أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Sabtu, 14 Jun 2008

7. Undi Bijak Adil DiTegak

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 2 dan 3 surah al-Ankabut :
أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا آمنا وهم لايفتنون . ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكذبين

Maksudnya : Adakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan untuk mengatakan: “ Kami telah beriman “, sedangkan mereka belum diuji. Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Dia mengetahui orang-orang yang berdusta
Islam adalah agama langit yang syumul merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia. Keindahan dan kehebatan system Islam yang meliputi ibadat khusus, politik pemerintahan, perundangan, sosial, ekonomi dan sebagainya tidak mampu dilihat dan dirasai oleh kita melainkan dengan melaksanakannya di bumi nyata bukannya setakat tertera di dalam al-Quran dan hadis nabi serta tertulis dalam kitab-kitab karangan ulama’ sahaja. Betapa malangnya kita pada hari ini tidak mampu merasai keindahan Islam akibat Islam dipenjara dan system Islam disekat daripada dilaksanakan di negara ini akibat salah memilih pemimpin. Pemimpin yang naik adalah daripada golongan yang tidak faham atau tidak berminat untuk melaksanakan Islam malah apa yang lebih malang pemimpin ini menghina system Islam yang dianggap kolot dan ketinggalan zaman. Antara yang terbaru ialah bila melihat kepada 2 daripada 8 prinsip Islam Hadhori peringkat negeri yang menyatakan bahawa Islam Hadhori adalah Islam moden yang jelas menghina Islam yang diturunkan oleh Allah melalui nabi Muhammad s.a.w yang dikira sebagai ketinggalan zaman dan mundur. Begitu juga prinsip Islam Hadhori adalah Syumul di mana ini juga menafikan kesyumulan Islam yang dibawa oleh nabi yang mengharamkan arak, judi, riba, buka aurat, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Prinsip Islam Hadhori ini jika tidak disekat boleh merosakkan aqidah dan akhlak umat Islam dalam jangka masa pendek dan panjang. Islam Hadhori adalah penerusan kepada dasar sekuler yang memisahkan antara agama dan politik yang merupakan jalan pintas kepada murtad

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 140 surah an-Nisaa’:
َقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ إِنَّ اللهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
Maksudnya : Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang manufik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.
Ayat ini menjelaskan kepada kita tentang bahayanya sekiranya kita duduk apatah lagi menyokong mereka yang menghina system al-Quran. Walau pun kita tidak turut sama mencaci system al-Quran tetapi akibat duduk bersama pemimpin yang menghina system al-Quran maka hukumnya adalah sama. Oleh itu kita mesti faham sekiranya mahu melantik imam solat 5 waktu pun kita berhati-hati agar solat kita sah dan diterima oleh Allah. Begitu juga sekiranya kita mahu membeli barangan maka sudah pasti kita memilih barang yang baik untuk kita. Sekiranya imam solat dan jual beli kita menjaganya agar baik untuk kita apatah lagi bila mahu memilih pemimpin yang akan memerintah kita maka lebih-lebih lagi mesti dipilih dengan baik agar boleh membahagiakan kita di dunia dan akhirat. Kita jangan tertipu dengan golongan yang suka mempermainkan agama. Golongan ini bila bercakap di Kelantan berkenaan Islam tetapi di luar sana pemimpin ini gembira kerana dapat membina pusat judi paling besar Asia Tenggara di Genting Highland, membina kilang arak terbesar Asia Tenggara di Selangor dan hampir-hampir memberi ruang kepada Kristian dalam membina Gereja Melayu Kristian paling besar Asia Tenggara akibat tiada perundangan berdasarkan Islam dalam menyekat ribuan umat Islam daripada murtad. Sebab itulah tidak pelik apabila pemimpin ini ditaja oleh tauke judi untuk bertanding dalam pilihanraya. Malah untuk sembelih korban perdana pun menggunakan duit tauke judi. Apakah kita bakal jawab di depan Allah nanti sekiranya kita mengundi pemimpin jenis ini. Adakah kita terpengaruh dengan ajaran sekuler yang mengatakan bahawa undi tidak bersangkut paut dengan pahala dosa, syurga neraka. Ingatlah dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Ahmad dan Tabrani menyebutkan: Siapa yang berjalan bersama orang zalim untuk membantunya, sedangkan dia tahu orang berkenaan adalah orang yang zalim maka dia telah keluar daripada (agama) Islam. Begitu juga kita ingat kepada suatu kisah tentang suatu ketika seorang lelaki datang bertanya kepada Sufyan al Thauri. Dia berkata: Saya ini penjahit pakaian untuk seorang raja (pemerintah) yang zalim; adakah saya terjumlah dalam kalangan penyokong beliau. Sufyan al Thauri menjawab: Anda bukan golongan penyokong tapi anda adalah daripada golongan penzalim itu sendiri. Golongan penyokong ialah orang yang menjual kepada anda jarum dan benang (untuk menjahit).

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 67 dan69 surah al-Ahzab :
يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولاَْ وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلاَ ْ رَبَّنَا آتِهِمْ ضِعْفَيْنِ مِنَ الْعَذَابِ وَالْعَنْهُمْ لَعْنًا كَبِيرًا
Maksudnya : Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. "Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!"
Ramai golongan yang menyokong pemimpin yang zalim termasuk menolak system Islam yang menyeluruh dalam kehidupan akan menyesal yang tidak berguna lagi bila berada di depan api neraka. Oleh itu sebelum terlambat maka janganlah kita tersilap memilih pemimpin agar tidak menderita di dunia dan akhirat, Kita jangan tertipu dengan janji kosong yang bakal menjerat kita. Bersama kita menjatuhkan pemimpin zalim yang menyiksa tahanan ISA sehingga setengah tahanan dipaksa makan dan minum najis pihak tertentu. Lihatlah contoh janji pembangunan di Terengganu di mana hanya seorang dua tauke yang kaya raya hasil pembinaan Tamadun Tamadun Islam yang meranapkan duit rakyat sebanyak 270 juta dan pertandingan Monsun Cup sebanyak 300 juta setahun tetapi rakyat Terengganu kembali menjadi negeri kedua paling miskin selepas Sabah. Janji hapuskan cukai di Kelantan sedangkan di Terengganu yang mempunyai hasil minyak terpaksa mengutip semula cukai pintu dan bandar yang telah pun dihapuskan oleh kerajaan gerakan Islam sebelum ini. Janji harga minyak tidak dinaikkan hanya khayalan seperti penipuan terhadap penghapusan yuran sekolah sebelum ini yang jelas menghina Parlimen. Golongan yang dulu begitu jahat menarik bantuan kepada sekolah agama rakyat dan kini terus berusaha menyerahkan sekolah agama Yayasan Islam Kelantan untuk diserahkan kepada kerajaan pusat disamping menghina sekolah agama sebagai sarang pengganas tetapi kini berpura-pura mahu membantu sekolah agama rakyat. Lihatlah betapa banyak sekolah agama rakyat dan guru di luar Kelantan yang terpaksa mengikat perut kerana elaun mereka tidak dibayar begitu lama. Malah dijangka di Johor sekolah agama sesi petang akan dihapuskan menjelang 2010. Adakah kita rela menyerahkan batang tengkok kita untuk disembelih oleh pemimpin zalim ini di dunia dan akan menderita pula apabila bertemu dengan Allah di akhirat nanti. Ingatlah bahawa undi kita adalah rahsia tetapi akan ditanya oleh Allah di akhirat sana.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Ketika berdepan dengan demokrasi yang penuh penipuan ini maka kita sebagai pejuang Islam mesti lebih bersungguh dalam mempertahankan kerajaan yang melaksanakan banyak tuntutan Islam ini. Ingatlah peringatan Ibnu Mas’ud agar dijauhi 2 sikap yang merbahaya dalam berjuang iaitu Pertama Ujub atau perasan diri lebih di mana kita jangan terlalu yakin kita akan menang sehingga malas berusaha dan hilangnya pergantungan diri kepada Allah. Kedua jangan ada sikap mudah putus asa kerana terlalu kecewa dengan penipuan yang berlaku sehingga tidak lagi berharap kepada kemenangan sehingga tiada lagi usaha dalam melawan penipuan ini. Marilah kita sama-sama berjihad dalam mempertahankan kepimpinan ulama’. Jihad ini bukan sahaja berdepan dengan golongan sekuler tetapi adalah jihad dalam melawan tauke judi, arak arak, kelab malam, riba, maksiat daripada menjajah bumi Kelantan. Ya Allah! Kekalkan Kelantan sebagai Serambi Mekah. Kami berlindung denganMu Ya Allah! Agar jangan ditukarkan bumi bertuah ini menjadi serambi judi dan rasuah.
Firman Allah dalam ayat 87 surah al-Qasas :
وَلاَ يَصُدُّنَّكَ عَنْ آيَاتِ اللهِِ بَعْدَ إِذْ أُنزِلَتْ إِلَيْكَ وَادْعُ إِلَى رَبِّكَ وَلاَ تَكُونَنَّ مِنَ الْمُشْرِكِينَ
Maksudnya : Dan janganlah sekali-kali mereka dapat menghalangmu dan (menyampaikan) ayat-ayat Allah sesudah ayat-ayat itu diturunkan kepadamu. Dan serulah mereka kepada (jalan) Tuhanmu dan janganlah sekali-kali kamu termasuk mereka yang mempersekutukan Allah.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: