السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 123-124 surah Ali ‘Imran :
ولقد نصركم الله ببدر وأنتم أذلة فاتقوا الله لعلكم تشكرون . إذ تقول للمؤمنين ألن يكفيكم أن يمدكم ربكم بثلــثة ءالــف من الملئكة مسومين
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menolong kamu dalam peperangan Badar sedangkan kamu ketika itu dalam keadaan lemah, Oleh itu bertaqwalah kepada Allah agar kamu mensyukuriNya. Ingatlah ketika kamu mengatakan kepada orang mukmin :” Apakah tidak cukup bagi kamu Allah membantumu dengan 3 ribu para malaikat yang diturunkan dari langit?”.
Kini kita telah berada di sepuluh hari dan malam-malam terakhir daripada bulan Ramadhan yang penuh keberkatan dan pengampunan serta penggadaan pahala. Hari-hari dan malam-malam terakhir inilah yang akan menampakkkan sifat ketaatan dan istiqamah seseorang itu samada dalam menunaikan ibadat khusus kepada Allah atau usaha dalam mendekatkan diri kepada Allah sehingga lahir sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Ini boleh mengukur sejauh manakah seseorang itu berjuang untuk Islam dan berapa tinggikah pergantungan dan ikatan hatinya kepada Allah dalam meninggikan kalimah Allah di muka bumi ini. Ramai yang berjuang tetapi hanya sekerat jalan akibat tidak tahan dengan ujian yang datang dan ramai juga yang berjuang tetapi rasa keikhlasan dan pertautan hatinya dengan Allah agak kurang sehingga tidak datangnya kemenangan. Begitulah apa yang kita lihat dalam masalah menghidupkan bulan Ramadhan bulan tarbiah di mana pada awal Ramadhan didapati masjid dan surau begitu penuh melimpah tetapi pada hari-hari terakhirnya tempat ibadat itu semakin sepi dan lengang kerana ramai yang lebih seronok memenuhi pasaraya untuk persiapan hari raya sedangkan pada malam 10 terkahir inilah akan berlakunya lailatul Qadar yang disifatkan oleh Allah bahawa ia merupakan suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan yang lain sebagaimana firman Allah dalam ayat 3 surah al-Qadar :
ليلة القدر خير من ألف شهر
Maksudnya : Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.
Tidak salah bersiap untuk hari raya tetapi janganlah sehingga kurang masanya untuk kita mendekatkan diri kepada Allah Tuhan yang menganugerahkan hari raya itu untuk kita semua. Jadilah umat Islam yang berjaya di mana dia mampu membahagi masa dengan baik di mana ada waktu untuk bermunajat kepada Allah dan ada waktu pula untuk menguruskan kerja dunia tetapi tidak terkeluar daripada apa yang dikehendaki oleh agama. Godaan nafsu pada hari terakhir Ramadhan begitu kuat kerana nafsu bagaikan tidak mahu melihat kita mendapat kelebihan lailatul Qadar. Tetapi itulah budaya yang ditunjukkan oleh media di mana bulan Ramadhan lebih banyak ditunjukkan suasana orang makan daripada ditayangkan orang yang sedang kelaparan dan apabila hampir berakhirnya Ramadhan pula lebih banyak ditunjukkan orang yang sedang berhari raya daripada menayangkan orang yang sedang berpuasa.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Ramadhan bulan meningkatkan ketaqwaan dan menambahkan amalan dalam mendekatkan diri kepada Allah. Ini adalah penting kepada kita yang mengaku sebagai pejuang Islam. Ramadhan telah membuktikan bahawa Islam mampu beroleh kemenangan gemilang dengan pertolongan daripada Allah sebagaimana kemenangan dalam peperangan Badar al-Kubra, Pembukaan Kota Mekah, pembukaan Baitul Maqdis oleh Solehudin al-Ayyubi. Ini menunjukkan kepada kita bahawa semakin lemahnya nafsu dunia maka semakin maraknya cinta kepada Allah yang membolehkan kita berhadapan dengan musuh tanpa rasa takut dan gentar dengan hilangnya perasaan terlalu cintakan dunia. Semakin hampirnya kita kepada Allah dan semakin kuatnya pertautan hati kita kepada Allah maka semakin dekatlah pertolongan dan kemenangan daripada Allah. Oleh itu gunakanlah sepenuhnya kedatangan Ramadhan kali ini untuk lebih menjinakkan nafsu kita sehingga membolehkan kita mendekatkan diri kepada Allah. Hilangkan dua penyakit merbahaya dalam diri iaitu terlalu cintakan dunia dan takutkan kematian sehingga umat Islam kembali mulia dan seterusnya dianugerahkan kemenangan oleh Allah.
Jika dalam peperangan Badar al-Kubra ketika Rasulullah s.a.w dan tentera Islam berada dalam kepungan musuh yang tiga kali ganda lebih ramai dan kuat sedangkan nabi dan tentera Islam sebejnarnya bukanlah keluar dengan niat berperang maka Allah datangkan kemenangan kerana pertautan hati mereka dengan Allah begitu kuat. Oleh itu kita umat Islam hari ini dengan jumlah yang ramai mestilah lebih yakin kepada janji kemenangan daripada Allah dengan syarat kita kembali bersatu di bawah panji Islam bukannya terus berpecah mengikut bangsa dan negara sebagaimana yang dilakukan oleh penjajah. Umat Islam mesti mendalami ilmu agama sehingga benar-benar mantap dan menerokai ilmu baru yang bermanfaat sehingga kukuh aqidahnya di mana dengan kekuatan aqidahlah maka seluruh ujian yang mendatang dapat dilalui dengan baik.
Kata seorang barat (Uskup) dalam bukunya Gereja dan Islam : “ Sesungguhnya rahsia kekuatan luar biasa yang berjaya dizahirkan oleh Islam berpandu kepada kejayaan agama ini mengesani kewujudan Allah dan kehendak iradatNya yang Maha Tinggi. Kekuasaan Allah yang mutlak ke atas alam ini yang tersembunyi dalam WahdaniyyahNya. Keimanan jenis inilah yang menyerapkan kepada orang-orang Islam roh ketundukan dan kecintaan kepada mati yang tidak pernah kami ketahui terdapat pada mana-mana sistem selain Islam. Ini ditambah lagi aqidah Islam bersih daripada sebarang kekusutan dan kecelaruan. Malah aqidah Islam berada dalam lingkungan yang mudah difahami oleh orang awam. Sesungguhnya aqidah Islam adalah suatu kekuatan yang menakjubkan yang berjaya meresap ke dalam hati-hati manusia dengan mudah”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Umat Islam hari ini begitu di hina dan diperlakukan sesuka hati oleh musuh Islam bukanlah kerana tiada kekuatan ekonomi tetapi akibat tidak menghidupkan budaya ilmu dalam kehidupan. Umat Islam sendiri jahil tentang Islam sehingga kadang-kadang membawa kepada mempertikaikan kebanyakan sistem yang ada dalam Islam. Apabila umat Islam ditimpa dengan kejahilan maka aqidahnya pun menjadi lemah sehingga membawa kepada kurang keyakinan terhadap Islam dan mereka berpecah mengikut apa yang dikehendaki oleh penjajah. Inilah yang menyebabkan negara-negara umat Islam yang dianugerahkan pelbagai hasil mahsul negara yang tidak dapat dimanfaatkan untuk keseluruhan rakyat jelata kerana kurangnya kepakaran daripada kalangan umat Islam sendiri akibat budaya malas dan lebih suka tunduk kepada penjajah. Akhirnya banyak hasil bumi negara umat Islam disedut dan diambil untuk manfaat kuffar. Kuffar begitu gerun jika umat Islam kembali bersatu atas dasar iman. Oleh itu kuffar terus berusaha agar umat Islam dan negara masing-masing terus berpecah yang menyebabkan umat Islam terus menjadi lemah. Umat Islam mesti menyedari hakikat bahawa ilmu dan aqidah mesti kuat sebelum boleh bergerak dengan kekuatan ekonomi kerana jika ekonomi sahaja yang kuat sedangkan aqidah umat Islam lemah maka kekuatan ekonomi itu tidak akan digunakan untuk Islam sebaliknya lebih banyak digunakan untuk kepentingan diri sehingga hilangnya semangat jihad dan semakin lemahnya aqidah kerana dihanyutkan dengan cinta dunia.
Ingatlah sabda Rasulullah sa.w :
فَوَاللهِ مَا الفَقْرَ أَخْشَى عَلَيْكُمْ وَلَكِنِّي أَخْشَى أَنْ تُبْسَطَ عَلَيْكُمُ الدُّنْيَا كَمَا بُسِطَتْ عَلَى مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ فَتَنَافَسُوْهَا كَمَا تَنَافَسُوْهَا فَتُهْلِكَكُمْ كَمَا أَهْلَكَتْهُمْ .
Maksudnya : Demi Allah! Aku tidak bimbang kefakiran yang menimpa kamu tetapi apa yang aku bimbang ialah apabila dibentangkan kemewahan dunia sebagaimana yang telah dibentangkan kepada umat sebelum kamu lalu mereka merebut kemewahan dunia itu maka kamu juga akan berebut sebagaimana mereka maka kamu akan dibinasakan sebagaimana binasanya umat sebelum kamu
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Musuh Islam terus menekan dan menyerang umat Islam seluruh dunia kerana Islam yang bergerak atas asas wahyu dan menawan hati manusia merupakan suatu kuasa yang paling merbahaya kepada kuffar yang bergerak atas dasar kejahilan dan paksaan ke atas tubuh manusia. Islam diperangi secara fizikal dan mental. Umat Islam di Palestin terus dibunuh dan disiksa setiap hari. Begitu juga umat Islam di beberapa tempat yang lain di mana kuffar yang telah memulakan perang Salib terbaru terhadap Islam tidak akan merasa tenang selagi adanya umat Islam di atas muka bumi Allah ini. Selain serangan fizikal kuffar turut menghina Islam agar dibenci oleh seluruh umat dunia bagi menyekat kemasukan rakyat negara-negara barat terutama Amerika ke dalam Islam yang kini peratusnya begitu tinggi sejak serangan 11 September. Apa yang terbaru ialah penghinaan seorang wartawan yang menuduh jika Nabi Muhammad s.a.w masih hidup maka sudah pasti baginda akan memilih salah seorang ratu cantik yang datang bertanding di Nigeria yang menyebabkan lebih 200 orang mati akibat pertempuran antara umat Islam dan Kristian di Nigeria. Umat Islam di Nigeria sanggup mati apabila nabi Muhammad dihina sedangkan di negara kita pemimpin yang menghina hukum Allah dan mencaci nabi terus dapat memimpin apatah lagi penulis murahan yang berbuat demikian.
Negara kita tidak terkecuali daripada ditekan oleh barat dan kuffar walau pun pemimpin yang jahil dan mengkhianati umat Islam telah banyak membodek dan mengampu kuffar. Semakin ramai rakyat yang tidak bersalah di tahan di bawah ISA maka semakin kuat tuduhan barat bahawa pemimpin dan negara ini juga merupakan pengganas. Negara ini didakwa oleh kebanyakan negara barat tidak selamat untuk dilawati serta membayangkan akan berlakunya letupan bom sebagai yang telah berlaku di Bali, Indonesia. Malah Perdana Menteri Singapura turut menjelaskan bahawa politik Islam merupakan suatu yang bakal memberi cabaran yang begitu besar kepada kuffar termasuk di rantau Asia Tenggara. Pertembungan ini akan mewujudkan keganasan kerana masing-masing tidak akan tunduk kepada salah satu daripadanya.
Apa yang pasti Islam akan dimenangkan oleh Allah. Cuma waktu dan saat kemenangan itu adalah terletak kepada persediaan dan usaha umat Islam untuk melaksanakannya. Islam tidak diberi kemenangan mudah sebaliknya perlu mengalami keperitan dan kesusahan sebelum datangnya kemenangan dan kemanisan. Jangan lupa tunaikanlah zakat fitrah antara jihad kita dalam membantu saudara Islam yang lain.
Firman Allah dalam ayat 139 surah Ali ‘Imran:
ولاتهنوا ولاتحزنوا وأنتم الأعلون إن كنتم مؤمنين
Maksudnya : Janganlah kamu berputus asa dan janganlah pula kamu bersedih hati sedangkan kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan