أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 8 Februari 2019

Jati Diri Ummah DiMiliki Islam DiJulang Tinggi

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 30 surah Fussilat : إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّـهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنتُمْ تُوعَدُونَ ﴿٣٠﴾ Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu Sifat Istiqamah membawa maksud tetap atau berpendirian teguh atas kebenaran. Secara umumnya, berpegang pada aqidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah atau berpaling tadah walau apa jua keadaan. Istiqamah merupakan daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam, mulai daripada amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan. Segala amalan samada fardu ain atau fardu kifayah memerlukan istiqamah. Ibnu ‘Abbâs RA dan Qatâdah RH berkata, “Maksud Istiqmah, berlaku luruslah dalam melaksanakan hal-hal yang diwajibkan.” Abu Bakar RA menafsirkan firman Allah( ثُمَّ اسْتَقَامُوْا) “dengan mengatakan, ”Mereka adalah orang-orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun.” Qâdhi ‘Iyâdh RH mengatakan, “Mereka mentauhidkan Allah dan beriman kepada-Nya kemudian berlaku lurus, tidak menyimpang dari tauhid, dan selalu iltizâm atau konsisten dalam melakukan ketaatan kepada-Nya sehingga mereka meninggal dunia Imam al-Qusyairi RH berkata, “Istiqâmah adalah sebuah darjat, dengannya berbagai urusan menjadi sempurna dan berbagai kebaikan dan keteraturan mampu diraih. Sesiapa yang tidak istiqâmah dalam keperibadiannya maka dia akan sia-sia dan gagal. Istiqâmah tidak akan mampu dilakukan kecuali oleh orang-orang yang berjiwa besar, kerana dia keluar dari hal-hal yang dianggap lumrah, meninggalkan adat kebiasaan, dan berdiri di hadapan Allah dengan jujur.” Imam an-Nawawi RH pula mengatakan, ”Para ulama menafsirkan istiqâmah dengan ” لُزُوْمُ طَاعَةِ اللهِِ ” ertinya tetap konsisten dalam ketaatan kepada Allah.” Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 16 surah al-Jin : وَأَن لَّوِ اسْتَقَامُوا عَلَى الطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَاهُم مَّاءً غَدَقًا ﴿١٦﴾ Maksudnya : (Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): "Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka Perjuangan dalam hidup manusia amat luas dan berbeza-beza. Perjuangan yang suci di redhai Allah tidak terlepas daripada cabaran terutamanya perjuangan menegakkan Islam sama ada dalam diri, dalam keluarga dan dalam masyarakat. Cabaran itu hanya akan dapat di atasi oleh semangat jihad yang tinggi, beristiqamah, bersabar dan tidak berputus asa. Istiqamah bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan oleh seseorang itu,tidak ramai yang mampu untuk melaksanakan istiqamah ini dalam kehidupan seharian. Terdapat 3 syarat dalam Istiqamah iaitu [1] adalah Niat dengan memasukkan dalam hati untuk beristiqamah. Teguhkan dan ajarkan hati untuk berniat melakukan perkara-perkara baik setiap hari. Ini kerana setiap amalan itu bermula dengan niat dan kita akan diberi ganjaran bersandarkan niat kita. Syarat ke-[2] adalah mengurangkan pilihan dalam membuat amalan. Memang lumrah manusia sekiranya berhadapan dengan banyak pilihan tugasan, dia akan membuat pilihan yang paling ringan atau mudah sahaja. Maka utamakanlah perkara-perkara yang ‘utama’ dalam membuat amalan. Elakkanlah memilih benda yang ringan sahaja, tetapi pilihlah yang paling utama. Jangan tunggu ikhlas baru hendak beramal sebaliknya beramallah sehingga ikhlas. Jangan tunggu tua baru hendak beramal sebaliknya beramallah sampai tua. Jangan tunggu pencen baru nak datang masjid atau belajar ilmu agama sebaliknya datanglah masjid dan belajar hingga terus istiqamah sampai mati. Jangan banyak beri alasan untuk menjadi makmum belakang imam waktu hidup agar tidak menyesal setelah tubuh terbujur kaku depan imam sebagai jenazah. Jangan malu tutup aurat agar bila dibalut kain kafan baru nak menyesal yang tiada guna. Jangan beri alasan tiada masa untuk membaca al-Quran agar kita tidak menyesal bila Quran tidak mahu memberi syafaat bila berada di akhirat kelak Seterusnya syarat ke-[3] adalah memperbanyakkan Doa. Doa itu senjata bagi orang-orang beriman, ia adalah permohonan atau pengucapan seorang hamba dilakukan secara langsung dengan Allah SWT dan setiap rintihan yang dimohon didengar oleh Allah SWT. Allah SWT tidak suka kepada hambaNya yang tidak pernah memanjatkan doa. Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 139 surah Ali ‘Imran : وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿١٣٩﴾ Maksudnya : Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. Kita wajib lahir sebagai umat yang istiqamah dalam amal ibadat, pelaksana tuntutan agama dalam keluarga, masyarakat dan Negara untuk Berjaya dunia seterusnya akhirat. Betapa sedih rasanya jika menatap realiti umat Islam dewasa ini. Mereka diselimuti oleh kemiskinan agama, akhlak dan kebendaan. Ramai telah dijangkiti virus kecintaan secara berlebih-lebihan terhadap dunia dan takut mati. Mereka berbuat zalim kerana miskin iman. Mereka sering melakukan tindakan bertentangan dengan Islam akibat miskin ilmu. Umat Islam yang sepatutnya menjadi khairu ummah iaitu umat terbaik akhirnya menjadi mainan di tangan kaum kafir dan musyrik. Keberadaan kaum Muslimin belum berhasil menjadikan diri mereka gambaran Al-Quran yang berjalan secara kukuh yang boleh disaksikan orang lain. Bahkan, mereka adalah manusia-manusia yang memiliki kelayakan untuk dijajah. Jadi, bukanlah musuh yang terlalu kuat untuk dihadapi, tetapi umat Islam sendiri yang kehilangan jati diri Islam dan ruh jihad. Umat Islam hari ini bukanlah pahlawan ilmu pengetahuan, sekalipun al-Quran memberikan perintah pertama kali, iqra’ (bacalah). Umat Islam hilang rasa sensetif berkaitan aqidah sehingga memandang kecil isu murtad dan ramai yang tenggelam dengan fahaman liberal, menyamaratakan agama, Umat Islam tidak menjadi orang yang berlapang dada dan bersungguh dalam menyelesai masalah, sekalipun kita sentiasa membaca surah Asy-Syura. Akhirnya umat Islam hanya banyak bermesyuarat tetapi tindakannya kosong malah apa yang lebih malang timbulnya slogan kita bersatu untuk tidak bersatu seperti kezaliman terhadap umat Islam di Palestin, Syria tidak mampu dihentikan walau pun Negara sekelilingnya adalah milik umat Islam. Umat Islam hilang kekuatan dalam aspek persiapan ketenteraan, sekalipun al-Quran dan hadis nabi memerintahkan untuk mempersiapkan kekuatan sehingga bukan sahaja aurat umat Islam ditelanjang, maruah dihina malah nyawa dibunuh sesuka hati tanpa pembelaan. Umat Islam bagaikan hilang kekuatan dalam menguasai ekonomi, sekalipun surah al-Jumuaah menekankan agar umat Islam bertebaran di muka bumi dalam membina kekuatan ekonomi. Umat islam terus menjadi pengguna dan pembeli setia kepada barangan bukan Islam. Oleh itu sama-sama kita contohi sikap yang pernah ditunjuk oleh Sayyidina Uthman bin Affan RH yang berusaha bersungguh-sungguh membeli telaga milik seorang Yahudi yang menjadi antara sumber air utama sehingga umat Islam di Madinah terpaksa membeli air dengan harga yang mahal daripada Yahudi tersebut. Akhirnya Yahudi itu sanggup menjual separuh telaganya iaitu dengan cara bergilir sehari telaga itu bawah Sayydina Uthman dan hari yang lain bawah kawalan Yahudi itu. Pada hari telaga itu di bawah jagaan Sayydina Uthman maka umat Islam akan mengambil air secara percuma dengan kadar kegunaan untuk 2 hari yang menyebabkan pada hari telaga itu di bawah kawalan Yahudi tidak ada yang datang membeli airnya. Akhirnya Yahudi itu bertindak menjual seluruh telaga itu kepada Sayyidina Uthman sehingga umat Islam tidak lagi bergantung kepada Yahudi itu untuk mendapat air. Oleh itu usaha dalam melahirkan lebih ramai usahawan, barangan dan pasaraya milik umat Islam wajib digandakan agar umat Islam tidak lagi terlalu bergantung kepada orang bukan Islam disamping sikap sesetengah pengusaha bukan Islam yang mempermainkan isu halal haram dapat dibanteras Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 8 surah al-Mumtahanah : لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ Maksudnya : Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Islam menerima hakikat hubungan kemanusiaan bermasyarakat majmuk dan madani, bersempadankan akidah dan syariat yang memelihara hubungan kemanusiaan, bersikap positif terhadap semua kebaikan dan kebijaksanaan daripada semua pihak tanpa meninggalkan Islam diutamakan dan memimpin serta menjadi petunjuk yang wajib ditegakkan mengatasi yang lain daripadanya dan disampaikan mesejnya kepada seluruh manusia. Islam adalah penyelesaian yang wajib ditegaskan menjadi akidah perjuangan berkonsepkan Rabbani dan berwawasan dunia akhirat. Umat Islam wajib istiqamah atau konsisten menegakkan Islam yang sempurna tanpa paksaan terhadap pihak yang lain. Wala’ untuk tunduk kepada Islam memimpin dan bersatu di bawahnya adalah wajib dan haram berwala' kepada bukan Islam. Namun diizinkan bertahaluf dan berkerjasama dengan bukan Islam dalam titik persamaan yang tidak terkeluar daripada kewajipan menegakkan Islam sehingga berdaulat, bertujuan menyampaikan Islam kepada semua pihak dengan pelaksanaannya yang menyeluruh. Jangan atas alasan kerjasama menyebabkan hak umat Islam dan umatnya dilanggar dan dirobek atas nama kebebasan beragama dan asasi. Sebaliknya kuatkan pelaksanaan Islam sehingga orang Islam dan bukan Islam dapat merasai keadilan dan kehebatan system Islam. Manusia biasanya memusuhi apa yang mereka tidak faham berkenaannya. Oleh itu perjelaskan Islam bukan menyembunyikannya atas alasan bimbang orang bukan Islam takut dan membencinya. Umat Islam sendiri wajib yakin dengan Islam dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya bukannya kita sendiri yang menghina agama sendiri dan mempertahan orang yang menentang Islam. Islamlah nescaya kita mulia dan Berjaya dunia akhirat Firman Allah dalam ayat 85 surah Ali ‘Imran وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿٨٥﴾ Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: