أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Sabtu, 6 Ogos 2011

65. RAMADHAN PENYUBUR JIWA MULIA

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
فرمان الله تعالى دالم أية 66 سورة الأنفال :
الئن خفف الله عنكم وعلم أن فيكم ضعفا فإن يكن منكم مائة صابرة يغلبوا مائتين وإن يكن منكم ألف يغلبوا ألفين بإذن الله والله مع الصــبرين
Maksudnya : Sekarang Allah telah meringankan kepadamu(wahai Muhammad) dan Dia telah mengetahui bahawa padamu ada kelemahan. Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh dan jika ada di antaramu seribu orang yang sabar nescaya mereka dapat mengalahkan dua ribu orang musuh dengan izin Allah. Dan Allah bersama dengan orang-orang yang sabar
Kini lebih seminggu kita umat Islam sama-sama menyambut ketibaan Ramadhan al-Mubarak dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan. Umat Islam seluruh dunia tanpa mengira batas sempadan bangsa dan negara, bahasa dan budaya sama-sama menyambut kehadiran bulan yang penuh dengan pengampunan dosa bersama penggandaan pahala, terbuka luasnya pintu syurga bersama tertutupnya pintu neraka disamping terantainya syaitan penggoda yang selama ini sentiasa menjadi teman karib kepada nafsu dalam diri kita. Semoga kehadiran Ramadhan dapat menyemarakkan semangat jihad yang baru dalam diri kita dalam melawan godaan nafsu terutama ketika teman rapatnya sedang dirantai daripada kalangan iblis dan syaitan. Amat malang jika pada bulan Ramadhan ketika hanya bertarung dengan nafsu maka kita bukan sahaja tewas dengan godaannya malah lebih teruk daripada sebelum datangnya Ramadhan. Bulan Ramadhan sepatutnya dijadikan bulan untuk melemahkan nafsu sebaliknya dijadikan bulan pesta makanan dan bulan untuk membazir kerana terpedaya dengan nafsu. Ketika nafsu dikekang sehingga hampir tumpas sepanjang siang hari ketika menunaikan ibadat puasa sebaliknya pada malam hari diri kita pula tewas kerana terlalu menurut kehendak nafsu ketika berbuka. Akhirnya salah satu hikmat kewajipan puasa iaitu melatih diri dalam melawan godaan nafsu tidak berjaya dan puasa kita tidak memberi kesan yang mendalam ke arah melahirkan diri sebagai insan yang bertaqwa. Kita juga gagal mencapai apa disabdakan oleh Rasulullah s.a.w : صوموا تصحوا yang bererti : Berpuasalah nescaya kamu sihat.
Sepatutnya dengan mengerjakan ibadat puasa dapat memberi ruang kepada tempat penghadam di dalam perut kita untuk berehat sehingga kesihatan kita dapat dijaga sebaliknya kita hanya memberi masa kepadanya pada siang hari sahaja untuk berehat sedangkan pada malam hari kita menggunakannya untuk menghadam makanan yang kita makan kadang-kadang lebih teruk daripada bulan selain Ramadhan. Makanan halal ibarat ubat tetapi jika makan terlalu banyak maka ia bukan boleh memberi banyak manfaat sebaliknya akan membawa mudharat.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
فرمان الله تعالى دالم أية 183 سورة البقرة :
يأيها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa
Antara matlamat Allah mewajibkan kita untuk menunaikan ibadat puasa sebulan Ramadhan ialah untuk melahirkan diri sebagai manusia yang bertaqwa dengan hatinya sentiasa ingat dan takut kepada Allah, mulutnya sentiasa mengucap syukur dan berkata perkataan yang disukai oleh Allah dan seluruh anggota badannya sentiasa melakukan apa yang disuruh oleh Allah serta menjauhi segala tegahanNya sepanjang masa. Apabila telah timbulnya sifat taqwa dalam diri seseorang maka tiada lagi erti perkataan takut kepada sebarang serangan samada godaan nafsu, syaitan, kemewahan dunia, anak-pinak malah kuffar yang memeranginya. Apa yang menjadi masalah kepada umat Islam pada hari ini ialah jumlah mereka terlalu ramai tetapi kebanyakannya mereka terikut dengan sikap pemimpin mereka iaitu dijangkiti penyakit takut mati dan cinta kepada kemewahan dunia sehingga tarbiah Ramadhan dalam melahirkan sikap jatidiri dalam diri umat Islam gagal dimanfaatkan sebaik mungkin. Ini ditambah dengan serangan pemikiran oleh musuh Islam sehingga ibadat puasa dianggap oleh umat Islam sebagai ibadat untuk mendapatkan ganjaran akhirat semata-mata bukannya bertujuan membaiki diri umat Islam ke arah mewujudkan masyarakat yang tunduk kepada semua sistem Islam dalam kehidupan seharian mereka. Apabila puasa dianggap untuk balasan akhirat semata-mata tanpa merasai bahawa ia juga untuk mendidik jiwa ke arah melahirkan masyarakat yang takut untuk berbuat dosa dalam urusan dunia maka ibadat puasa hanya dijaga agar tidak kurang pahalanya sedangkan dalam masa yang sama tidak timbul perasaan berdosa apabila mereka menguruskan urusan dunia berdasarkan sistem ciptaan manusia sehingga ramai yang berpuasa tetapi terlibat dengan rasuah dan riba, ramai yang berpuasa tetapi melarang umat Islam daripada menyampaikan tazkirah di masjid dan surau sedangkan dalam masa yang sama mereka membiarkan hiburan yang melalaikan terus berkumadang mencemari kesucian Ramadhan. Akhirnya timbul sebuah masyarakat umat Islam yang mencampur-adukkan antara ibadat dan maksiat yang menyebabkan sikap taqwa dalam diri semakin lama semakin tipis dan mereka menjadi sebuah masyarakat Islam yang mahu kepada pahala untuk masuk syurga Allah sahaja tetapi dalam masa yang sama terus berseronok dengan dosa kerana lupa bahawa adanya neraka serta lupa bahawa setiap amalan mereka di dunia akan dihisab oleh Allah di akhirat sana bukannya dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa kiraan.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Tanpa sifat taqwa juga maka umat Islam mudah kalah kepada musuh kerana sesiapa takut kepada Allah maka manusia akan hormat kepadanya sebaliknya jika dia tidak takut kepada Allah maka dia pasti akan takut kepada manusia. Bergerak atas asas taqwalah maka Daulah Islamiah dapat ditegak di Madinah oleh Rasulullah s.a.w seterusnya daulah ini bertambah luas sehingga runtuhnya Empayar Rom Kristian dan Parsi Majusi ditambah pula dengan tunduknya Empayar Hindu India dan Budha China serta berjayanya pejuang Islam yang benar-benar taqwa dan yakin kepada janji kemenangan daripada Allah untuk menguasai bumi Eropah dengan kejayaan panglima Toriq bin Ziyad menawan Andalus atau Sepanyol. Tetapi kini umat Islam walau pun dengan jumlah yang ramai tetapi dijadikan bahan ejekan dan mainan kuffar durjana kerana umat Islam tiada kuasa tempat mengadu setelah hilangnya sistem khilafah apabila jatuhnya Khilafah Uthmaniah Turki 1924 akibat semangat perkauman hasil tipu daya kuffar yang menyebabkan umat Islam sendiri terutama bangsa arab bangun meruntuhkan sistem khilafah atas alasan bahawa Khilafah Uthmaniah untuk orang Turki bukan orang arab. Penderitaan umat Islam ditambah lagi dengan jatuhnya bumi Palestin pada 1948 ke tangan yahudi.
Umat Islam hari ini kalah sebelum berperang kerana terlalu hebatnya serangan pemikiran yang dilancar oleh kuffar yang menyebabkan semangat jihad dalam diri semakin lemah. Kebanyakan umat Islam bukan sahaja terikut dengan kemajuan kebendaan yang dibawa oleh barat tetapi turut berpengaruh dengan cara hidup yang tidak berpedoman. Ini mengingatkan kita kepada kata-kata seorang orientalis barat Honoto iaitu penasihat kepada Kementerian Tanah Jajahan Perancis di akhir kurun ke-19 di mana katanya:
“ Dahulu tujuan peperangan salib adalah untuk merebut kembali Baitul Maqdis daripada tangan umat Islam yang tidak bertamadun. Namun apa yang mengejutkan Kristian barat ialah kemampuan Islam terus kekal sepanjang kehidupan manusia. Oleh itu sudah tiba masanya untuk kita berusaha memindahkan umat Islam kepada tamadun barat bertujuan untuk menghapuskan bahaya yang tersembunyi dalam perpaduan Islam. Cara terbaik bagi meneguhkan kedudukan wilayah jajahan orang Eropah di dunia Islam ialah melahirkan keraguan terhadap agama Islam dan meresapkannya ke dalam jiwa umat Islam dengan menonjolkan isu perbezaan di samping menerangkan prinsip Islam dengan syarahan yang meragukan dan menyimpang daripada nilai-nilainya yang sebenar. Seterusnya kita memuliakan nilai-nilai barat, sistem politik dan moral individu yang terdapat pada bangsa Eropah”.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Tarbiah Ramadhan juga menambahkan lagi semangat jihad dan kesabaran di dalam menghadapi sebarang cabaran samada dalaman mahu pun luaran. Kini pertembungan sengit antara Islam dan kuffar tidak dapat dinafikan lagi. Seluruh umat Islam dianggap pengganas yang mahu dihapuskan oleh pengganas kuffar dari muka bumi ini. Kuffar semain menekan Iraq disamping memberi bayangan untuk lebih mengganas di Asia Tenggara. Selain cadangan untuk membina pusat anti-pengganas untuk memerangi pengganas mengikut takrif pengganas Amerika di negara ini maka kuffar juga memberi amaran untuk menggunakan pesawat perang tanpa pemandu untuk memerangi umat Islam di sebelah sini. Dunia menjadi kacau bilau apabila pengganas ingin memerangi keganasan. Ketika tekanan pengganas kuffar begitu kuat maka Allah memberikan kemenangan melalui pilihanraya kepada gerakan pro Islam di Pakistan dan Turki. Semoga kemenangan ini menjadi suatu isyarat kepada dunia bahawa seluruh umat Islam kini sedang kembali bersatu di bawah panji Islam dalam melawan keganasan kuffar yang tidak berperi kemanusiaan. Kuffar terus menjadi raja jika umat Islam terus berpecah dan meninggalkan ajaran Islam yang menyeluruh sebaliknya jika kita kembali bersatu dalam melaksanakan seluruh system Islam maka kemuliaan dan kegemilangan umat Islam sebagaimana yang dikecapi sebelum ini akan kembali semula.
Renungilah Firman Allah dalam ayat 60 surah al-Anfal :
وأعدوا لهم ما استطعتم من قوة ومن رباط الخيل ترهبون به عدو الله وعدوكم وءاخرين من دونهم لاتعلمونهم الله يعلمهم وما تنفقوا من شيء فى سبيل الله يوف إليكم وأنتم لاتظلمون
Maksudnya : Dan siapkanlah untuk mernghadapi musuh dengan apa sahaja kekuatan yang kamu mampu dan dari kuda-kuda yang terikat untuk berperang kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu serta orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya sedangkan Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan secukupnya kepadamu dan kamu tidak sekali-kali akan dizalimi
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: