أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Isnin, 21 Januari 2019

Syiar dan Syariat Islam DiMartabat Jahiliah DiSekat

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ..... فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 32 surah al-Hajj: ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّـهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ ﴿٣٢﴾ Maksudnya : Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati Syiar-syiar agama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin. Al-Quran banyak menyebut tentang 'syiar' yang secara bahasa bererti tanda untuk mengenali sesuatu. Kata syiar berasal dari kata syu`ur, yang bermakna rasa, kerana syiar dibangun agar setiap orang yang melihatnya merasakan keagungan Allah. Syiar sjuga difahami sebagai tanda ibadah termasuk ibadah haji. Syiar boleh menunjuk pada tempat-tempat yang mulia, seperti Ka`bah, Sofa, Marwah, Arafah, dan al-Masy`ar al-Haram; boleh menunjuk pada waktu, seperti bulan Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram, dan Rejab; dan dapat pula menunjuk pada amalan-amalan agama. Menurut al-Razi, syiar tidak hanya menunjuk pada amalan ibadah haji semata-mata, tetapi semua ibadah yang lain bahkan semua aktiviti yang menjadi simbol kepatuhan seseorang kepada Allah. Syiar diagungkan sebagai melambangkan rasa taqwa. Kegiatan mengagungkan syiar Allah difahami oleh para ulama dalam beberapa makna antaranya : [1] Ihtifal di mana aktiviti keagamaan yang bernilai syiar, perlu dilakukan secara terbuka, meriah dalam batas syarak dan ikhlas. [2] Iltizam di mana mengagungkan syiar itu merupakan kewajiban agama yang harus ditunaikan oleh setiap Muslim sebagai bagian dari proses tazkirah iaitu mengingatkan manusia pada keagungan Allah. [3] Itmam di mana syiar harus dilakukan sebaik dan sesempurna mungkin. Contohnya dalam konteks syiar haji, Rasulullah s.a.w memberikan 100 ekor unta sebagai qurban. Sebagaimana telah dikemukakan bahawa syiar bertalian dengan taqwa. Ahli tafsir Zamahsyari dan Ibn `Asyur, memahami taqwa sebagai mabda', atau pangkal permulaan kepada kegiatan syiar. Bagi Al-Alusi, selain sebagai mabda', juga sebagai ta`lil, yakni alasan perlunya syiar. Ini bererti, syiar Islam tak boleh dilihat dari sisi simboliknya semata-mata sebaliknya pada makna tersurat dan tersirat bagi melahirkan semangat taqwa untuk menggerakkan manusia mencapai pangkat taqwa. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Jumuaah: يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ ﴿٩﴾ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan laungan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya) Syiar Islam yang berada dekat kita ialah masjid, begitu juga laungan azan. Azan merupakan syiar kaum muslimin sehingga Nabi s.a.w tidak menyerang suatu daerah jika terdengar azan di dalamnya. Dari Anas bin Malik beliau berkata, كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صلي الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُغِيرُ إِذَا طَلَعَ الْفَجْرُ وَكَانَ يَسْتَمِعُ اْلأَذَانَ فَإِنْ سَمِعَ أَذَانًا أَمْسَكَ وَإِلاَّ أَغَارَ - رواه مسلم Maksudnya : “Rasulullah s.a.w menyerang (suatu kaum) ketika terbit fajar. Dan Baginda memperhatikan azan. Apabila Baginda mendengar, maka Baginda s.a.w menahan. Dan bila tidak (mendengar), maka Baginda s.a.w menyerang”. Oleh itu laungan azan bukan suatu yang boleh dipermainkan malah ia sepatutnya menjadi seruan penting dalam menyatukan hati kita bukan sahaja untuk datang solat berjemaah malah menegakkan semua system Islam bermula dalam diri sendiri, anak isteri, masyarakat, negeri seterusnya negara Begitulah juga masjid bukan untuk dihias cantik tetapi simbol kehebatan Islam apabila mampu dihidupkan. Setiap diri kita wajib menjadikan diri kita sebagai kaki masjid serta mendidik anak cucu kita sebagai pemuda Masjid. Kejayaan menarik seramai mungkin anak muda ke masjid pasti menjanjikan kesan yang baik kepada masyarakat. Sebaliknya kegagalan memenuhkan ruangan masjid dengan anak muda bakal membawa bencana dan kerosakan kepada masyarakat Antara tips untuk menjinak anak muda dengan masjid ialah: [1] Wujudkan suasana yang mempengaruhi fikiran dan minat kepada masjid supaya remaja terbiasa menjadikan masjid sebagai tempat selesa untuk menambah pahala dan mendekatkan diri kepada Allah serta menyelesaikan masalah. [2] Komitmen ibubapa untuk mendidik anak dari kecil untuk berjinak dengan masjid sebagaimana kita merasakan anak wajib ke sekolah begitulah juga masjid [3] Ibubapa menjadi teladan yang baik dengan diri sendiri sentiasa datang ke masjid. Pesan Ulama’ jika kita mahu anak kita mewarisi amalan suka ke masjid, sentiasa baca al-Quran, suka bersedekah maka mulailah dari kita. Anak-anak akan mencontohi kita samada kaki masjid atau anti masjid. [4] Tidak salah untuk kita memberi Hadiah sebagai motivasi yang besar sehingga anak cenderung untuk melakukan apa yang lebih baik lagi dari yang dia lakukan sebelumnya [5] Menjadikan Masjid mesra remaja di mana masjid mampu membuat anak-anak tenang, tidak canggung dengan pengisian yang pelbagai Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 81surah Toha : كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَلَا تَطْغَوْا فِيهِ فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِي ۖ وَمَن يَحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِي فَقَدْ هَوَىٰ﴿٨١﴾ Maksudnya : Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia. Simbol atau lambang jika disalahguna boleh mendatangkan bahaya termasuk dari segi makan minum. Oleh itu kita mengambil serius tindakan sesetengah peniaga bukan Islam yang menggunakan ayat-ayat al-Qur’an, nama dan imej Islam di premis perniagaan dan juga bahan jualan mereka di mana tindakan tersebut dipercayai untuk menarik minat dan kepercayaan pengguna Muslim untuk membeli barang dan perkhidmatan yang ditawarkan. Tindakan tersebut seolah-olah memperlekehkan Islam dan mengelirukan pengguna Muslim. Kita memberi kepercayaan kepada JAKIM untuk mengatasi masalah ini termasuk mengedar suatu maklumat lengkap yang menyenaraikan premis-premis bermasalah untuk dipaparkan kepada umum sebagai satu panduan pengguna. Selain itu, satu tindakan tegas seperti penarikan lesen perniagaan dan hukuman berat perlu dikenakan terhadap mereka yang menyalahgunakan pendekatan ini. Disamping itu umat Islam sendiri sepatutnya lebih mengutamakan kedai dan produk keluaran orang Islam bagi menjaga halal haram. Kita sudah lama menjadi pengguna dan pembeli setia kepada barangan bukan Islam. Bantulah dalam meramaikan lagi usahawan dan pengeluar produk muslim supaya kita tidak selamanya bergantung kepada orang bukan Islam. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Kita juga wajib memperkasakan kerja amar makruf nahi mungkar termasuk mengurangkan lessen arak, judi dan kelab malam yang merupakan ibu maksiat yang mengundangkan pelbagai masalah sosial dan jenayah dalam negara. Kita tidak mahu golongan yang membantu dalam kerja mencegah kemungkaran diberkas sedangkan penyebar maksiat, budaya songsang, liberal dibiarkan bergerak bebas termasuk di media perdana. Kita berasa malu dan kecewa dengan sikap setengah pihak apabila berdepan dengan pendaftaran sekolah tahfiz bagaikan singa lapar untuk menutupnya sebaliknya tetapi bila berdepan dengan premis maksiat dan munkar seperti kelab malam bagaikan tikus ketakutan sehingga ia bukan sahaja tidak mampu dikurangkan seperti di Ibu Negara sendiri yang kini direkodkan mempunyai 627 premis hiburan berlesen. Malah ketika pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha menghadkan operasi premis berkenaan setakat jam 1 pagi tetapi akhirnya dilihat tunduk dan akur dengan tuntutan desakan para pengusaha premis maksiat dan munkar itu. Sedangkan jika kita perhatikan di Singapura sendiri mereka lebih ketat berkaitan jualan arak dan operasi kelab malam. Jadilah penentang kemungkaran, jangan menjadi pengundang bala Allah قال رَسُوْلُ اللهِ صلي الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : فِي هَذِهِ الْأُمَّةِ خَسْفٌ وَمَسْخٌ وَقَذْفٌ . فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ الْمُسْلِمِينَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَتَى ذَاكَ ؟ قَالَ : إِذَا ظَهَرَتْ الْقَيْنَاتُ وَالْمَعَازِفُ وَشُرِبَتْ الْخُمُورُ – رواه الترمذي Maksudnya: Berlaku pada umat ini, gempa bumi, diubah menjadi rupa makhluk lain dan fitnah. “Seorang laki-laki dari kaum muslimin bertanya :” Wahai Rasulullah ! bila berlaku perkara itu? Sabda nabi: “Apabila semakin banyak nyanyian dan alat-alat muzik dan minum arak. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Saidatina Aisyah berkata bahawa Rasulullah ﷺ sangat sensitif dengan lambang salib: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «لَمْ يَكُنْ يَتْرُكُ فِي بَيْتِهِ شَيْئًا فِيهِ تَصَالِيبُ إِلَّا نَقَضَهُ – رواه البخاري Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah ﷺ tidak akan meninggalkan sesuatu yang mempunyai lambang salib di dalam rumahnya melainkan Baginda akan mengubah lambang tersebut. Saidatina Aisyah pernah meminta seorang wanita supaya meninggalkan kain yang mempunyai lambang salib. كُنَّا نَطُوفُ بِالْبَيْتِ مَعَ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ، فَرَأَتْ عَلَى امْرَأَةٍ بُرْدًا فِيهِ تَصْلِيبٌ، فَقَالَتْ أُمُّ الْمُؤْمِنِينَ: " اطْرَحِيهِ اطْرَحِيهِ، فَإِنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَأَى نَحْوَ هَذَا قَضَبَهُ – رواه أحمد Maksudnya : “Kami pernah menunaikan tawaf bersama dengan Ummul Mukminin Aisyah. Apabila beliau terlihat kain yang terdapat lambang salib pada seorang wanita, Aisyah lantas berkata: Tinggalkan kain ini, tanggalkannya. Sesungguhnya Rasulullah ﷺ sekiranya Baginda melihat lambang salib, maka Baginda akan mencabutnya. Sebagaimana maklum bahawa Islam adalah agama negara maka sebarang usaha dalam menghinanya adalah suatu kesalahan yang besar. Oleh itu kita menyokong saranan Mufti Pulau Pinang supaya pihak berkuasa dengan seberapa segera mengarahkan pemaju mengubah kedudukan lampu-lampu di satu bangunan komersil bukannya rumah ibadat Kristian supaya tidak kelihatan seperti lambang salib besar yang tidak disenangi oleh kalangan umat Islam. Adalah tidak menjadi kesalahan bagi orang yang beriman untuk merasa sensitif dengan simbol kekufuran. Ini adalah Sunnah Rasulullah, iaitu tidak redha dengan kekufuran. Bahkan di dalam hadith yang sahih, Rasulullah ﷺ menjelaskan bahawa apabila tiba hari kiamat nanti, Nabi Isa sendiri akan menghapuskan lambang salib. Sabda Rasulullah: لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَنْزِلَ فِيكُمْ ابْنُ مَرْيَمَ حَكَمًا مُقْسِطًا، فَيَكْسِرَ الصَّلِيبَ – رواه البخاري Maksudnya : “Tidak akan berlaku hari kiamat melainkan akan turunnya Nabi Isa dan Baginda akan menjalankan hukuman yang adil dan menghapuskan (lambang-lambang) salib.” Tegakkan syiar dan syariat Islam dalam kehidupan untuk Berjaya dunia akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: