أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Khamis, 24 April 2008

54. RUH ISLAM SUBUR TAMADUN MAKMUR

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 9 surah ar-Ruum :
أولم يسيروا فى الأرض فينظروا كيف كان عاقبة الذين من قبلهم كانوا أشد منهم قوة واثاروا الأرض وعمروها أكثر مما عمروها وجاءتهم رسلهم بالبينات فما كان الله ليظلمهم ولكن كانوا أنفسهم يظلمون
Maksudnya: Dan adakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memerhatikan bagaimana penderitaan azab orang-orang sebelum mereka?. Orang-orang itu adalah lebih kuat daripada mereka sendiri dan telah mengolah bumi serta memakmurkannya lebih banyak daripada apa yang telah mereka sendiri makmurkan. Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul dari kalangan mereka dengan membawa bukti-bukti nyata namun didustakannya. Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim terhadap mereka tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri
Kekayaan dan kemewahan sering dikaitkan dengan kejayaan yang sentiasa diidamkan oleh umat manusia. Pelbagai cara dan usaha dilakukan oleh umat manusia dalam mencapai kekayaan dan kemewahan hidup. Islam sendiri sentiasa menganjurkan agar umatnya rajin berusaha dan tekun bekerja dalam membina kekayaan harta namun Islam telah meletakkan garis panduan tertentu bagi memastikan usaha itu adalah halal dan dibelanjakan pula pada jalan yang dibenarkan oleh syarak. Islam sentiasa memberi peringatan kepada umatnya bahawa kekayaan harta dunia mestilah dicari dan digunakan sebaik mungkin dengan penuh kesederhanaan sehingga ia mampu menambahkan lagi bekalan akhirat bukannya kekayaan itu digunakan penuh dengan pembaziran dan rasa takabbur sehingga ia bakal menghumbankan pemiliknya ke dalam api neraka di akhirat nanti. Dunia ini ialah tempat mencari sebanyak mungkin bekalan akhirat bukannya tempat untuk berseronok sehingga melupakan kita semua tentang akhirat. Kita mesti menjadikan setiap kerja kita sebagai suatu ibadat yang menambah pahala bukan menjadikannya sebagai suatu maksiat yang mencambahkan lagi dosa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Kekayaan dan kemewahan jika tidak digunakan dengan cara yang betul maka ia bakal menjerumuskan pemiliknya kepada kehancuran. Betapa banyak kaum dan umat sebelum ini yang dihancurkan sehingga segala kemewahan dan kekayaan yang dibina sebelum ini menjadi bahan peninggalan dan pewarisan kepada generasi selepas mereka. Kemewahan Namrud tidak kekal lama dan hancur akibat daripada perderhakaan terhadap Allah S.W.T dan nabi Ibrahim. Kekayaan Qarun tidak bertahan lama apabila dia ditenggelamkan oleh Allah S.W.T bersama kekayaannya itu ke dasar bumi akibat melawan nabi Musa. Begitu juga hancurnya Firaun dan segala kekuatan kerajaannya akibat takabbur menentang Allah. Runtuhnya kekuatan empayar Rom dan Parsi ditangan umat Islam apabila kemewahan yang dicapai telah menyebabkan mereka melakukan penindasan dan kezaliman terhadap rakyat jelata sehingga kerajaan mereka jatuh menyembah bumi. Malah jatuhnya Khilafah Islam Baghdad akibat pemimpin dan rakyat dihanyutkan oleh kemewahan yang disalahgunakan sehingga dengan mudah jatuh di tangan tentera Tartar Monggol. Begitu juga jatuhnya Khilafah Islamiah Turki akibat umat Islam hanyut dengan kemewahan sehingga sanggup menjual agama dan pemerintahan kepada Kristian. Betapa ramai umat yang ingatkan Allah S.W.T apabila ditimpa kesusahan dan penderitaan tetapi ramai lagi umat yang lupa malah melawan Allah S.W.T apabila berada dalam kemewahan dan kesenangan dunia.
Oleh itu bukan semua ajakan dan laungan kemajuan mesti disambut dan diterima oleh umat Islam. Laungan kemajuan yang berlandaskan Islam wajib diterima manakala laungan kemajuan yang dipisahkan daripada Islam mesti ditolak. Jangan kita terpengaruh dengan ajakan golongan yang begitu mengagungkan tamadun kebendaan barat sehingga sanggup menafsirkan Islam berdasarkan pemikiran barat serta golongan ini tidak senang apabila melihat adanya pertentangan antara Islam dan pemikiran barat. Apa yang lebih merbahaya apabila golongan ini berusaha dalam membawa Islam sedekat-dekatnya dengan pemikiran barat sedangkan kita sudah maklum bahawa Islam dan jahiliah tidak boleh bersatu, iman dan kufur tidak boleh bergabung. Islam bukan suatu agama yang bersifat peribadi dan pertapaan malah ia merupakan agama yang lengkap termasuk dalam masalah membina kemajuan tamadun. Islam tidak menolak kemajuan tetapi meletakkan garis yang tertentu agar tamadun yang dibina dapat membawa manusia kepada kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Tamadun yang dibina mesti mempunyai ruh Islam sehingga kemajuan yang dicapai dapat melahirkan umat yang tunduk kepada Allah S.W.T bukannya umat yang melawan Allah S.W.T. Tamadun tanpa ruh Islam seumpama tubuh tanpa nyawa yang tidak memberi makna lagi kepada manusia. Tamadun sebahagian daripada Islam di mana jika dipisahkan tamadun daripada Islam maka ia tidak berguna lagi seumpama kaki yang dipotong daripada tubuh maka ia tidak mampu berfungsi lagi sebagaimana sebelumnya.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Jika umat Islam benar-benar mahu mengembalikan kegemilangan dan keagungan Islam maka kita mesti kembali membina tamadun kebendaan dan rohani berasaskan Islam dengan ditiupkan ruh Islam di dalamnya. Suatu usaha dan pengorbanan yang bersungguh-sungguh wajib dijalankan dalam melahirkan para tentera Allah S.W.T yang mampu bergading bahu dalam melaksana dan mempertahankan seluruh system Islam. Tamadun Islam yang bakal dijelmakan kembali hanya mampu ditunaikan oleh umat Islam yang benar-benar menjiwai Islam dan rapat hubungannya dengan Allah S.W.T sepanjang waktu tanpa terhad ketika mendirikan ibadat khusus sahaja. Antara sifat yang mesti ada pada pejuang Islam dalam menjulang semula system Islam dan mendirikan kegemilangan tamadun Islam ialah sebagaimana firman Allah S.W.T dalam ayat 37 surah an-Nur :
رجال لاتلهيهم تجارة ولا بيع عن ذكر الله واقام الصلوة وايتاء الزكوة يخافون يوما تتقلب فيه القلوب والابصار
Maksudnya : Golongan lelaki yang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli daripada mengingati Allah S.W.T dan daripada mendirikan sembahyang dan membayar zakat. Mereka takut kepada suatu hari di mana bergoncangnya hati dan pendengaran
Umat Islam terus berada dalam kehinaan apabila terlalu mengagungkan tamadun kebendaan barat sehingga kita terpaksa menjadi hamba kepada harta bukannya hamba yang tunduk patuh kepada setiap suruhan Allah Maha Mencipta. Tamadun kebendaan tanpa ruh Islam hanya melahirkan golongan mewah yang hidup bergelumang dengan maksiat yang menjadikan nafsu sebagai kayu ukur bukannya wahyu. Akhirnya berleluasanya golongan kaya yang sanggup memeras keringat si miskin demi mengaut keuntungan yang sebanyak mungkin sehingga meluaskan lagi jurang antara golongan kaya dengan miskin. Golongan kaya yang sudah mabuk dengan kemewahan bukan sahaja tidak mampu lagi diajak untuk berjuang Islam malah kebanyakan daripada mereka bangun menentang system dan ajaran Islam yang bertentangan dengan nafsu serakah mereka. Apabila perkara yang merosakkan ini subur dalam masyarakat Islam maka tiada lagi pertolongan dan bantuan daripada Allah melainkan kehinaan yang menimpa kita.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Setiap apa yang kita semai itulah yang bakal ditunai. Jika kita menanam benih rambutan maka hasil rambutanlah yang bakal kita kecapi. Begitulah juga apabila menyemai benih Islam dalam masyarakat maka suasana kehidupan berlandaskan Islam bakal kita lihat nanti. Sedangkan jika kita tanam benih jahiliah dan kufur dalam diri rakyat maka masyarakat yang rosaklah yang bakal dituai nanti. Adalah sesuatu yang tidak masuk akal apabila benih jahiliah yang disemai sedangkan hasil yang ditunai adalah Islam. Rosaknya golongan umara’ atau pemimpin dan hanyutnya ulama’ dengan dunia akan menyebabkan hancurnya rakyat dan negara. Islam bukan cukup setakat laungan slogan tetapi mesti disusuli dengan tindakan dan pengamalannya dalam setiap aspek kehidupan. Usaha dalam merosakkan akhlak dan aqidah rakyat semakin subur terutama selepas laungan Islam Hadhari antaranya dalam menghalalkan buka aurat, memperkecilkan dosa, hiburan yang tidak terbatas, program khidmat negara yang banyak melahirkan remaja yang kosong jiwanya daripada ruh Islam. Berhatilah kita agar tidak terpedaya dengan tipuan golongan yang cuba mereka-reka agama dan memaksa Islam mengikut tafsiran nafsu.
Firman Allah dalam ayat 25 surah al-Anfal :
واتقوا فتنة لا تصيبن الذين ظلموا منكم خاصة واعلموا أن الله شديد العقاب
Maksudnya : Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di antara kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah S.W.T amat keras siksaanNya.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: