أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 29 November 2013

Islam DiNobat Hidup Berkat Negara Selamat

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 6 surah at-Tahrim : ياأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّـهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan Kini kita berada di penghujung bulan November 2013 di mana sekarang merupakan musim cuti sekolah. Kita yang mempunyai anak cucu yang masih bersekolah wajib menggunakan ruang cuti ini untuk mengisi jadual anak cucu kita dengan suatu perkara yang berfaedah untuk dunia dan akhirat mereka terutama mendalami ilmu agama, mempelajari dan memahami al-Quran seterusnya mencintai serta menghidupkan sunnah nabi s.a.w dalam kehidupan seharian. Malah digalakkan anak cucu kita bersukan seperti memanah bagi melahirkan generasi yang sentiasa dapat memberi tumpuan dalam tugasan dan gerak kerja yang dilakukan. Begitu juga sukan berkuda dalam membentuk fizikal dan mental yang kuat. Jangan biarkan masa cuti anak cucu kita tidak dirancang dengan aktiviti berfaedah sehingga mereka terlibat dengan aktiviti tidak sihat yang merugikan anak itu sendiri, keluarga, masyarakat seterusnya Negara. Jadikanlah rumah kita sebagai pusat tarbiah dalam melahirkan pemimpin ummah pada masa akan datang. Justeru, Sayyidina Umar al-Khottab pernah menyatakan : “Sewaktu bergaul di rumah, seorang bapa perlulah menyesuaikan diri sebagai anak-anak dengan beramah mesra dan berlemah lembut. Beginilah pergaulan yang seharusnya dilakukan bersama anak cucu di rumah di mana akan muncullah tokoh yang hebat dalam sebuah keluarga itu”. Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 15 surah al-Ahqaf : وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ ﴿١٥﴾ Maksudnya : Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)". Menyedari bagaimana peri pentingnya pendidikan yang tidak terhad di pusat pengajian, masjid, surau sahaja tetapi meliputi di rumah itu sendiri seterusnya di pejabat dan mana sahaja. Jangan biarkan umur kita sahaja bertambah dengan pengedaran hari berganti minggu, minggu bertukar bulan seterusnya bulan berganti tahun sedangkan amalan soleh tidak bertambah ketika dosa pula bertimbun. Abdullah bin Abbas ra. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal kejahatannya, maka hendaklah dia bersiap-siap ke neraka.” Imam asy-Syafi’e ketika mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat. Jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahawa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali telapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syarak lazim bagiku. Diantara aku dan dia ada Allah.” Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 56 surah an-Nisa’ : إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا ﴿٥٦﴾ Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Kejayaan kita bukan setakat memiliki harta bertimbun, pangkat tinggi menggunung atau pengikut dan keturunan berduyun sebaliknya kejayaan kita bergantung kepada kejayaan untuk kita sendiri seterusnya ahli keluarga kita berperangai dengan perangai ahli Syurga dan menjauhi perangai ahli Neraka. Seorang ulama’ pernah member nasihat kepada isterinya yang sedang menyusu anak mereka dengan katanya : “Wahai isteriku tercinta! Susuilah anak kita bukan sekadar kerana rasa sayang kepadanya kerana jika semata-mata sayang maka binatang pun berbuat demikin juga ketika menyusu anak mereka. Sebaliknya niatkan supaya sifat mentauhidkan Allah turut mengalir bersama susumu ke dalam diri anak kita”. Ingatlah begitu banyak ayat al-Quran yang menerangkan kepada kita tentang betapa dahsyat dan peritnya seksaan ahli Neraka. Malah seorang ahli saintis Thailand telah mengkaji tentang sebab Allah menyatakan kulit manusia akan diganti dengan kulit baru sepanjang dibakar dalam Neraka sehingga menemui hasil kajian bagaimana kulit manusia terdiri daripada 3 lapisan di mana lapisan di atas sekali paling sakit merasai sesuatu yang menyakitkan termasuk api berbanding kulit lapisan dalam. Kajian ini membawa beliau untuk memeluk Islam. Oleh itu bersamalah kita menyelamatkan diri kita seterusnya ahli keluarga daripada Neraka. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 269 surah al-Baqarah : يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿٢٦٩﴾ Maksudnya : Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. Kita sedar bagaimana ilmu agama begitu penting dalam membezakan antara hak dan batil, halal dan haram, pahala dan dosa. Proses pembelajaran ilmu agama terus berjalan selagi nyawa dikandung badan. Akibat jahil menyebabkan umat Islam mudah terjerumus dengan ajaran sesat serta aktiviti tidak sihat termasuk dadah, mencuri, pecah amanah, rasuah, mendedah aurat, tinggal solat dan sebagainya. Malah wujudnya umat Islam yang tidak yakin kepada system Islam termasuk hukum hudud akibat kejahilan yang menguasai diri. Oleh itu kita terus mendesak agar pemimpin segera menjadikan matapelajaran agama Islam sebagai subjek teras yang wajib lulus dalam semua peringkat peperiksaan serta memasukkan matapelajaran agama di semua fakulti di Universiti awam dan swasta dalam memperkasakan ilmu dan penghayatan Islam dalam kehidupan. Kita tidak mahu hanya Bahasa Inggeris yang diutamakan demi mengejar kemajuan di mana dasar terbaru Bahasa Inggeris dijadikan matapelajaran wajib lulus SPM tahun 2016. Kita tidak mahu anak bangsa kita menjadi mangsa dari dasar ini sebagaimana kegagalan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), yang akhirnya dimansuhkan berkuat kuasa 2012 yang mampu menjimatkan perbelanjaan kira-kira RM40 juta setahun. Begitu juga perlantikan mentor bahasa Inggeris yang menelan belanja RM 270 juta setahun tetapi hasilnya begitu mengecewakan bila prestasi pelajar merosot. Kajian menunjukkan bagaimana tidak ada satu negara pun di dunia ini yang mencapai status negara maju kerana menggunakan bahasa luar dan meninggalkan bahasa ibunda. Lihat sahaja Jepun, Korea, Taiwan, China, Russia, German, Perancis dan banyak lagi negara telah begitu maju dalam pelbagai bidang teknologi tanpa perlu bergantung kepada bahasa Inggeris. Juga, tiada satu negara pun yang mencapai status negara maju kerana menggunakan bahasa kedua mereka sama ada Bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol atau lainnya. Bahkan, berdasarkan kajian Pertubugan Bangsa-bangsa Bersatu (PPB), jika sesebuah negara itu ingin maju, mereka hendaklah menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran. Kita tidak mahu setiap dasar yang diluluskan menjadikan pelajar sebagai bahan ujikaji sedangkan dalam masa sama ada pihak yang mengaut keuntungan daripada setiap dasar yang dilaksanakan. Ibnu Khaldun pernah berkata bahawa sesuatu bangsa yang paling teruk dan tidak bermaruah ialah apabila bangsanya dijajah dan dia pula terpaksa menggunakan bahasa penjajah untuk maju. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Akibat jahil juga menyebabkan kita mudah ditipu dalam apa jua perkara. Antara contohnya alasan bodoh kenaikan harga minyak dan gula yang kadang-kadang jauh terlalu tinggi daripada Negara lain diterima bulat-bulat. Kini cuba dipasakkan dalam benak rakyat bahawa cukai GST yang bakal dilaksanakan merupakan suatu yang paling baik dan tidak membebankan rakyat. Antara prinsip-prinsip percukaian islam adalah: [1] Cukai hanya boleh diambil di saat kerajaan benar-benar berhadapan situasi yang sangat memerlukan iaitu kewangan negara tidak cukup menampung perbelanjaan mengurus dan pembangunan negara. [2] Disyaratkan pula keperluan kewangan itu berlaku bukan kerana ketirisan dalam perbelanjaan atau pemborosan. [3] Apabila cukai dikenakan ia tidak boleh meliputi seluruh masyarakat tanpa membezakan kaya atau miskin. Kaedah cukai ialah diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan untuk kegunaan orang-orang miskin. Antara ciri penting negara Islam ialah merupakan negara hidayah bukan negara jibayah (cukai). Kita dapat lihat pada zaman Umar bin Abdul Aziz menjadi Khalifah beliau berjaya memulihkan krisis kewangan negara dalam masa 2 tahun sahaja. Kesedaran rakyat yang kaya dibangkitkan sehingga mereka berlumba-lumba membayar zakat dan cukai negara. Berbeza hari ini rakyat mencari jalan dan alasan meloloskan diri daripada cukai negara sehinggakan kerajaan kerugian cukai berjuta-juta ringgit. Jadikan Islam sebagai cara hidup barulah kita bahagia dunia akhirat Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud : وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Rabu, 13 November 2013

Hijrah Julang Islam Hancurkan Jahiliah

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 5 surah Ibrahim : وَلَقَدْ أَرْ‌سَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِ‌جْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ‌ وَذَكِّرْ‌هُم بِأَيَّامِ اللَّـهِ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ‌ شَكُورٍ‌ Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: "Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan Hari-hari Allah. "Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda yang menunjukkan kekuasaan Allah bagi tiap-tiap seorang yang kuat bersabar, lagi kuat bersyukur Kita baru sahaja menyambut ketibaan bulan Muharram tahun 1435H yang mengetuk hati kita untuk sama-sama menghayati erti hijrah dalam kehidupan sesuai denga ianya merupakan bulan pertama dalam Taqwim Hijrah. Sewajarnya setiap kali meninggalkan tahun lama dan masuk kepada tahun baru maka kita perlu melakukan proses hijrah terutama pada diri kita sendiri ke arah tunduk patuh kepada segala arahan Allah dan menjauhi segala laranganNya dalam setiap aspek kehidupan. Kita wajib hijrah dengan meninggalkan segala perkara yang merugikan agama dan umat serta melakukan ketaatan maksimum kepada Allah SWT. Kita juga digalakkan untuk banyak melakukan amalan puasa sunat terutama pada hari Kesembilan dan Kesepuluh daripada bulan Muharram atau hari ‘Asyura’ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ : .. وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ” - رواه مسلم Maksudnya : … Adapun puasa hari Asyura, pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal : وَإِذْ يَمْكُرُ‌ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِ‌جُوكَ ۚ وَيَمْكُرُ‌ونَ وَيَمْكُرُ‌ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ‌ الْمَاكِرِ‌ينَ Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya Ketika menyingkap berkenaan matlamat hijrah nabi-nabi maka kita dapati antara 3 sebab berlangsungnya hijrah iaitu [1] untuk menyeru manusia mentauhidkan Allah, [2] bagi mempertahankan keimanan pengikut daripada diganggu dan [3] membuka penempatan baru untuk kebaikan semua. Nabi Ibrahim berhijrah meninggalkan tanah kelahirannya kerana enggan tunduk kepada Raja Namrud yang menolak agama tauhid. Nabi Ibrahim juga berhijrah membawa isterinya Siti Hajar dan puteranya Nabi Ismail menuju ke sebuah lembah kering kontang untuk membuka penempatan baru, iaitu Makkah yang akhirnya menjadi pusat ibadat hingga kini. Nabi Musa pula berhijrah meninggalkan Mesir menuju ke Syam bersama pengikut setia bagi mengelak kekejaman dilakukan Firaun yang mengaku dirinya tuhan dan di sana diberi negeri untuk menguatkan lagi penyebaran Islam. Nabi Nuh pula berhijrah atas perintah Allah menaiki kapal ketika banjir besar bertujuan menyelamatkan sejumlah pengikut setia daripada terus diejek dan diganggu penduduk yang menolak seruan tauhid. Penghijrahan nabi meninggalkan sesuatu tempat menuju tempat lain bukan bermakna mengaku kalah atau meninggalkan amanah menyebarkan agama tauhid. Hijrah suatu strategi mendapat kekuatan dan keselamatan. Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah menjadi titik permulaan kejayaan umat Islam di mana Islam dapat disebarkan secara terbuka dan mendapat sambutan serta dapat melaksanakan system Islam yang lengkap dengan adanya kuasa pemerintahan. Menyedari Makkah tidak sesuai diteruskan dakwah, lalu Nabi Muhammad SAW mencari tempat lain difikirkan lebih selamat. Tempat pertama dipilih ialah Taif. Namun, keadaan tidak memihak kepada Rasulullah SAW. Tempat lain pernah dijadikan tempat hijrah ialah Habsyah. Walaupun mendapat layanan baik Raja Habsyah, terdapat beberapa keadaan menyebabkan Habsyah tidak menjadi destinasi hijrah Rasulullah SAW walau pun ramai sahabat terus tinggal di Habsyah untuk tempoh lama. Penghijrahan Nabi Muhammad SAW ke Madinah tidak dilakukan secara terburu-buru sebaliknya Rasulullah SAW mengkaji latar belakang atau kesesuaian terlebih dahulu sebelum berhijrah. Rasulullah SAW menguji penerimaan penduduk Madinah dengan berdakwah kepada mereka yang datang ke Makkah mengerjakan haji sehingga berlangsungnya Perjanjian Aqabah yang menjadi perintis kepada hijrah. Tindakan bijak ini mesti diteladani dalam memperkasakan Islam agar umat Islam maju ke depan bukan mundur ke belakang, menjadi bangsa berdaulat bukan mangsa yang diinjak-injak oleh musuh Islam, menjadi model ikutan bukan ‘pak turut’ yang merugikan Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, عن عائشة رضي الله عنها قال: قال رسول الله : (لَا هِجْرَةَ بَعْدَ الْفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ وَإِذَا اسْتُنْفِرْتُمْ فَانْفِرُوا) متفق عليه Maksudnya: Tidak ada hijrah lagi setelah dibukanya kota Makkah, tetapi yang ada adalah jihad (berjuang di jalan Allah) dan niat untuk selalu berbuat baik. Oleh kerana itu, jika kalian diseru untuk berjuang, maka berangkatlah!” Sempena berada pada tahun baru hijrah marilah kita sama-sama menghayati roh hijrah untuk diguna pakai dalam konteks semasa iaitu membina semula kegemilangan tamadun Islam yang sudah lama hilang. Umat Islam mestilah memahatkan suatu kebanggaan dalam jiwa masing-masing bahawa Islam agama paling hebat. Sifat segan silu hendaklah dikikis daripada dada umat Islam bagi menzahirkan keindahan dan keagungan Islam dalam setiap aspek kehidupan samada politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Ketika masalah kerapuhan aqidah, kerosakan akhlak, peningkatan masalah jenayah yang berlaku dalam Negara diikuti dengan suasana keselamatan yang tergugat terutama kes pengawal keselamatan sendiri yang terlibat dengan jenayah bunuh dan rompak ditambah pula ramai warga asing yang diupah menjadi pengawal keselamatan. Kita harap jangan pula ada kes polis dan tentera pun daripada kalangan warga asing selepas ini. Oleh itu sudah sampai masanya Negara berhijrah kepada system perundangan Islam sebagaimana tindakan berani Kerajaan Brunei mewartakan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah yang merangkumi pelaksanaan hukum hudud mulai 22 Oktober 2013, dan akan mula berkuat kuasa enam bulan selepasnya secara berfasa. Undang-undang itu meliputi hukuman termasuk merejam hingga mati kerana muhsan yang berzina, memotong tangan kerana mencuri dan sebat kerana pelbagai kesalahan seperti pengguguran kandungan hingga kepada meminum arak. Kita menyokong penuh titah ucapan Sultan Brunei semasa mewartakan hukuman Islam ini dengan titah baginda : Undang-Undang Allah disyari’atkan bukanlah untuk kepentingan Allah sendiri kerana Allah sama sekali tidak mempunyai apa-apa hajat, kerana Dia sendiri adalah Tuhan yang Maha Sempurna. Yang berhajat itu ialah kita para hamba, termasuk hajat untuk dapat menikmati keadilan dan kesejahteraan. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal : وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُ‌وا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُ‌وا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَرِ‌زْقٌ كَرِ‌يمٌ Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia Model Daulah yang agung yang dibina oleh nabi Muhammad s.a.w berdiri atas 3 asas utama iaitu [1] pembinaan masjid bagi membina ikatan manusia dengan Allah yang menjadi kekuatan utama kepada kesejahteraan dan keberkatan Negara. Apabila bermula daripada pemimpin hingga rakyat jelata takut kepada Allah maka masalah kezaliman, penindasan dapat dihakiskan. Kita tidak mahu mempunyai pemimpin yang hanya mahu rakyat berjimat cermat sedangkan sikap boros dan membazir seperti kes ketirisan akibat pecah amanah, rasuah mengakibatkan RM6.5 bilion wang rakyat lebur tahun lepas melebihi subsidi minyak dan gula yang ditarik. Itu belum dikira dengan kos Kompleks Perdana Menteri lebih RM2.2 juta untuk elektrik manakala lebih RM300,000 dibelanjakan untuk bil air iaitu RM 8 500 sehari untuk tahun lepas sahaja. Sedangkan rakyat bakal dibebani dengan kenaikan tariff elektrik tidak lama lagi. Begitu juga penggunaan pesawat persendirian menelan kos RM14.95 juta untuk bahan api dan RM160.08 juta untuk penyelenggaraan dengan kos hampir RM 500 ribu untuk satu penerbangan . Sedangkan rakyat terkial-kial untuk berbelanja jimat akibat kenaikan harga barang yang terus meningkat [2] Nabi s.a.w membina ikatan persaudaraan yang kuat antara golongan Muhajirin yang berhijrah dengan golongan Ansar yang merupakan anak watan Madinah sehingga hubungan kemanusiaan atas dasar iman ini banyak membantu membina Negara yang kuat. Oleh itu kita pada hari mestilah menghayati semangat persaudaraan Islam yang kuat dalam memastikan penjajahan Palestin dapat ditamatkan, pembunuhan di Syria dapat dihentikan, penderitaan bangsa Roghiya di Myanmar dapat pembelaan, nasib umat Islam yang tertindas di seluruh dunia dapat perhatian. Musuh Islam melalui dasar pecah perintah yang menjadi dasar penjajahan ke atas bumi Umat Islam telah menanam sikap Assobiyah atau kebangsaan sempit yang menyebabkan ramai umat Islam merasakan bagaimana nasib malang yang menimpa saudara seagama di Negara yang lain adalah masalah Negara masing-masing bukan masalah kita bersama. Buangkan sikap yang buruk ini untuk kembali menjadikan umat Islam seperti batu bata yang tersusun rapi dan ibarat sebatang tubuh di mana satu anggota merasa sakit menyebabkan anggota lain turut menderita قال الرسول  : المُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ المُسْلِمُوْنَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللهُ عَنْهُ - رواه البخاري وأبو دأود والنسائي Maksudnya: Seorang muslim ialah orang yang menyelamatkan saudaranya muslim yang lain melalui lidah dan tangannya. Dan seorang yang berhijrah ialah sesiapa yang berhijrah daripada perkara yang ditegah oleh Allah daripadanya Asas ke-[3] yang dibina selepas hijrah ialah membentuk Piagam Madinah yang merupakan asas pembinaan Negara yang pertama di dunia dalam memastikan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama dapat hidup aman di bawah satu system yang saksama. Keadilan dan kehebatan system Islam bukan sahaja dapat dirasai oleh umat Islam malah orang bukan Islam. Oleh itu gunakanlah peluang ketika orang Islam masih mempunyai kuasa poltik dalam Negara untuk memperkasakan system Islam. Kita tidak mahu Negara tunduk kepada suara seperti atas nama hak asasi manusia supaya dihalakan budaya songsang Lesbian, homoseksualiti (LGBT) , murtad, pemansuhan jenayah syariah. Kita tidak akan menjemput bala Allah dengan menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah. Bersama berhijrah dalam menjulang system Islam. Bersama berhijrah daripada terus dijajah oleh system ciptaan manusia. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud : وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ الْقُرَىٰ بِظُلْمٍ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ Maksudnya : Dan Tuhanmu tidak sekali-kali mahu membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagimana mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ