السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Janganlah kita hanya tahu mendengar sahaja perkataan taqwa serta menyebutnya sedangkan ia tidak menyerap ke dalam sanubari kita . Hitunglah diri kita setiap masa samada semakin hampir kepada Allah atau sebaliknya. Adakah amalan soleh kita semakin meningkat atau pun menurun….
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 2 surah al-Hasyr
هو الذي أخرج الذين كفروا من أهل الكتاب من ديارهم لأول الحشر ما ظننتم أن يخرجوا وظنوا أنهم مانعتهم حصونهم من الله فأتئهم الله من حيث لم يحتسبوا وقذف فى قلوبهم الرعب يخرجون بيوتهم بأيديهم وأيدى المؤمنين فاعتبروا يأولى الأبصر .
Maksudnya : Dialah (Allah) yang mengeluarkan orang-orang kafir di antara ahli-ahli kitab dari kampung-kampung mereka pada saat pengusiran kali pertama, kamu tiada menyangka bahawa mereka akan keluar dan mereka pun yakin bahawa benteng-benteng mereka akan dapat mempertahankan mereka daripada siksaan Allah. Maka Allah mendatangkan kepada mereka hukuman dari arah yang tidak mereka sangka dan Allah mencampakkan ketakutan ke dalam hati-hati mereka, mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan-tangan orang-orang yang beriman.Maka ambillah kejadian itu untuk menjadi iktibar wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.
Pada hari ini jika renung kepada nasib umat Islam maka kita dapati ianya masih belum menemui sinar dan kebahagian yang hakiki setelah begitu lama dijajah dan terjajah oleh kesesatan ideologi ciptaan manusia di samping beberapa lagi negara umat Islam sedang menghadapi serangan fizikal yang telah mengorbankan banyak nyawa sebagaimana di Ambon, Selatan Filipina, Kashmir, Palestin dan sebagainya. Musuh Islam kuffar dan anak didikan mereka menyerang umat Islam dari pelbagai sudut dengan penuh kebencian dan tidak memberi langsung ruang untuk umat Islam bangkit. Suasana ini berlainan dengan zaman kehebatan dan keagungan Islam ketika ia berada ditampuk pemerintahan sebagaimana yang pernah kita saksikan pada zaman Rasulullah s.a.w. Sebagai contohnya ialah berlakunya peristiwa pengusiran yahudi Bani Nadhir dari kota Madinah setelah mereka cuba membunuh Rasulullah s.a.w. Yahudi yang terkenal dengan sikap penakut telah mengadakan hubungan sulit dengan orang munafiq dan musyrikin dalam merancang pakatan jahat untuk berhadapan dengan umat Islam. Mereka sebenarnya tidak berani berperang secara berdepan terutamanya selepas tindakan yang dikenakan oleh Rasulullah s.a.w ke atas yahudi Bani Qainuqa’ dan Ka’ab bin Asyraf.
Peristiwa pengusiran yahudi Bani Nadhir berlaku apabila Rasulullah s.a.w datang ke kampung mereka untuk meminta supaya membayar diat berhubung dengan ‘Ammar bin Umaiyah ad-Dhamri yang telah membunuh 2 orang dari kalangan bani Kilab di mana mereka sebagai rakyat dalam negara Islam yang telah berjanji untuk memberi sumbangan sekiranya berlaku perkara seperti itu. Rasulullah s.a.w pergi ke kampung tersebut bersama dengan beberapa orang sahabat. Setelah diberitahu tujuan kedatangannya maka bani Nadhir menyatakan kesanggupan mereka untuk menunaikan janji itu dan meminta agar Rasulullah s.a.w menunggu di tepi sebuah rumah dalam kampung itu bersama-sama dengan Sayyidina Abu Bakar dan para sahabat yang lain. Tiba-tiba orang yahudi itu telah membuat pakatan jahat untuk menggugurkan batu dari atas rumah di mana Rasulullah s.a.w berada. Seorang yang bernama ‘Amru bin Jahsy sanggup melakukan kerja itu walau pun salah seorang daripada kalangan mereka telah menegahnya iaitu Salam bin Misykam di mana dia telah memberi amaran dengan katanya : “ Jangan lakukan perkara ini, dia (rasululllah s.a.w) akan diberitahu dan kerja ini adalah melanggar perjanjian di antara kita dan dia “. Tetapi nasihat itu tidak diendahkan oleh mereka.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Malaikat Jibril telah diperintahkan oleh Allah supaya memberitahu kepada nabiNya tentang perancangan jahat itu. Setelah mendapat berita tersebut lalu Rasulullah s.a.w terus bangun lalu terus pulang dengan segera ke Kota Madinah. Para sahabat yang masih tidak tahu perkara sebenarnya turut mengikuti baginda pulang ke Madinah di mana setelah tiba di sana lalu mereka bertanya perkara yang sebenarnya yang menyebabkan baginda pulang secara tergesa-gesa ke Kota Madinah sedangkan urusan mereka belum selesai. Rasulullah s.aw terus menjelaskan kepada para sahabat tentang perancangan jahat yahudi bani Nadhir yang ingin membunuhnya dengan menggugurkan batu dari atas rumah ke atasnya.
Selepas itu nabi telah membuat tindakan segera dengan menghantar Muhammad bin Maslamah sebagai utusan untuk memberitahu Bani Nadhir bahawa mereka tidak dibenarkan lagi tinggal di Madinah. Mereka diberi tempoh selama 10 hari untuk meninggalkan Madinah di mana jika mereka gagal berbuat demikian maka hukumannya ialah pancung kepala. Tiada lagi jalan lain untuk mereka berdalih dan melepaskan diri lalu mereka pun membuat persediaan untuk meninggalkan Madinah. Tiba-tiba pemimpjn munafiq Abdullah bin Ubai menasihatkan mereka supaya jangan keluar dari Madinah dan mereka hendaklah bertahan dan menentang habis-habisan di mana kaum munafiq mempunyai 2 ribu orang yang akan bersama yahudi bani Nadhir dalam kota bagi menentang Rasuilullah s.a.w. Abdullah bin Ubai memberi jaminan bahawa kaum munafiq bersedia untuk mati bersama-sama yahudi bani Nadhir. Allah telah merakamkan pakatan ini dalam ayat 11 surah al-Hasyr :
ألم تر إلى الذين نافقوا يقولون لإخوانهم الذين كفروا من أهل الكتاب لئن أخرجتم لنخرجن معكم ولا نطيع فيكم أحدا أبدا وإن قوتلتم لننصرنكم والله يشهد إنهم لكذبون .
Maksudnya : Apakah kamu tidak memerhatikan orang-orang munafiq yang berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir di antara ahli kitab :” Sesungguhnya jika kamu diusir nescaya kami pun akan keluar bersama-sama kamu dan kami selama-lamanya tidak akan patuh kepada sesiapa pun untuk menyusahkan kamu dan jika kamu diperangi pasti kami akan membantu kamu. Sesungguhnya Allah menyaksikan bahawa mereka merupakan kaum yang berdusta.
Perangsang dan jaminan yang diberi oleh Abdullah bin Ubai menyebabkan orang-orang yahudi itu naik semangat terutamanya pemimpin mereka Huyai bin Akhtab. Mereka mengambil keputusan menghantar utusan kepada Rasulullah s.a.w dengan katanya : “ Kami tidak akan keluar dari rumah-rumah kami, lakukanlah apa yang kamu mahu”.
Keadaan semakin tegang, Rasulullah s.a.w bertakbir diikuti oleh para sahabat yang lain. Semangat untuk berperang sedang marak membara terutamanya mereka mengetahui tentang perancangan jahat yahudi yang ingin membunuh nabi yang disayangi dan dikasihi.
Sidang Jumaat yang berbahagia
Bala tentera Islam dikerah untuk bertindak ke atas bani Nadhi di mana kampung mereka mesti diserang. Rasulullah s.a.w menugaskan Ibn Maktum untuk menjadi imam di masjid Madinah. Sayyidina Ali pula ditugaskan sebagai pembawa bendera dalam bala tentera Islam. Memang menjadi kebiasaan yahudi yang pengecut dan tidak berani bertempur secara berdepan di medan di mana mereka berkubu dalam kota dengan melontar batu dan panah serta berlindung di sebalik pokok-pokok tamar dan kebun-kebun mereka. Rasulullah s.a.w telah memerintah supaya kebun dan pokok tamar yang menjadi penghalang serangan agar ditebang dan dibakar. Bersempena dengan arahan ini Allah berfirman dalam ayat 5 surah al-Hasyr :
ما قطعتم من لينة أو تركتموها قائمة على أصولها فبإذن الله وليخزى الفسقين
Maksudnya : Apa sahaja yang kamu tebang dari pohon-pohon kurma milik orang-orang kafir itu atau yang kamu biarkan berdiri di atas pokoknya maka semuanya itu adalah dengan izin Allah dan kerana dia hendak membiarkan kehinaan kepada orang-orang yang fasiq
Ketika mereka diserang dan dikepung oleh tentera Islam, rakan-rakan mereka dari kalangan yahudi yang lain mengambil sikap tidak peduli begitu juga dengan Abdullah bin Ubai serta pengikutnya yang didakwa berjumlah 2 ribu orang di samping qabilah bani Ghatfan yang menjadi sekutu mereka tidak memberi apa-apa bentuk bantuan. Kepungan itu tidaklah lama iaitu 6 hari sahaja(setengah ulama’ mengatakan 15 hari). Sehinggalah Allah mencampakkan ke dalam hati mereka perasaan takut dan gentar, lalu mereka menyerah diri dan meletakkan senjata. Kemudian mereka menghantar utusan untuk menemui Rasulullah s.a.w bagi menyatakan bahawa mereka bersedia keluar dari Madinah.
Rasulullah s.a.w membenarkan mereka keluar dari Madinah bersama-sama hamba shaya mereka dengan membawa barangan sekadar muat di atas unta kecuali senjata mereka mesti ditinggalkan. Mereka pun keluar dari Madinah sebagaimana yang diarahkan di mana didapati mereka telah merobohkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan membawa pintu-pintu, jendela-jendela serta alat-alat rumah yang mampu dibawa bersama. Hanya 2 orang sahaja yang menerima Islam iaitu Yamin bin ‘Amru dan Abu Sa’ad bin Wahab manakala yang lain meninggalkan kampung mereka menuju ke Khaibar dan bakinya menuju ke Syam.
Inilah dia kekuatan dan kehebatan Islam yang tidak mampu dicabar oleh pengkhianat dan musuh pada zaman kegemilangannya sedangkan pada hari ini betapa ramai umat Islam menjadi pelarian dan juga menjadi orang yang terjajah dinegara sendiri.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan