أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Selasa, 28 Oktober 2008

142. SUBURKAN BUMI DENGAN ISLAM

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 77 surah al-Qosas :
وابتغ فيما ءاتئك الله الدار الآخرة ولاتنس نصيبك من الدنيا وأحسن كما أحسن الله إليك ولا تبغ الفساد فى الأرض إن الله لايحب المفسدين
Maksudnya : Dan carilah apa yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadamu daripada kebahagian negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada kenikmatan dunia. Berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu. Janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Islam merupakan agama yang diredhai Allah yang telah diturunkan melalui nabi kita Muhammad s.a.w sebagai rahmat kepada seluruh alam melalui ajarannya yang meliputi seluruh aspek kehidupan. Islam merupakan agama yang sesuai dengan fitrah kejadian mausia itu sendiri di mana ia begitu mudah untuk diamalkan bagi mereka yang benar-benar tunduk dan patuh kepada Allah dan rasulNya tetapi ia dirasakan terlalu berat bagi mereka yang sentiasa membenci dan memusuhi Islam. Kedatangan Islam telah mengeluarkan manusia daripada kesesatan, kejahilan dan kezaliman kepada kebenaran, keilmuan dan keadilan dalam setiap aspek kehidupan. Umat Islam sebelum ini bermula daripada zaman Rasulullah s.a.w memerintah Kota Madinah diikuti oleh Khulafa’ al-Rasyidin dan khalifah-khalifah selepas mereka telah pun mencapai kejayaan yang gemilang dengan menjadikan Islam sebagai landasan hidup. Allah telah membantu mereka sehingga Islam berjaya menguasai dua pertiga dunia hasil daripada tarbiah dan ajaran suci yang meresap ke dalam sanubari manusia tanpa mengira batas usia dan takhta, negara dan budaya disamping dunia dapat melihat sendiri bagaimana adilnya perundangan Islam dan betapa untungnya menggunakan sistem ekonomi Islam. Islam bukan tersebar di atas mata pedang sebagaimana dakwaan jahat musuh Islam tetapi ia tersebar disebabkan ia merupakan agama yang berjaya menawan hati manusia di mana peperangan yang berlaku merupakan jalan terakhir setelah pihak kuffar tidak mahu tunduk kepada keadilan dan keindahan Islam yang ditawarkan.

Sidang Jumaat yang dihormati,
Dunia eropah dan kuncunya turut mengkaji malah menggunakan sistem Islam tetapi mereka membuangkan ruh agama daripadanya. Ini dapat kita lihat bagaimana selepas peperangan dunia maka semua pemimpin tentera bersekutu yang di dalangi oleh Amerika Syarikat dan Britain telah menjadikan al-Quran dan sistem yang telah digunakan oleh khalifah Islam sebagai rujukan utama dalam mencari jalan penyelesaian untuk memerintah negara dan tanah jajahan mereka. Tetapi dalam masa yang sama mereka memberi peringatan agar dijauhkan seluruh ajaran al-Quran daripada dilaksanakan oleh umat Islam. Dasar pecah perintah yang dilakukan oleh pihak penjajah terutama ke atas negara umat Islam disamping memastikan agar segala sistem mereka terus diamalkan di negara jajahan mereka menyebabkan kekuatan umat Islam mula luntur dan lemah. Islam hanya dilihat dari sudut urusan ibadat khusus dan undang-undang keluarga sahaja sedangkan perlembagaan,perundangan, ekonomi, politik, sosial dan seluruh aspek kehidupan yang lain terus berkiblatkan sistem ciptaan kuffar. Kejayaaan dan kegemilangan umat Islam silam hanya mampu disebut sahaja setakat ini apabila Islam terus disekat dan dihalang daripada dilaksanakan walau pun di negara yang majoritinya adalah umat Islam kerana pemimpinnya yang merupakan tali barut penjajah lebih suka tunduk kepada penjajah daripada mengikut perintah Allah. Walau pun sistem kuffar telah terbukti gagal dalam memulihkan ekonomi negara malah menambahkan masalah sosial dengan pembunuhan, rompakan, penindasan dan sebagainya namun pemimpin negara terus berkeras untuk mengharamkan pelaksaan Islam dengan pelbagai alasan. Kita berharap dan berdoa kepada Allah semoga pemimpin ini segera insaf dan bertaubat kepada Allah sebelum malaikat Izrail datang mencabut nyawa dan kain kapan menjadi pembalut badannya.


Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Keseluruhan negara umat Islam dianugerahkan dengan tanah yang subur samada dengan bahan galian seperti minyak, gas, emas atau pun subur dengan tanaman. Tetapi disebabkan kejahilan dan kedegilan kita daripada mengikut garisan yang telah ditetapkan oleh Islam maka umat Islam terus melarat dan bergantung kepada orang lain terutama musuh Islam yang sentiasa berusaha untuk menghancurkan Islam. Dasar yang diminta oleh barat diturut seratus peratus oleh pemimpin negara umat Islam yang jahil seperti membuat dasar menjadikan negara pertanian kepada negara perindustrian atau perkilangan. Ini menyebabkan bahan dan tanah pertanian dalam negara semakin sedikit dan sempit yang menyebabkan kita terpaksa mengimport hasil tanaman ini daripada negara lain. Dasar negara berasaskan perindustrian atau perkilangan juga menyebabkan banyak tanah yang subur menjadi kawasan perumahan dan perkilangan. Dasar ini merupakan antara cara yang halus yang digunakan oleh kuffar yang didalangi oleh yahudi untuk menghancurkan umat Islam. Apabila hasil tanaman semakin berkurang menyebabkan kita bergantung kepada hasil luar yang menyebabkan negara terpaksa membelanjakan wang yang banyak. Cara ini juga menyebabkan kita sentiasa bergantung kepada negara luar sehingga kita akan tunduk kepada kemahuan mereka kerana bekalan tanaman dalam negara tidak mencukupi bukan disebabkan bumi kita tidak subur tetapi kita sendiri yang mematikannya. Perkara ini berlaku dinegara kita sendiri terutama selepas kerajaan lebih berminat menjadikan negara ini sebagai negara industri kerana mahu keuntungan yang cepat tetapi hasilnya ekonomi negara semakin melarat dan kekayaan negara tidak mampu dinikmati oleh rakyat. Kita terpaksa bergantung kepada Thailand dari sudut pertanian dan Singapura dari sudut proses minyak mentah dan getah. Yahudi dengan mudah menjatuhkan ekonomi negara kita kerana kita terlalu bergantung kepada bursa saham dan industri dengan mengenepikan hasil pertanian dalam negara. Kita tidak pernah membela dengan sewajarnya golongan petani, penoreh getah, nelayan, peneroka sedangkan merekalah antara golongan banyak berjasa di dalam menambahkan hasil negara.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Barat begitu takut jika negara Islam membangunkan sendiri urusan ekonomi mereka kerana jika perkara ini berlaku maka negara umat Islam tidak lagi akan tunduk kepada mereka. Ini pernah berlaku apabila Sudan sebelum ini terpaksa mengimport kambing biri-biri daripada negara lain kerana tunduk kepada tekanan barat agar tidak memelihara kambing biri-biri lebih daripada yang telah ditetapkan oleh barat. Tetapi apabila gerakan Islam menang di sana mereka bukan sahaja tidak perlu bergantung kepada negara lain malah mereka mampu untuk menjual hasil mereka mereka ke luar negara. Islam begitu memberi galakan agar umatnya menghidupkan tanah yang mati yang mana dalam kitab feqah disebut ‘Ihya ul mawaat’. Sayyidina Ali sendiri pernah memarahi seorang sahabat yang tidak menghidupkan tanah yang diberi hasil rampasan perang di mana Sayyidina Ali meminta agar dia bercucuk tanam bukannya mendirikan rumah kediaman.
Kita dapat lihat lagi bagaimana barat begitu kecewa apabila pemimpin Libya dengan dasar penghijauan bumi telah berjaya membina terusan di bawah tanah sehingga tanaman hidup subur di atas padang pasir yang sebelumnya kering kontang. Barat terus memusuhi Libya yang berusaha untuk membangunkan hasil negara tanpa bantuan barat malah Libya turut membantu umat Islam seluruh dunia dengan hasil negaranya di mana antara isu terbaru ialah penglibatan Libya dalam menyelesaikan kes penculikan yang turut melibatkan rakyat Amerika Syarikat oleh kumpulan Abu Sayyaf di Filiphina.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Barat juga akan sentiasa melagakan negara umat Islam bagi memberi ruang kepada mereka untuk menguasai ekonomi di negara itu. Ini dapat kita lihat melalui serangan Iraq ke atas Kuwait yang telah diambil kesempatan oleh Amerika Syarikat untuk menjual senjata kepada Kuwait dan Arab Saudi. Walau pun peperangan Teluk telah pun berlalu hampir 10 tahun tetapi sehingga hari ini Kuwait dan Arab Saudi terpaksa membayar hutang kepada Amerika Syarikat manakala Iraq sendiri terpaksa menyerahkan minyaknya kepada Amerika. Negara umat Islam yang kaya akhirnya terpaksa berhutang dengan negara barat barat yang kurang hasilnya dari segi bahan galian atau pun tanaman. Inilah antara contoh yang dapat kita lihat bagaimana begitu licinnya perancangan musuh dalam menghancurkan umat Islam.Jika kita jahil dan lalai dengan perancangan yang telah mereka aturkan ini maka kita akan terus menjadi hamba abdi mereka walau pun berada dalam negara sendiri.
Firman Allah dalam ayat 45 surah al-Haj:
فكأين من قرية أهلكنــها وهي ظالمةفهي خاوية على عروشها وبئر معطلة وقصر مشيد
Maksudnya : Maka bukan sedikit negeri yang Kami telah binasakan disebabkan kezaliman penduduknya lalu runtuh ranaplah bangunannya, telaga terbiar dan istana mewah ditinggalkan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: