أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 18 Oktober 2013

Korban DiHayati Kerugian Dunia Akhirat DiJauhi

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 37 surah al-Hajj : لَن يَنَالَ اللَّـهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَـٰكِن يَنَالُهُ التَّقْوَىٰ مِنكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ سَخَّرَ‌هَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُ‌وا اللَّـهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ ۗ وَبَشِّرِ‌ الْمُحْسِنِينَ Maksudnya : Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. Kini kita sedang berada pada hari ke-13 bulan Zulhijjah yang merupakan hari Tasyriq terakhir di mana peluang untuk melakukan ibadat korban masih terbuka. Ibadat korban bukan sahaja mengingatkan kita tentang pengorbanan besar yang pernah dilakukan oleh nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail malah menyuburkan rasa taat dan syukur kepada Allah disamping menyemarakkan lagi rasa kasih sayang kepada saudara yang memerlukan bantuan. Ibadat korban juga bertujuan membuang sifat terlalu kasih kepada dunia hingga membelakang syariat Islam dalam kehidupan. Ia turut membuang sifat mementingkan diri sehingga merasakan hanya dirinya sahaja yang berhak untuk merasai nikmat Allah. Bila sikap suka berkorban apa saja untuk Islam berjaya disuburkan dalam diri sepastinya akan mewujudkan suasana sihat dan aman kerana masing-masing berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan orang lain turut menjadi hamba Allah yang soleh dengan berlumba melakukan amalan soleh disamping menjauhi maksiat. Masing-masing berusaha dalam memastikan nikmat duniawi yang dikecapi turut dikecapi oleh saudaranya yang lain. Hilangnya sifat kedekut dan hasad dengki daripada diri kita pasti membuahkan suasana masyarakat yang pemurah dan penyayang. Didiklah diri kita untuk melupai kebaikan kita kepada orang lain agar amalan kita tidak dirosakkan dengan sikap suka mengungkit-ungkit. Dalam masa yang sama jangan pula kita lupa kebaikan orang lain walau pun kecil agar kita tidak menjadi manusia yang tidak berterima kasih. Ajarkan diri untuk sentiasa ingat kesalahan kita pada orang lain agar kita tidak mengulangi kesalahan yang sama. Dalam masa yang sama lupakan kesalahan orang lain terhadap kita agar tidak menjadi seorang pendendam Firman Allah dalam ayat 262 surah al-Baqarah : الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُ‌هُمْ عِندَ رَ‌بِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ Maksudnya : Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (ugama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. Sidang Jumaat yang diberkati Allah Firman Allah dalam ayat 4 surah al-Mumtahinah : قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَ‌اهِيمَ وَالَّذِينَ مَعَهُ إِذْ قَالُوا لِقَوْمِهِمْ إِنَّا بُرَ‌آءُ مِنكُمْ وَمِمَّا تَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللَّـهِ كَفَرْ‌نَا بِكُمْ وَبَدَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةُ وَالْبَغْضَاءُ أَبَدًا حَتَّىٰ تُؤْمِنُوا بِاللَّـهِ وَحْدَهُ إِلَّا قَوْلَ إِبْرَ‌اهِيمَ لِأَبِيهِ لَأَسْتَغْفِرَ‌نَّ لَكَ وَمَا أَمْلِكُ لَكَ مِنَ اللَّـهِ مِن شَيْءٍ ۖ رَّ‌بَّنَا عَلَيْكَ تَوَكَّلْنَا وَإِلَيْكَ أَنَبْنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ‌ Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh ikutan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaumnya (yang kufur ingkar): "Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah yang lain dari Allah; kami kufur ingkarkan (segala penyembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dengan kamu selama-lamanya, sehingga kamu menyembah Allah semata-mata", kecuali perkataan Nabi Ibrahim kepada bapanya : "Aku akan memohon kepada Tuhanku mengampun dosamu, dan aku tidak berkuasa menahan (azab seksa) dari Allah sedikit juapun daripada menimpamu". (Berdoalah wahai orang-orang yang beriman): "Wahai Tuhan kami! Kepada Engkaulah sahaja kami berserah diri, dan kepada Engkaulah kami rujuk bertaubat, serta kepada Engkaulah jua tempat kembali! Ketika menyelusuri pengorbanan suci dan hebat nabi Ibrahim a.s sekeluarga dalam meninggikan kalimah Allah atas bumi sehingga berdepan dengan pelbagai ujian, cabaran dan halangan samada daripada musuh dalam diri iaitu nafsu syahwat, syaitan dan musuh luaran daripada pembesar dan orang kafir. Allah menegaskan dalam al-Quran mengenai 5 golongan orang yang rugi kerana semua amal mereka di dunia menjadi sia-sia sehingga amal mereka tidak mampu memberatkan timbangan kebaikan di akhirat, sebaliknya mendapat azab dan seksa yang amat pedih daripada Allah. Semua itu terjadi kerana sikap mereka yang lebih mengikuti potensi buruk daripada potensi baik yang ada dalam diri di mana mereka tidak melaksanakan perintah Allah sebaliknya melakukan apa yang dilarang. Antara 5 golongan orang yang dikatakan hidup dalam keadaan rugi itu adalah [1]orang yang mempersekutukan Allah dengan ciptaanNya. Mereka percaya kepada kekuatan selain Allah yang mampu memberikan manfaat dan melindungi daripada kejahatan. Akhirnya mereka takut kepada musuh lebih daripada takut kepada Allah Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 31 surah al-An’am : قَدْ خَسِرَ‌ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِلِقَاءِ اللَّـهِ ۖ حَتَّىٰ إِذَا جَاءَتْهُمُ السَّاعَةُ بَغْتَةً قَالُوا يَا حَسْرَ‌تَنَا عَلَىٰ مَا فَرَّ‌طْنَا فِيهَا وَهُمْ يَحْمِلُونَ أَوْزَارَ‌هُمْ عَلَىٰ ظُهُورِ‌هِمْ ۚ أَلَا سَاءَ مَا يَزِرُ‌ونَ Maksudnya : Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; "Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!" Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu. Golongan rugi yang ke-[2] ialah orang yang berpihak kepada yang batil. Mereka ini adalah orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dalam al-Quran. Mereka juga tidak mempercayai akan menghadap Allah untuk dipertanggungjawabkan semua perbuatan mereka di dunia. Mereka ini berpihak kepada yang batil yang didorong oleh nafsu mendapatkan kenikmatan dunia sebanyak-banyaknya tanpa mengira halal haram, dosa pahala. Bila perasaan memandang remeh tentang audit Allah di padang Mahsyar nanti menyebabkan mereka tidak pernah rasa bersalah atas dosa yang di lakukan Kita jangan anggap audit Allah sama macam Audit kerajaan kita yang merugikan masa dan kertas sahaja sedangkan tindakan dalam menghentikan rasuah, pecah amanah dan penyelewengan harta rakyat hanya tinggal habuk. Kerajaan mungkin telah membazirkan kira-kira RM6.5 bilion dalam 64 kes yang dikaji dalam laporan audit 2012 iaitu kira-kira RM5.7 bilion telah dibazirkan oleh kerajaan persekutuan, manakala RM0.8 bilion lagi dibazirkan oleh badan-badan berkanun kerajaan. Jumlah RM6.5 bilion yang telah dibazirkan oleh kerajaan itu adalah 2 kali ganda jumlah dana yang kerajaan boleh jimatkan dengan mengurangkan subsidi harga petrol sebanyak 20 sen sehingga membebankan rakyat dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin tinggi sehingga jurang antara miskin kaya semakin luas. Itu belum lagi dikira dengan pelaksanaan cukai GST yang bakal dibentang dalam belanjawan 2014 tidak lama lagi Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 50 surah al-Maidah : أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّـهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ Maksudnya : Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik pada daripada Allah. Golongan ke- [3] yang rugi ialah orang yang tidak yakin malah menolak tentang kehebatan dan keadilan system Islam dalam mengatur kehidupan dunia. Mereka lebih suka system riba yang menyebabkan Negara bakal muflis akibat bebanan hutang yang tinggi. Begitu juga ramai jelata bangkrap akibat menanggung bebanan hutang dengan kadar riba yang lebih tinggi daripada kadar hutang. Malah kita melihat Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (PCA) yang diluluskan kerajaan dilihat mirip kepada kaedah membalas kejahatan dengan kejahatan. Penahanan tanpa bicara dalam PCA bukan sahaja jelmaan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), malah membuka ruang kepada pemerintah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan politik. Buat jahat suatu kezaliman, tetapi memperuntukkan kemudahan bagi orang menyalahgunakan kuasa juga merupakan satu kezaliman yang besar. Kegagalan membawa tertuduh ke muka pengadilan menyebabkan berlaku penyalahgunaan kuasa, kezaliman dan penganiayaan terhadap tertuduh dan bercanggah dengan perinsip keadilan Islam yang mensyaratkan tertuduh diadili sebelum dijatuhi hukuman. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mu’minun : وَلَوِ اتَّبَعَ الْحَقُّ أَهْوَاءَهُمْ لَفَسَدَتِ السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْ‌ضُ وَمَن فِيهِنَّ ۚ بَلْ أَتَيْنَاهُم بِذِكْرِ‌هِمْ فَهُمْ عَن ذِكْرِ‌هِم مُّعْرِ‌ضُونَ Maksudnya : Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. (Bukan sahaja Kami memberikan ugama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya; Golongan ke-[4] yang rugi ialah menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan sehingga menipu, membunuh, mencuri dan sifat jahat yang lain menjadi keperluan hidup. Sempena berada pada hari yang mulia ini kita meminta kerajaan agar menangguhkan terlebih dahulu Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun hadapan bagi memperbaiki matlamat asal program tersebut. Ini berikutan terdapat 22 kematian telah berlaku sejak ia dilancarkan. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM700 juta bagi program tersebut untuk tahun lepas sahaja. Kita mahu wang berjuta yang diguna dapat hasil yang baik bukan melahirkan kesan negatif Manakala Golongan ke-[5] yang rugi orang yang melupakan Allah kerana sibuk dengan harta dan anak. Mereka lupa bahawa harta dan anak sesungguhnya adalah amanah daripada Allah yang sepatutnya menjadikan mereka lebih dekat kepada Allah. Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Munafiqun : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ‌ اللَّـهِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُ‌ونَ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: