أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Isnin, 2 Ogos 2010

113. BERSATU MENCAPAI KEMERDEKAAN HAKIKI

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
عن أبي بكر الصديق رضى الله عنه قال : يآأيهاالناس إنكم تقرءون هذه الأية : يآأيهاالذين آمنوا عليكم أنفسكم لايضركم من ضل إذا اهتديتم . وإني سمعت رسول الله يقول : إن الناس إذا رأوا الظالم فلم يأخذوا على يديه أوشك أن يعمهم الله بعقاب منه - رواه أبو دأود والترمذي والنسائي
Daripada Sayyidina Abu Bakar telah berkata : Wahai sekalian manusia! Kamu telah membaca ayat 105 surah al-Maidah yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah dirimu di mana tidak membahayakan dirimu kesesatan orang yang sesat asalkan kamu memperolehi petunjuk. Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah s.a.w telah bersabda : Sesungguhnya jika orang-orang yang melihat orang zalim berbuat kejahatan sedangkan mereka tidak mencegah dengan kemampuannya maka sudah hampir Allah akan menurunkan siksaanNya yang merata
Kemerdekaan hakiki ialah kemampuan manusia dalam membebaskan diri daripada penjajahan zahir dan batin sehingga melahirkan dirinya sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Tokoh kemerdekaan di dunia ini ialah bermula daripada nabi-nabi dan rasul-rasul yang telah dimerdekakan oleh Allah daripada penjajahan berbentuk musuh yang zahir dan juga batin daripada hawa nafsu dan syaitan. Tidak ketinggalan nabi kita Muhammad s.a.w yang telah dimerdekakan daripada syirik walau pun dibesarkan dalam keadaan masyarakat jahiliah dan selepas itu dimerdekakan nabi daripada deraan dan siksaan kafir Quraisy dengan kebenaran daripada Allah untuk berhijrah ke Madinah. Kemerdekaan yang diraih oleh nabi dan para sahabat telah diisi dengan penyembahan kepada Allah dalam semua aspek kehidupan bukannya setakat ibadat khusus sebagaimana sebelum merdeka ketika berada di Mekah. Pengisian seperti inilah yang cuba kita lakukan di tanahair kita yang tercinta ini sebagai menyahut erti kemerdekaan yang sebenar bukannya setakat menghalau penjajah yang berkulit putih dan berbangsa Inggeris sedangkan kita terus membiarkan anak didik penjajah yang sebangsa dengan kita untuk terus melakukan kesesatan dan kezaliman berdasarkan perundangan penjajah.
Semangat di dalam memerdekakan Malaysia daripada cengkaman jahiliah moden mestilah terus bersemarak dalam diri sehinggalah negara kita ini berjaya dijadikan Daulah Islamiah buat kali kedua selepas ia berjaya dilaksanakan oleh Kesultanan Melayu sebelum datangnya penjajah. Kita perlu mencontohi semangat yang telah ditunjukkan oleh Rub’i bin Umair ketika menjawab pertanyaan Rustam panglima Parsi ketika berlakunya peperangan al-Qadisiah tentang sebab beliau membawa tentera Islam ke Parsi lalu dengan tegas dijawab : “ Allah telah mengutuskan kami untuk memerdekakan sesiapa yang dikehendaki dari menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah yang Esa. Dan memerdekakan manusia daripada kesempitan dunia kepada lapang dan luasnya akhirat dan daripada belenggu kezaliman agama lain yang sesat kepada keadilan Islam”.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Kemerdekaan negara kita sepatutnya telah lama diisi dengan Islam bukannya meneruskan sistem penjajah yang merosakkan manusia di dunia dan akhirat. Sebagai mereka yang mengaku beriman kepada Allah dan rasulNya maka kita wajib dengan kemampuan yang ada terus menerus memberi peringatan kepada pemimpin agar melaksanakan seluruh sistem Islam dalam negara agar segala masalah kemelesetan ekonomi dan keruntuhan sosial dapat ditangani dengan hukum Allah yang adil. Kita tidak boleh putus asa dalam mengingatkan pemimpin tentang kesesatan dan kezaliman perundangan yang dicipta oleh manusia. Sebagai rakyat yang sentiasa berpegang kepada ajaran al-Quran dan hadis nabi serta tunjuk ajar ulama’ pewaris nabi maka kita terus bersabar dalam berdakwah kepada pemimpin walau pun mendapat tentangan dan halangan yang begitu hebat. Gerakan Islam terus menghormati sistem demokrasi pilihanraya yang dijadikan jalan dalam mengembalikan semula pelaksanaan hukuman Islam dalam negara. Walau pun diserang dan dituduh dengan bermacam-macam tuduhan namun gerakan Islam terus bergerak secara aman sebagai menjunjung perintah nabi antaranya dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim :
قال الرسول : إنه يستعمل عليكم أمراء فتعرفون وتنكرون فمن كره فقد برىء ومن أنكر فقد سلم ولكن من رضي وتابع . قالوا : يارسول الله ألا نقاتلهم ؟ قال : لا ما أقاموا فيكم الصلاة
Maksudnya : Sesungguhnya akan muncul ke atasmu beberapa pemimpin yang kamu kenal kebaikan dan kejahatannya. Maka sesiapa yang membenci dalam hatinya maka bererti telah bebas, sesiapa yang menentang bererti selamat sebaliknya siapa yang rela dan mengikutinya maka itulah yang binasa. Sahabat bertanya : Wahai Rasulullah! Tidakkah lebih baik kami memerangi mereka dengan senjata?. Jawab nabi : Jangan! Selagimana mereka masih sembahyang.
Oleh itu sewajarnya pemimpin yang ada menghormati kedudukan ulama’ dalam memberi peringatan kepada mereka dengan penuh sabar dan istiqamah. Jika tanpa tunjuk ajar dan peringatan daripada ulama’ pewaris nabi maka negara kita mungkin lebih teruk daripada apa yang telah berlaku pada hari ini. Kesabaran manusia ada batasannya tetapi jika ia tidak dibatasi dengan wahyu Allah maka ia mungkin akan membawa kemusnahan dan kehancuran.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Esok kita akan menyambut hari kemerdekaan negara kita kali ke-45 yang menunjukkan kepada kita bagaimana negara ini telah lama merdeka dari sudut pertukaran pemimpin yang berlainan bangsa kepada pemimpin sebangsa dan dari bahasa dan buaday yang berbeza kepada bahasa dan budaya yang sama. Namun begitu dari segi hakikat sebenarnya negara kita terus dibelenggu dengan penjajahan baru oleh pemimpin sebangsa yang mengamalkan pemerintahan kuku besi. Pemimpin hanya tahu melaungkan merdeka sedangkan mereka terus memenjarakan rakyat daripada bangun menegur kezaliman mereka. Pemimpin mengistiharkan bahawa negara ini adalah negara Islam sedangkan dalam masa yang sama mereka menentang pelaksanaan perundangan Islam. Alasan bahawa rakyat negara ini belum faham tentang perundangan Islam menampakkan lagi kegagalan sistem pendidikan negara di mana hampir 50 tahun sambut merdeka dan semakin banyak sekolah dan universiti dibina tetapi rakyat semakin tidak faham serta jahil tentang Islam itu sendiri. Pemimpin hanya tahu meletakkan wawasan dunia yang mahu dicapai tetapi tidak pernah terlintas dalam pemikiran mereka untuk meletakkan matlamat bilakah Islam akan dilaksana secara keseluruhannya dalam negara.Jika dilihat kepada ucapan dan maklumat yang disebar melalui media massa terutama tv, radio, akhbar maka kita dapati usaha dalam menjauhkan umat Islam dan bukan Islam daripada Islam lebih jelas daripada daripada penerangan tentang Islam. Sebab itulah seorang bekas pegawai di Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur yang pernah berkhidmat di negara ini selama 10 tahun telah mengatakan bahawa beliau lebih tahu tentang Islam melalui pembacaan berbanding bangsa Cina dan India bukan Islam yang berpuluh-puluh tahun menjadi warganegara Malaysia kerana pendedahan tentang Islam oleh kerajaan tidak banyak serta tidak mempunyai kesungguhan.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Selepas merdeka dan pertukaran pemimpin kepada mereka yang sebangsa maka kedudukan Islam semakin tersepit. Majlis ceramah penerangan dihalang bagaikan ianya merupakan program yang menimbulkan keganasan sedangkan program maksiat digalakkan. Kuliah agama dan majlis ilmu dikenakan pelbagai sekatan sedangkan pemimpin membiarkan bertambahnya keruntuhan akhlak termasuk menggalakkan perzinaan yang berlaku secara bebas termasuk ketika menyambut kemerdekaan di Dataran Merdeka dan beberapa dataran yang lain. Dulu ISA digunakan untuk menangkap komunis tetapi kini dijadikan senjata untuk menangkap rakyat yang pernah menghalau kuasa komunis Russia di Afghanistan. Tujuan sebenar ialah pemimpin begitu takut dan benci melihat adanya rakyat yang bangun menegur tentang beberapa ideologi komunis terutama dalam menolak peranan agama dalam membangunkan masyarakat yang telah meresap dalam diri pemimpin. Oleh itu sempena menyambut merdeka maka seluruh umat Islam yang cintakan Allah dan rasulNya mendesak agar pemimpin negara membebaskan semua tahanan ISA atau dakwa mereka di mahkamah jika bersalah. Jangan biarkan rakyat yang tidak bersalah dipenjara dan keluarga mereka terus menitis air mata sedangkan kita bergembira menyambut kemerdekaan negara.
Firman Allah dalam ayat 165 surah al-A’raf :
فلما نسوا ماذكروا به أنجينا الذين ينهون عن السؤ وأخذنا الذين ظلموا بعذاب بئيس بما كانوا يفسقون
Maksudnya : Maka ketika mereka melupakan apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang mencegah daripada kemungkaran dan Kami timpakan mereka yang zalim dengan azab siksa yang amat berat disebabkan mereka derhaka.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: