أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Isnin, 14 Oktober 2013

Zulhijjah DiRebut Sistem Islam DiIkut

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 1-2 surah al-Hajj : يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَ‌بَّكُمْ ۚ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ ﴿١﴾ يَوْمَ تَرَ‌وْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْ‌ضِعَةٍ عَمَّا أَرْ‌ضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَ‌ى النَّاسَ سُكَارَ‌ىٰ وَمَا هُم بِسُكَارَ‌ىٰ وَلَـٰكِنَّ عَذَابَ اللَّـهِ شَدِيدٌ Maksudnya : Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan. Kini kita berada pada 10 hari awal daripada bulah Zulhijjah yang mempunyai kelebihan yang istimewa di sisi Allah di mana kita digalakkan untuk memperbanyakkan amalan soleh dalam menambah lagi bekalan akhirat. Al-Hafiz Ibn Hajar memperjelaskan sebab keutamaan 10 hari pertama Zulhijjah ialah kerana pada hari-hari tersebut terkumpul ibadat-ibadat yang induk seperti solat, puasa, sedekah dan haji yang mana hal-hal itu kesemuanya tidak terdapat secara serentak pada bulan-bulan lain. Inilah antara tanda betapa kasih dan cintanya Allah kepada kita di mana Allah tahu setiap kita tidak mampu untuk melakukan ibadat khusus terutama amalan sunat sepanjang hari lalu dengan dianugerahkan hari-hari tertentu bagi digandakan pahala dan diampuni dosa agar umur kita yang pendek tidak menghalang daripada kita meraih pahala yang berlipat ganda dengan syarat menggunakan ruang waktu yang ada terutama dengan kedatangan hari-hari tertentu termasuk 10 hari yang awal daripada bulan Zulhijjah ini. Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a: عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ قَالُوا وَلَا الْجِهَادُ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ” – رواه البخاري Maksudnya : Tiada hari-hari yang amalan soleh dalamnya lebih dicintai Allah daripada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama Zulhijjah). Mereka (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, termasuk jihad di jalan Allah?” Baginda menjawab: “Ya, tidak juga jihad di jalan Allah kecuali orang yang mengorbankan jiwa dan hartanya dan dia tidak kembali setelah itu (mati syahid).” Kita juga jangan lepaskan peluang untuk merebut kelebihan puasa pada hari Arafah iaitu hari kesembilan daripada bulan Zulhijjah yang bakal tiba tidak lama lagi قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : …. صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ” - رواه مسلم Maksudnya : …… Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya di sisi Allah akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 11 surah al-Hajj : وَمِنَ النَّاسِ مَن يَعْبُدُ اللَّـهَ عَلَىٰ حَرْ‌فٍ ۖ فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ‌ اطْمَأَنَّ بِهِ ۖ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انقَلَبَ عَلَىٰ وَجْهِهِ خَسِرَ‌ الدُّنْيَا وَالْآخِرَ‌ةَ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْخُسْرَ‌انُ الْمُبِينُ Maksudnya : Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata Menyedari bahawa kita bakal meninggalkan dunia yang fana ini untuk menuju alam abadi di akhirat nanti maka sepatutnya bila mendengar tawaran yang hebat daripada Allah untuk menambah bekalan akhirat maka kita wajib bersegera menyahutnya bukan hanya memandang sepi. Kita sentiasa membaca paling kurang 17 kali sehari semalam dalam solat tentang Tuhan yang memiliki hari agama di mana pada hari akhirat nanti agama menjadi begitu penting dalam menjamin keselamatan dan kebahagian kita. Di akhirat sana setiap manusia cuba mencari-cari amalan soleh untuk ditimbang atas Neraca Allah walau pun sebesar biji sawi. Sedangkan semasa hidup di dunia, ramai manusia membelakangkan agama dan memandang segala tawaran Allah untuk menambah bekalan akhirat sebgai suatu tawaran yang tiada erti. Imam Hassan al-Basri memperingatkan kita bahawa jika kita mahu tahu bagaimana perhatian Allah kepada kita maka tanyalah diri sendiri berapa banyak waktu yang kita habiskan untuk mengingati Allah. Ulama’ juga berpesan bagaimana manusia akan bertambah sayang kepada dunia apabila kepentingan duniawi kepada kita semakin banyak sehingga payah untuk dilepaskan sampai timbul perasaan takut untuk mati. Manusia jenis ini sentiasa memikirkan keseronokan dalam mengecapi pangkat yang dijawat, harta yang didapat, kemewahan yang dikecap belum puas dirasa dan sayang untuk dilepaskan. Sedangkan apabila seseorang itu tidak mempunyai kepentingan duniawi dengan lebih mementingkan akhirat maka perasaan ini membawanya kepada sentiasa bersemangat menambah bekalan akhirat dengan menjadikan nikmat duniawi hanya sebagai alat dalam merapatkan diri kepada Allah bukannya sebagai matlamat hidup. Sidang Jumaat yang dikasihi, Firman Allah dalam ayat 27 surah al-Maidah : وَاتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ابْنَيْ آدَمَ بِالْحَقِّ إِذْ قَرَّ‌بَا قُرْ‌بَانًا فَتُقُبِّلَ مِنْ أَحَدِهِمَا وَلَمْ يُتَقَبَّلْ مِنَ الْآخَرِ‌ قَالَ لَأَقْتُلَنَّكَ ۖ قَالَ إِنَّمَا يَتَقَبَّلُ اللَّـهُ مِنَ الْمُتَّقِينَ Maksudnya : Ceritakanlah kepada mereka tentang kisah dua orang anak nabi Adam yang sebenar ketika keduanya mempersembahkan korban maka diterima daripada salah seorang daripada mereka berdua dan tidak diterima daripada yang lain. Dia (Qabil) berkata : “ Aku pasti membunuhmu”. Lalu berkata Habil :” Sesungguhnya Allah hanya menerima korban daripada mereka yang bertaqwa”. Beradanya kita pada bulan Zulhijjah juga maka membuka ruang kepada kita untuk menghidupkkan salah suatu sunnah nabi iaitu ibadat korban. Ibadat korban banyak mengajar kita untuk mengorbankan harta milik kita untuk diagihkan kepada insan yang lebih memerlukan. Kita dapat rasakan sendiri bagaimana sifat mengambil berat terhadap saudara seagama terutama yang jauh seperti di Myanmar, Palestin, Syria, Mesir dan sebagainya semakin pudar dan luntur akibat semangat Assobiyah kebangsaan sempit yang disuburkan kembali oleh penjajah dengan dasar pecah perintah. Umat Islam merasakan apa yang berlaku kepada saudaranya yang lain merupakan masalah bangsa dan Negara masing-masing bukannya tanggungjawab bersama sedangkan Islam mengajar kita bagaimana umat Islam seumpama sebatang tubuh di mana bila sakit salah satu anggotanya maka anggota yang lain turut merasai kesakitannya. Nabi s.a.w tidak mengaku umat bagi sesiapa yang tidak menghirau penderitaan saudaranya yang lain. Ibadat korban turut melahirkan umat yang bersyukur dengan nikmat Allah di mana antara cara untuk bersyukur sebagaimana didikan Nabi Muhammad s.a.w dengan melihat bagaimana nikmat yang ada pada kita sebenarnya lebih daripada orang yang lebih susah daripada kita samada harta, takhta, sihat dan sebagainya عنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْظُرُوا إِلَى مَنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَهُوَ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عليكم – متفق عليه Maksudnya : Lihatlah orang yang lebih rendah dari kalian dan janganlah melihat orang yang lebih tinggi dari kalian (berkenaan nikmat duniawi), kerana yang demikian lebih baik supaya kalian tidak meremehkan nikmat Allah S.W.T Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 46 surah al-Hajj : أَفَلَمْ يَسِيرُ‌وا فِي الْأَرْ‌ضِ فَتَكُونَ لَهُمْ قُلُوبٌ يَعْقِلُونَ بِهَا أَوْ آذَانٌ يَسْمَعُونَ بِهَا ۖ فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى الْأَبْصَارُ‌ وَلَـٰكِن تَعْمَى الْقُلُوبُ الَّتِي فِي الصُّدُورِ‌ Maksudnya : Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya – dengan melihat kesan-kesan yang tersebut – mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada Sesuai berada di bulan haji juga di mana kebiasaannya para jemaah haji bila wukuf di padang Arafah nanti maka diperingatkan tentang perhimpunan agung yang dahsyat di akhirat nanti untuk ditimbang segala amalan semasa di dunia. Begitu juga dengan antara hikmat surah al-Hajj di mulakan dengan keadaan huru hara Qiamat maka sepatutnya mengingatkan kita tentang umur dunia yang kita berada ini semakin lanjut dan tiba kepada saat kehancurannya sebagaimana diri kita yang pasti mati. Tanda-tanda Qiamat sudah banyak berlaku di depan mata kita. Cuma yang menjadi masalahnya samada kita mengambil iktibar untuk lebih bersungguh dalam menambah bekalan akhirat atau memandang sepi dengan peringatan demi peringatan daripada Allah. Antara keadaan yang begitu getir bila berada di akhir zaman ini ialah hilangnya sifat amanah sedikit demi sedikit. عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” أَوَّلُ مَا يُرْفَعُ مِنَ النَّاسِ الْأَمَانَةُ ، وَآخِرُ مَا يَبْقَى الصَّلَاةُ ، وَرُبَّ مُصَلٍّ لَا خَيْرَ فِيهِ ” . - رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ Maksudnya : Perkara yang paling awal ditarik daripada manusia ialah sifat amanah dan akhir sekali tidak tinggal lagi orang sembahyang. Malah orang yang sembahyang tidak mendatangkan kebaikan lagi padanya Kita sepatutnya rasa marah bila melihat laporan Audit Negara 2012 mengesahkan 309 unit aset PDRM hilang antara 2010-2012 bernilai RM 1.33 juta termasuk 44 pistol. Apa yang lebih malang senjata yang hilang diminta supaya tidak dihirau kemungkinan jatuh laut. Begitu juga salah guna peruntukan sebanyak RM 2.051 bilion bertujuan mengupah kontaktor dalam menjaga keselamatan sekolah dan asrama tidak berjalan sebagaimana diharapkan. Ditambah dengan kementerian Belia dan Sukan membelanjakan RM1.6 juta bagi bayaran artis separa lucah K-Pop dari Korea untuk Hari Belia Negara 2012 yang lalu. Itu belum lagi dikira dengan pembelian barangan dengan harga yang tidak munasabah seperti jam dinding RTM yang berharga RM 100 dibeli dengan harga RM 3 810. Selagi kepimpinan diserahkan kepada golongan yang tidak amanah maka tunggulah saat kehancuran Negara. Kembalikan kehidupan kita kepada system Islam dalam membasmi pelbagai masalah rasuah, pecah amanah, jenayah, akhlak dan sebagainya. Islamlah nescaya kita berjaya dan bahagia dunia akhirat. Firman Allah dalam ayat 27 surah al-Anfal : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّـهَ وَالرَّ‌سُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya). بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: