أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Rabu, 1 April 2009

137. TIGA JENIS PEMERINTAHAN

السلام عليكم ورحمة الله
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 76 surah an-Nisa’ :
الذين آمنوا يقاتلون في سبيل الله والذين كفروا يقاتلون في سبيل الطاغوت فقاتلوا أولياء الشيطان إن كيد الشيطان كان ضعيفا
Maksudnya : Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir berperang di jalan Toghut, oleh itu perangilah kawan-kawan syaitan itu kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Ibnu Khaldun di dalam al-Muqaddimah setelah mengamati dan mengkaji mengenai sejarah kehidupan dan tamadun manusia telah membuat kesimpulan di dalam kitabnya itu tentang 3 jenis dan bentuk pemerintahan yang telah dan sedang berjalan.
Pertama : yang dikenali sebagai al-Malik al-Tabi’e ( الملك الطبيعي ) iaitu pemerintahan di mana seluruh tanggungjawabnya dilaksanakan berdasarkan kepada tujuan memenuhi hawa nafsu sahaja iaitu kecenderungan tabi’e yang terdapat dalam diri manusia itu sendiri. Pemerintahan jenis ini adalah suatu yang tercela kerana ia dijalankan berasaskan kepada kemahuan seseorang individu sahaja tanpa melihat dan memikirkan hak orang lain. Ia juga dikenali sebagai hukum rimba di mana siapa kuat dialah yang berkuasa berbuat apa sahaja tanpa dikawal oleh sebarang perlembagaan atau perundangan khusus bagi menjaga maslahat umum. Sesiapa sahaja yang berkuasa berhak melakukan apa yang dia mahu dan sebarang penentangan terhadapnya akan dihapuskan demi menjaga kuasa dan harta. Pemerintahan jenis ini merbahaya dan menggugat keamanan dan keharmonian dalam masyarakat. Si kuat terus menekan si lemah, si kaya terus memperkudakan si miskin, pemimpin terus melakukan kezaliman kepada rakyatnya demi kepentingan peribadi.

Sidang Jumaat yang dihormati,
Kedua : Pemerintahan al-Malik al-Siyasi ( الملك السياسي ) di mana pemerintahan jenis ini meletakkan tanggungjawab pemerintahan secara keseluruhannya berdasarkan kepada pandangan akal atau ideologi ciptaan manusia semata-mata dalam memenuhi kemaslahatan dunia serta menolak kemudharatannya. Menurut Ibnu Khaldun bahawa pemerintahan jenis ini dapat memberi kebaikan untuk tempoh jangka masa pendek tetapi ia akan memberi kesan yang buruk dalam jangka masa yang panjang. Pemerintahan jenis ini menolak agama dalam urusan pemerintahan kerana mereka menganggap bahawa agama hanya pada ibadat dan adat sahaja. Mereka bebas daripada pegangan dan pengaruh agama dalam pemerintahan yang menyebabkan mereka hanya mencari kemajuan dan mencipta perundangan yang berasaskan akal adalah untuk mencapai kemewahan hidup dunia sahaja dengan mengenepikan kehidupan hari akhirat. Mereka menggunakan akal dan pemikiran yang lemah dalam melawan kehebatan hukuman Allah.
Contoh mengenai pemerintahan jenis ini dalam suasana masyarakat kita pada hari ini ialah fahaman Komunis di mana ketika berlakunya Revolusi di Russia maka telah berlaku pembunuhan yang ramai sehingga tiga perempat rakyat Russia dibunuh dan ketika ditanya kepada Lennin sebagai ketua Revolusi tersebut maka dengan mudah beliau menjawab bahawa perkara itu bukan menjadi persoalan yang besar kepada mereka tetapi apa yang penting ialah satu perempat rakyat yang masih tinggal mestilah terdiri daripada mereka yang mendokong kefahaman komunis. Namun begitu kuasa komunis turut tumbang dalam masa yang tidak begitu lama walau pun tekanan terhadap rakyat agar terus patuh kepada ideologi komunis begitu kuat.
Begitu juga sekularisme yang mula menular ke negara umat Islam bermula dari Turki di bawah regim Mustafa Kamal at-Tartuk di mana setelah berjaya menggulingkan Khilafah Uthmaniah Turki pada 1924 dengan bantuan umat Islam sendiri yang ditanamkan dengan semangat kebangsaan yang melampau di mana di negara-negara arab diseru dakyah bahawa khilafah Uthmaniah untuk orang Turki bukan untuk umat Islam. Akhirnya Khilafah Uthmaniah dijatuhkan dan bagi menjayakan pemerintahannya maka pengaruh Islam dihapuskan satu demi satu bermula dengan penahanan dan pembunuhan ulama’, menghancurkan sebarang gerakan Islam, menukar pengunaan bahasa dan tulisan arab kepada Turki berdasarkan tulisan latin, melarang pemakaian kain tudung bagi perempuan dan bagi lelaki dilarang memakai kopiah di mana lebih mereka digalakkan memakai topi bagi menyamakan mereka dengan masyarakat barat. Walau bagaimanapun hebat dan kuat tekanan mereka terhadap rakyat agar dapat menerima cara hidup sekularisme namun begitu pengaruh Islam terus kuat hasil daripada perjuangan ulama’ yang menyebabkan 2 kali kemenangan gerakan Islam di Turki berjaya dicapai.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Apa yang berlaku di Turki maka inilah yang diamalkan di negara kita pada hari ini. Pengaruh agama cuba dihapuskan dalam pemerintahan diantaranya dengan menahan kemaraan ulama’ dengan menimbulkan dalam pemikiran masyarakat bahawa ulama’ merupakan golongan pelampau dan mengeluarkan hukum demi kepentingan mereka sahaja. Penghapusan penggunaan tulisan jawi pernah dilakukan dalam meramaikan lagi mereka yang buta al-Quran dan buta agama yang membolehkan pemimpin yang ada terus berkuasa. Pakaian menutup aurat juga dilarang di beberapa tempat bekerja terutama hotel-hotel malah pernah seorang muslimah dibuang kerja kerana memakai purdah semasa berkerja. Pernah dua orang pelajar sekolah rendah dibuang sekolah kerana memakai kopiah sebelum mahkamah memutuskan bahawa hukuman itu tidak sah setelah ibubapa mereka mengambil tindakan undang-undang. Bagaimana bencinya pemimpin sekuler Turki terhadap Islam maka begitulah yang dilakukan di negara ini. Ucapan pemimpin Turki bahawa pengajian Islam menyebabkan umat Islam mundur maka begitulah pemimpin negara ini yang menyatakan perkara yang sama sedangkan pusat pengajian agama hanya ada berapa buah sahaja di negara ini berbanding sekolah yang mahu melahirkan profesional yang lain seperti ahli sains, arkitek dan sebagainya. Jika benar-benar mereka mahu Islam maka sudah lama mereka mewujudkan kurikulum pengajian yang bersepadu iaitu menggabungkan antara ilmu fardhu ‘ain dengan ilmu fardhu kifayah bagi melahirkan golongan profesional yang faham agama secara menyeluruh. Sedangkan apa yang dilaksana pada hari ini hanya menitik-beratkan ilmu fardhu kifayah sahaja tetapi dibuang ruh Islam daripada pengajian tersebut yang menyebabkan sekolah yang dibina disusuli pula dengan pembinaan pusat pemulihan akhlak dan pusat serenti bagi menangani permasalahan sosial yang berlaku. Pemimpin sekuler juga sesuka hati mencabuli perundangan yang mereka cipta demi menjaga kedudukan mereka. Mereka sendiri tidak menghormati perundangan yang digubal. Inilah yang dikatakan oleh Ibnu Khaldun bagaimana pemerintahan yang berdasarkan akal ini hanya mewujudkan keamanan dan kemajuan sementara dan mereka sendiri akan melanggar apa yang digubal kerana nafsu manusia sentiasa buas dan ganas.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Ketiga : Pemerintahan al-Malik al-Dini ( الملك الديني ) iaitu pemerintahan berdasarkan kepada kehendak dan neraca syarak. Pemerintahan jenis inilah yang akan dibantu oleh Allah sehingga memperolehi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Pemerintahan ini menitik-beratkan hubungan antara kehidupan dunia berlandaskan agama sehingga segala hak ditunaikan dengan adil dan saksama. Sebarang pelanggaran perlembagaan dan perundangan agama akan dihukum mengikut hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah. Allah adalah kuasa mutlak dan tidak ada kuasa lain yang boleh melawan segala ketetapan yang telah ditentukan oleh agama. Tiada pengaruh akal manusia dan tiada pula pengaruh nafsu buas manusia dalam menggubal dan melaksanakan peraturan kerana semuanya merupakan ketetapan Allah.
Firman Allah dalam ayat 151-152 surah al-Syu’ara’ :
ولاتطيعوا امر المسرفين الذين يفسدون فى الأرض ولايصلحون .
Maksudnya Dan janganlah kamu mentaati perintah orang-orang yang melampaui batas, yang membuat kerosakn di muka bumi dan tidak melakukan kebaikan.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: