أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Khamis, 17 April 2008

27. KEKUATAN DIGUNA UMAT BERJAYA

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
فرمان الله تعالى دالم أية 110 سورة آل عمران :
كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله ولو ءامن أهل الكتـب لكان خيرا لهم منهم المؤمنون وأكثرهم الفـسقون
Maksudnya : Kamu adalah sebaik-baik umat yang telah dikeluarkan antara manusia kerana kamu menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran serta beriman kepada Allah S.W.T. Dan sekiranya ahli Kitab itu beriman nescaya itulah yang lebih baik bagi mereka tetapi ada di antara mereka yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik
Umat Islam adalah umat pilihan dan sebaik-baik umat dengan syarat kita mematuhi segala ciri dan sikap yang telah ditentukan oleh Allah antaranya beriman kepada Allah, menyuruh kepada kebaikan serta mencegah daripada kemungkaran. Kita jangan bersikap sebagaimana yahudi yang mendakwa bahawa mereka adalah anak dan kekasih Allah sedangkan kebanyakan tindakan dan perbuatan mereka bercanggah daripada apa yang telah digariskan oleh Allah antaranya yahudi hanya menyuruh orang lain berbuat baik sedangkan mereka sendiri tidak melakukannya sehingga yahudi menjadi golongan yang dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat. Oleh itu kita mesti sedar bahawa mulianya kita bukan cukup sekadar mengaku diri beragama Islam sebaliknya kita mesti bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah Allah dalam setiap aspek kehidupan barulah kita beroleh kejayaan di dunia dan akhirat. Berjayanya kita bukan setakat mengenang dan menyebut kejayaan umat Islam yang silam sebaliknya kita mesti mencontohi dan mengikuti segala jejak langkah yang telah dilaksanakan oleh generasi kemenangan itu. Jadilah umat yang mengikut bukan setakat menyebut, Jadilah umat yang melaksana bukan setakat tahu berkata

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Kita perlu sedar bagaimana Allah telah memberi kepada umat Islam banyak kelebihan antaranya kekuatan aqidah yang perlu dipertahan dan dikembangkan, kekuatan sumber tenaga manusia dengan jumlah yang ramai yang perlu kepada usaha bersungguh dalam menggunakannya dan juga kekuatan dengan anugerah bumi yang subur dengan tanaman dan hasil bumi yang perlu kepada usaha yang bersungguh dalam mengambil manfaat sebanyak mungkin daripadanya. Kekuatan utama yang paling bernilai ialah aqidah di mana kita pada hari ini dihimpit dengan pelbagai masalah yang sedang menggugat aqidah sehingga ada yang murtad dan ada pula yang terlibat dengan ajaran sesat. Ketika rakyat negara barat semakin ramai yang memilih Islam sebagai agama, mengapakah keadaan di negara kita berlaku perkara yang sebaliknya di mana ramai yang keluar daripada Islam. Perkara ini tidak pelik sekiranya kita perhati kepada kenyataan pemimpin negara yang lebih mementingkan ekonomi daripada aqidah. Apa yang lebih teruk apabila pemimpin negara semakin takut untuk mempertahankan keistimewaan Islam sebagai agama rasmi sehingga apa yang terbaru pihak kabinet telah mengarahkan agar pembacaan doa di majlis-majlis rasmi yang turut dihadiri bukan Islam dilakukan dengan cara yang turut juga menghormati amalan agama bukan Islam. Doa juga boleh dibaca secara umum tanpa penggunaan bahasa Arab supaya ia boleh disertai oleh semua yang hadir. Malah ada kenyataan bahawa amalan membaca doa itu telah pun diberhentikan di semua taman bimbingan kanak-kanak yang ditadbirkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional selepas arahan tersebut yang kemudiannya dinafikan. Jika bacaan doa pun tidak mampu dipertahankan apatah lagi masalah aqidah yang lebih besar. Oleh itu kita wajib menegur kelemahan pemimpin atau menukar kepada kepimpinan yang lebih berani dan cintakan Islam agar aqidah dan kesucian Islam terpelihara

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Kekuatan kedua yang mesti digunakan sebaik mungkin ialah jumlah umat Islam yang begitu ramai. Kita begitu bimbang jika jumlah ini disia-siakan menyebabkan ia bukan sahaja tidak berguna malah menyusahkan orang lain. Jika kita perhatikan dalam negara kita jumlah umat Islam sendiri yang terlibat dengan perkara yang tidak bermoral dan merosakkan begitu tinggi melebihi orang bukan Islam. Antara kajian tebaru yang dibuat oleh Universiti Kebangsaan (UKM) yang mendedahkan 886 daripada 887 gadis yang disoal mengaku berzina memperlihatkan betapa seriusnya gejala sosial yang melanda remaja masa kini. Hasil kajian itu juga mendedahkan 98 peratus pelajar mengaku mengambil dadah, 98 peratus juga terlibat dengan kongsi gelap dan 97.3 peratus terdedah dengan bahan lucah. Kajian turut mendedahkan bahawa pelajar perempuan berumur dalam lingkungan 15 dan 16 tahun adalah paling berisiko terjerumus dalam pelbagai masalah disiplin termasuk untuk mencuba melakukan hubungan seks buat pertama kali. Punca utama kepada kerosakan akhlak yang berlaku ialah sikap jahil dan jauh daripada ajaran Islam ditambah lagi dengan pintu-pintu ke arah kerosakan ini dibuka luas oleh kerajaan, media massa sedangkan usaha untuk mencegahnya semakin terbatas. Kita dapat lihat sejak akhir-akhir ini pemimpin sentiasa cepat bertindak dengan terus mengarah agar dibubarkan sebarang organisasi bantuan dalam mencegah kemungkaran tanpa terlebih dahulu berbincang mengenainya. Kita jangan lupa kepada amaran Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi daripada Huzaifah :
قال الرسول  : لَتَأْمُرَنَّ بِالمَعْرُوْفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ المُنْكَرِ أَوْ لَيُوْشِكَنَّ اللهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُوْنَهُ فَلا يُسْتَجَابُ لَكُمْ
Maksudnya: Suruhlah berbuat kebaikan dan cegahlah daripada kemungkaran atau jika tidak nescaya siksaan Allah boleh jadi akan menimpa kamu. Kemudian kamu memohon kepada Allah agar siksaan itu dihentikan maka permohonan kamu tidak diterima lagi.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kekuatan ketiga yang mesti digunakan sepenuhnya oleh umat Idlam ialah tanah yang subur untuk pertanian serta hasil bumi yang banyak. Kita sebelum ini banyak bercakap berkenaan makanan halal dan haram di mana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada suatu ketika pernah menarik balik 80 peratus logo halal kerana pelbagai kesalahan. Umat Islam pernah dikejutkan dengan tindakan tidak bertanggungjawab pembekal makanan yang mencampur ayam dan khinzir, ikan patin yang diberi usus khinzir dan sosej yang turut menggunakan usus khinzir dalam proses pembuatannya. Seminggu dua ini pula negara dihangatkan dengan cadangan untuk mengharamkan iklan makanan segera atau ringan seperti KFC, McDonald’s, A&W yang didakwa antara punca utama kepada meningkatnya penyakit kronik termasuk jantung. Cadangan pengharaman iklan makanan ini masih dalam kajian memandangkan iklannya membawa keuntungan RM 100 juta setahun. Bak kata cerdik pandai bila wang bercakap maka undang-undang akan senyap. Oleh itu sedarlah kita bagaimana perlunya umat Islam sendiri menghasilkan makanan sendiri tanpa bergantung kepada orang lain. Keadaan bergantung kepada hasil tanaman orang menyebabkan kita susah terutama ketika kemelesetan ekonomi dan dharurat. Ambillah pengajaran bagaimana kuffar melemahkan negara umat Islam melalui catuan makanan seperti yang pernah berlaku di Bosnia, Chechnya, Libya dan selainnya. Kita pada ini hanya bising bila cukai tanah naik sedangkan tanah yang luas hanya ditumbuh lalang dan menjadi hutan. Islam mahu kita bercucuk tanam sampai boleh keluar zakat bukan sekadar cukup makan. Kita sepatutnya bimbang jika negara terpaksa terus mengimport sayuran dan makanan dari luar akibat kealpaan kita sendiri sedangkan nabi Muhammad s.a.w sentiasa menggalakkan umat Islam agar bercucuk tanam menyuburkan bumi sebagaimana yang disarankan melalui sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah:
قال الرسول  : مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرَسًا إِلا كَانَ مَا أُكِلَ مِنْهُ لَهُ صَدَقَةً وَمَا سُرِقَ مِنْهُ لَهُ صَدَقَةً وَلا يَرْزَؤُهُ أَحَدٌ إِلا كَانَ لَهُ صَدَقَةً - رواه مسلم
Maksudnya: Tidak ada daripada seorang muslim yang menanam satu tanaman kecuali apa saja yang dimakan daripadanya itu melainkan menjadi sedekah. Apa saja yang dicuri orang daripadanya juga menjadi sedekah. Dan tidak diambil daripadanya oleh seseorang kecuali semuanya itu menjadi sedekah.
Firman Allah dalam ayat 30 surah as-Syura :
وما أصــبكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم ويعفوا عن كثير
Maksudnya : Dan apa sahaja musibah yang menimpa maka ia disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar dari kesalahan kamu
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: