السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
فرمان الله تعالى دالم أية 110 سورة آل عمران :
كنتم خير أمة أخرجت للناس تأمرون بالمعروف وتنهون عن المنكر وتؤمنون بالله ولو ءامن أهل الكتـب لكان خيرا لهم منهم المؤمنون وأكثرهم الفـسقون
Maksudnya : Kamu adalah sebaik-baik umat yang telah dikeluarkan antara manusia kerana kamu menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran serta beriman kepada Allah S.W.T. Dan sekiranya ahli Kitab itu beriman nescaya itulah yang lebih baik bagi mereka tetapi ada di antara mereka yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik
Umat Islam sentiasa diperingatkan oleh oleh Allah dan rasulNya bahawa kehidupan dunia ini penuh dengan pelbagai ujian dan cabaran dalam menguji tahap keimanan dan ketaatan kita kepada Allah dan rasulNya. Betapa ramai umat Islam sendiri yang hanya tahu bercakap tentang kekuatan iman yang ada dalam diri sedangkan bila diuji oleh Allah maka jelaslah bagaimana keadaan diri mereka yang sebenar. Ramai umat Islam yang merasa cukup taat kepada Allah tetapi bila ditinjau mengenai perjalanan hidup mereka maka masih terdapat banyak lagi perkara yang dilakukan bercanggah daripada apa yang telah digariskan oleh Islam. Menyedari bahawa antara sifat kekurangan yang ada pada diri kita sebagai makhluk yang bergelar manusia iaitu lupa maka wajiblah kita memperingati antara satu sama lain dengan menghidupkan budaya nasihat dalam masyarakat sehingga yang salah dapat diperbetulkan, yang silap dapat perbaiki, yang sesat dapat dihindari. Kita tidak mahu arahan Allah agar kita sentiasa menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran hanya terhenti setakat atas mimbar khutbah Jumaat sahaja tanpa dilaksanakan dalam kehidupan seharian. Kejayaan sesuatu umat bergantung kepada kesungguhan dalam melaksanakan amar makruf nahi munkar dalam kehidupan seharian. Kita wajib melaksanakan tugas suci ini tanpa perlu merasa takut kepada sebarang ugutan, cacian dan tindakan manusia. Ingatlah kita kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad :
قال الرسول : لايَمْنَعَنَّ أَحَدَكُمْ رُهْبَةُ النَّاسِ أَنْ يَقُوْلَ بِحَقٍّ إِذَا رَآهُ أَوْ شَهِدَهُ فَإِنَّهُ لايُقَرِّبُ مِنْ أَجْلِ وَلايَنْقُصُ عَنْ رِزْقٍ أَنْ يَقُوْلَ بِحَقٍّ أَوْ يَذْكَرُ بِعَظِيْمٍ
Maksudnya: Janganlah kerana takut kepada manusia menyebabkan engkau takut bercakap perkara yang benar apabila engkau tahu dan melihatnya. Maka sesungguhnya bercakap benar itu tidak memendekkan umur dan mengurangkan rezeki bila bercakap benar atau menyebut perkara yang besar
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 36 surah al-Anfal :
إن الذين كفروا ينفقون أموالهم ليصدوا عن سبيل الله , فسينفقونها ثم تكون عليهم حسرة ثم يغلبون والذين كفروا إلى جهنم يحشرون
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang kafir itu menafkahkan harta mereka untuk menghalangi jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu kemudian ia menjadi penyesalan bagi mereka dan mereka akan dikalahkan dan ke dalam neraka jahannam mereka akan dikumpulkan.
Kita juga sedar bagaimana musuh Islam sentiasa mencari jalan samada secara keras atau lembut dalam menyesat dan menjauhkan umat Islam daripada ajaran dan system Islam yang sebenar. Hidup di zaman di mana hati-hati umat Islam sendiri lebih mencintai dunia daripada akhirat maka suatu usaha yang lebih bersungguh mestilah dibuat agar kesedaran ke arah mengembalikan system Islam dalam setiap aspek kehidupan dapat dicapai. Kekuatan umat Islam bertunjang daripada aqidah maka jika aqidah umat Islam runtuh menyebabkan pelbagai masalah lain terutama keruntuhan akhlak akan berlaku dengan lebih meluas tanpa kawalan. Oleh itu suatu kajian yang lebih mendalam bersama tindakan yang tegas berdasarkan Islam perlu dibuat oleh kerajaan terutama berkenaan kenyataan Mufti Perak yang mendakwa kira-kira 100,000 orang Islam di negara termasuk seorang yang bergelar 'ustazah' telah murtad hasil daripada suatu kajian sekumpulan profesional dan intelektual Melayu yang menjalankan kajian mengenai masalah itu pada tahun lepas. Malah umat Islam bermula daripada pemimpin mesti serius dalam menghadapi tekanan dan perancangan jahat musuh Islam yang semakin berani menentang Islam termasuk dalam kes terbaru menukar agama (murtad) yang dituntut Azlina Jailani atau lebih dikenali dengan nama Lina Joy bagi memadamkan perkataan Islam pada kad pengenalannya. Ini semua adalah antara perancangan jahat musuh Islam di mana jika kita masih berlembut maka usaha musuh Islam untuk membuang perkataan Islam daripada kad pengenalan akan berjaya tidak lama lagi dikuti dengan kuasa Mahkamah Syariah terhakis dan apa yang paling bahaya ialah keistimewaan Islam akan dibuang daripada perlembagaan.
Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Tidak cukup dengan masalah murtad maka masalah penyebaran luas Islam Liberal juga mesti diambil perhatian yang serius. Suara-suara sesat daripada puak Islam Liberal ini semakin jelas berlaku seperti mempertikaikan talak yang hanya diberikan kepada kaum lelaki, pembahagian pesaka yang melebihkan kaum lelaki, amalan poligami yang dipandang menzalimi wanita, menuduh ulama’ feqah sebagai pereka agama dan antara yang terbaru ialah mempertikaikan pandangan mufti agar dihentikan amalan kongsi raya yang boleh menjejaskan aqidah umat Islam. Jika kita lihat kepada kesan kongsi raya memang begitu merbahaya apabila aqidah umat Islam yang telah rapuh akan bertambah rapuh sehingga menganggap semua agama adalah sama. Mula-mula umat Islam hanya mengikut upacara yang tidak bercanggah dengan Islam tapi lama-kelamaan mereka turut terheret dengan budaya dan adat agama lain yang bercanggah dengan Islam dalam keadaan sedar atau pun tidak. Inilah sebenarnya yang dikehendaki oleh musuh Islam di mana umat Islam tidak payah masuk kristian, budha, hindu tetapi cukuplah bahawa umat Islam yang gila raya ini mengiktiraf bahawa agama-agama itu semuanya betul
Bila aqidah telah rosak maka keadaan akhlak semakin parah terutama kita berasa terhina dan malu jika benarnya dakwaan bahawa masyarakat Melayu membelanjakan RM1 bilion setahun untuk minum arak dan RM3 bilion lagi untuk berjudi iaitu 75 peratus yang tikam ekor sekarang ini merupakan orang-orang Melayu sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah majalah. Kenyataan ini ditambah dengan cadangan kementerian pelancongan supaya kelab malam dibuka sehingga jam 5 pagi sempena tahun melawat Malaysia 2007 nanti. Ke manakah sebenarnya arah tuju Islam Hadhari yang dicanangkan selama ini samada Islam yang dipertahan atau jahiliah yang dijulang. Adakah kita sebagai umat Islam yang bermaruah rela melihat keruntuhan aqidah dan akhlak terus berlangsung dalam negara tanpa sebarang usaha untuk menanganinya. Muliakah kita jika memandang semua bahaya tersebut hanya masalah orang lain bukannya melibatkan anak dan cucu kita. Adakah kita boleh mati dengan tenang ketika keruntuhan aqidah dan akhlak ini semakin mengancam anak cucu kita. Apakah bekalan yang kita bekalkan kepada anak cucu kita samada harta atau pun agama yang berharga.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Kita turut merasa sedih dan marah apabila musuh Islam dengan kejam terus meratah tubuh umat Islam tanpa rasa kasihan. Kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan bacul yahudi Israel yang terus mengebom bangunan dan membunuh umat Islam di Palestin disamping menahan puluhan menteri dan ahli parlimen Palestin. Setelah gagal menjatuhkan kerajaan HAMAS Palestin dengan sekatan kewangan maka zionis yahudi kini atas alasan mahu membebaskan seorang pegawai tenteranya yang diculik sedang berusaha menggulingkan sebuah kerajaan pilihan rakyat disamping meruntuhkan masjid Aqsa. Kita turut mengutuk tindakan tidak bertamadun yahudi yang mengebom lapangan terbang Beirut, Lubnan serta membunuh puluhan rakyat yang tidak berdosa. Zionis yahudi tidak mengenal erti perdamaian tetapi mereka hanya tahu membunuh dan menghancurkan sesiapa sahaja yang dianggap sebagai musuh mereka. Oleh itu marilah kita sama-sama membantu saudara seagama dengan kemampuan yang ada terutama melalui doa-doa kita bersama.
Firman Allah dalam ayat 17 surah Luqman :
يبني أقم الصلـوة وأمر بالمعروف وانه عن المنكر واصبر على ما أصابك إن ذلك من عزم الأمور
Maksudnya : Wahai anakku! Dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan dan tegahlah daripada kemungkaran serta sabarlah di atas cubaan yang menimpa engkau. Sesungguhnya demikian itu merupakan perkara yang dikehendaki ambil berat mengenainya
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan