أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Rabu, 8 April 2009

47. LIMA SIKAP UMAT KEMENANGAN

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah S.W.T dalam ayat 54 surah al-Maidah :
يأيهاالذين آمنوا من يرتد منكم عن دينه فسوف يأتي الله بقوم يحبهم ويحبونه أذلة على المؤمنين أعزة على الكفرين يجهدون فى سبيل الله ولايخافون لومة لائم ذلك فضل الله يؤتيه من يشاء والله وسع عليم
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa di kalangan kamu yang murtad daripada agamanya maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan mereka mencintaiNya. Bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin, bersikap tegas terhadap orang kafir, berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang mencela. Itulah kurniaan Allah yang dianugerahkan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui.
Islam adalah satu-satunya agama yang menjadi cara hidup yang diredhai oleh Allah di mana sesiapa sahaja yang memilih system hidup selain daripada Islam maka semuanya akan ditolak dan dihina oleh Allah di dunia dan akhirat. Kewajipan dalam menyebar serta mempertahankan kesucian system Islam bukanlah terletak dan dipertanggungjawabkan ke atas batang tubuh nabi Muhammad s.a.w seorang sebaliknya kewajipan itu dipikul oleh setiap diri umat Islam. Sebab itulah setelah kewafatan Rasulullah s.a.w maka usaha dalam mengembangkan dakwah dan pemerintahan Islam diteruskan oleh para Khulafa’ ar-Rasyidin dan khalifah-khalifah Islam selepas mereka sehinggalah kita yang berada jauh daripada bumi arab turut dapat menikmati keindahan ajaran dan system Islam hasil daripada usaha dan perjuangan umat dahulu yang sanggup meninggal tanahair tercinta demi memastikan dakwah Islam dapat disebarkan ke seluruh dunia bertepatan dengan pengutusan nabi Muhammad s.a.w itu sendiri adalah untuk sekalian umat manusia bukan khusus untuk umat tertentu sahaja. Perjuangan dan dakwah Islam ini terus berjalan tanpa ada suatu kuasa besar pun yang dapat mengalah dan memadamkan cahaya Islam walau apa sahaja usaha jahat yang dilakukan. Oleh itu dalam memperjuangkan Islam maka kita mesti yakin bahawa kita bukanlah orang pertama yang menjalankan tugas dalam memartabatkan Islam di atas muka bumi ini dan kita juga bukan orang terakhir yang menjalankan misi suci ini sebaliknya kita merupakan antara rantaian orang-orang yang memperjuangkan Islam yang telah dilaksanakan oleh para nabi dan rasul serta pejuang Islam sebelum ini dan bakal diteruskan oleh generasi selepas kita sehinggalah berlakunya hari qiamat.
Sabda nabi dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari :
لاتَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِيْ ظَاهِرِيْنَ عَلَى الحَقِّ لايَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ
Maksudnya : Akan terus wujud segolongan umatku yang berani menyatakan kebenaran di mana tidak akan memudharatkan mereka oleh orang-orang yang menyanggahinya sehingga datangnya ketentuan daripada Allah S.W.T

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Usaha dalam mendaulatkan kembali Islam dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan seterusnya dunia keseluruhannya tidak akan berjaya sehinggalah setiap pejuang Islam memiliki sifat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah antaranya ialah [1] kita mestilah mencintai Allah lebih daripada segalanya sehinga Allah juga mencintai kita. Ingatlah kita bahawa cinta kepada Allah tidak akan bersatu dalam hati yang cintakan maksiat, cinta kepada jihad tidak akan bersatu dalam hati yang cintakan kehidupan sehingga takut pada kematian, cinta kepada pengorbanan tidak akan bersatu dalam hati yang cintakan harta dunia, cinta kepada kebenaran tidak akan bersatu dalam hati yang cintakan pangkat kedudukan, cinta kepada perdamaian tidak akan bersatu dalam hati yang cintakan kekerasan dan keganasan, cinta kepada kebaikan tidak akan bersatu dalam hati yang cintakan pengkhianatan. Sifat ke-[2] yang mesti ada ialah bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin di mana kita mesti tolong-menolong sesama kita atas dasar iman dan kebaikan. Perpecahan dan perbalahan sesama sendiri telah melemahkan umat Islam sehingga musuh menggunakan kelemahan ini untuk terus menjajah dan mernindas umat Islam. Sifat ke-[3] kita mesti bersikap tegas terhadap orang kafir sehingga mereka tidak berani menghina Islam dan menindas umatnya sesuka hati. Adalah suatu yang malang apabila ramai di kalangan umat Islam yang bersikap sebaliknya iaitu bertindak kejam terhadap saudara seagama seperti mengenakan tahanan ISA kepada umat Islam tanpa tahu kesalahannya sedangkan orang bukan Islam yang menghina Islam seperti antara yang terbaru mempertikaikan bacaan doa dalam majlis rasmi yang dianggap menjejas perpaduan tidak pula diambil cakna. Sifat ke- [4] kita mesti berjihad di jalan Allah tanpa merasa takut dan gentar kepada musuh Islam kerana hanya kepada Allah kita semua menyerah diri. Seterusnya sifat ke-[5] ialah kita tidak takut kepada celaan orang mencela kerana dalam memperjuangkan Islam maka kita terpaksa berhadapan dengan musuh dan umat Islam sendiri yang tidak yakin dengan Islam yang sentiasa melakukan serangan pemikiran bagi melemah dan melunturkan semangat juang umat Islam. Sekiranya keyakinan kita kepada Islam tinggi dan pergantungan diri kepada Allah yang tidak berbelah bahagi maka segala serangan itu dapat ditangkis dengan mudah dan tenang.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
فرمان الله دالم آية 55 سورة النور :
وعد الله الذين ءامنوا منكم وعملوا الصــلحــت ليستخلفنهم فى الأرض كما استخلف الذين من قبلهم وليمكنن لهم دينهم الذي ارتضى لهم وليبدلنهم من بعد خوفهم أمنا يعبدونني لايشركون بي شيئا ومن كفر بعد ذلك فأولئك هم الفـسقون
Maksudnya : Allah telah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka sebagai khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di muka bumi ini sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka sebagai khalifah yang berkuasa. Dan Dia akan meneguhkan bagi mereka agama Islam yang telah diredhaiNya untuk mereka dan Dia juga akan menukar keadaan mereka sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka terus menyembahKu tanpa mempersekutukanKu dengan sesuatu pun. Dan sesiapa yang kufur engkar sesudah itu maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
Inilah antara janji daripada Allah yang menjelaskan kepada kita bagaimana umat Islam pasti akan dianugerahkan dengan kemenangan walau pun terpaksa berhadapan dengan ribuan ujian dan cabaran. Bumi ini akan diberikan kuasa pemerintahannya kepada umat beriman yang soleh setelah kita mencukupi syarat-syarat kemenangan yang telah digariskan oleh Allah. Kemenangan yang ingin dicapai bukan dapat dengan jalan mudah sebaliknya perlu kepada tumpahnya darah. Umat Islam bukan dihamparkan dengan permaidani merah sebaliknya terpaksa berhadapan dengan senjata musuh Islam yang bernafsu serakah. Selain senjata peperangan, kuffar turut menyerang umat Islam dengan pelbagai cara yang lain dalam merosakkan aqidah umat Islam, menguasai ekonomi dan hasil bumi umat Islam dan memusnahkan akhlak umat Islam. Kita dapat lihat di negara kita sendiri usaha dalam mengkristiankan umat Islam terus berjalan termasuk di pusat pengajian tinggi ditambah lagi dengan usaha dalam menubuhkan kesatuan antara agama yang bakal menghancurkan Islam belum berhenti disamping fahaman Islam Liberal yang memesongkan ajaran Islam mengikut nafsu terus subur. Perlantikan mufti sebagai ahli mesyuarat kerajaan negeri tidak ada hasil sekiranya fatwa yang dikeluarkan tidak diguna pakai. Islam bukan bahan pameran yang berperanan hanya untuk tontonan.
Pada peringkat antarabangsa pula kita dapat melihat musuh Islam terus mengganas dalam meratah tubuh umat Islam seperti di Afghanistan, Iraq. Kuffar turut menekan kerajaan HAMAS di Palestin melalui sekatan ekonomi yang bacul disamping memaksa dunia agar menyekat Iran daripada membangunkan teknologi nuklear. Kuffar turut menjadikan Darfur sebagai pengkalan dalam menjajah Sudan serta berusaha menghalang pejuang Islam daripada menguasai keadaan di Somalia. Sedikit gambaran ini sudah cukup mengingatkan kita bahawa kemenangan Islam bukan suatu yang mudah dicapai sebaliknya ia memerlukan kepada pengorbanan
Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali Imran :
إن ينصركم الله فلا غالب لكم وان يخذلكم فمن ذا الذى ينصركم من بعده وعلى الله فليتوكل المؤمنون
Maksudnya : Jika Allah menolong kamu maka tiada lagi orang yang dapat mengalahkan kamu. Jika Allah membiarkan kamu (dengan tidak memberi pertolongan) maka siapa lagi yang dapat menolong kamu selain daripada Allah sesudah itu. Oleh itu hanya kepada Allah sahajalah orang beriman berserah diri
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: