أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Khamis, 17 April 2008

34. ISLAM DIJULANG TAMADUN GEMILANG

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 34 surah al-Namlu :
قالت إن الملوك إذا دخلوا قرية أفسدوها وجعلوا أعزة أهلها أذلة وكذلك يفعلون
Maksudnya: Sesungguhnya raja-raja apabila mereka masuk menakluki sesebuah negara maka mereka merosakkannya dan meletakkan golongan mulia di tempat yang hina dan demikianlah mereka bertindak.
Kelemahan dan kemunduran umat Islam pada hari akibat sikap kita sendiri yang banyak mengenepikan segala yang dianjurkan oleh Allah S.W.T dan rasulNya melalui al-Quran dan hadis nabi s.a.w terutama dari segi budaya ilmu, kesungguhan dalam berkerja dan disiplin ketika bertindak. Kita dapat lihat bagaimana berkembangnya budaya ilmu dan kesungguhan serta disiplin dalam bekerja telah meletakkan tamadun kebendaan barat begitu pesat maju sedangkan dunia barat sebelum ini jauh terbelakang berbanding tamadun Islam itu sendiri. Runtuhnya khilafah Islam Turki akibat terpedayanya umat Islam pada masa itu dengan laungan kemajuan material barat sehingga mereka sanggup meruntuhkan suatu yang berharga telah menyebabkan umat Islam sampai sekarang terus terkapai-kapai mencari kemajuan material untuk turut bersaing dengan barat sedangkan dalam masa yang sama tamadun rohani yang dipertahankan oleh umat Islam semakin luntur dihakis oleh budaya mementingkan nafsu daripada wahyu. Perancangan yang licik oleh musuh Islam telah menyaksikan bagaimana keruntuhan system khilafah telah digunakan semaksima mungkin dalam menghancurkan kesatuan umat Islam disamping merompak sebanyak mungkin ilmu yang dihasilkan oleh tamadun Islam yang kemudiannya dibuang ruh Islam daripadanya sehingga tamadun kebendaan barat kosong daripada tamadun rohani. Betapa malangnya umat Islam bukan sekadar ditipu oleh barat yang mendakwa bahawa kebanyakan ilmu itu merupakan hasil mereka sendiri malah umat Islam terus menerima ilmu itu tanpa dihidupkan semula ruh Islam sehingga umat Islam turut menjadi hamba kepada tamadun kebendaan dengan mengenepikan tamadun rohani. Akhirnya umat Islam terus tertinggal dari segi tamadun kebendaan dan mula mengalami kemerosotan dari segi tamadun rohani akibat kealpaan kita sendiri.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Sudah menjadi suatu agenda penting kepada sebarang penjajahan iaitu memastikan setiap negara dan rakyat yang dijajah mesti terus dikuasai agar mereka tidak bangkit menentang penjajah. Begitulah nasib yang menimpa hampir keseluruhan negara umat Islam di mana mereka hanya merdeka dari segi pertukaran kepimpinan tetapi perlembagaan serta pemikiran umat Islam terus terjajah sehingga ramai di kalangan kita lebih suka berada di bawah system penjajah daripada kembali menggunakan system Islam. Penjajahan perlembagaan dan pemikiran ini adalah lebih merbahaya apabila ramai di kalangan umat Islam terpedaya sehingga semangat dan kesedaran ke arah menentang kesesatan system jahiliah yang bertentangan dengan Islam semakin menurun akibat tidak dapat membezakan antara kebenaran dan kesesatan, antara iman dan kufur, antara Islam dan jahiliah. Namun begitu setiap kesesatan pasti akan berhadapan dengan kebenaran di mana bangkitnya para ulama’ akhirat bersama pejuang Islam yang ikhlas berjuang dalam mempertahankan kemurnian Islam serta berusaha menukarkan system jahiliah kepada Islam. Pertembungan antara pemimpin umat Islam yang terus mempertahankan perlembagaan dan system penjajah dengan rakyat yang bersungguh-sungguh memperjuangkan system Islam telah mencemaskan kuasa besar kuffar yang menyebabkan mereka bersungguh-sungguh berusaha dalam melemahkan umat Islam daripada bangkit memperjuangkan Islam. Pelbagai cara digunakan oleh kuasa besar kuffar samada dengan kekuatan mereka sendiri dalam melakukan keganasan terhadap umat Islam sebagaimana penjajahan baru di Afghanistan, Iraq serta keganasan di Palestin, Kashmir, Chechnya, Selatan Filiphina, Ambon, Acheh, Selatan Thailand dan sebagainya. Musuh turut menekan pemimpin umat Islam yang kebanyakannya merupakan anak didik mereka agar turut menyiksa dan menyekat kebangkitan umat Islam. Pertembungan antara pemimpin yang meletakkan nafsu lebih mulia daripada wahyu dengan pejuang Islam yang mempertahan serta memperjuangkan Islam terus berlangsung sehingga datangnya ketentuan daripada Allah. Renungilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud :
قَالَ الرَّسُوْلُ  : اَلا إِنَّ الإسْلامَ دَائِرَةٌ فَدُوْرُوْا مَعَ الإسْلامِ حَيْثُ دَارَ . اَلا إِنَّ السُّلْطَانَ وَالقُرْءَانَ سَيَفْتَرِقَانِ فَلاتُفَارِقُوْا الكِتَابَ اَلاسَيَكُوْنُ عَلَيْكُمْ اُمَرَاءَ مُضِلُّوْنَ اِنْ اَطَعْتُمُوْهُمْ اَضَلُّوْكُمْ وَإِنْ عَصَيْتُمُوْهُمْ قَتَلُوْكُمْ قَالُوْا : مَا نَصْنَعُ يَا رَسُوْلَ اللهِ؟ قَالَ : كَمَا اَصْنَعَ اَصْحَابُ عِيْسَى نَشِرُوْا بِالمَنَاسِيْرِ وَهُمْ يُصْلَبُوْنَ عَلَى الخَشَبِ فَوَ الَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَمَوْتٌ فِى طَاعَةِ اللهِ خَيْرٌ مِّنْ حَيَاةٍ فِى مَعْصِيَةِ اللهِ عَزَّوَجَلَّ
Maksudnya : Ingatlah bahawa Islam itu berputar maka berputarlah kamu bersama Islam ke mana saja ia berputar. Ketahuilah bahawa pemerintah dan al-Quran akan berpisah maka janganlah kamu berpisah dengan al-Quran. Akan muncul di kalangan kamu pemimpin yang menyesatkan. Jika kamu taati mereka maka mereka akan sesatkanmu dan jika kamu menentang mereka maka mereka akan membunuhmu. Para sahabat bertanya : “ Apa yang harus kami lakukan wahai Rasulullah?”. Sabda baginda : “ Lakukanlah sebagaimana sikap para sahabat nabi Isa di mana mereka digergaji dan disalib di pokok kayu. Demi Allah yang diri Muhammad ditanganNya maka mati kerana mentaati Allah lebih baik daripada hidup dalam mengengkari Allah.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Kebangkitan rakyat yang cintakan Islam terus berlangsung walau pun terpaksa berhadapan dengan pelbagai tindakan kejam daripada pemimpin. Tidak terkecuali di negara kita apabila kecenderongan ke arah mengembalikan semula system Islam cuba disekat dengan pelbagai cara. Bagi meredakan kebangkitan Islam lalu terciptalah istilah Islam Hadhari di mana dari segi istilah pun sudah ada kesilapan seumpama memanggil keretapi dengan api kereta. Sepatutnya jika mengikut istilah arab digunakan Hadhorah Islamiah yang bermaksud kemajuan atau tamadun berasaskan Islam sebagaimana usaha para ilmuan Islam sebelum ini yang telah mengislamkan banyak ilmu daripada tamadun Yunani, Rom dan sebagainya sehingga terbinanya suatu tamadun Islam yang selari antara kebendaan dan rohani. Apabila istilah Islam Hadhari digunakan maka dari segi istilahnya secara zahir telah bercanggah dengan aqidah Islam kerana memisahkan antara Islam dan tamadun serta Islam terpaksa mengikut acuan tamadun samada barat atau selainnya bukannya tamadun yang mesti mengikut kehendak Islam.
Sebenarnya istilah seperti ini yang memisahkan Islam dengan tamadun atau memaksa Islam tunduk kepada kehendak kemajuan bukanlah suatu istilah dan seruan yang baru kerana ia pernah dilaungkan oleh tokoh yang terlalu mengagungkan tamadun kebendaan barat termasuk Bapa Peruntuh Khilafah iaitu Mustafa Kamal at-Tartuk. Mustafa Kamal semasa melaungkan kemajuan tidak menyatakan bahawa beliau mahu menghancurkan khilafah dan Islam malah beliau turut mempergunakan ulama’ dalam menghalalkan cita-citanya. Inilah yang bakal dihadapi oleh kita jika terlalu terpesona dengan Islam Hadhari terutama apabila melihat kepada tiada sebarang perubahan besar kepada dasar negara terutama yang melibatkan pembinaan tamadun rohani. Program hiburan dan maksiat semakin meluas dalam merosakkan rakyat sedangkan program tarbiah semakin tertekan. Malah melalui Program Latihan Khidmat Negara terus menyediakan program yang hanya menekankan kekuatan fizikal dengan terabainya pembinaan rohani. Penjenayah dilayan jauh lebih baik daripada rakyat terutama umat Islam yang ditahan di bawah kezaliman ISA. Pergantungan kepada hasil haram terutama judi dan arak terus berlangsung. Islam Hadhari tidak lebih daripada slogan untuk menunjuk-nunjuk syiar tanpa melaksanakan syariat Islam. Islam Hadhari bertujuan melemahkan semangat jihad dalam mengagungkan Islam kepada memuja tamadun kebendaan barat. Islam Hadhari bermatlamat melahirkan umat Islam yang lebih takut kepada ancaman musuh daripada bertaqwa kepada Allah S.W.T. Islam Hadhari Islam hendak menghasilkan masyarakat yang hanya melaksanakan system Islam yang mudah serta sentiasa beralasan apabila ditekan agar melaksanakan system Islam yang tidak selari dengan nafsu mereka. Islam Hadhari mahu melahirkan umat yang lena diulik dengan kekayaan bukannya melahirkan manusia kaya jiwa dan harta dalam memperjuangkan Islam. Ingatlah kita bahawa kemajuan tanpa mengikut acuan Islam tidak membawa umat kepada kemuliaan sebaliknya kita akan terus diselubungi dengan kemunduran dan penghinaan yang tidak berkesudahan. Oleh itu marilah kita membina kembali tamadun Islam bukannya memaksa Islam mengikut kehendak kemajuan.
Firman Allah dalam ayat 186 surah Ali ‘Imran :
لتبلون فى أمولكم وأنفسكم ولتسمعن من الذين أوتوا الكتب من قبلكم ومن الذين أشركوا أذى كثيرا وإن تصبروا وتتقوا فإن ذلك من عزم الأمور
Maksudnya : Kamu benar-benar akan diuji pada hartamu dan dirimu. Dan juga kamu benar-benar akan mendengar daripada mereka yang diberikan Kitab sebelum kamu dan daripada mereka yang menyekutukan Allah, gangguan yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: