أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Sabtu, 3 September 2011

24. Peperangan Khandak

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
فرمان الله تعالى دالم أية 10-11 سورة الأحزاب :
إذ جاءوكم من فوقكم ومن أسفل منكم وإذزاغت الأبصـر وبلغت القلوب الحناجر وتظنون بالله الظنونا هنالك ابتلى المؤمنون وزلزلوا زلزالا شديدا
Maksudnya : Ketika mereka (tentera Ahzab) mara ke arahmu dari atas dan bawah dan ketika penglihatan kamu tidak tepat dan hati-hati kamu naik minyak sampai ke kerongkong. Dan kamu menyangka dengan bermacam-macam sangkaan di sana diuji orang-orang yang beriman dan digoncang dengan sekuat-kuatnya.
Hampir seminggu kita berada di bulan Syawal yang mulia dengan sama-sama menyambut ketibaan eidil Fitri pada 1 Syawal yang baru lalu. Setelah bertarung dengan nafsu selama sebulan Ramadhan dengan berpuasa maka ketibaan Syawal disambut penuh kemenangan. Semoga kemenangan ini dapat kita sama-sama rayakan pula apabila bertemu Allah di akhirat kelak bersama dengan bekalan amalan soleh yang mampu meraih kasih sayang Allah Tuhan Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Kita turut merayakan kemenangan di atas kejayaan melawan sikap tamak dan kedekut dalam diri dengan sama-sama menunaikan zakat fitrah bagi menyatakan bahawa kita turut bersimpati kepada mereka yang memerlukan bantuan daripada saudara seagama. Tarbiah melalui puasa dan zakat amat besar ertinya jika ia ditunaikan dengan penuh keikhlasan kerana ia bakal menanam semangat perpaduan berdasarkan aqidah yang satu disamping bersedia untuk berkorban setakat yang mampu demi meninggikan agama Allah yang suci. Proses tarbiah yang dilalui dan diterima sepanjang Ramadhan lalu diharapkan dapat diteruskan pada bulan-bulan lain dalam melahirkan diri sebagai hamba Allah yang bertaqwa dan beruntunglah bagi mereka yang menunaikan ibadat puasa 6 hari di bulan Syawal yang dinyatakan oleh nabi di mana kelebihannya seperti orang berpuasa sepanjang tahun.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Kedatangan Syawal turut mengingatkan kita semua kepada peperangan Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah terutama umat Islam apabila tibanya hari raya maka mereka secara bersama sentiasa melaungkan kalimah وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده ) ) yang bermaksud : Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab. Peperangan Ahzab yang bererti tentera bersekutu kuffar juga dikenali dengan nama peperangan Khandak yang bererti parit yang dibina oleh para tentera Islam sebagai kubu dalam menahan kemaraan musuh. Peperangan ini berlaku selepas penghalauan Yahudi Bani Nadhir oleh Rasulullah s.a.w dari Madinah setelah mereka cuba membunuh nabi. Seramai 20 orang yahudi Bani Nadhir telah bermusafir ke Mekah bagi menemui pemimpin Musyrikin untuk merancang suatu serangan bsar-besaran terhadap Rasulullah s.a.w dan muslimin di Madinah. Apabila ditanya oleh pemimpin musyrikin tentang agama Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w lalu yahudi dengan perasaan penuh dendam menjawab bahawa agama musyrikinlah yang betul berbanding agama Islam. Kenyataan ini adalah bagi menyemarakkan lagi api permusuhan terhadap Islam yang dibawa oleh nabi. Setelah berjaya menghasut kaum musyrikin Mekah sehingga berjaya mengumpulkan tentera seramai 4 ribu orang maka wakil yahudi ini telah menemui pula bani Ghatfan dan qabilah-qabilah lain sehingga berjaya mengumpulkan bala tentera seramai 6 ribu orang. Rasulullah s.a.w setelah mendengar kemaraan tentera Ahzab hasil pengkhianatan yahudi di mana baginda terus bermesyuarat bagi menghadapi serangan yang besar itu lalu Salman al-Farisi mencadangkan agar dibina kubu dengan menggali parit bagi menghalang kemaraan musuh ke Madinah di mana cara ini merupakan yang biasa digunakan oleh tentera Parsi. Cadangan ini diterima oleh Rasulullah s.a.w lalu tentera Islam termasuk nabi sendiri bekerjasama menggali parit tersebut dengan bersungguh walau pun cuaca sejuk dan kekurangan bekalan makanan agar ia dapat disiapkan sebelum ketibaan musuh.


Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Tentera bersekutu kuffar seramai 10 ribu orang yang tiba merasa terkejut apabila tiba berdekatan dengan kubu parit yang digali oleh tentera Islam memandangkan bangsa arab sebelum ini tidak pernah berhadapan dengan cara itu dalam peperangan. Tentera Islam yang hanya berjumlah 3 ribu orang terus bertahan di sebelah yang lain di mana pertempuran besar tidak berlaku dalam peperangan ini sebaliknya masing-masing hanya menggunakan panah memandangkan mereka dihalang oleh parit. Ada tentera Ahzab yang cuba menyeberangi parit atau pun cuba membina jambatan tetapi semuanya gagal apabila tentera Islam terus menyerangnya. Dalam peperangan ini hanya 6 orang tentera Islam gugur syahid manakala 10 orang musyrikin berjaya dibunuh. Tekanan saraf terhadap Rasulullah s.a.w dan tentera Islam semakin bertambah apabila yahudi Bani Quraizah yang telah berjanji taat setia kepada nabi telah berpaling tadah apabila dihasut oleh pemimpin yahudi Bani Nadhir di mana Rasulullah s.a.w yang mendengar tentang pengkhianatan tersebut kelihatan tersandar. Namun pertolongan dan bantuan daripada Allah tetap datang kepada tenteraNya yang bersatu hati dan yakin dengan janji kemenangan daripada Allah diantaranya dengan kedatangan Nu’aim bin Mas’ud dari bani Ghatfan yang telah memeluk Islam tetapi kuffar tidak tahu tentang keislamannya itu di mana nabi terus memintanya agar melakukan suatu muslihat dalam memecah belahkan kesatuan tentera bersekutu kuffar. Beliau terus bertemu dengan pemimpin bani Quraizah dengan menyatakan bahawa mereka akan ditinggalkan bersendirian nanti oleh Quraisy dan bani Ghatfan dalam berhadapan dengan tentera Islam. Selepas itu Nu’aim bertemu pula dengan pemimpin Quraisy dan kemudiannya beliau bertemu dengan bani Ghatfan sendiri dengan menyatakan bahawa yahudi tidak boleh dipercayai. Akhirnya kesatuan antara tentera Ahzab mula goyah dan saling tidak mempercayai antara satu sama lain. Ini ditambah pula dengan datangnya ribut pasir yang kuat dan sejuk sehingga melingkupkan khemah dan periuk tentera Ahzab yang menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk berundur dan pulang dengan membawa kegagalan dan kekalahan. Berita tentang pengunduran tentera Ahzab telah dilaporkan oleh Huzaifah bin Yaman yang ditugaskan oleh Rasulullah s.a.w untuk menyiasat tentang keadaan sebenar yang berlaku di sebelah pihak tentera Ahzab. Setelah menghadapi pengkhianatan yahudi dan kesatuan tentera kuffar maka kini umat Islam dianugerahkan kemenangan yang gemilang hasil kesabaran, kesatuan dan keyakinan mereka kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dihormati,
Jika kita perhatikan kepada peristiwa peperangan Ahzab ini maka perkara sama terus berulang apabila pada hari ini yahudi yang berusaha menguasai dunia terus menghasut seluruh musuh Islam untuk bersatu dalam menghadapi kemaraan Islam yang merupakan agama yang menjadi penghalang besar kepada kuffar terutama yahudi dalam meneruskan kezaliman dan penindasan demi keuntungan mereka. Dulu umat Islam boleh mendapat kemenangan ketika berhadapan dengan sekutu kuffar kerana mereka berada di bawah satu kepimpinan tetapi kini umat Islam dipecahkan dalam banyak kepimpinan mengikut bangsa dan negara. Dulu umat Islam mampu mencapai kemenangan walau pun dengan jumlah yang sedikit kerana mereka lebih cintakan akhirat dan rindukan mati syahid sedangkan umat Islam kini dengan jumlah yang ramai terus dibaham oleh musuh kerana kebanyakan mereka lebih cintakan dunia dan benci kepada kematian. Dulu umat Islam diberikan kemenangan kerana bersatu hati menghadapi kemaraan musuh tetapi kini umat Islam diuji dengan kekalahan kerana berbalah sesama sendiri akibat terhasut dengan dakyah musuh sehingga kuffar dianggap rakan sedangkan saudara seagama dijadikan lawan. Dulu umat Islam digeruni dan dihormati kerana memiliki kuasa dan pelaksanaan semua sistem berdasarkan Islam sedangkan umat Islam kini diberi kuasa tetapi pelaksanaan sistem terus berkiblatkan barat. Dulu yahudi di Madinah terus dihalau keluar apabila mengkhianati nabi dan umat Islam tetapi kini yahudi dan kuffar boleh menghalau umat Islam sesuka hati dari tanahair sendiri sehingga berjuta umat Islam menjadi pelarian. Dulu umat Islam dimuliakan oleh Allah apabila menjadikan Islam sebagai cara hidup tetapi kini umat Islam dihina oleh Allah kerana meninggalkan Islam. Oleh itu kita mesti kembali kepada kemuliaan itu dengan sama-sama bersatu di bawah payung Islam yang memungkinkan kita mengalahkan tentera bersekutu kuffar yang diketuai oleh Amerika yang didalangi oleh yahudi laknatullah daripada terus mengganas di muka bumi ini
Firman Allah dalam ayat 22 surah Ahzab :
ولما رءا المؤمنون الأحزاب قالوا هذا ما وعدنا الله ورسوله وصدق الله ورسوله ومازادهم إلا إيمــنا وتسليما
Maksudnya : Manakala ketika orang-orang yang beriman melihat pasukan Ahzab maka mereka berkata : “ Inilah ia yang telah dijanjikan oleh Allah dan rasulNya kepada kita. Dan benarlah Allah dan rasulNya”. Dan demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan keimanan dan ketundukan.بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: