أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Isnin, 30 Jun 2008

14. TIGA TUGAS UTAMA UMAT MULIA

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 41 surah al-Hajj :
الذين إن مكنـهم فى الأرض أقاموا الصلوة وءاتوا الزكوة وأمروا بالمعروف ونهوا عن المنكر ولله عـقبة الأمور
Maksudnya : Orang-orang yang sekiranya Kami teguhkan mereka di atas muka bumi ini nescaya mereka akan mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran dan bagi Allah jualah kesudahan semua perkara
Islam merupakan agama fitrah yang sesuai dengan kemampuan yang ada pada diri manusia itu sendiri. Islam bukanlah suatu agama yang payah difahami serta susah pula untuk diamalkan. Manakala umat Islam merupakan umat pilihan dan terbaik berbanding umat yang lain dengan syarat kita melaksanakan beberapa kewajipan yang terpikul atas bahu kita antaranya kita mestilah menjaga sembahyang, menunaikan zakat serta menjalankan tugas dalam menyuruh diri kita sendiri dan ahli keluarga serta masyarakat sekeliling kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran. Umat Islam hanya diberi kemuliaan dan kekuasaan di dunia apabila kita dapat menunaikan beberapa kewajipan tersebut secara bersungguh-sungguh. Kegagalan umat Islam dalam menjalankan tugas itu menyebabkan kita ditimpa dengan pelbagai masalah serta penghinaan oleh Allah.
Masalah sembahyang yang merupakan tiang agama serta ia merupakan amalan pertama yang bakal ditanya oleh Allah S.W.T di akhirat nanti di mana telah ramai umat Islam hari ini yang mengabaikan sembahyang malah bagi mereka yang mendirikan sembahyang pula masih ramai yang mengerjakannya tanpa mengambil berat tentang ilmu mereka berkenaan bacaan atau perbuatan dalam sembahyang samada betul atau tidak sebagaimana yang dituntut. Benarlah peringatan nabi bahawa pada akhir zaman ikatan Islam akan dirungkai satu demi satu bermula daripada sembahyang sehinggalah kepada system Islam yang lain akibat daripada kejahilan umat Islam sendiri.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Ketika kita menyebut tentang peristiwa hijrah maka antara perkara yang besar yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w setelah tiba di Madinah ialah mendirikan masjid bukannya membina kem tentera walau pun baginda mengetahui bahawa musuh sedang mengejarnya. Malah ketika mengingati beberapa peristiwa gempa bumi dan tsunami yang telah berlaku di negara umat Islam maka kita sentiasa diperingatkan tentang masjid yang tidak turut hancur bersama bangunan kukuh yang lain. Ini semua merupakan antara suatu isyarat yang jelas agar kita umat Islam kembali merapatkan diri kepada Allah S.W.T antaranya melalui solat dan juga menjinakkan diri dengan masjid. Ingatlah bahawa antara tujuh golongan yang bakal dibayangi oleh ‘Arasy Allah S.W.T pada hari akhirat nanti adalah seseorang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Alangkah bahagia dan mudahnya kita jika umat Islam mampu memenuhi masjid sebagaimana kita semua dapat lakukannya pada hari Jumaat di mana hati umat Islam dapat disatukan dan setiap arahan serta maklumat terkini dapat disalurkan dengan senang dan cepat tanpa memerlukan kepada sesuatu perhimpunan tertentu di tempat yang lain pula. Kita dapat melihat bagaimana keadaan umat Islam apabila mereka liar dan jauh daripada masjid maka semakin banyak masalah buruk yang berlaku dalam masyarakat. Umat Islam yang disatukan atas asas keduniaan tidak mampu diajak untuk berjuang atas dasar Islam sebaliknya mereka hanya mampu menjadi penyokong apabila menang dan akan lari apabila merasakan sokongan mereka tidak memberi pulangan keduniaan. Sesungguhnya hati manusia tidak boleh menyatukan dua perasaan yang berbeza antara cintakan Islam dengan cintakan harta, antara cintakan akhirat dengan cintakan dunia. Umat Islam yang hatinya dekat dengan Allah sentiasa bertanya pada diri tentang sumbangannya terhadap Islam sedangkan umat Islam yang kurang ikatannya dengan Allah sentiasa berfikir apakah yang mampu diberikan oleh Islam kepadanya. Oleh itu muhasabahlah diri kita samada mahu menjadi hamba Allah atau hamba dunia. Penuhilah masjid setiap masa dan jangan jadikan diri kita sebagai umat yang hanya tahu bermegah dengan bangunan masjid bukannya berlumba-lumba untuk menghidupkannya. Ingatlah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas bin Malik :
قال الرسول  : لاتَقُوْمُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَبَاهَى النَّاسُ فِى المَسَاجِدِ
Maksudnya: Tidak akan berlaku qiamat sehingga umatku hanya bermegah-megah dengan binaan masjid sahaja

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Kewajipan kedua yang mesti ditunaikan oleh umat Islam yang ingin lahir sebagai umat mulia di dunia dan akhirat ialah menunaikan zakat. Zakat merupakan antara cara pembersihan harta serta memastikan harta orang kaya diagih untuk turut sama dirasai oleh orang miskin sehingga wujudnya suasana kasih sayang yang mampu menghasilkan masyarakat yang aman. Malah nabi pernah memberi amaran bahawa antara punca datangnya bala angin merah, gempa bumi atau pun ditukar wajah sesuatu kaum ialah apabila mereka menganggap bahawa zakat itu sebagai hutang. Begitu juga dengan amaran nabi dalam sebuah hadis yang lain di mana mereka yang tidak mengeluarkan zakat akan ditahan air daripada langit sehingga jika tiada binatang yang hidup di atas muka bumi ini nescaya mereka tidak akan diberikan hujan oleh Allah. Sebab itulah Rasulullah s.a.w ketika menghantar Huzaifah bin Yaman ke suatu tempat maka baginda memperingatkan agar Huzaifah sentiasa berhukum dengan al-Quran dan hadis nabi serta mengambil harta orang kaya melalui zakat untuk diagihkan kepada fakir miskin. Begitu juga dengan tindakan tegas Sayyidina Abu Bakar yang sanggup memerangi puak yang dikira murtad akibat tidak mahu mengeluarkan zakat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kewajipan yang seterusnya ialah menyuruh kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran di mana ramai di kalangan umat Islam hari ini mengabaikan kewajipan ini sehingga semakin rosaknya masyarakat. Kita mesti ingat amaran nabi iaitu kita diibaratkan seperti penumpang sebuah kapal di mana ada yang berada ditingkat atas dan sebahagian yang lain berada ditingkat bawah. Sekiranya penumpang tingkat atas tidak mencegah tindakan penumpang sebelah bawah yang bertindak menebuk lantai kapal agar lebih senang mengambil air maka kesemua penumpang itu bakal tenggelam bukannya penumpang sebelah bawah sahaja yang akan kelemasan apabila kapal itu karam nanti. Begitulah juga dengan keadaan kita apabila tidak mengajak orang lain untuk turut berbuat baik serta mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran maka bukan orang yang berbuat kejahatan sahaja yang bakal ditimpa bala daripada Allah malah kita turut menerima padahnya. Malah keadaan sekitar yang rosak bakal merosakkan anak cucu kita dalam jangka masa panjang. Oleh itu marilah kita sama-sama menjalankan kerja-kerja amar makruf nahi munkar ini agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan baik dan sentiasa dilimpahkan dengan rahmat oleh Allah. Kita juga mesti sedar bahawa cabaran dan ujian dalam menjalankan tugasan ini amat berat sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad :
قال الرسول  : لايُدْرِكُنِيْ زَمَانٌ أَوْ لاتُدْرِكُوْا زَمَانًا لايُتَّبَعُ فِيْهِ العَلِيْمُ وَلايُسْتَحْيِي مِنَ الحَلِيْمُ قُلُوْبُهُمْ قُلُوْبُ الأعَاجِمِ وَأَلْسِنَتُهُمْ أَلْسِنَةُ العَرَبِ
Maksudnya : Ya Allah! Jangan Engkau ketemukan aku dengan suatu masa atau mudah-mudahan kamu wahai para sahabat tidak akan bertemu dengan suatu masa di mana orang alim sudah tidak diikut lagi dan orang yang berbudi pekerti tidak disegani lagi. Hati mereka seperti orang ‘ajam(pada fasiknya) dan lidah mereka seperti orang arab (pada fasihnya).
Kita dapat lihat pada tahun ini sahaja banyak tugasan dalam mencegah daripada kemungkaran menghadapi pelbagai tentangan dan tekanan termasuk tindakan tegas terhadap pengarah dan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan(JAWI) sedangkan remaja Melayu yang jelas salah kerana mengunjungi dan berkelakuan kurang sopan di kelab malam dibebaskan. Begitu juga dengan pesta arak di Genting Highland pada 5 dan 6 Mac yang baru lalu yang turut dihadiri oleh 10 ribu orang termasuk remaja Islam di mana sekatan awal tidak dibuat sebagaimana sekatan jalanraya oleh polis bagi ceramah dan tidak digunakan anggota FRU sebagaimana ketika menyuraikan penunjuk perasaan sebelum ini. Ini menunjukkan dengan jelas kepada kita bahawa dasar negara yang banyak bercanggah dengan Islam menjadi punca terbesar kepada kegagalan pelaksanaan Islam Hadhari.
Firman Allah dalam ayat 63-64 surah al-Furqan :
وعباد الرحمن الذين يمشون على الأرض هونا وإذا خاطبهم الجــهلون قالوا سلــما . والذين يبيتون لربهم سجدا وقيــما
Maksudnya : Dan hamba-hamba Allah Yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi ini dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka lalu mereka ucapkan kata-kata yang baik. Dan mereka melalui malam hari dengan bersujud serta berdiri bagi menyembah Allah
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: