أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 1 Oktober 2010

20. HIKMAT PERJANJIAN HUDAIBIAH

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 27 surah al-Fathu
لقد صدق الله رسوله الرءيا بالحق لتدخلن المسجد الحرام إن شاء الله ءامنين محلقين رءوسكم ومقصرين لاتخافون فعلم ما لم تعلموا فجعل من دون ذلك فتحا قريبا
Maksudnya : Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada rasulNya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya iaitu sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram insya Allah, dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya sedang kamu tidak merasa takut. Maka Allah mengetahui apa yang kamu tidak mengetahui dan Dia memberikan selain itu kemenangan yang dekat.
Kini kita sudah berada di awal bulan Zulkaedah yang mengingatkan kita semua tentang suatu peristiwa besar dan bersejarah iaitu telah berlangsungnya Perjanjian Hudaibiah pada tahun 6 Hijrah antara kaum muslimin pimpinan Rasulullah s.a.w dengan kaum Quraisy. Peristiwa ini berlaku apabila umat Islam yang ingin menunaikan ibadat haji telah dihalang oleh kafir Quraisy. Mereka merasa begitu gerun melihat betapa ramainya jumlah umat Islam walau pun kedatangan mereka ke Mekah bertujuan untuk menunaikan ibadat haji bukannya untuk berperang. Akhirnya Rasulullah s.a.w telah menghantar Sayyidina Uthman bin ‘Affan ke Mekah untuk berbincang dengan pihak Quraisy bagi membolehkan umat Islam mengerjakan haji pada tahun itu. Pemergian Sayyidina Uthman yang agak lama tanpa sebarang berita menyebabkan timbulnya cerita bahawa beliau telah dibunuh. Ini menyebabkan Rasulullah s.a.w dan para sahabat melakukan Bai’ah ar-Ridhuan di bawah sebatang pokok di Hudaibiah bagi menyatakan kesanggupan mereka untuk membela Islam walau pun terpaksa menumpahkan darah. Ketika mereka sedang berbai’ah, tiba-tiba munculnya Sayyidina Uthman di mana beliau turut sama dalam berbai’ah. Kuffar Quraisy yang mendengar tentang bai’ah yang dilakukan ini mula merasa gerun dan takut lalu mereka segera menghantar wakil bagi mengadakan perdamaian antara mereka dengan umat Islam. Di sini kita dapat lihat bagaimana kesatuan umat Islam berdasarkan aqidah yang satu tanpa mengira bangsa dan warna kulit telah menyebabkan mereka yang dahulunya disiksa dan dihina oleh kuffar Quraisy, kini mula digeruni dan ditakuti oleh musuh Islam.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Kaum musyrikin telah menghantar Suhail bin ‘Amru untuk mengadakan perjanjian damai dengan Rasulullah s.a.w. Selepas menulis beberapa perkara utama dalam perjanjian damai ini maka disebut kepada Sayyidina Ali بسم الله الرحمن الرحيم lalu wakil musyrikin tadi menyahut : “Adapun perkataan ar-Rahman kami tidak tahu apakah ia. Oleh itu tulislah kalimah بسمك اللهم “. Mendengar arahan itu lalu Rasulullah s.a.w meminta agar Sayyidina Ali menulis sebagaimana yang dikehendaki. Kemudian Rasulullah s.a.w meminta agar ditulis : Inilah perkara yang telah dipersetujui untuk perdamaian oleh Muhammad Rasulullah. Wakil musyrikin sekali lagi membantah : “ Jika kami tahu bahawa engkau adalah Rasulullah nescaya kami tidak menghalangmu untuk mengunjungi Baitullah dan tidak pula memerangimu. Oleh itu tulislah Muhammad bin Abdullah “. Rasulullah s.a.w bersabda : “ Sesungguhnya aku sebenarnya adalah Rasulullah walau pun kamu mendustakanku “. Selepas itu Rasulullah s.a.w menyuruh Sayyidina Ali memadamkan perkataan Rasulullah dengan hanya menulis Muhammad bin Abdullah tetapi beliau enggan berbuat demikian sehinggalah nabi sendiri memadamkannya dengan tangannya.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,
Sesiapa yang membaca perkara yang tersurat dalam perjanjian ini akan merasa begitu hina kerana ia nampak begitu menguntungkan pihak musyrikin. Para sahabat sendiri melahirkan rasa tidak puas hati dengan isi perjanjian ini sehingga Sayyidina Umar al-Khottab menemui Sayyidina Abu Bakar lalu bertanya : “ Wahai Abu Bakar ! Bukankah dia adalah Rasulullah ?”. Kata Abu Bakar Ya!. Umar bertanya lagi :” Bukankah kita ini orang-orang Islam ?”. Jawab Abu Bakar Ya!. Umar berkata :” Jika begitu mengapa kita menerima cara yang hina ini ?”. Lalu Abu Bakar menegaskan : “ Wahai Umar! Ikut sahajalah perintahnya dan aku tetap percaya bahawa dia adalah Rasulullah! “.
Selepas itu Sayyidina Umar menemui Rasulullah s.a.w lalu bertanya : “ Wahai Rasulullah! Bukankah engkau adalah Rasulullah ?”. Sabda nabi Ya!. Umar bertanya lagi :” Bukankah kita ini orang-orang Islam ?”. Sabda nabi Ya!. Umar berkata :” Jika begitu mengapa kita memberi peluang untuk menghina agama kita ?”. Lalu nabi menegaskan : “ Aku adalah hamba Allah dan rasulNya. Aku tidak sekali-kali menyalahi perintahNya dan aku tidak akan disia-siakan! “. Inilah ia antara perasaan tidak puas hati terhadap perjanjian ini tetapi umat Islam akur dan patuh kepada setiap apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w kerana ia merupakan sesuatu yang hanya diketahui oleh Alah dan rasulNya tentang perkara yang tersembunyi disebaliknya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Antara perkara yang tertulis dalam perjanjian damai ini ialah yang pertama : Rasulullah s.a.w hendaklah pulang dan tidak memasuki Mekah pada tahun ini. Apabila tiba tahun hadapan mereka dibenarkan memasuki Mekah dengan syarat hanya membawa senjata musafir iaitu pedang bersama sarung sahaja. Perkara ini amat berat diterima oleh umat Islam memandangkan kedatangan mereka pada tahun itu untuk menunaikan haji. Akhirnya mereka akur dan bertahallul setelah melihat nabi sendiri melakukannya. Kegagalan untuk menunaikan haji pada tahun tersebut akhirnya memberi kemenangan yang lebih gemilang apabila berlakunya pembukaan Kota Mekah beberapa tahun selepas itu.
Perkara kedua pula berbunyi : Gencatan senjata iaitu tidak boleh berperang antara kedua belah pihak selama 10 tahun. Perkara ini telah memberi peluang kepada umat Islam untuk berdakwah dan berbincang mengenai Islam secara lebih meluas tanpa sekatan menggunakan kekerasan sehingga lebih ramai yang memeluk Islam termasuk Khalid ibnu Walid dan ‘Amru bin al-‘As. Genjatan senjata ini juga telah memberi peluang kepada Rasulullah s.a.w untuk berdakwah melalui pengutusan surat kepada Raja Rom, Parsi, Damsyik dan beberapa kerajaan yang lain yang menyebabkan penguasaan Islam semakin luas.
Perkara ketiga : Sesiapa yang ingin mengadakan ikatan perjanjian dengan Muhammad maka bolehlah melakukannya, begitu juga bagi mereka yang ingin mengadakan perjanjian dengan pihak Quraisy. Mana-mana pihak yang bergabung dengan salah satu daripada pihak tersebut maka ia dianggap suatu juzu’ daripadanya. Sebarang pencerobohan yang dihadapi oleh mereka dianggap menceroboh ke atas salah satu daripada pihak tadi. Perkara ini membolehkan Islam mudah tersebar dan juga menjadi salah satu sebab kepada berlakunya pembukaan Kota Mekah apabila berlakunya pencerobohan terhadap qabilah Khuza’ah yang berada bersama kaum muslimin oleh pihak musyrikin.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Perkara keempat berbunyi : Sesiapa di kalangan Quraisy yang datang kepada Muhammad tanpa izin walinya maka hendaklah dihantar pulang ke Mekah dan sesiapa daripada pihak Muhammad yang melarikan diri kepada pihak Quraisy maka dia tidak akan dikembalikan ke Madinah.
Perkara inilah yang telah menyebabkan para sahabat merasa terhina terutama apabila melihat Abu Jandal iaitu anak Suhail bin ‘Amru yang merupakan wakil musyrikin dalam perjanjian telah lari meminta perlindungan daripada nabi tetapi disebabkan mematuhi perjanjian ini maka Abu Jandal terpaksa dihantar pulang ke Mekah. Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada Abu Basyir yang turut mendapatkan perlinbungan nabi di Madinah tetapi terpaksa diserahkan kepada perisik musyrikin untuk dibawa pulang ke Mekah kerana mematuhi perjanjian ini. Namun nasib Abu Basyir agak berbeza apabila dia berjaya melepaskan diri selepas membunuh salah seorang daripada perisik musyrikin. Dia lari buat kali kedua ke Madinah tetapi disebabkan tidak mahu Rasulullah s.a.w merasa bersalah lalu dia meminta izin untuk membawa diri dan tinggal di Fata iaitu suatu tempat strategik antara Mekah dan Madinah. Selepas itu Abu Jandal yang berjaya melarikan diri buat kali kedua turut tinggal di Fata. Begitu juga mereka yang telah memeluk Islam di mana kebanyakan mereka melarikan diri dan berkumpul di Fata. Mereka telah melakukan sekatan terhadap perdagangan Quraisy yang melalui laluan utama di Fata. Gerakan yang diketuai oleh Abu Basyir ini telah menjejaskan perdagangan dan ekonomi Quraisy yang menyebabkan mereka membatalkan perkara yang telah dipersetujui sebelum ini dengan membenarkan orang Islam mendapatkan perlindungan di Madinah. Bagi orang Islam yang terus menetap di Mekah pula, mereka telah memainkan peranan dakwah yang penting sehingga ramai yang telah memeluk Islam.
Inilah ia antara hikmat kepada perjanjian damai Hudaibiah di mana jika dilihat secara zahirnya ia begitu merugikan umat Islam tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Firman Allah dalam ayat 18 surah al-Fathu
لقد رضي الله عن المؤمنين إذ يبايعونك تحت الشجرة فعلم ما في قلوبهم فأنزل الله السكينة عليهم وأثبهم فتحا قريبا
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah redha terhadap orang mukmin ketika mereka berbai’ah (janji setia) kepada engkau di bawah pohon. Maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi ganjaran kepada mereka kemenangan yang dekat waktunya.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: