أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Rabu, 3 Ogos 2011

58. RAMADHAN DIHAYATI TAQWA DIMILIKI

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Renungilah firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :
يأيهاالذين امنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa
Sempena hari Jumaat yang mulia di bulan Ramadhan yang diberkati dan dirahmati Allah ini marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah yang masih memberi peluang kepada kita untuk sama-sama merebut tawaran dan ganjaran yang begitu besar yang dijanjikan pada bulan ini. Ramadhan yang dijanjikan oleh Allah dengan gandaan pahala padanya serta pengampunan dosa bagi hambaNya yang memohon keampunan daripadaNya mestilah digunakan sebaik mungkin oleh kita dalam menambahkan amalan soleh serta meningkatkan kualiti ibadat tersebut agar kita sama-sama dapat meraih segala tawaran dan janji Allah yang begitu istimewa ini yang tidak ada pada bulan-bulan selain Ramadhan. Antara hikmat ibadat puasa untuk keselamatan dunia ialah dapat menjaga kesihatan kita apabila dengan mengerjakan ibadat puasa dapat memberi ruang kepada tempat penghadam di dalam perut kita untuk berehat sehingga kesihatan kita dapat dijaga. Tetapi apa yang malangnya apabila ramai di kalangan kita menjadikan Ramadhan bukan sebagai bulan memperbanyakkan ibadat sebaliknya bulan pesta makanan lazat sehingga kita hanya memberi masa kepada penghadam pada siang hari sahaja untuk berehat sedangkan pada malam hari kita menggunakannya untuk menghadam makanan yang kita makan kadang-kadang lebih banyak daripada bulan selain Ramadhan. Ingatlah kita bahawa makanan halal ibarat ubat tetapi jika makan terlalu banyak maka ia bukan boleh memberi banyak manfaat sebaliknya akan membawa mudharat. Sepatutnya pada bulan Ramadhan kita dapat menjimatkan perbelanjaan harian tetapi akibat mengikut kehendak nafsu maka ia semakin bertambah. Allah telah memberi peluang kepada kita untuk menjaga kesihatan dan menjimatkan belanja dengan anugerah Ramadhan tetapi kita jarang merebutnya. Jika hikmat puasa untuk kebaikan dunia kita pun tidak dapat direbut maka adakah kita yakin bahawa hikmat puasa berbentuk akhirat dapat diraih

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Sempena kedatangan Ramadhan yang dijanjikan dengan pelbagai anugerah berharga daripada Allah ini maka marilah kita sama-sama menghidupkannya dengan ibadat seperti membaca al-Quran, berzikir, solat terawih, menjamu orang berbuka puasa, sedekah, qiamullail dan sebagainya. Gunakanlah peluang dengan kehadiran Ramadhan sebaiknya dalam melahirkan diri sebagai umat yang bertaqwa kepada Allah sepanjang masa. Jangan biarkan diri kita terus tertewas kepada nafsu ketika teman rapatnya iaitu syaitan dirantai sebulan Ramadhan ini. Adalah malang apabila ada umat Islam yang tidak mahu berusaha untuk beramal dan bersifat sebagaimana ahli syurga ketika Allah membuka seluas-luasnya pintu Syurga dan bertambah malang apabila ada juga di kalangan umat Islam sendiri yang terus beramal dan bersifat sebagaimana ahli neraka pada bulan yang ditutup rapat pintu neraka. Hayatilah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Abu Hurairah :
قال النبي  : إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِيْنُ - رواه مسلم
Maksudnya : Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka segala pintu syurga, ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan
Tanyalah diri kita samada ibadat yang dikerjakan selama ini termasuk ibadat puasa adakah sudah mampu menewaskan nafsu dalam diri serta melahirkan diri kita sebagai umat yang begitu inginkan Syurga sehingga kita berlumba untuk beramal dan bersifat sebagaimana yang disuruh oleh Allah dan dalam masa yang sama kita sentiasa berusaha bersungguh-sungguh agar menjauhi amalan dan sifat ahli neraka dengan menghindari segala perbuatan yang dilarang oleh Allah. Rebutlah peluang yang ditawarkan oleh Allah bagi orang yang berpuasa penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah sebagaimana yang tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Sahli bin Sa’ad :
قال الرسول  : ِإنَّ فِي الَجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُوْنَ يَوْمَ القِيَامَةِ لا يَدْخُلُ مَعَهُمْ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ أَيْنَ الصَّائِمُوْنَ؟ فَيَدْخُلُوْنَ مِنْهُ : فَإِذَا دَخَلَ آخِرُهُمْ أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ - رواه ومسلم
Maksudnya : Sesungguhnya pada syurga itu ada satu pintu yang dipanggil Rayyan di mana akan masuk melaluinya orang-orang yang berpuasa pada hari qiamat. Tidak akan masuk bersama mereka seorang pun selain mereka yang berpuasa. Akan diseru dimanakah orang-orang yang berpuasa?. Maka mereka akan masuk syurga melaluinya. Maka apabila telah masuk orang terakhir daripada orang berpuasa nescaya ditutup pintu itu dan tidak boleh lagi memasukinya walau pun seorang.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Islam merupakan agama fitrah yang sesuai dengan keadaan diri umat manusia. Kewajipan puasa bukanlah suatu penyeksaan dan penderaan kepada umat manusia sebaliknya di sana ada pelbagai kelebihan dan kebaikan yang terbit hasil daripada menunaikan ibadat puasa. Anugerah Ramadhan dapat menyaksikan bagaimana masjid dan surau yang sebelum ini agak kosong kini mulai ramai ahli jemaahnya terutama pada waktu malam. Tanpa anugerah Ramadhan maka agak susah untuk menarik umat Islam sendiri untuk berjinak dengan masjid dan surau walau pun masuknya percuma dan pintunya terbuka sepanjang masa. Oleh itu kita mesti gunakan peluang dengan kehadiran ahli jemaah yang ramai pada bulan Ramadhan ini untuk mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan disamping menanam kukuh kesedaran serta membangkitkan semangat juang dalam melawan musuh batin yakni nafsu dan musuh zahir yang terdiri daripada musuh Islam yang tidak pernah jemu berusaha memerangi Islam. Ramadhan yang pernah menyaksikan kemenangan besar tentera Islam dalam peperangan Badar al-Kubra dan pembukaan Kota Mekah menunjukkan kepada kita bagaimana lemahnya nafsu membolehkan semangat juang semakin kuat. Puasa bukan penghalang yang memadamkan semangat juang sebaliknya ia sebagai suatu tarbiah yang berharga dalam melahirkan umat yang hanya takut kepada Allah sehingga tidak akan tunduk kepada musuh walau apa pun yang berlaku.
Jika kita boleh mengerjakan ibadat puasa kerana adanya rasa takut kepada Allah dalam diri maka kita juga wajib yakin bahawa kemenangan Islam pasti datang dengan syarat kita memenuhi tuntutan yang telah digariskan oleh Allah termasuk sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah sepanjang masa dengan ibadat serta menjauhi segala dosa yang boleh menyebabkan kita dihinakan oleh Allah di dunia serta disiksa pula dengan api neraka di akhirat sana. Ketika kita membaca dan meneliti ayat-ayat al-Quran maka di sana kita dapati pelbagai cara Allah mendatangkan kemenangan kepada umat Islam yang membantu agamaNya dan pelbagai akibat buruk pula yang menghancurkan umat yang melawan agama Allah walau pun mereka mendabik dada dengan kekuasaan dan kekayaan serta kehebatan yang ada pada diri mereka. Kita pada hari ini dapat menyaksikan bagaimana betapa hebatnya Amerika Syarikat sehingga dapat menjajah Afghanistan serta menghancurkan Iraq dalam masa yang singkat tetapi tidak mampu menghadapi bala daripada Allah berbentuk ribut Katrina dan Rita yang menghancurkan beberapa buah negeri dan bandarnya. Manusia hanya mampu mengesan kedatangan ribut yang membolehkan mengurangkan angka kematian tetapi tidak mampu menangkis dan menghalang ribut tersebut.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Sempena bulan Ramadhan ini maka kita jangan lupa kepada saudara kita yang sedang ditindas di Selatan Thailand disamping tertekan di Indonesia terutama selepas pengeboman di Bali, umat Islam di Iraq, Afghanistan, Palestin dan seluruh dunia. Sekurang-kurangnya kita tadah tangan untuk sama-sama berdoa agar mereka diberikan kekuatan dan kemenangan oleh Allah serta dapat sama-sama menyambut ketibaan Ramadhan dengan penuh kegembiraan.
Renungilah firman Allah dalam ayat 185 surah al-Baqarah :
شهر رمضان الذى أنزل فيه القرءان هدى للناس وبينـت من الهدى والفرقان فمن شهد منكم الشهر فليصمه ومن كان مريضا أو على سفر فعدة من أيام أخر يريد الله بكم اليسر ولايريدبكم العسر ولتكملوا العدة ولتكبروا الله على ما هدئكم ولعلكم تشكرون
Maksudnya: Bulan Ramadhan yang diturunkan di dalamnya al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza antara hak dan batil. Oleh itu sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan atau mengetahuinya maka hendaklah ia berpuasa padanya. Sesiapa yang sakit atau bermusafir maka wajib dia ganti sebanyak bilangan hari yang ditinggalkan pada hari-hari yang lain selepas Ramadhan. Allah S.W.T mengkehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mahu kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan agar kamu membesarkan Allah di atas petunjukNya kepada kamu. Dan supaya kamu bersyukur
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: