أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Khamis, 1 Mei 2008

100. PENYEBARAN ISLAM DAN PENJAJAHAN KUFFAR

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 216 surah al-Baqarah :
كتب عليكم القتال وهو كره لكم وعسى أن تكرهوا شيئا وهو خير لكم وعسى أن تحبوا شيئا وهو شر لكم والله يعلم وأنتم لاتعلمون
Maksudnya : Diwajibkan ke atas kamu berperang sedangkan peperangan itu merupakan suatu yang kamu benci. Boleh jadi suatu yang kamu benci merupakan suatu yang baik untukmu dam boleh jadi pula suatu yang kamu suka merupakan suatu yang buruk bagimu. Allah Maha Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui
Kini kita masih berada di minggu pertama bulan Syawal di mana suasana hari raya masih terasa. Kedatangan Syawal membawa dua perasaan yang berbeza dalam diri kita iaitu perasaan sedih kerana berpisah dengan Ramadhan yang penuh dengan fadhilatnya dan perasaan gembira kerana menyambut hari raya setelah sebulan menunaikan ibadat puasa. Begitu beruntunglah bagi mereka yang telah berjaya menyempurnakan sebaik mungkin ibadat puasa sepanjang Ramadhan lalu kemudian diikuti pula dengan puasa enam hari di bulan Syawal ini. Ingatlah bahawa kegembiraan dalam menyambut hari raya di dunia ini merupakan kegembiraan yang sementara di mana kebahagiaan sebenar yang kita cita-citakan ialah kegembiraan apabila bertemu Allah di akhirat nanti dengan membawa bekalan taqwa yang lahir daripada amalan soleh dikerjakan semasa hidup di dunia fana ini
Oleh itu dalam bergembira menyambut Syawal maka kita mesti ingat kepada saudara kita yang lain terutama yang sedang ditindas, diburu, ditembak dan dibom oleh musuh Islam. Sepanjang Ramadhan lepas kita di sini hanya menghitung jam bagi menunggu waktu berbuka dengan perasaan penuh yakin bahawa sudah tersedia pelbagai juadah yang sedang menanti untuk dijamah sedangkan saudara kita yang diuji dengan kemiskinan dan peperangan asyik berfikir adakah lagi secebis makanan yang hendak dimakan nanti atau terus menahan kelaparan. Begitu juga ketika hampirnya hari raya di mana kita di sini begitu gembira menghias rumah sedangkan adanya saudara seagama yang bersedih melihat rumahnya diroboh dan dibom oleh musuh. Apabila datangnya pula hari raya maka kita di sini berseronok melawat keluarga dan sahabat handai sedangkan adanya saudara kita yang hanya mampu membilang jumlah ahli keluarganya yang telah ditembak dan dibunuh oleh musuh serta menghitung hari adakah dia pula bakal menjadi mangsa kekejaman musuh yang tidak berperi kemanusiaan.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Islam merupakan agama langit yang diturunkan oleh Allah bagi menjamin kebahagiaan hidup umat manusia di dunia dan akhirat. Kelengkapan ajaran Islam dengan menggariskan seluruh sistem hidup untuk panduan umat manusia dalam menunaikan tuntutan agama dan pengurusan kepada kehidupan dunia telah menampakkan lagi kesempurnaan Islam yang sewajarnya diberi peluang untuk memerintah agar umat manusia dapat dihindarkan daripada kesesatan dan kezaliman sistem ciptaan manusia. Dunia hari ini menjadi kacau bilau apabila manusia cuba menguasai manusia yang lain melalui ideologi ciptaan mereka. Akhirnya setiap pendokong kepada ideologi ini berperang tanpa had sempadan dengan menggunakan kekuatan senjata yang ada untuk melakukan kerosakan di muka bumi ini. Antara sebab berlakunya peperangan yang dilancarkan oleh musuh Islam kerana mahu menjajah negara lain dalam meluaskan tanah jajahan di mana ia akan membawa keuntungan kebendaan yang disedut dari negara yang dijajah itu. Oleh itu setiap kuasa besar membina kekuatan senjata dalam melakukan sebarang serangan yang boleh menguntungkan mereka dari segi hasil kebendaan. Setelah berjaya melakukan sesuatu penjajahan maka akan dilantik wakil mereka dalam memastikan negara yang dijajah terus tunduk kepada kehendak mereka disamping melemahkan semangat melawan dalam diri anak watan negara jajahan samada dengan mengajak mereka untuk memeluk agama penjajah seperti Kristian atau pun berusaha agar anak watan meninggalkan ajaran sebenar agama yang dianuti selama ini terutama Islam. Beginilah nasib yang menimpa kebanyakan negara umat Islam tidak terkecuali negara kita apabila barat menjajah negara dan pemikiran rakyat sehingga sistem Islam terus terpenjara walau pun penjajah telah lama pulang ke negara asal mereka. Negara umat Islam terus tunduk kepada perundangan penjajah malah sanggup bangun menentang sistem Islam akibat pemikiran terutama golongan belia pada masa itu dan kini telah menjadi pemimpin kebanyakan negara umat Islam telah dijajah. Inilah antara kejayaan besar penjajah sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh seorang barat (Zwimmer) dengan katanya :
“ Anda telah berjaya menyediakan di negara Islam satu generasi belia yang tidak mengetahui hubungannya dengan Allah malah tidak ingin mengetahuinya. Anda juga telah berjaya mengeluarkan umat Islam daripada agamanya walau pun anda tidak memasukkannya ke dalam Kristian. Seterusnya akan lahirlah satu generasi Islam bertepatan dengan kehendak penjajah di mana generasi ini tidak lagi mempedulikan perkara besar yang berlaku di sekitarnya sebaliknya lebih suka menghabiskan masa untuk berehat dan malas berusaha, cita-citanya dalam dunia tidak lain selain memenuhi keperluan nafsu syahwat sahaja…….”

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Islam yang datang dengan ajarannya yang sempurna turut menggariskan panduan jihad dan perang yang berdasarkan wahyu bukannya nafsu. Ini menolak dakwaan jahat musuh Islam yang menyatakan Islam adalah agama yang menggalakkan keganasan. Perlu diingat bahawa Islam hanya menggunakan kekuatan untuk maksud pertahanan diri atau menggerunkan musuh. Dengan demikian, persiapan bala tentera dan segala kelengkapan persenjataan adalah keperluan lazim. Mana ada negara demokrasi atau pun komunis yang tidak mempunyai persiapan-persiapan ini. Apa yang hendak dihairankan jika Islam menyiapkan peralatan perang untuk tujuan tadi. Dalam Islam, persiapan perang mempunyai matlamat fi sabilillah. Ia bergerak dalam dua tujuan iaitu sama ada untuk mempertahankan negara Islam daripada ancaman musuh atau menghantar misi dakwah untuk menyebarkan Islam.
Kedua-dua tujuan ini sangat jauh berbeza dengan melakukan persiapan lalu berperang, menyerang dan menjajah dengan tujuan mengembangkan tanah jajahan sebagaimana yang dilakukan oleh musuh Islam. Sejarah Islam membuktikan bahawa kerusi pemerintah tetap diserahkan kepada pemimpin Islam daripada kalangan anak negeri. Ini terdapat contohnya yang ketara semasa di zaman-zaman pemerintahan khalifah hingga ke kerajaan Othmaniah zaman berzaman. Tidak ada wakil penjajah yang mewakili "Union Jack" di England seperti yang dilakukan oleh kuffar. Yang ada ialah gabenor yang mewakili Islam atau pemimpin Islam dari kalangan anak negeri yang dilantik untuk mentadbir secara Islam. Beliau menjaga kepentingan Islam dan tidak sama sekali menjaga kepentingan penjajah. Islam turut memberi bantuan dan kebebasan kepada anak negeri untuk menggunakan dengan sebaik mungkin hasil mahsul negara yang ada untuk memaju dan menjaga kebajikan rakyat jelata bukannya merampas hasil tersebut untuk kepentingan khalifah. Sebab itulah Islam berjaya tersebar dengan mudah kerana kebanyakan negara yang merasa perit dengan kezaliman penjajah Rom dan selainnya atau pun rakyat sesebuah negara yang mahu Islam memerintahnya telah meminta jasa baik khalifah agar menghantar wakil untuk memerintah negara mereka dengan Islam. Tiada istilah penjajahan dalam Islam tetapi apa yang ada ialah menyebarkan keadilan dan kebenaran Islam sehingga umat manusia dapat hidup aman dan tenteram di bawah naungan sistemnya yang lengkap.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Islam lebih menggalakkan cara perdamaian kerana kebenaran Islam yang bersumberkan wahyu pasti akan mengalahkan hujah musuh yang tertegak atas nafsu.
Firman Allah dalam ayat 61-62 surah al-Anfal :
وإن جنحوا للسلم فاجنح لها وتوكل على الله إنه هو السميع العليم وإن يريدوا أن يخدعوك فإن حسبك الله هو الذي أيدك بنصره وبالمؤمنين
Maksudnya : Dan jika mereka cenderong kepada perdamaian maka cenderonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah (Allah) Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Dan jika mereka bermaksud hendak menipumu maka sesungguhnya cukuplah Allah sebagai pelindungmu. Dialah(Allah) yang memperkuatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan mereka yang beriman.
Malangnya jalan perdamaian yang diambil oleh kebanyakan negara umat Islam pada hari ini seperti Palestin dan yang terbaru Iraq telah dikhianati oleh kuffar yang begitu tamakkan kuasa dan minyak. Iraq walau pun telah menerima resolusi 1441 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hanya menunggu masa untuk diserang dan diranapkan sebagaimana Afghanistan kerana Amerika dan Britain serta kuasa kuffar yang lain begitu tamakkan minyak Iraq yang merupakan yang kedua paling banyak di dunia selepas Arab Saudi setelah hasil minyak kuffar di lautan Kaspia tidak mencukupi untuk kegunaan negara kuffar. Disebabkan merebut hasil minyak umat Islam dilanyak dan kerana benda umat Islam jadi mangsa kerakusan kuffar durjana.
Umat Islam pada hari ini kebanyakan berperang kerana mempertahankan negara daripada musuh tetapi tetap digelar sebagai pengganas. Ini adalah kerana sikap permusuhan kuffar terhadap Islam tidak pernah luntur kerana Islam dianggap suatu kuasa yang menggugat dan bakal menghancurkan kuasa kuffar yang terus mahu merajai dunia dengan keganasan. Umat Islam kini bangkit di mana-mana dalam melawan kesesatan kuffar dan ideologi ciptaan mereka termasuk di negara barat sendiri. Jika kuffar benar-benar mahu dunia ini bersih daripada pengganas maka kuffar sepatutnya memberi peluang kepada Islam untuk memerintah paling tidak di negara-negara umat Islam tanpa membuat sebarang kekacauan. Tetapi selagi kita beragama Islam apatah lagi berjuang untuk mengembalikan semula seluruh sistem Islam untuk dilaksanakan di muka bumi Allah ini maka selagi itulah kita diperangi dan dituduh sebagai pengganas. Kuffar terus menggali kubur untuk menguburkan seramai mungkin umat Islam tetapi apa yang menjadi persoalan siapa dulu yang bakal dikuburkan samada umat Islam atau pun kuffar yang tidak berperikemanusiaan. Umat Islam tidak mencari musuh tetapi jika datang maka kita tidak sama sekali akan lari sebaliknya bertawakkal kepada Allah ketika berhadapan dengan mereka.
Firman Allah dalam ayat 45 surah al-Anfal:
يــأيهاالذين ءامنوا إذا لقيتم فئة فاثبتوا واذكروا الله كثيرا لعلكم تفلحون
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu memerangi pasukan musuh maka teguhkan hatimu dan sebutlah nama Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beroleh kemenangan
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: