أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 25 April 2008

69. BAHAYA NEGARA ISLAM CETAK ROMPAK

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 49-50 surah al-Maidah :
وأن احكم بينهم بما أنزل الله ولاتتبع أهواءهم واحذرهم أن يفتنوك عن بعض ما أنزل الله إليك فإن تولوا فاعلم أنما يريد الله أن يصيبهم ببعض ذنوبهم وإن كثيرا من الناس لفــسقون . أفحكم الجــهلية يبغون ومن أحسن من الله حكما لقوم يوقنون
Maksudnya : Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan oleh Allah. Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada kamu. Jika mereka berpaling maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah mengkehendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik. Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin
Kita sentiasa berdepan dengan dua keadaan yang berlawanan dan bertentangan untuk diperhati dan difikirkan secara mendalam mengikut neraca wahyu untuk membezakannya dan seterusnya mengambilnya untuk di guna pakai atau dijadikan sempadan. Ada yang hak dan ada yang batil, ada yang benar dan ada yang palsu, ada yang asli dan yang cetak rompak. Sebagaimana masyarakat dihebohkan dengan ulama’ benar dan ulama’ palsu begitulah juga kita di hantui dengan isu negara Islam benar dan cetak rompak. Sejak awal tahun ini, negara menyaksikan bagaimana suatu tindakan yang begitu tegas dan menyeluruh daripada pihak bertanggungjawab dalam memerangi kegiatan cetak rompak vcd dan perisian komputer yang dianggap bahaya kepada perkembangan ekonomi negara. Jika vcd dan perisian komputer cetak rompak begitu merbahaya begitulah juga dengan pengisytiharan negara Islam cetak rompak yang seharusnya diberikan perhatian yang sewajarnya oleh umat Islam yang cintakan Allah dan rasulNya agar tidak terpesong dengan negara Islam cetak rompak yang dijaja setelah begitu lama pemimpin sendiri mengatakan adalah suatu yang agak mustahil serta akan diperangi habis-habisan daripada tertegaknya sebuah negara Islam dalam negara ini. Ilmu berdasarkan wahyu yang mesti dimiliki oleh setiap umat Islam akan menjamin mereka untuk membezakan antara negara Islam sebenar dengan yang cetak rompak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Di sini suka dibawa beberapa ciri yang perlu ada kepada sebuah negara Islam untuk pengetahuan kita bersama. Ciri pertama : Syariat Islam mestilah menjadi aqidah negara dan dari aqidah itulah ditegakkan perlembagaan, perundangan dan segala sistem hidup. Firman Allah dalam ayat 65 surah az-Zumar :
ولقد أوحى إليك وإلى الذين من قبلك لئن أشركت ليحبطن عملك ولتكونن من الخـــسرين
Maksudnya : Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi sebelum kamu. Jika kamu syirik nescaya akan terhapuslah amalan dan tentulah kamu termasuk golongan mereka yang rugi
Setelah diteliti tentang aqidah negara ini maka memang jelas tentang dasar sekulerismenya sebagai contohnya masih terpisah antara mahkamah sivil dan syariah malah banyak keadaan kuasa di mahkamah sivil lebih tinggi berbanding syariah ditambah lagi dengan perundangan di mahkamah syariah bukan kesemuanya selaras dengan hukuman Islam. Malah perundangan negara boleh dijadikan hujah oleh ribuan umat Islam untuk murtad daripada Islam dengan begitu mudah. Ditambah lagi dengan tekanan terhadap dakwah Islam begitu kuat berbanding agama lain terutama Kristian sehingga banyak masjid dan surau lebih suka dimatikan daripada dihidupkan dengan majlis ilmu malah bertambah malang ada surau yang diroboh. Ilmu Islam bukan sahaja tidak dibenarkan untuk disampaikan secara menyeluruh malah pusat pengajian Islam diperangi habis-habisan kerana terlalu bimbang lebih ramai ulama’ dilahirkan. Lebih banyak perundangan yang dipinda hanya mengikut nafsu bukannya berdasarkan wahyu. Antara yang terbaru tentang penyeragaman doa di sekolah kebangsaan di mana menurut Mufti Perak boleh membawa kepada syirik seterusnya murtad terutama jika di sekolah itu ada pelajar atau guru yang pelbagai agama di mana jika kalimah Allah dalam doa hanya disebut Tuhan Kami sahaja kerana biasanya kalimah Tuhan Kami dikembalikan kepada tuhan mengikut kepercayaan agama masing-masing bukannya Allah. Jika negara ini adalah negara Islam maka perkara ini mesti dirujuk kepada ulama’ terlebih dahulu kerana ia melibatkan aqidah.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ciri kedua : Syariat Islam mestilah diletakkan di tempat yang paling tinggi. Firman Allah dalam ayat 1 surah al-Hujurat :
يأيهاالذين ءامنوا لاتقدموا بين يدي الله ورسوله واتقوا الله إن الله سميع عليم
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului Allah dan rasulNya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui
Setelah dikaji kita dapati bagaimana agama Islam sebagai agama rasmi negara dalam perlembagaan bukan bermakna Islam mampu dilaksanakan dalam semua keadaan sebaliknya jika perundangan Islam bertentangan dengan perlembagaan negara yang berasaskan Lord Reid maka ia sendirinya terbatal dan boleh diambil tindakan tegas jika dilaksanakan sebagaimana kegagalan enakmen syariah Kelantan untuk dilaksanakan walau pun telah lama diluluskan akibat bertentangan dengan perlembagaan negara. Sebaliknya undang-undang yang jelas bertentangan dengan Islam selagi tidak bercanggah dengan perlembagaan negara boleh dilaksanakan seperti lesen judi atas alasan untuk memenuhi kehendak bukan Islam terutama bangsa Cina sedangkan di negara China, Taiwan malah Singapura yang majoriti rakyatnya berbangsa Cina di mana masyarakat dan kerajaannya sentiasa berusaha dalam mengurangkan tempat judi yang merosakkan masyarakat. Pemimpin turut memberi ruang yang begitu luas dalam membiakkan kelab malam yang melahirkan ribuan pelacur di mana 60% peratus daripadanya berbangsa Melayu yang biasanya beragama Islam. Malah hiburan yang merosakkan akhlak muda mudi semakin hari semakin teruk sehingga masalah sosial bukan semakin menurun malah bertambah naik. Undang-undang rogol terbaru yang dianggap lebih tegas bagaikan tiada yang takut kerana saban hari perkara terkutuk ini terus berlaku malah lebih kejam. Mengapakah hukuman Islam yang jelas dalam masalah ini tidak mahu dilaksanakan walau pun sudah terbukti kegagalan perundangan manusia

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Ciri ketiga : Perlaksanaan Islam yang menyeluruh meliputi aqidah, syariah, akhlak, system, kebendaaan, kemanusiaan dan sebagainya. Penerimaan Islam secara menyeluruh sebagai dasar dan hukum negara adalah wajib walau pun ia menerima pelaksanaannya secara berperingkat. Tetapi apa yang kita lihat bagaimana dari asas lagi kebanyakan pemimpin menolak sistem Islam yang menyeluruh apatah lagi untuk melaksanakannya. Jika ada sedikit dilaksanakan bukan atas rasa tanggungjawab yang mesti ditunaikan sebaliknya atas rasa terdesak dengan desakan rakyat yang boleh menggugat kedudukan mereka.
Kita melihat pelaksanaan kepada perundangan dalam negara hanya mengikut nafsu di mana jika ada keuntungan dunia maka diambil bukannya mengikut neraca wahyu. Inilah yang menyebabkan pembukaan kilang arak yang begitu banyak dalam negara yang bukan sahaja melebihi permintaan orang bukan Islam malah boleh dieksport ke luar negara. Begitu juga dengan sistem riba yang banyak menindas terus diamalkan sedangkan sistem ekonomi Islam bukan sahaja berlaku adil dan menguntungkan orang Islam malah turut merangkumi orang bukan Islam telah ada untuk dilaksanakan secara menyeluruh tetapi tidak pula dilaksanakan.
Oleh itu sedarlah kita betapa bahayanya negara Islam cetak rompak kerana ia boleh mengelirukan umat Islam dan bukan Islam sehingga rakyat berpuas hati dengan apa yang ada dan tidak lagi berjuang untuk menegakkan ajaran Islam yang menyeluruh. Ia juga menyebabkan masalah kemurtadan akan semakin bertambah yang menyebabkan umat Islam tidak sedar bahawa jumlah umat Islam semakin sedikit. Malah aqidah umat Islam semakin rosak apabila mengiktiraf negara Islam cetak rompak sebagai negara Islam contoh sedangkan ia bertentangan dengan apa yang telah dibina oleh Rasulullah s.a.w dan khulafa’ ar-Rasyidin dan khalifah selepas mereka. Oleh itu jangan hanyut dengan nikmat yang melimpah ruah kerana ia adalah ujian yang kadang-kadang untuk menghancurkan umat yang lalai dan melawan Allah.
Ingatlah Firman Allah dalam ayat 44 surah al-An’am :
فلما نسوا ما ذكروا به فتحنا عليهم أبوب كل شيء حتى إذا فرحوا بما أوتوا أخذنــهم بغتة فإذاهم مبلسون
Maksudnya : Maka apabila mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka lalu Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami siksa mereka dengan tiba-tiba.Maka ketika itu mereka terdiam putus asa
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: