أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Selasa, 28 Oktober 2008

104. PERANAN AGAMA DALAM PEMBANGUNAN NEGARA

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 133 surah al-Baqarah :
أم كنتم شهداء إذ حضر يعقوب الموت إذ قال لبنيه ما تعبدون من بعدي قالوا نعبد إلهك وإله ءابائك إبرهــم وإسمـــعيل وإسحــق إلها وحدا ونحن له مسلمون
Maksudnya : Adakah kamu hadir ketika nabi Yaakub didatangi tanda-tanda maut di mana baginda bertanya kepada anak-anaknya : “ Apakah yang kamu akan sembah selepas kewafatanku ini?”. Lalu mereka menjawab : “ Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk moyang kami iaitu Allah Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepadaNya”.
Manusia dan agama tidak dapat dipisahkan dalam menjamin kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat. Allah telah mengutuskan kepada setiap bangsa seorang nabi atau rasul bagi memberi tunjuk ajar kepada umat manusia tentang kewajipan yang perlu dipatuhi dan larangan yang mesti dihindari agar kehidupan mereka diredhai oleh Allah. Para nabi dan rasul tidak meninggalkan harta benda yang banyak untuk diwarisi oleh umat manusia sebaliknya mereka meninggalkan ilmu agama yang mengukuhkan aqidah Islam dalam memastikan keluarga terdekat dan kaum mereka terus menyembah Allah selepas kewafatan mereka. Jika para nabi dan rasul meninggalkan harta maka ia pasti akan kehabisan dan umatnya akan menjadi lebih kufur kepada Allah serta saling berperang kerana berebutkan harta kekayaan dunia. Sebaliknya dengan meninggalkan ilmu agama maka ilmu dan agama terus berkembang sehingga umatnya terus berada di bawah suluhan wahyu Allah dan sentiasa berhati-hati dalam mencari harta kekayaan dunia agar tidak terlibat dengan sebarang penindasan terhadap orang lain dan juga tidak terlibat dengan sumber haram seperti riba, judi, rasuah dan sebagainya.
Barat walau pun dipenuhi dengan pelbagai kejayaan dalam mencapai kegemilangan tamadun kebendaan namu mereka tidak dapat menafikan peranan agama dalam mengisi jiwa manusia. Jiwa manusia yang dijauhkan daripada pengaruh agama kebanyakannya tidak lebih daripada bangkai bernyawa yang saling menguasai antara satu sama lain. Si kuat dan kaya sentiasa menggunakan pengaruh yang ada dalam memaksa si lemah untuk terus menjadi hamba abdi dalam menambahkan kekayaan yang ada tanpa memikirkan perasaan kemanusiaan yang ada dalam setiap jiwa manusia. Manakala si lemah dan miskin terus tunduk walau pun hatinya terus merintih sayu mengharap belas kasihan tuan mereka sehingga mereka tanpa kerelaan berperanan seumpama robot yang berkerja siang malam dalam memberikan kekayaan kepada tuan mereka. Hasil yang diperolehi oleh si kaya tidak tersebar kepada orang yang susah sebaliknya digunakan untuk memuaskan nafsu serakah sehingga kekayaan yang dicapai tidak pernah mencukupi. Akhirnya si kaya sentiasa berfikir bagaimana cara untuk mendapatkan keuntungan yang lebih banyak termasuk mengorbankan orang lain. Inilah yang menyebabkan negara barat yang dianggap maju tetapi mereka tidak mampu menangani masalah jenayah dan kemanusiaan terhadap rakyat mereka sendiri. Contohnya Amerika Syarikat sendiri tidak mampu menangani masalah jenayah yang semakin bertambah dalam negara serta masalah rakyatnya yang tiada rumah yang semakin tinggi disamping masalah yang lain tetapi Amerika cuba menutup kegagalan mereka itu dengan menumpukan kepada dasar luar seperti serangan terhadap negara lain dengan matlamat menjajah dan mengaut keuntungan hasil serangan dan pembunuhan termasuk di Iraq pada hari ini. Inilah bahayanya apabila kemajuan kebendaan dipisahkan daripada pengaruh agama yang menyebabkan manusia rosak dan merosakkan pula orang lain.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Tumpuan umat Islam untuk mencapai kemajuan kebendaan tidak pernah ditegah oleh agama asalkan peranan agama mesti diutamakan. Negara umat Islam jangan hanya melihat kejayaan tamadun kebendaan barat sahaja tetapi kita juga mesti melihat kepada kegagalan tamadun barat dalam mendidik jiwa manusia sehingga runtuhnya tamadun rohani yang lebih penting dalam menjamin keamanan sejagat. Umat Islam mesti meletakkan aqidah dahulu sebelum ekonomi jangan berbuat sebaliknya kerana kita bakal hancur sebagaimana hancurnya barat daripada segi kemajuan rohani. Kita jangan nilaikan sesuatu ilmu itu mengikut hasil gaji yang diperolehi oleh pemiliknya seperti seorang pakar perubatan dianggap lebih berjasa dan berharga berbanding ulama’ yang menjaga kesucian agama atau seorang pakar membina bangunan tinggi dipandang lebih mulia berbanding golongan agama yang berjaya membina kemanusia dalam diri manusia. Apa yang kita perlu nilaikan ialah setiap diri umat Islam mesti berperanan dalam membina tamadun rohani dan kebendaan secara serentak sehingga bebanan doktor di hospital dalam mengubati penyakit ketagih arak dan dadah semakin kurang kerana ulama’ telah diberi kebebasan yang sewajarnya dalam memberi ubat pencegah berbentuk ilmu agama dan pelaksanaan perundangan Islam agar umat manusia dijauhkan lebih awal daripada 2 penyakit yang merbahaya tadi. Bangunan tinggi yang dibina oleh pakarnya dapat diselamatkan daripada dirompak dan diruntuhkan oleh pengganas kerana golongan agama berperanan membina sifat kemanusian dalam jiwa setiap warganegara sehingga lahirnya suatu generasi yang menjaga keamanan menurut ilmu agama bukannya mengikut hawa nafsu. Jika kita menolak peranan agama dalam membina kemajuan negara atau pun ilmu agama hanya dipandang sebagai sesuatu yang kecil dan kurang berharga berbanding ilmu moden yang lain maka kita akan melihat bagaimana akan runtuhnya tamadun rohani di negara umat Islam disamping tidak tercapainya kemajuan kebendaan yang dikejar sehingga umat Islam terus mundur dan ketinggalan dalam negara mereka sendiri. Ingatlah maksud sabda nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari : Sesungguhnya dari tanda-tanda qiamat ialah diangkatkan ilmu, merebaknya kejahilan, arak diminum dan zina berleluasa.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Dalam mengejar kemajuan kebendaan maka kita dilarang sama sekali mengorbankan peranan besar yang sepatutnya dimainkan oleh agama. Tindakan mengorbankan pusat pengajian agama termasuk sekolah agama rakyat seterusnya sekolah agama swasta di negara ini mesti diambil perhatian yang sewajarnya oleh umat Islam. Kita mesti bersungguh-sungguh dalam memberi peringatan kepada pemimpin yang telah mengkhianati agama secara jelas dan terang tetapi dengan menggunakan seluruh media yang dikuasai maka pemimpin mengatakan bahawa tujuan menghancurkan sekolah agama adalah bagi memastikan kemajuan negara dapat dicapai dengan jaya sedangkan jika sekolah agama terus hidup maka ia akan membantut kemajuan. Mereka lupa bagaimana hasil kekayaan negara ini telah banyak disalah gunakan sehingga menimbulkan hutang negara yang begitu banyak. Ini membawa kepada tunduknya kita kepada kehendak negara barat kuffar untuk terus menjajah negara ini. Perkara ini semua bukan disebabkan terlalu ramai pelajar yang belajar agama sebaliknya kerana pemimpin bertindak membuang peranan agama dalam pemerintahan. Kemajuan negara boleh dicapai dengan syarat pemimpin dan negara ini kembali kepada seluruh sistem Islam bukannya menghancurkan pengajian agama. Ingatlah betapa bahayanya jika pemimpin dan rakyat hanya tahu mengejar dunia dengan mengenepikan agama kerana jahilnya mereka terhadap Islam berbanding dengan golongan yang belajar agama tetapi tidak mahu mengejar kemewahan dunia yang ada. Pemimpin yang jahil hanya nampak bahawa agama akan menyekat kepada kemajuan kerana setiap tindakan mereka yang bercanggah dengan agama akan ditentang oleh mereka yang faham agama. Mereka tidak sedar bahawa orang jahil yang mengejar dunia tidak pernah puas hati dengan kekayaan yang ada sebaliknya terus melakukan apa sahaja dalam mengaut keuntungan tanpa mengira dosa pahala, syurga neraka. Mereka sentiasa merasa miskin walau pun telah mempunyai mahligai mewah, harta bertimbun serta sanggup menggunakan cara yang haram dalam mencari kekayaan.
Firman Allah dalam ayat 268 surah al-Baqarah :
الشيطــن يعدكم الفقر ويأمركم بالفحشاء والله يعدكم مغفرة منه وفضلا والله وسع عليم
Maksudnya : Syaitan menakut-nakutkan kamu dengan kemiskinan dan menggalakkan kamu berbuat kejahatan sedangkan Allah menjanjikan untukmu keampunan daripadaNya dan kurniaan. Dan Allah Maha Luas kurniaan lagi Maha Mengetahui

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Kedatangan Islam ke negara ini mengikut catatan sejarahnya agak mudah tanpa berlakunya pertumpahan darah iaitu apabila pedagang Islam berjaya mengIslamkan raja Melaka maka seluruh rakyat jelata turut memeluk Islam. Oleh itu nikmat Islam yang masuk secara mudah ke negara ini mesti dipertahankan walau dengan apa cara sekali pun. Jangan pula kita mudah alpa dan lupa sehingga negara ini menjadi kufur semula dengan dijadikan negara sekularisme penuh sebagaimana yang telah berlaku di Turki melalui tindakan pemimpin yang mengaku Islam tetapi lebih banyak mengorbankan kepentingan Islam demi mencapai kemewahan dan kekuasaan dunia daripada bertindak menjaga kesucian agama dan melaksanakan seluruh sistem Islam dalam negara.
Firman Allah dalam ayat 217 surah al-Baqarah:
ولا يزالزن يقاتلونكم حتى يردوكم عن دينكم إن استطاعوا ومن يرتدد منكم عن دينه فيمت وهو كافر فأولئك حبطت أعمالهم فى الدنيا والآخرة وأولئك أصحــب النار هم فيها خــلدون
Maksudnya : Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka mahu memalingkan kamu daripada agama kamu kalau mereka sanggup melakukan demikian itu. Dan sesiapa di antara kamu yang murtad daripada agamanya Islam lalu dia mati sedangkan dia tetap kafir maka mereka merupakan orang yang rosak binasa amalannya yang baik di dunia dan akhirat dan mereka itulah ahli neraka di mana mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: