أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Sabtu, 7 Ogos 2010

82. HAYATI KEMERDEKAAN HAKIKI DENGAN ISLAM

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 58 surah al-Baqarah :
وإذ قلنا ادخلوا هذه القرية فكلوا منها حيث شئتم رغدا وادخلوا الباب سجدا وقولوا حطة نغفرلكم خطــيــكم وسنزيد المحسنين
Maksudnya : Dan ingatlah ketika Kami berfirman : “ Masuklah kamu wahai bani Israel! Ke negeri ini (Baitul Maqdis) dan makanlah daripada hasil buminya yang banyak bagaimana kamu kehendaki dengan puas”. Dan masukilah pintu ini dengan sujud merendah diri dan katakanlah : “Bebaskanlah kami daripada dosa”, nescaya Kami mengampuni kesalahanmu dan kelak Kami akan menambah pemberian kepada mereka yang berbuat baik.
Bila ditanya tentang kemerdekaan dan kebebasan daripada sebarang belenggu penjajahan maka setiap diri insan yang bermaruah begitu menginginkannya. Bagi yang sudah merdeka maka mereka bergembira menyambutnya dan bagi yang belum merdeka atau baru dijajah maka mereka sentiasa berbincang dalam berusaha mengembalikan hak kemerdekaan mereka. Penjajahan dan kemerdekaan bukan sahaja berkait kepada manusia biasa sebagaimana kita tetapi turut dialami oleh para nabi dan rasul. Oleh itu dalam mencari erti kemerdekaan hakiki dan bagaimana mahu mengisinya agar bertepatan dengan kehendak Allah maka kisah dan sejarah kemerdekaan para kekasih Allah itu wajar dikaji dan diambil iktibar yang sebaiknya. Contohnya kemerdekaan yang dianugerahkan kepada nabi Musa yang mengetuai bani Israel daripada penjajahan dan penindasan yang begitu dahsyat yang dilakukan terhadap bangsa mereka oleh Firaun dan bangsa Qibti sepanjang berada di bumi Mesir. Allah telah memerdekakan bani Israel bukanlah disebabkan mereka adalah bangsa istimewa tetapi bertujuan agar mereka tunduk dan patuh kepada dakwah Islam yang dibawa oleh nabi Musa. Kedegilan bani Israel dalam mengisikan kemerdekaan dengan Islam telah menyebabkan ramai dikalangan mereka dihukum oleh Allah dengan pembalasan segera samada dengan taubat secara membunuh diri akibat menyembah anak lembu yang dibuat daripada emas sepanjang munajat nabi Musa di Thursina atau dihancurkan melalui gempa bumi akibat turut mahu melihat Allah sebelum menerima dakwah nabi Musa atas alasan mereka pun berketurunan bani Israel yang sepatutnya mesti dapat melihat Allah sebagaimana nabi Musa. Malah kedegilan bani Israel lebih terserlah apabila mahu memasuki bumi yang dijanjikan iaitu Baitul Maqdis tanpa mahu berperang sebaliknya hanya mahu masuk setelah musuh dikalahkan. Akhirnya setelah diberikan keizinan untuk memasuki kota tersebut maka mereka terlalu megah dan sombong serta menindas bangsa asal serta mahu makanan sebagaimana mereka pernah makan ketika ditindas sebagai hamba abdi oleh Firaun di Mesir tanpa rasa bersyukur dengan nikmat al-Manna dan as-Salwa yang telah dianugerahkan oleh Allah selama ini. Inilah antara bahana dan bala yang menimpa bani Israel akibat tidak bersyukur atas kemerdekaan yang dianugerahkan serta akibat buruk yang menghina kedudukan mereka kerana mengisikan kemerdekaan dengan perkara yang menyalahi arahan Allah dan nabi Musa. Mereka turut bertindak kejam membunuh ramai para nabi yang lahir di kalangan bangsa mereka sendiri. Yahudi pada hari ini turut mewarisi sikap degil bani Israel termasuk memperolehi negara haram Israel atas tekanan mereka terhadap Britain semasa pemecahan negara umat Islam selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniah Turki dan kini mereka isikan kejayaan mereka itu dengan melakukan pelbagai kezaliman dan pembunuhan terhadap umat Islam.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Ini berbeza dengan kemerdekaan yang dicapai dengan Islam dan diisikan pula dengan perasaan tunduk dan patuh kepada arahan Allah maka Dia menganugerahkan kemenangan gemilang dan kemerdekaan hakiki kepada nabi Muhammad s.a.w dan umat Islam ketika Pembukaan Kota Mekah. Kemerdekaan ini membersihkan kembali Ka'abah daripada berhala dan amalan syirik yang selama ini mengotorkan kesucian bumi Mekah. Sambutan kepada kemerdekaan bumi Mekah daripada penjajahan jahiliah disambut dengan penuh kesyukuran tanpa sikap bongkak malah penduduknya diberi layanan yang baik sehingga mereka dapat menerima dakwah Islam tanpa penentangan tidak sebagaimana sebelum ini. Kemerdekaan yang dicapai ini bukan sahaja memudahkan lagi umat Islam untuk mengerjakan ibadat umrah dan haji malah segala sistem Islam dapat diperluaskan lagi pelaksanaannya. Bahkan bermula daripada kemerdekaan Kota Mekah telah membolehkan Islam menyebar luaskan lagi dakwah dan sistemnya bukan sahaja dalam Semenanjung Tanah Arab tetapi turut keluar daripada kawasan itu. Kemerdekaan ini diminta oleh Allah agar didahulukan dengan bertasbih dan bertahmid atas nikmat Allah yang telah menjadikan umat Islam sebagai pemegang amanah dan pembela agama Islam dan juga atas rahmat Allah yang mengurniakan kemenangan serta penyertaan umat manusia yang begitu ramai memeluk Islam selepas kemerdekaan bumi Mekah. Allah turut menyuruh agar beristighfar atas pelbagai perasaan bangga dan sombong yang berkecamuk dalam hati di saat kemenangan serta perasaan tidak sabar, terkilan, gentar kerana merasakan begitu lama kemenangan yang dijanjikan Allah ini datang. Arahan ini sebagaimana diungkapkan oleh Allah dalam ayat 3 surah an-Nasru :
فَسَبِّحْ ِبحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا
Maksudnya : Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan pohonlah keampunanNya. Sesungguhnya Allah Amat Menerima taubat hambaNya.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Bagi mengisi kemerdekaan maka kita perlu kembali kepada seluruh sistem Islam yang telah terbukti hebat dan adil dalam memuliakan generasi sebelum kedatangan penjajah. Kita ingat kepada ungkapan Sayyidina Umar al-Khottab ketika mahu menerima kunci Baitul Maqdis dari Rom sebagai lambang kemerdekaan dengan katanya :
نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللهُ بِاللإسْلامِ فَمَهْمَا نبَتْغَيِ العِزَّةَ بِغَيْرِمَا أَعَزَّنَا اللهُ أَذَلَّنَا اللهُ
Maksudnya : Kita merupakan suatu bangsa yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Maka selagimana kita mencari kemulian selain menggunakan Islam yang telah memuliakan kita maka selagi itulah kita akan dihina oleh Allah.
Kita juga mesti faham tentang hakikat kemerdekaan agar sambutan hari merdeka bukan untuk berseronok sehingga tersesat dalam budaya penjajah sebaliknya kita hendaklah mengisikan kemerdekaan yang dicapai sebagaimana yang diperjuangkan oleh para ulama’ dan pejuang Islam ketika menentang penjajah iaitu dengan mengembalikan semula sistem Islam. Para pejuang kemerdekaan bukan berjuang untuk melihat generasi selepas merdeka hanya tahu berseronok sebaliknya mereka mahu kita melaksanakan seluruh sistem Islam sebagaimana yang pernah dilaksanakan sebelum kedatangan penjajah. Hayatilah erti kemerdekaan sebagaimana yang pernah diucapkan oleh panglima Islam Rub’i bin ‘Umair ketika menjawab pertanyaan panglima Farsi iaitu Rastam tentang sebab tentera Islam mahu memerdekakan Farsi di mana katanya dengan tegas : Kami diutuskan untuk memerdekakan sesiapa yang mahu di kalangan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada perhambaan diri hanya kepada Allah, memerdekakan manusia daripada sistem ciptaan manusia yang zalim kepada sistem Islam yang adil, memerdekakan manusia daripada pandangan hidup yang sempit setakat nampak kehidupan dunia kepada kehidupan berpandangan jauh sehingga hari akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Jika pejuang Islam yang memperjuangkan kemerdekaan negara masih hidup maka mereka pasti kecewa melihat anak bangsa mereka rosak dan hanyut dengan sistem dan budaya penjajah walau pun saban tahun menyambut hari merdeka. Pejuang kemerdekaan pasti terkilan kerana cita-cita untuk melihat agar seluruh sistem Islam kembali dijulang dikhianati oleh anak bangsa sendiri yang terus berusaha membenamkan seluruh sistem Islam daripada dilaksanakan dengan pelbagai alasan berasaskan nafsu yang bertentangan dengan tuntutan wahyu. Masalah jenayah yang berlaku dalam negara hari ini yang kini semakin tenat terutama rosaknya akhlak di kalangan pelajar sekolah di mana kesemuanya ini bukanlah disebabkan Islam dilaksana tetapi ia disebabkan Islam tidak diletakkan di tempat yang sewajarnya. Perkara ini akan bertambah serius jika semakin banyak usaha dalam mengurangkan pengajian agama di sekolah termasuk yang terbaru menjadikan pendidikan moral diselaraskan mengikut semua agama bukan mengislamkan lagi pendidikan tersebut. Oleh itu sebelum terlambat dan bertambah parah maka kita seru kepada seluruh umat Islam bermula daripada pemimpin sehingga rakyat jelata agar menyambut kemerdekaan negara bersama merdekanya sistem Islam untuk dilaksanakan. Dalam suatu Seminar Antarabangsa Sistem Keadilan Jenayah Islam yang diadakan di Johor baru-baru ini telah membuktikan secara tidak langsung tentang keadilan system Islam yang selama ini cuba disembunyikan. Antaranya pelaksaannya di Nigeria selama 2 tahun walau pun dengan pelbagai kesukaran tetapi telah membuatkan rakyatnya lebih bersopan, menjaga peribadi dan berhati-hati dalam setiap tingkah laku, Begitu juga pelaksanaannya di Pakistan dapat diterima baik oleh orang bukan Islam yang tidak pernah merasakan perundangan Islam menzalimi mereka. Manakala pelaksanaannya di Arab Saudi telah membawa kepada peratus jenayah di negara itu paling rendah di dunia. Dalam tempoh 25 tahun pemerintahan Malik Abdul Aziz hanya 16 orang dipotong tangan dan dari tahun 1967 hingga 1987 iaitu 20 tahun hanya seorang wanita yang telah kahwin dihukum rejam kerana berzina. Jika dilihat daripada hasil kajian tersebut maka jumlahnya begitu jauh lebih kecil berbanding jenayah yang berlaku dalam negara kita yang terus mengamalkan sistem penjajah. Tuduhan liar bahawa hukum hudud Kelantan dan Terengganu yang digubal menghalalkan liwat terhadap isteri adalah mengelirukan kerana ia sememangnya tidak dikenakan hudud sebaliknya dikenakan hukum ta’azir. Sedangkan jika kita kaji beberapa perundangan Mahkamah Syariah negeri sendiri seperti Wilayah Persekutuan hanya mentakrif salah liwat antara lelaki dengan lelaki sahaja sedangkan lelaki meliwat perempuan apatah lagi isteri tidak dikira salah. Oleh itu dalamilah ilmu agama sebelum bercakap mengenai keadilan. KeranaMu Allah kami akan merdekakan seluruh sistem Islam untuk dilaksanakan. KeranaMu Allah kami akan majukan negara berlandaskan Islam.
Firman Allah dalam ayat 30 surah as-Syura :
وما أصــبكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم ويعفوا عن كثير
Maksudnya : Dan apa sahaja musibah yang menimpa maka ia disebabkan perbuatan tangan kamu sendiri dan Allah memaafkan sebahagian besar dari kesalahan kamu
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: