أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 14 Jun 2013

Sistem Islam DiLaksana Kemuliaan Dirasa

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 133-134 surah Ali ‘Imran : وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ Maksudnya : Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; Kini kita berada pada awal bulan Sya’aban yang turut mempunyai kelebihan dan catatan sejarah yang tersendiri. Nabi s.a.w bila ditanya tentang amalan baginda yang banyak berpuasa sunat pada bulan Sya’aban lalu baginda menjelaskan bahawa Sya’aban adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Sya’aban merupakan bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah, Tuhan seluruh Alam. Maka nabi s.a.w ingin amalan diangkat sedangkan baginda dalam keadaan berpuasa. عَنْ ‏ ‏عَائِشَةَ ‏ ‏رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ‏ ‏قَالَتْ ‏ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لَا يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ – رواه البخاري Maksudnya : Siti ‘Aishah telah berkata : Rasulullah S.A.W berpuasa sehingga kita mengatakan dia tidak berbuka dan baginda S.A.W berbuka sehingga kami berkata dia tidak berpuasa. Dan aku tidak pernah melihat Rassulullah S.A.W menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda S.A.W banyak berpuasa sunat melainkan pada bulan Sya’ban. Ibarat kata Ulama’ : "Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya." Begitu juga Hukama’ menyifatkan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam celaan manakala bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Marilah kita sama-sama menghidupkan bulan Sya’aban ini dengan pelbagai amalan soleh sebagai latihan awal dan persiapan dari segi rohani dan jasmani sebelum datangnya Ramadhan. Antara amalan sunat yang paling baik bulan Sya’aban ialah berpuasa sunat selain daripada memperbanyakkan doa, membaca al-Quran dan memohon keampunan kepada Allah Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Renungilah firman Allah dalam ayat 7-8 surah al-Bayyinah: إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ هُمْ خَيْرُ‌ الْبَرِ‌يَّةِ ﴿٧﴾ جَزَاؤُهُمْ عِندَ رَ‌بِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِ‌ي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ‌ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ رَّ‌ضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَ‌ضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَ‌بَّهُ ﴿٨﴾ Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya. Tujuan kepada penciptaan manusia dan jin itu sendiri ialah untuk tunduk patuh sebagai hamba Allah dalam setiap aspek kehidupan. Oleh itu kedatangan bulan-bulan yang mulia ini semestinya digunakan sebaik mungkin dalam menanam sifat ‘Ubudiyyah dalam diri kita. Sifat `ubudiyyah ialah perasaan yang tunduk menghambakan diri kepada Allah dengan sepenuh jiwa, maka yang menunjukkan adanya `ubudiyyah di dalam hati seseorang itu ialah ibadahnya seperti solat, puasa, zakat dan lain-lain. Imam al-Ghazali menyatakan bahawa hakikat ‘Ubudiyyah ini hanya akan terhasil dengan 3 perkara iaitu [1] Menjaga hukum-hakam syariat Allah dalam setiap aspek kehidupan. [2] Sentiasa redha dengan Qadho’ dan Qadar serta pembahagiaan Allah dalam kehidupan seharian. [3] Memastikan kita mencari keredhaan Allah walau pun terpaksa meninggalkan keredhaan diri sendiri Sifat ‘ubudiyyah ini hanya akan terhasil melalui ilmu agama disertakan pula dengan pengamalan. Sikap terlalu mementingkan nikmat duniawi melahirkan manusia yang menganggap bahawa pembinaan pusat pengajian agama merupakan suatu yang tidak mendatangkan hasil ekonomi kepada negeri. Kita semua patut sedar betapa pentingnya pembinaan tamadun kebendaan dan rohani secara secara serentak bagi memastikan pembangunan kebendaan tidak dimusnahkan oleh manusia yang rosak akhlak seperti masalah rasuah dan pecah amanah dalam membina bangunan dan jambatan contohnya menyebabkan Negara rugi dan nyawa rakyat terancam. Bangunan yang gagah berdiri tetapi tidak mampu memberi ketenangan kepada masyarakat yang diliputi perasaan takut dan bimbang terhadap keselamatan harta dan nyawa akibat masalah pembunuhan, rompakan, ragut semakin bertambah. Oleh itu kita jangan terpedaya dengan laungan yahudi bahawa dunia mampu dikawal dengan teknologi yang dimiliki seperti penyakit boleh dikawal dan rawat dengan pil-pil ubat yang dihasilkan. Begitu juga bencana alam mampu ditangani dengan alat-alat canggih yang dibina. Akhirnya mereka dihancurkan oleh rasa angkuh sehingga merebaknya penyakit yang lebih teruk dan bencana alam yang semakin dahsyat yang tidak mampu disekat dengan teknologi yang ada. Antara punca dan sebabnya akibat mereka melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah seperti maksiat zina dan pemusnahan terhadap alam sekitar. Menyedari tentang perkara ini maka kita wajib yakin bahawa segala usaha yang dilakukan mesti berlandaskan Islam disamping meninggalkan segala perkara yang dimurkai oleh Allah ditambah dengan sifat yang lebih penting iaitu tawakkal berserah diri kepada Allah dengan yakin bahawa sesuatu selain Allah tidak mampu memberi manfaat dan tidak boleh mendatangkan mudhorat. Hanya Allah yang berkuasa atas segalanya Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Renungilah firman Allah dalam ayat 150 surah al-Baqarah: وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِي وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِي عَلَيْكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ Maksudnya : Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar) Ketika berada pada Sya’aban ini marilah kita sama-sama mengambil iktibar daripada peristiwa perubahan Qiblat daripada mengadap ke Masjid Aqsa di bumi Palestin kepada mengadap Ka’abah di Mekah. Antaranya dengan mengambil berat tentang kelebihan dan keistimewaan yang ada pada kedua-dua masjid yang mulia ini yang juga mempunyai kaitan yang rapat dalam peristiwa Isra’ dan Mikraj. Oleh itu sempena berada pada hari Jumaat yang mulia ini, di masjid yang mulia ini marilah kita sama-sama meningkatkan usaha samada dari segi sumbangan kebendaan dan juga doa dalam memerdekakan bumi Palestin daripada cengkaman zionis yahudi. Tanggal 15 Mei lalu adalah ulang tahun ke-65 nakbah atau “malapetaka” yang menimpa Palestin dengan tertubuhnya negara Israel pada tahun 1948. Zionis yahudi ‘Israel’ mempunyai 2 langkah utama untuk mewujudkan perangkaan penduduk agar Yahudi menjadi warga majoriti mengatasi kaum Arab Palestin. Langkah pertama, melakukan serangan terhadap pribumi yang berakhir dengan pengusiran warga Arab Palestin dari perkampungan dan tanah air mereka. Pengganas Yahudi dengan sokongan British telah melakukan 44 serangan berdarah terhadap orang-orang Palestin pada tahun 1948. Akibatnya, kira-kira 850,000 warga Palestin dihalau keluar dari kampung halaman mereka hingga tanggal 15 Mei 1948. Kira-kira 65 tahun telah berlalu, kini jumlah pelarian Palestin pada awal tahun 2013 ini adalah kira-kira 6 juta orang. Langkah kedua, Zionis Israel mewujudkan status quo dengan menarik warga Yahudi dari luar negara berpindah ke Palestin yang dijajah itu. Usaha ini telah menarik sekitar 650,000 orang bangsa Yahudi dari berbagai penjuru dunia sebagai melaksanakan matlamat penubuhan negara ‘Israel’ pada tahun 1948 setelah Zionis melakukan penghapusan etnik secara terancang. Setelah 65 tahun, projek pertukaran rakyat ini masih belum mencapai matlamat kerana jumlah penduduk Yahudi kira-kira 6 juta itu masih seimbang dengan penduduk Arab Palestin. Zionis yahudi terus berusaha untuk mencapainya maka kita pula wajib bangkit bersama dengan pejuang Islam Palestin untuk menyekat cita-cita jahat yahudi ini termasuk dalam meruntuhkan Masjiq Aqsa yang mulia milik seluruh umat Islam. Biar bermandi darah namun bumi Palestin tetap kita pertahankan, Biar melayang nyawa dari badan namun kebebasan Masjid Aqsa kita tetap kita perjuangkan Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T, Sempena berada hari Jumaat yang mulia ini juga kita bangkit mengutuk kekejaman pemimpin Syria yang membunuh puluhan ribu rakyatnya sendiri tanpa belas kasihan. Begitu juga penderitaan saudara seagama kita di Burma yang terus berdepan dengan pembunuhan etnik tanpa tindakan untuk menyekatnya. Tidak lupa kita bangkit menentang golongan yang menghina Islam dan nabi Muhammad s.a.w termasuk di Negara kita dan meminta agar budaya tidak sihat ini terus disekat tanpa mengira pangkat. Jangan biarkan rakyat biasa sahaja diambil tindakan sedangkan bila pemimpin menghina system Islam yang merupakan antara punca utama kepada beraninya orang bukan Islam menghina Islam dan nabi Muhammad s.a.w maka ia dibiarkan. Jika menghina raja dan Yang DiPertuan Agong dipandang sebagai suatu kesalahan yang begitu bahaya dan mengancam Negara maka menghina Allah, Islam dan nabi merupakan jenayah yang lebih bahaya. Firman Allah dalam ayat 10 surah al-An’am: وَلَقَدِ اسْتُهْزِئَ بِرُ‌سُلٍ مِّن قَبْلِكَ فَحَاقَ بِالَّذِينَ سَخِرُ‌وا مِنْهُم مَّا كَانُوا بِهِ يَسْتَهْزِئُونَ Maksudnya : Dan demi sesungguhnya! Telah diperolok-olok beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Jumaat, 7 Jun 2013

Isra' Mikraj Penyemarak Perjuangan Islam

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 146 surah Ali ‘Imran : وَكَأَيِّن مِّن نَّبِيٍّ قَاتَلَ مَعَهُ رِ‌بِّيُّونَ كَثِيرٌ‌ فَمَا وَهَنُوا لِمَا أَصَابَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَمَا ضَعُفُوا وَمَا اسْتَكَانُوا ۗ وَاللَّـهُ يُحِبُّ الصَّابِرِ‌ينَ Maksudnya : Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (ugama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar. Kita masih berada pada saki baki bulan Rejab yang mengetuk hati kita dengan suatu peristiwa besar yang menguji keimanan manusia iaitu peristiwa Isra’ Mikraj nabi Muhammad s.a.w. Peristiwa yang menakjubkan ini mengajar kepada kita bagaimana cekalnya jiwa nabi Muhammad s.a.w yang mulia dalam menunaikan amanah dakwah Islam sehingga berdepan dengan onak duri ujian yang bukan sahaja berbentuk cercaan manusia malah meliputi serangan fizikal. Kesabaran nabi dalam berdepan dengan keadaan yang merupakan antara kemuncak kepada penentangan dakwah Islam begitu terserlah bila nabi yang membawa diri setelah dilontar batu oleh penduduk Taif sehingga berada di padang pasir yang kontang dalam keadaan kepala baginda tertunduk ke bawah kerana dibimbangi umatnya yang degil dan keras ini bakal berdepan dengan laknat Allah yang dahsyat termasuk kehancuran sebagaimana yang pernah menimpa umat sebelum ini. Nabi Muhammad s.a.w juga menolak tawaran untuk dihancurkan umat yang degil ini sebaliknya memandang bahawa kedegilan mereka akibat dakwah Islam yang dibawa belum dapat diterima oleh generasi yang telah lama hidup dalam kepekatan jahiliah di mana baginda berharap zuriat yang bakal lahir nanti akan menerima kemanisan Islam. Tindakan nabi Muhammad s.a.w agak berbeza dengan keadaan ramai kalangan nabi-nabi sebelum ini bila berdepan dengan penolakan yang keras daripada umat mereka lalu mereka mendongak ke langit dengan muka yang dukacita di samping menerima tawaran daripada Allah untuk dihancurkan umat mereka yang degil itu lalu permohonan mereka dimakbulkan oleh Allah lalu diranapkan sebagaimana hancurnya kaum nabi Nuh, umat nabi Soleh, umat nabi Luth dan sebagainya. Peristiwa ini banyak mengajar kita agar bersungguh dalam melaksanakan keindahan Islam dalam diri kita, keluarga, masyarakat, negeri seterusnya Negara. Jangan mudah berputus asa malah yakinlah bahawa setiap kesusahan yang dilalui dalam meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini akan dibalas dengan kesenangan dan kemuliaan di dunia dan akhirat Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Mukminun: قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِ‌ضُونَ ﴿٣﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ ﴿٤﴾ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُ‌وجِهِمْ حَافِظُونَ Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); Dan mereka yang menjaga kehormatannya, Ketika kemuncak kepada penolakan dakwah ini maka datangnya bantuan daripada Allah dengan anugerah perjalanan hebat yang bukan sahaja menghiburkan nabi Muhammad s.a.w malah menambah lagi keyakinan dengan kehebatan dan kekuasaan Allah. Sepanjang perjalan Isra’ itu sendiri dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjid Aqsa di bumi Palestin maka nabi Muhammad s.a.w telah singgah di suatu tempat yang bakal dibina sebuah kerajaan Islam yang hebat selepas ini iaitu Yatrib atau Madinah Munawwarah. Ini adalah suatu pemberitahuan awal daripada Allah bahawa dakwah Islam tidak akan berakhir setelah tidak mendapat sambutan di Mekah dan Taif malah ia bukan sahaja berkembang malah akan memiliki sebuah kuasa pemerintahan yang membolehkan bukan sahaja untuk beribadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji sahaja malah mampu dilaksanakan system yang lain termasuk politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Malah semasa melawat neraka maka baginda diperlihatkan tentang siksa yang bukan sahaja bagi golongan yang meninggalkan ibadat khusus seperti solat yang digambarkan sebagai seorang lelaki yang menghantuk kepalanya sendiri di batu sehingga pecah berkecai malah banyak lagi siksa dalam masalah sosial seperti zina, riba, buka aurat, pecah amanah dan sebagainya. Semua ini menyedarkan kita bagaimana hanya hukum Islam sahaja mampu menyelamatkan kita di dunia dan akhirat. Akhir-akhir ini kita melihat kes ragut dan jenayah semakin meningkat menyebabkan adanya cadangan yang menyusahkan rakyat yang kurang berada iaitu larangan motosikal daripada masuk bandar atas alasan banyak jenayah dilakukan oleh penunggang motosikal. Cadangan ini ibarat marahkan nyamuk dibakar kelambu. Itu belum lagi mengambil kira jumlah kes tahanan mati dalam lokap polis yang agak meningkat tahun ini. Akhirnya jenayah bunuh bertambah di luar dan dalam lokap. Takkan kita hanya mahu menyaksikan perkara yang buruk ini bertambah dari sehari ke sehari tanpa tindakan sewajarnya termasuk dalam menyedarkan pemimpin agar segera melaksanakan tuntutan agama dalam pemerintahan Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Qosas: وَمَا كُنتَ بِجَانِبِ الطُّورِ‌ إِذْ نَادَيْنَا وَلَـٰكِن رَّ‌حْمَةً مِّن رَّ‌بِّكَ لِتُنذِرَ‌ قَوْمًا مَّا أَتَاهُم مِّن نَّذِيرٍ‌ مِّن قَبْلِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُ‌ونَ Maksudnya : Dan engkau (Wahai nabi Muhammad) juga tidak berada dekat Gunung Thur Sina ketika Kami menyeru (Nabi Musa dan memberi wahyu kepadanya dahulu), tetapi (diturunkan) rahmat (Al-Quran) dari Tuhanmu (menerangkan Kisah itu) supaya engkau memberi amaran kepada kaum (mu) yang telah lama tidak didatangi sebarang Rasul pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh pengajaran Tempat yang menjadi persinggahan nabi Muhammad s.a.w dalam perjalanan Isra’ juga ialah di Madyan yang merupakan tempat tinggal nabi Musa a.s bersama nabi Syuib buat beberapa ketika setelah menjadi buruan tentera Firaun. Malah nabi s.a.w turut ditunjukkan bagaimana dakwah nabi Musa a.s lebih teruk berbanding penolakan penduduk Taif yang melempar batu hingga berdarah tubuh nabi kerana kemuncak penentangan dakwah nabi Musa a.s seolah nyawa berada dipenghujungnya apabila dikejar oleh 2 juta tentera Firaun sehingga rapat dipinggir laut Merah. Mahu maju ke depan pasti lemas di tengah lautan, mahu berundur belakang sudah terkepung oleh tentera Firaun. Akhirnya Allah menyelamatkan nabi Musa a.s dan pengikutnya dengan di belah laut kepada 12 lorong mengikut jumlah puak bani Israel. Ini turut memberi semangat kepada nabi bahawa dakwah Islam akan terus dibantu oleh Allah. Begitulah kita semua wajib yakin bahawa kemenangan yang dijanjikan oleh Allah pasti datang kepada pejuang agama dengan syarat kita bersungguh-sungguh dan istiqamah dalam memenuhi syarat kemenangan. قال الرسول : مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللهُ فِى أُمَّةٍ قَبْلِي إِلا كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّوْنَ وَأَصْحَاب يَأْخُذُوْنَ بِسُنَّتِهِ ويََقْتَدُوْنَ بِأَمْرِهِ ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بِعْدِهِمْ خُلُوْفُ يَقُوْلُوْنَ مَالا يَفْعَلُوْنَ وَيفْعَلُوْنَ مَالا يُؤْمَرُوْنَ فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ لَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الإيمْاَنِ حَبَّةَ خَرْدَلٍ –- رواه مسلم Maksudnya : Tiada seorang nabi pun yang Allah utus kepada umat sebelum aku melainkan terdapat pada umatnya itu penolong dan para sahabat yang melaksanakan sunnahnya dan mengikut perintahnya. Setelah generasi mereka, datanglah generasi yang hanya pandai bercakap apa yang tidak dibuat. Mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak pernah diperintahkan kepada mereka. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan tangannya maka dia seorang yang beriman. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan lidahnya maka dia seorang yang beriman. Sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan hatinya maka dia juga seorang yang beriman. Tiada lagi keimanan selepas itu walaupun sebesar sawi Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 38-42 surah an-Najmi: أَلَّا تَزِرُ‌ وَازِرَ‌ةٌ وِزْرَ‌ أُخْرَ‌ىٰ ﴿٣٨﴾ وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ ﴿٣٩﴾ وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَ‌ىٰ ﴿٤٠﴾ ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاءَ الْأَوْفَىٰ ﴿٤١﴾ وَأَنَّ إِلَىٰ رَ‌بِّكَ الْمُنتَهَىٰ Maksudnya : (Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya; Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak); Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna; Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmu lah kesudahan (segala perkara); Nabi Muhammad s.a.w turut singgah di Thur Sinai tempat nabi Musa a.s pernah bermunajat dengan Allah. Malah disitu jugalah nabi Musa a.s pernah meminta untuk melihat Allah namun ditunjukkan dengan bergegar bukit sehingga baginda rebah pengsan. Ini seolah-olah gambaran awal bagaimana keistimewaan yang pernah dianugerahkan kepada nabi Musa a.s akan turut dianugerahkan oleh Allah kepada nabi s.a.w dalam peristiwa Isra’ Mikraj malah lebih hebat daripada itu lagi. Perjalanan nabi Muhammad s.a.w yang seterusnya melalui 7 lapisan langit menggambarkan kepada kita bagaimana dalam perjuangan Islam mesti melalui pelbagai halangan dan cabaran. Begitu juga dalam memperbanyakkan amal ibadat dan juga memperbaiki akhlak maka perlu melalui jalan yang berliku dengan berdepan godaan hawa nafsu dan syaitan. Yang pasti sebagaimana kemuncak kepada perjalanan Isra’ Mikraj ialah bertemu dengan Allah maka begitulah juga segala perbuatan dan amalan kita kemuncaknya ialah mampu hampirkan diri kita kepada Allah. Selagi belum mencapai tahap ini maka semakin kuat usaha yang mesti dilakukan untuk menghampirkan diri kepada Allah kerana itulah matlamat hidup kita. Firman Allah dalam ayat 22-28 surah al-Muthoffifin : إِنَّ الْأَبْرَ‌ارَ‌ لَفِي نَعِيمٍ ﴿٢٢﴾ عَلَى الْأَرَ‌ائِكِ يَنظُرُ‌ونَ ﴿٢٣﴾ تَعْرِ‌فُ فِي وُجُوهِهِمْ نَضْرَ‌ةَ النَّعِيمِ ﴿٢٤﴾ يُسْقَوْنَ مِن رَّ‌حِيقٍ مَّخْتُومٍ ﴿٢٥﴾ خِتَامُهُ مِسْكٌ ۚ وَفِي ذَٰلِكَ فَلْيَتَنَافَسِ الْمُتَنَافِسُونَ ﴿٢٦﴾ وَمِزَاجُهُ مِن تَسْنِيمٍ ﴿٢٧﴾ عَيْنًا يَشْرَ‌بُ بِهَا الْمُقَرَّ‌بُونَ Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat: Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ). Engkau dapat melihat pada muka mereka: cahaya nikmat yang mereka perolehi. Mereka diberi minum dari satu minuman yang termeterai bekasnya, Meterainya kasturi; - dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan; Dan campuran minuman itu adalah dari "Tasnim": laitu matair yang diminum daripadanya oleh orang-orang yang di dampingkan (Tuhan di sisiNya). بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ