أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Selasa, 9 Ogos 2011

37. AL-QURAN DIJULANG UMAT GEMILANG

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
فرمان الله تعالى دالم أية 89 سورة النحل :
ونزلنا عليك الكتب تبيـنا لكل شيء وهدى ورحمة وبشرى للمسلمين
Maksudnya : Dan Kami telah turunkan kepada engkau (wahai Muhammad) al-Quran sebagai penjelas setiap sesuatu sebagai petunjuk, rahmat dan berita gembira bagi orang-orang beriman.
Al-Quran merupakan mukjizat yang paling besar yang dianugerahkan oleh Allah kepada nabi Muhammad  di mana ia terus dapat dilihat dan diguna oleh umat akhir zaman. Kemenangan dan kemuliaan umat Islam sentiasa berkait rapat dengan al-Quran di mana semenjak diturunkan kepada nabi Muhammad  sehinggalah hari ini maka kita dapat lihat apabila al-Quran dilaksanakan sepenuhnya maka datangnya pertolongan dan kemuliaan daripada Allah kepada umat Islam manakala apabila al-Quran diketepikan maka turunnya kehancuran dan penghinaan terhadap umat Islam. Ketika al-Quran dijadikan tunjang dan rujukan utama dalam menggerakkan urusan agama dan juga urusan dunia yang melibatkan pemerintahan, ekonomi, sosial dan sebagainya maka kegemilangan umat Islam dapat dilihat begitu terserlah sedangkan apabila al-Quran tidak lagi menjadi ikutan dan rujukan utama dalam kehidupan seharian maka umat Islam berada ditahap yang begitu lemah dan terjajah dalam tanahair sendiri. Keyakinan yang tinggi bersama dengan pelaksanaan yang bersungguh-sungguh terhadap apa yang didatangkan oleh al-Quran telah mengubah keadaan dunia jahiliah yang kelam dan penuh kezaliman kepada dunia Islam yang terang bercahaya diliputi dengan keadilan. Sedangkan apabila umat Islam sendiri memilih jalan jahiliah dengan meninggalkan al-Quran maka keadaan mereka menjadi hamba kepada nafsu sehingga hilang arah tujuan hidup. Betapa berjaya dan beruntungnya umat yang dibekalkan ubat mujarrab iaitu al-Quran dalam menyembuh segala masalah yang dihadapi lalu menggunanya tanpa keraguan sehingga penyakit dapat diubat dan racun berbisa dapat disekat. Betapa ruginya umat yang hanya tahu tentang betapa mujarrabnya al-Quran dalam mencegah dan merawat segala masalah yang berlaku tetapi mereka bukan sahaja tidak yakin malah secara terang-terangan menolak al-Quran daripada digunakan sehingga mereka bukan sahaja tidak mampu menyembuh penyakit sedia ada malah menambah racun yang membinasa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Kita pada hari ini diuji dengan pelbagai ujian berbentuk musibah dan juga penyakit-penyakit yang pelik akibat daripada perbuatan manusia itu sendiri yang cuba melawan kehebatan dan kebijaksanaan Allah. Kita umat Islam yang telah dibekalkan ubat mujarrab iaitu al-Quran sepatutnya menggunanya dengan penuh yakin dan bersungguh bukannya meragui serta menolaknya akibat tidak mampu melawan kehendak nafsu. Betapa ruginya umat Islam apabila kita yang telah dibekalkan dengan ubat mujarrab tetapi tidak mahu menggunakan sebaliknya mencari racun berbisa dengan menggunakan system ciptaan manusia yang bukan sahaja tidak mampu menyembuh penyakit malah membinasakan kita. Ingatlah kita tentang kehebatan al-Quran apabila diguna dan bahayanya kita apabila menjauhi al-Quran sebagaimana yang pernah disebut oleh Rasulullah  melalui sebuah hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan Darimi:
عن علي كرم الله وجهه قال : أَمَا إِنِّي سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ  يَقُوْلُ : أَلا إِنَّهَا سَتَكُوْنُ فِتْنَةٌ. قُلْتُ : مَا المَخْرَجُ مِنْهَا يَا رَسُوْلَ اللهِ ؟. قَالَ : كِتَابُ اللهِ فِيْهِ نَبَأُ مَا قَبْلَكُمْ وَخَبَرُ مَا بَعْدَكُمْ وَحُكْمُ مَا بَيْنَكُمْ هُوَ الفَصْلُ لَيْسَ بِالهَزْلِ مَنْ تَرَكَهُ مِنْ جَبَّاٍر قَصَمَهُ اللهُ وَمَنِ ابتْغَىَ الهُدَى فِى غَيْرِهِ أَضَلَّهُ اللهُ وَهُوَ حَبْلُ اللهِ المَتِيْنُ وَهُوَ الذِّكْرُ الحَكِيْمُ وَهُوَ الصِّرَاطُ المُسْتَقِيْمُ هُوَ الَّذِى لاتَزِيْغُ بِهِ الأهْوَاءُ وَلاتَلْتَبِسُ بِهِ الألْسِنَةُ وَلا يَشْبَعُ مِنْهُ العُلَمَاءُ وَلا يَخْلَقُ عَنْ كَثْرَةِ الرَّدِّ وَلا تَنْقَضِى عَجَائِبُهُ هُوَ الَّذِى لمَ ْتنَتْهَ ِالجِنُّ إَذْ سَمِعَتْهُ حَتَّى قَالُوْا : إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا يَهْدِى اِلىَ الرُّشْدِ فَآمَنَّا بِهِ مَنْ قَالَ بِهِ صَدَقَ وَ مَنْ عَمِلَ بِهِ أُجِرَ وَ مَنْ حَكَمَ بِهِ عَدَلَ وَ مَنْ دَعَا إِلَيْهِ هُدِىَ إلى صِرَاطٍ مُسْتَقِيْمٍ
Maksudnya : Daripada Sayyidina Ali Karramallahu wajhah telah berkata : Ingatlah bahawa aku telah mendengar Rasulullah bersabda : “Awaslah! Sesungguhnya akan berlaku kekacauan dan bala bencana yang besar”. Aku bertanya : “ Apakah caranya untuk menyelamatlkan diri daripada bencana itu wahai Rasulullah ?”. Baginda menjawab : “ (Caranya ialah berpegang teguh dengan ajaran) Kitab Allah di mana ia mengandungi kisah-kisah tentang umat yang terdahulu daripada kamu dan berita mengenai perkara yang akan datang sesudah kamu serta hukum-hakam mengenai apa yang berlaku di antara kamu. Ialah (al-Quran) yang menjadi pemutus (antara yang hak dan batil) bukannya keterangan yang olok-olok. Sesiapa jua daripada golongan sombong dan angkuh yang meninggalkan al-Quran akan dibinasakan dan sesiapa yang mencari petunjuk yang lain daripada al-Quran akan disesatkan oleh Allah. Al-Quran merupakan tali Allah yang teguh kukuh dan ialah juga jalan yang lurus. Ialah Kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya maka hawa nafsu seseorang itu tidak akan menyeleweng atau terpesong. Ialah Kitab yang kalimah-kalimahnya tidak akan bercampur aduk atau kesamaran dengan kata-kata makhluk. Dan para ulama’ pula tidak merasa jemu daripada mengkaji isi kandungannya. Keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan susut dan hilang sekalipun ia dibaca berulangkali. Kandungannya yang menakjubkan tidak berkesudahan. Ialah Kitab yang menjadikan sekumpulan jin semasa mendengarnya tidak tertahan hati menerimanya sehingga mereka memujinya dengan berkata : “ Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan yang memimpin ke jalan yang benar lalu kami beriman kepadanya”. Demikian juga sesiapa yang memperkatakan sesuatu berdasarkan kitab itu (al-Quran) maka benarlah perkataannya. Sesiapa yang beramal dengan ajarannya maka dianugerahkan pahala. Sesiapa yang membuat keputusan berdasarkan hukum-hakamnya maka adillah keputusannya. Sesiapa yang berdakwah supaya orang ramai menuruti ajarannya sudah tentu dia dan mereka akan beroleh hidayah petunjuk ke jalan yang lurus.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Firman Allah dalam ayat 186 surah Ali ‘Imran :
لتبلون فى أمولكم وأنفسكم ولتسمعن من الذين أوتوا الكتب من قبلكم ومن الذين أشركوا أذى كثيرا وإن تصبروا وتتقوا فإن ذلك من عزم الأمور
Maksudnya : Kamu benar-benar akan diuji pada hartamu dan dirimu. Dan juga kamu benar-benar akan mendengar daripada mereka yang diberikan Kitab sebelum kamu dan daripada mereka yang menyekutukan Allah, gangguan yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.
Kita dapat lihat pada hari ini bagaimana musuh Islam sentiada gerun dan benci kepada al-Quran sehingga mereka memusuhinya. Jika sebelum ini mereka bertindak menjauhkan umat Islam daripada al-Quran maka pada hari ini mereka bertindak biadap menghina al-Quran di mana antara kes terbaru di Amerika Syarikat ialah al-Quran dibakar dan dilumurkan najis. Kita peringatkan kepada mereka agar jangan bermain api dengan umat Islam. Umat yang bertaqwa kepada Allah S.W.T tdak pernah takut kepada mana-mana kuasa besar di mana betapa banyak banyak kuasa besar yang runtuh dan jatuh ke tangan umat Islam yang dipandang rendah dan lemah. Ingatlah bahawa kebangkitan umat Islam semakin hampir apabila tekanan terhadap kita semakin kuat. Islam semakin ditekan semakin melawan, semakin dihimpit semakin bangkit, semakin ditindas semakin bertunas.
Kita begitu kecewa apabila system dan cara kuffar yang belum tentu berjaya malah banyak yang gagal terus diikut oleh umat Islam sehingga sanggup mengenepikan al-Quran. Antara terbaru ialah pembahagian kondom dan jarum percuma bagi mengangani penularan virus HIV sedangkan perkara ini masih hangat dibincangkan di Amerika Syarikat itu sendiri. Ia boleh menggalakkan penagihan dadah dan seks bebas sedangkan usaha ke arah menutup pintu-pintu tempat merebaknya AIDS tidak dititiberatkan. Inilah bahayanya apabila merawat didahulukan daripada mencegah. Wang rakyat akan dihabiskan lebih daripada 2oo juta setahun untuk menangani masalah HIV termasuk 1 juta bagi menyediakan jarum dan kondom percuma ini disamping pembaziran lain seperti pembiayaian terhadap program hiburan yang merosakkan rakyat sedangkan keperluan rakyat seperti subsidi diesel dicadang pula untuk ditarik balik. Akhirnya golongan rosak akhlak dipuja dan dijaga sedangkan rakyat yang tidak berdosa menanggung bebanan yang bertambah sepanjang masa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Menyedari tentang betapa pentingnya hubungan yang rapat antara kita dan al-Quran dalam mencapai kemuliaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat maka kita wajib menunaikan kewajipan kita terhadap al-Quran. Pertamanya kita mesti membaca al-Quran sehingga pandai. Keduanya kita mesti membaca al-Quran sehingga memahami isi kandungannya. Ketiganya kita mesti membaca al-Quran sehingga mampu menghafaz keseluruhan atau setakat yang termampu oleh kita. Keempatnya kita mesti membaca al-Quran sehingga dapat mengamalnya dalam kehidupan seharian. Kelimanya kita mesti membaca al-Quran sehingga ia mampu dimasyarakatkan. Keenamnya kita mesti membaca al-Quran sehingga ia mampu didaulatkan. Apabila umat Islam mampu melaksanakan segala tanggungjawab terhadap al-Quran maka kemenangan yang dijanjikan oleh Allah semakin dekat. Firman Allah dalam ayat 71 surah al-Mukminun:
ولو اتبع الحق أهواءهم لفسدت السموت والأرض ومن فيهن بل أتينـهم بذكرهم فهم عن ذكرهم معرضون
Maksudnya : Dan Sekiranya kebenaran itu tunduk menurut kehendak hawa nafsu mereka nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta apa yang ada padanya. Bahkan Kami telah berikan kepada mereka itu al-Quran untuk kehormatan sebutan mereka namun mereka tetap berpaling daripada kehormatan itu.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: