyat yang tidak berdosa menjadi mangsa kekejaman.
Firman Allah dalam ayat 109 surah al-Baqarah:
ود كثير من أهل الكتــب لو يردونكم من بعد إيمــنكم كفارا حسدا من عند أنفسهم من بعد ماتبين لهم الحق فاعفوا واصفحوا حتى يأتي الله بأمره إن الله على كل شيء قدير
Maksudnya : Ramai di kalangan Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka sekiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana perasaan dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, kamu maafkanlah dan biarkanlah mereka, sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Menyedari tentang bahaya dan ruginya perpecahan di kalangan umat Islam yang menyebabkan kita terus dijajah maka kita wajib kembali bersatu. Umat Islam cukup merana dan menderita akibat penjajahan baru ke atas negara umat Islam dengan alasan mahu membasmi keganasan. Kuffar yang diketuai oleh yahudi telah berusaha meranapkan negara umat Islam yang berpengalaman dengan peperangan seperti Afghanistan dan terbaru Iraq disamping amaran keras terhadap Syria dan Iran serta menghancurkan gerakan Islam yang mempunyai kelengkapan dan latihan senjata bagi melumpuhkan golongan mujahidin yang selama ini banyak membantu saudara agama yang tertindas seperti di Bosnia dan Kosova. Kita jangan ingat bahawa setelah berjaya menghancurkan umat Islam yang berpengalaman dalam penggunaan senjata maka kuffar akan berhenti daripada memerangi umat Islam. Ini adalah kerana api permusuhan kuffar terhadap umat Islam tidak pernah padam sehinggalah kita sujud di bawah kaki mereka. Sebagai suatu umat yang bermaruah dan pilihan maka kita tidak sama sekali tunduk kepada kehendak kuffar sebaliknya kita mesti mengorak langkah dengan seberapa segera untuk kembali bersatu di atas dasar iman dan Islam. Banyak laungan agar umat Islam bersatu tetapi tidak jelas tujuan dan matlamatnya. Adakah umat Islam boleh mengatakan bahawa mereka mesti bersatu atas dasar kebangsaan yang sempit dan menyesatkan. Adakah umat Islam boleh melaungkan kalimah bersatu atas dasar sekularisme yang sesat. Adakah boleh bersatu atas dua dasar yang berlawanan iaitu iman dan kufur. Adakah boleh bersatu atas dua dasar yang bertentangan iaitu Islam dan jahiliah. Jika kita mahu bersatu maka mesti memilih satu jalan sahaja iaitu iman dengan menolak kufur, memilih Islam dengan menolak jahiliah serta bersatu kerana Allah bukan keranamu Malaysia. Malaysia insya Allah selamat jika kita berjuang kerana Allah dengan melaksanakan seluruh system Islam dalam negara tetapi ia hancur sebagaimana Iraq dan selainnya jika berjuang atas dasar bangsa dan ideology ciptaan manusia dengan mengenepikan system Islam yang adil.
Firman Allah dalam ayat 4 surah as-Sof :
إن الله يحب الذين يقــتلون فى سبيله صفا كأنهم بنيــن مرصوص
Maksudnya : Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Yakinlah kita bahawa dengan Islam sahaja maka kita mampu meraih kemuliaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Jadikanlah diri kita sebagai pejuang agama Allah bukan penentang Islam. Ingatlah bahawa kita bukan orang pertama dan terakhir yang memperjuangkan Islam sebaliknya kita ialah rantaian kepada perjuangan umat terdahulu dan akan datang. Ingatlah juga bahawa kita bukan orang yang memulakan perjuangan Islam sebaliknya kita adalah penerus dan penyambung kepada tugas yang telah dilakukan oleh para nabi dan rasul serta pejuang Islam sebelum ini. Tiada erti letih dalam berjuang jika kita yakin bahawa perjuangan Islam adalah suci sebaliknya kuffar dan golongan munafik lebih letih menentang pejuang Islam kerana mereka berjuang untuk mendapat habuan dunia berbentuk takhta dan harta.
Ingatlah firman Allah ayat 14 surah as-Sof :
يــأيهاالذين ءامنوا كونوا أنصار الله كما قال عيسى ابن مريم للحواريـــن من أنصارى إلى الله قال الحواريون نحن أنصار الله فـئامنت طائفة من بني إسرائيل وكفرت طائفة فأيدنا الذين ءامنوا على عدوهم فأصبحوا ظــهرين
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika dia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Khamis, 11 Februari 2010

79. ISLAM DIJULANG JAHILIAH DIBUANG

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
فرمان الله تعالى دالم أية 7 - 8 سورة الفرقان :
وقالوا مال هذا الرسول يأكل الطعام ويمشى فى الأسواق لولآ أنزل إليه ملك فيكون معه نذيرا أو يلقى إليه كنز أو تكون له جنة يأكل منها وقال الظــلمون إن تتبعون إلا رجلا مسحورا
Maksudnya : Dan mereka(orang kafir) berkata : “ Mengapakah rasul ini memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar?. Mengapakah tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengannya?. Atau (mengapakah tidak) diturunkan kepadanya perbendaharaan atau ada kebun baginya di mana dia dapat makan hasilnya?”. Dan orang-orang yang zalim itu berkata lagi :” Kamu sekalian tidak lain hanyalah mengikuti seorang lelaki yang terkena sihir”.
Kelahiran nabi Muhammad s.a.w merupakan suatu rahmat yang besar kepada umat akhir zaman setelah begitu lama bumi ini gersang daripada pengutusan nabi dan rasul serta terhentinya penurunan wahyu dari langit yang mengakibatkan ramai umat manusia berada dalam kesesatan jahiliah. Kedatangan Rasulullah s.a.w yang diutuskan untuk sekalian umat manusia tanpa terbatas kepada umat tertentu sahaja telah menyuburkan kembali bumi dengan siraman keimanan serta berlalunya kegelapan jahiliah dengan bersinar kembali cahaya Islam. Penghantaran nabi Muhammad s.a.w bersama wahyu al-Quran merupakan antara tanda kasih dan belas kasihannya Allah S.W.T terhadap makhlukNya yang telah lama menunggu lahirnya seorang nabi dan rasul dalam meneruskan perjuangan para nabi dan rasul sebelum ini. Sesungguhnya Allah S.W.T tidak akan mengazabkan sesuatu kaum atau bangsa sehinggalah mereka bertindak mengengkari perintah Allah S.W.T setelah datangnya kepada mereka penjelasan dan keterangan melalui nabi atau rasul yang diutuskan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Pemilihan nabi dan rasul daripada kalangan manusia itu sendiri turut membuktikan kepada kita bagaimana hebatnya perancangan Allah S.W.T dalam memastikan umat manusia dapat mencontohi segala perbuatan nabi dengan mudah dan bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia itu sendiri. Cuba kita bayangkan bagaimana kita mahu mencontohi nabi jika baginda dilantik dari kalangan malaikat seumpama masalah adab makan dan tidur sedangkan malaikat tidak berperangai sebagaimana manusia. Sesuai dengan akhlak nabi adalah al-Quran itu sendiri di mana baginda dianggap al-Quran yang bergerak sehingga kita dengan mudah dapat merujuk al-Quran jika mahu mengetahui dan mencontohi bagaimana akhlak Rasulullah s.a.w yang sebenar. Oleh itu walau pun sudah begitu lama nabi Muhammad s.a.w meninggalkan kita dan kita sendiri tidak sempat bertemu dengan baginda namun wahyu al-Quran terus kekal sebagai pedoman utama bersama hadis nabi dalam memberi petunjuk ke arah jalan kebenaran. Nabi Muhammad s.a.w bukan suatu dongengan, bukan suatu rekaan, bukan suatu khayalan malah ia adalah seorang tokoh manusia agung yang benar-benar wujud dan telah banyak menabur jasa dan bakti dalam mengubah cara hidup manusia daripada kesesatan kepada kebenaran, daripada jahiliah kepada Islam, daripada kekufuran kepada keimanan.
Kisah tentang keelokan akhlak nabi dan betapa hebatnya perjuangan nabi dalam meninggikan kalimah Allah S.W.T di muka bumi ini bukan suatu yang cukup sekadar disebut dimulut tetapi ia mesti diikut dengan penuh keyakinan dan kesungguhan. Ingatlah kita bahawa berpegang dan menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w di akhir zaman ini bagaikan menggenggam bara api malah ganjaran bagi mereka yang memperjuangkan dan mempertahankan sunnah nabi ini ganjarannya begitu besar sebagaimana yang tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi :
من تمسك بسنتي عند فساد أمتي فله أجر مائة شهيد
Maksudnya : Sesiapa yang berpegang teguh dengan sunnahku ketika kerosakan umatku maka baginya pahala seratus orang mati syahid



Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Kelahiran junjungan besar nabi Muhammad s.a.w dalam suasana masyarakat jahiliah memerlukan kepada suatu penjagaan yang begitu rapi bagi memastikan pengaruh jahiliah tidak meresap dalam merosakkan aqidah dan akhlak baginda. Oleh itu nabi ditarbiah langsung daripada Allah sehingga dada baginda pernah dibedah untuk dicucikan hatinya oleh malaikat bagi memastikan persediaan awal dalam membina peribadi yang tinggi sebelum dibangkit menjadi nabi lagi rasul akhir zaman. Suasana sekeliling banyak memberi kesan dan pengaruh dalam pembinaan diri kita di mana ramai di kalangan kita yang hidup dalam suasana keluarga dan masyarakat persekitaran yang berpegang teguh kepada agama mampu lahir sebagai seorang yang soleh. Ramai pula di kalangan mereka yang hidup dalam suasana keluarga dan masyarakat yang jauh daripada agama telah lahir sebagai seorang yang turut jauh daripada pegangan agama. Namun begitu tidak dapat dinafikan ada juga di kalangan manusia yang hidup dalam suasana yang berpegang teguh kepada agama tetapi dirinya menjadi jahat akibat dirasuk dengan godaan nafsu. Begitu juga ada segelintir manusia yang hidup dalam suasana yang jauh daripada agama tetapi dirinya mampu lahir sebagai peribadi soleh kerana mendapat hidayah Allah sehingga dia terus berusaha dalam menghindari kesesatan dengan menjadikan system Islam sebagai cara hidup. Oleh itu marilah kita sama-sama berusaha dalam memastikan keluarga dan masyarakat sekeliling kita berpegang teguh kepada ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan agar generasi kita sekarang dan akan datang terus terjaga dan terbela di bawah kawalan sistem Islam.
Ingatlah kita bahawa mulianya nabi dan umat Islam terdahulu apabila mereka menukarkan system jahiliah kepada Islam, mengubah cara hidup daripada kekufuran kepada keimanan. Sedangkan umat Islam hari ini terus menjadi mangsa kezaliman dan penindasan musuh Islam akibat ramai di kalangan kita sendiri mengambil tindakan yang salah dengan menukar atau terus rela memilih system jahiliah dengan menolak Islam, menggunakan cara hidup yang menghampiri kekufuran daripada memilih jalan yang menambah keimanan. Tidak cukup sekadar mengatakan kita sudah melaksanakan Islam hanya dengan mencampur adukkan antara system Islam dengan jahiliah, campur antara iman dengan kufur atau menerima sebahagaian ajaran Islam dan menolak sebahagian yang lain sebagaimana seekor lembu yang dipotong kakinya lalu diganti dengan kaki manusia maka ia tetap dipanggil lembu bukannya manusia walau pun kakinya telah digantikan dengan kaki manusia.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Kita jangan sama sekali dihanyutkan dengan nikmat keamanan sehingga kita semakin jauh daripada cara hidup Islam dan terus hanyut dengan kemewahan serta hiburan yang melalaikan. Kita jangan lupa kepada penderitaan umat Islam di Palestin yang saban hari menjadi mangsa kekejaman pengganas yahudi. Ketika kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tentera Amerika dan Britain yang sudah sakit jiwa akibat dipaksa berperang di Iraq sehingga menyiksa tahanan Iraq di penjara Abu Gharib dengan penderaan yang tidak bertamadun maka kita turut menyelar tindakan pemimpin yang membiarkan tahanan ISA disiksa dengan cara yang hampir sama termasuk dipaksa berbogel, diludah, dibakar janggut dan sebagainya serta dilarang solat Jumaat. Tidak lupa kita kepada keadaan pelampau Kristian yang gila darah sehingga membunuh ratusan umat Islam di Nigeria dan kini umat Islam bangkit menyerang balas tindakan kejam tersebut. Begitu juga keadaan di Maluku, Indonesia yang kembali bergolak antara Islam dan Kristian. Kita juga mesti lebih mengambil berat tentang perancangan jahat Amerika di Selatan Thailand sehingga terbunuhnya lebih 100 orang umat Islam termasuk yang sedang beriktikaf dalam Masjid Kerisik. Sandiwara yang menjadikan umat Islam sebagai mangsa merupakan antara cara dalam menghalalkan kedatangan Amerika ke Selatan Thailand bagi membendung kebangkitan Islam di rantau ini. Kita turut mendesak agar pemimpin memandang serius terhadap penjajahan baru ini serta kemasukan Amerika di Selat Melaka atas undangan Singapura. Janganlah disebabkan ada pakar Amerika yang merancang dalam menjadikan pilihanraya lalu sebagai yang terburuk dan paling keji dalam sejarah negara menyebabkan pemimpin berlembut hati dengan Amerika. Akhirnya umat Islam terutama di Malaysia dikepung dari Selatan Thailand dan Selat Melaka oleh musuh Islam. Kembalilah kepada Islam dan jangan sama sekali tunduk kepada musuh. Islam menawarkan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat sedangkan musuh sentiasa berusaha dalam menghancurkan umat Islam samada kita tunduk atau melawan mereka. Islamlah nescaya kita mulia dan bahagia di dunia dan akhirat.
Firman Allah dalam ayat 15 surah al-Hujurat :
إنما المؤمنون الذين ءامنوا بالله ورسوله ثم لم يرتابوا وجــهدوا بأمولهم وأنفسهم فى سبيل الله أولئك هم الصــدقون
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah mereka yang beriman kepada Allah S.W.T dan rasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah S.W.T. Mereka itulah orang-orang yang benar
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ