أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 17 Mac 2017

Dosa Maksiat DiHindari Kehidupan DiBerkati

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 120 surah al-An’am : وَذَرُوا ظَاهِرَ الْإِثْمِ وَبَاطِنَهُ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَكْسِبُونَ الْإِثْمَ سَيُجْزَوْنَ بِمَا كَانُوا يَقْتَرِفُونَ ﴿١٢٠﴾ Maksudnya : Dan tinggalkanlah kamu dosa yang nyata dan yang tersembunyi. Kerana sesungguhnya orang-orang yang berusaha melakukan dosa, mereka akan dibalas dengan apa yang mereka telah lakukan Kita sebagai umat Islam wajib beriman bahawa kehidupan dunia ini tidak kekal di mana kita semua pasti akan menemui saat kematian dan seterusnya akan melalui alam barzakh sebelum dibangkitkan semula untuk dihitung segala amalan samada memperolehi ganjaran Syurga atau seksaan Neraka. Oleh itu Allah telah datangkan kepada kita sebagai umat akhir zaman nabi Muhammad s.a.w bersama petunjuk al-Quran dalam membimbing umat manusia supaya menjadi hamba Allah yang faham seterusnya taat dengan segala perintahNya disamping bersungguh dalam menjauhi segala laranganNya dalam setiap aspek kehidupan samada ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Kita disuruh untuk menambah sebanyak mungkin pahala daripada amalan soleh disamping menjauhi serta bertaubat atas dosa maksiat, hanya membuat perkara yang halal serta menjauhi segala yang haram sehingga terpaksa mengenepikan godaan hawa nafsu dan syaitan demi memastikan kita tidak melanggar apa yang telah ditetapkan oleh syarak. عَنْ أَنس رضي الله عنه أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ : « حُفَّتِ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ – رواه مسلم Maksudnya : Syurga dipagari dengan sesuatu yang dibenci oleh hawa nafsu manakala Neraka pula dipagari dengan sesuatu yang disukai oleh hawa nafsu Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 37 surah as-Syura : وَالَّذِينَ يَجْتَنِبُونَ كَبَائِرَ الْإِثْمِ وَالْفَوَاحِشَ وَإِذَا مَا غَضِبُوا هُمْ يَغْفِرُونَ ﴿٣٧﴾ Maksudnya : Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan yang keji; dan apabila mereka marah (disebabkan perbuatan yang tidak patut terhadap mereka), mereka memaafkannya; Kita umat Islam wajib yakin bahawa setiap amalan yang dilakukan di dunia ini bakal ditimbang seterusnya dibalas samada Syurga atau Neraka. Oleh itu kita mesti bersungguh-sungguh dalam melaksanakan amalan soleh disamping menjauhi amalan maksiat yang menambahkan dosa kita. Dosa ialah suatu yang ketagih penuh beracun di mana bila sudah melakukannya dengan tidak bersegera untuk bertaubat akan menyebabkan kita terus berseronok untuk melakukannya untuk sekian kalinya sehingga membahayakan diri kita termasuk mengundang kemurkaan Allah di dunia dan balas azab di akhirat kelak. Antara bahaya yang akan menimpa diri kita bila terjebak dengan dosa. [1] Maksiat akan menghalangi diri kita untuk mendapatkan ilmu pengetahuan di mana ilmu adalah cahaya yang dipancarkan ke dalam hati manakala Maksiat dapat menghalangi dan memadamkan cahaya itu. [2] Maksiat akan menghalangi rezeki di mana kita mesti yakin bahawa taqwa adalah penyebab yang akan mendatang dan memudahkan rezeki kita. Jika saat ini kita merasakan betapa sulitnya mendapatkan rezeki Allah, maka tinggalkan kemaksiatan! Jangan kita penuhi jiwa kita dengan debu-debu maksiat. [3] Maksiat membuat kita semakin jauh daripada Allah. [4] Maksiat menjauhkan kita daripada orang-orang soleh kerana takut daripada ditegur atas maksiat [5] maksiat membuatkan banyak urusan kita menjadi sulit dan sukar. Pesanan Ibnu Abbas r.a.:, “Sesungguhnya perbuatan baik itu mendatangkan kecerahan pada wajah dan cahaya pada hati, kekuatan badan dan kecintaan. Sebaliknya, perbuatan buruk itu mengundang ketidakceriaan pada raut muka, kegelapan di dalam kubur dan di hati, kelemahan badan, susutnya rezeki dan kebencian makhluk.” Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 9-10 surah as-Syamsu : قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا ﴿١٠﴾ Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) Bahaya maksiat ke-[6] ialah melemahkan hati dan badan di mana kekuatan seorang mukmin terpancar dari kekuatan hatinya. Jika hatinya kuat, maka kuatlah badannya. Dunia pernah menyaksikan bagaimana kekuatan fizikal dan hati kaum muslimin pada diri generasi pertama mampu meruntuhkan Empayar Rom dan Parsi walau berperang dalam keadaan berpuasa!. [7] maksiat menyebabkan kita terhalang untuk taat [8] Maksiat memendekkan umur dan menghilangkan keberkatan hidup. [9] Maksiat menumbuhkan maksiat lain di mana jika seorang hamba melakukan kebaikan, maka hal tersebut akan mendorongnya untuk melakukan kebaikan yang lain dan seterusnya. Manakala jika seorang hamba melakukan keburukan, maka dia pun akan cenderung untuk melakukan keburukan yang lain sehingga keburukan itu menjadi kebiasaan bagi pelakunya. [10] Maksiat dapat melemahkan hati dari kebaikan. Dan sebaliknya, akan menguatkan kehendak untuk berbuat maksiat yang lain sehingga memutuskan keinginan hati untuk bertaubat dan tidak dapat mengendalikan hati kita sendiri. Hati kita menjadi liar mengikuti jejak maksiat ke maksiat yang lain sehingga hati kita akan melihat maksiat begitu indah [11] Hilang rasa malu ketika berbuat maksiat. Bahkan, dengan rasa bangga dia menceritakan kepada orang lain dengan detail semua maksiat yang dilakukannya. Dia telah menganggap ringan dosa yang dilakukannya. Padahal dosa itu demikian besar di mata Allah [12] Pelaku maksiat yang seperti itu akan menjadi para pewaris umat yang pernah diazab Allah seperti Homoseksual adalah maksiat warisan umat nabi Luth a.s. Perbuatan dengan mengurangi sukatan adalah maksiat peninggalan kaum Syu’aib a.s. Kesombongan di muka bumi dan menciptakan berbagai kerusakan adalah milik Fir’aun dan kaumnya. Sedangkan takabur dan angkuh merupakan maksiat warisan kaum Hud a.s. [13] Maksiat menimbulkan kehinaan dan mewariskan kehinaan seperti umat Islam dijajah di Negara sendiri akibat tenggelam dengan hiburan melampau, berbangga dengan gaya berpakaian yang mendedah aurat dan sebagainya. Kita sendiri menghadapi masalah ekonomi yang agak tenat termasuk kenaikan kos sara hidup walau pun Negara kita dianugerahkan oleh Allah dan tanah yang subur dan hasil mahsul termasuk minyak yang banyak. Negara kita dikelilingi laut tetapi harga ikan mahal. Tanah kita subur tapi kita import makanan dari luar sebanyak RM 22 bilion, tanah rumput menghijau tapi lembu kita import dari Thailand dan Kemboja. Harga makanan terus meningkat kerana kita bergantung kepada negara luar, imbangan dagang kita tidak seimbang. Food security kita tidak terjamin [14] Maksiat merusak akal kita. Seandainya seseorang itu masih berakal sehat, akal sehatnya itu akan mencegahnya dari kemaksiatan kepada Allah. Dia akan berada dalam genggaman Allah, sementara malaikat menyaksikan, dan nasihat Al-Qur’an pun mencegahnya, begitu pula dengan nasihat keimanan. Tidaklah seseorang melakukan maksiat, kecuali akalnya telah hilang! [15] Maksiat menutup hati daripada melihat tentang keburukan dosa. Inilah di antara punca umat Islam sendiri terlibat dengan rasuah, pecah amanah, riba dan sebagainya. Kita begitu bimbang apabila Laporan Indeks Persepsi Rasuah 2016, kedudukan Malaysia terus merosot ke kedudukan yang ke 55 daripada 176 negara. Kes rasuah yang berlaku di Jabatan Air Sabah, Tekun, Bank Rakyat, JKR, Tabung Haji, DBKL dan terbaru skandal tanah di Johor. Begitu juga kes keruntuhan akhlak yang menyaskiikan Statistik jumlah penagih dadah tahun 2016 ialah seramai 30,847 orang, kadar purata kes buang bayi 10 orang setiap bulan, 13,359 kes disiplin pelajar, kadar purata kes buli 250 kes setiap bulan. Falsafah pendidikan negara yang holistik perlu dibentuk bagi melahirkan insan soleh. Begitu juga persoalan pemerkasaan Mahkamah Syariah perlu didokong oleh semua pihak bagi membentuk masyarakat berakhlak, bermoral dan berintegriti. Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Firman Allah dalam ayat 37-41 surah an-Naazi’at : فَأَمَّا مَن طَغَىٰ ﴿٣٧﴾ وَآثَرَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا ﴿٣٨﴾ فَإِنَّ الْجَحِيمَ هِيَ الْمَأْوَىٰ ﴿٣٩﴾ وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ﴿٤٠﴾ فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ ﴿٤١﴾ Maksudnya : Maka adapun orang yang melampau batas, Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya. Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya. Bahaya maksiat ke-[16] menghalangi syafaat Rasulullah dan Malaikat kecuali, [17] Maksiat meremeh azab Allah. [18] Maksiat memalingkan perhatian Allah atas diri kita. [19] Allah akan membiarkan orang yang terus-menerus berbuat maksiat berteman dengan syaitan. [20] Maksiat melenyapkan nikmat dan mendatangkan azab. Sayyidina Ali r.a. berkata, “Tidaklah turun bencana melainkan kerana dosa. Dan tidaklah bencana lenyap melainkan kerana taubat.” Kerana itu, bukankah sekarang waktunya bagi kita untuk segera bertaubat dan berhenti dari segala maksiat yang kita lakukan? Firman Allah dalam ayat 30 surah as-Syura : وَمَا أَصَابَكُم مِّن مُّصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَن كَثِيرٍ ﴿٣٠﴾ Maksudnya :, “Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri dan Allah memaafkan sebagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ