أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Rabu, 16 April 2008

21. BAHAYA ASSOBIYAH

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
irman Allah dalam ayat 118 dan 119 surah Hud :

ولو شاء ربك لجعل الناس أمة واحدة ولايزالون مختلفين إلا من رحم ربك زلذلك خلقهم وتمت كلمة ربك لأملأن جهنم من الجنة والناس أجمعين

Maksudnya : Sekiranya Tuhanmu mengkehendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Tuhanmu dan untuk itulah Allah menciptakan mereka. Kalimat (keputusan) Tuhanmu telah ditetapkan. Sesungguhnya Aku akan memenuhi neraka jahannam dengan jin dan manusia (yang derhaka) semuanya.
Kini kita berada dipenghujung bulan Zulkaedah di mana kita akan menyambut pula kedatangan bulan Zulhijjah di mana di dalamnya umat Islam akan menyambut eidul Adha dan bagi mereka yang berada di Mekah pula, mereka akan menunaikan ibadat haji. Berjuta umat Islam pada hari ini sedang berada di Mekah dan ramai masih dalam perjalanan menuju ke Mekah untuk menunaikan haji tanpa mengira bangsa dan negara, tanpa mengira harta dan usia, tanpa mengira pangkat dan darjat. Mereka sama-sama mengadap kiblat yang satu, mengelilingi Ka’bah yang satu, akan wukuf pada hari Arafah di tempat yang satu, sama-sama memakai pakaian ihram dengan warna yang satu. Ini menunjukkan kepada umat Islam bagaimana Islam mementingkan kesatuan dan perpaduan tanpa mengira bangsa, negara, budaya dan warna kulit. Ibadat haji memberi isyarat yang jelas bagaimana Islam mahukan perpaduan dalam beribadat mesti diteruskan kepada kehidupan seharian bagi memberikan kekuatan yang sebenar berasaskan agama untuk mencapai kebahagian di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Islam begitu menekankan perpaduan tanpa mengira bangsa, bahasa, budaya dan negara tetapi mesti berdasarkan Islam. Rasulullah s.a.w sendiri dalam membina kekuatan dan perpaduan telah menolak jawatan raja Mekah yang ditawarkan oleh kafir Quraisy kerana ia berbentuk bangsa semata-mata sedangkan bangsa arab terus berpecah dan berkelahi sesama mereka walau pun jumlah yang ramai. Rasulullah s.a.w sebagai nabi akhir zaman telah dilahirkan dicelah bangsa arab yang tidak mampu membina kuasa dan tamadun yang kuat kerana perasaan semangat kebangsaan arab yang kuat sehingga mereka telah jauh ketinggalan oleh kuasa dan tamadun Empayar Rom berasaskan kristian, Empayar Parsi berasaskan majusi dan kefahaman yang lain disamping Empayar India berasaskan Hindu serta Empayar China berdasarkan Budha. Rasulullah s.a.w terus berdakwah dan mencari kekuatan melalui kuasa pemerintahan bagi memastikan Islam tersebar sebagai agama yang bukan sahaja berasaskan ibadat khusus tetapi turut meliputi seluruh aspek kehidupan. Strategi dan tindakan Rasulullah s.a.w dalam membina negara yang kuat bagi melaksanakan seluruh sistem Islam disamping menyebar luas lagi Islam sehingga meliputi negara luar dari tanah arab melalui asas yang kuat iaitu Islam bukannya berteraskan bangsa semata-mata. Islam yang dijadikan asas perpaduan oleh Rasulullah s.a.w bukan sahaja mampu menyatukan perpaduan di kalangan bangsa arab sehingga mereka boleh menguasai yahudi yang dahulunya menindas mereka tetapi Islam juga mampu menyatukan semua bangsa seperti Bilal dari Afrika, Suhaib dari Rom, Salman dari Parsi dan mereka yang lain dengan bangsa arab. Asas Islam yang dibina juga mampu memberi semangat dan kekuatan kepada Khalifah selepas Rasulullah s.a.w untuk menjalankan dakwah dan penyebaran Islam serta perluasan tanah jajahan di bawah Khalifah Islam sehingga Islam berjaya meruntuhkan Empayar Rom, Empayar Parsi dan menguasai sebahagian bumi eropah dan seterusnya melebarkan pengaruhnya sehingga menguasai Empayar India dan China. Penguasaan ini membolehkan Islam tersebar merata dunia termasuk di alam Melayu ini di mana orang Melayu sebelum ini bukan sahaja mampu beribadat khusus sahaja tetapi turut merasakan keadilan dan keamanan di bawah Kesultanan Melayu Islam yang telah melaksanakan sistem Islam dalam pemerintahan mereka seperti terdapat dalam Undang-undang Kanun Melaka, Undang-undang Laut Melaka dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dihormati,
Ibnu Khaldun di dalam Al-Muqaddimah menyatakan bahawa semangat dan kekuatan bangsa boleh membantu menaikkan sesuatu bangsa kepada kemajuan dengan syarat ia mesti berteraskan Islam. Tetapi dalam masa yang sama apabila semangat kebangsaan atau kekitaan ini mula dilonggarkan daripada Islam maka ia akan menghancurkan bangsa tersebut. Ia terjadi apabila pemimpin mula merasakan kekuatannya adalah hasil sokongan yang tidak berbelah bahagi atas nama mereka sebangsa walau apa pun yang dilakukan. Akhirnya pemimpin tersebut mula terpesong dan mementingkan diri sendiri sehingga segala kemewahan negara pada mulanya dinikmati oleh seluruh bangsanya mula diperkecilkan kepada mereka yang menyokongnya sahaja sehingga mengabai dan menzalimi mereka yang sebangsa tetapi tidak memberi sokongan kepadanya di atas sebab tertentu. Disebabkan perasaan tamak terus menguasai diri menyebabkan pemimpin itu mula memperkecilkan lagi pembahagian hak dan kemewahan kepada keluarga terdekat dan mereka yang menjadi pendokong kuat kepadanya walau pun bukan dari bangsanya. Tindakannya ini akhirnya menimbulkan perasaan dendam di kalangan bangsanya sendiri terutama penyokongnya yang selama ini begitu setia kepadanya akibat daripada kezaliman yang dilakukan. Apabila pemimpin itu mula melihat adanya penentangan terhadapnya maka dia mula menggunakan kekerasan dengan membina kekuatan tentera bagi melindungi kuasanya serta sanggup mengambil tindakan yang keras termasuk membunuh bagi mengurangkan jumlah penentangnya. Perpecahan semakin bertambah disebabkan penindasan dan kezaliman yang dilakukan yang menyebabkan sesuatu bangsa itu hancur dan bangsa yang lain samada dari dalam atau luar negaranya mula mengambil kesempatan daripada perpecahan itu untuk menguasai bangsa yang berpecah tadi.
Contohnya apa yang berlaku kepada kerajaan bani Umaiyah yang berkuasa penuh untuk menguasai semua bangsa arab melalui perasaan keturunan bani Abdul Manaf tetapi masih berlandaskan Islam. Semangat kekitaan yang berdasarkan bani Abdul Manaf itu adalah munasabah sehingga pemerintahan Sulaiman bin Abdul Malik di Damsyik di mana baginda menyuruh agar dibunuh Abdul Aziz bin Musa bin Nushair di Cardova kerana merasakan dia tidak memberikan sokongan kepada pemerintah atas sebab tertentu. Perasaan marah berdasarkan qabilah semata-mata sehingga meminggirkan Islam itu menyebabkan Bani Umaiyah dihancurkan oleh Bani Abbas yang membolehkan kuasa perpindah tangan. Bani Abbas yang memiliki kuasa pemerintahan yang baru menggantikan bani Abdul Manaf telah mengekang Bani Hasyim dan membunuh serta membuang negeri mereka yang berketurunan Abu Tolib kerana membalas dendam di atas kezaliman yang dilakukan oleh beberapa pemerintah dari kalangan bani Umaiyah sebelum ini.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Perasaan kekitaan atau semangat kebangsaan ini banyak memberi kesan yang buruk kerana ia berakhir dengan dendam, perpecahan dan peperangan setelah mereka mula meninggikan semangat kebangsaan sehingga mengabaikan mereka yang bukan sebangsa atau pun mereka yang sebangsa tetapi tidak memberi sokongan kepada mereka yang berkuasa.Sedangkan jika kita menjadikan Islam sebagai asas dalam pemerintahan maka dengan sendirinya bangsa kita akan terjaga kebajikan dan perpaduannya kerana Islam mempunyai sistem yang lengkap dalam mengekang kezaliman dan penindasan. Disebabkan terlalu kuat meninggikan kepentingan bangsa menyebabkan usaha dakwah kepada mereka bukan Islam terhenti dan terbantut yang menyebabkan bilangan orang bukan Islam semakin ramai, ditambah pula dengan mereka yang sebangsa semakin berani murtad. Akhirnya bilangan bangsa Melayu semakin sedikit dan jumlah umat Islam pun turut berkurangan. Perkara ini memberi peringatan kepada kita bahawa dengan hanya mementingkan semangat kebangsaan sahaja sebenarnya kita meramaikan musuh yang menyebabkan perpecahan semakin kuat berlaku. Sebaliknya jika mementingkan Islam maka kita akan mengurangkan musuh kerana dakwah kepada Islam semakin bertambah kuat menyebabkan bukan sahaja bangsa kita terus tetap dalam Islam tetapi bangsa yang lain akan turut bersama bersatu dalam Islam. Bagi mereka yang tidak memeluk Islam pula, mereka akan terus memberi kerjasama dan merasa bahagia hidup di bawah perlindungan keadilan sistem Islam. Di sana tiada lagi ruang untuk berlakunya perpecahan sesama bangsa dan juga dengan bangsa lain kerana masing-masing dapat merasakan hak mereka telah ditunaikan dengan sebaiknya oleh Islam. Inilah ia keadilan Islam dan perpaduan yang ditekankan oleh Islam.
Firman Allah dalam ayat 117 surah Hud :
وماكان ربك ليهلك القرى بظلم وأهلها مصلحون
Dan Tuhanmu tidak sekali-kali akan membinasakan negeri-negeri secara zalim sedangkan penduduknya merupakan mereka yang sentiasa melakukan perubahan ke arah kebaikan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: