أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 2 Mei 2025

Khutbah Jumaat : Pekerjaan Halal DiJaga, Tentera Allah Bantu Palestin Merdeka

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ..... فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 88 surah al-Maidah: وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنتُم بِهِ مُؤْمِنُونَ ‎﴿٨٨﴾‏ Maksudnya : Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman. Setiap 1 Mei kita menyambut Hari Pekerja. Islam menyuruh umat Islam supaya bekerja dan mencari rezeki halal bagi meneruskan kelangsungan hidup. Setiap individu yang mempunyai kemampuan dan keupayaan dari segi fizikal dan mental adalah dituntut agar bekerja. Islam amat memuji pekerja yang mahir lagi profesional sebaliknya menegah manusia daripada sifat malas dan meminta-minta. Bekerja boleh menjadi ibadah yang terbaik kerana ia juga merupakan sunnah Nabi. Islam menyukai orang yang kepenatan di dalam mencari rezeki yang halal kerana ia juga dikira sebagai ibadah sebaliknya mengecam mereka yang menganggur dan menjadi beban kepada masyarakat. قَالَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الْحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ فَيَبِيعَهَا فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ - رواه البخاري Maksudnya : “Seseorang itu mengambil tali lalu mambawa pulang seberkas kayu api di atas bahunya lalu dia menjualnya dengan itu Allah s.w.t. menjaga air mukanya, maka itu adalah lebih baik kepadanya daripada dia meminta daripada manusia sama ada mereka memberikan kepadanya atau tidak”. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Walaupun Islam menyarankan agar bertawakal kepada Allah SWT di dalam setiap urusan kehidupan, namun ia perlu dilaksanakan setelah berusaha melakukan pekerjaan yang boleh mendatangkan hasil. Rezeki yang ditentukan oleh Allah di dalam kehidupan seseorang amat berkait rapat dengan kerja dan usaha yang berterusan seperti kata pepatah 'Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.' Islam memuji dan memberi galakan kepada sesiapa yang Ikhlas mencari rezeki halal untuk menampung kehidupan keluarga ‎ قَالَ النَّبِيِّ : إِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا أُجِرْتَ عَلَيْهَا حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِي فَمِ امْرَأَتِكَ - رواه البخاري Maksudnya : Sesungguhnya kamu tidaklah membelanjakan nafkah yang kamu harapkan redha Allah dengannya (nafkah tersebut) melainkan kamu akan diberikan ganjaran ke atasnya, sekalipun jua nafkah yang kamu jadikannya di dalam mulut isteri kamu. Islam turut menekankan agar kita bekerja dengan bersungguh dan tekun قَالَ النَّبِيِّ : إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ - رواه الطبراني والبيهقي Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.” Al-Munawi berkata makna Itqan apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang, yakni dia menyempurnakannya. Pepatah menyebut: Orang yang hebat hanya memiliki sedikit masa namun banyak hasil dan kerjanya. Sedangkan orang yang malang memiliki banyak masa, namun hanya sedikit sahaja yang dapat dilakukannya Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 81surah Toha : كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَلَا تَطْغَوْا فِيهِ فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِي ۖ وَمَن يَحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِي فَقَدْ هَوَىٰ﴿٨١﴾ Maksudnya : Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia. Islam memerintah umatnya agar menjauhi sumber dan makanan yang haram. Antara pekerjaan yang jelas diharamkan oleh Allah ialah perkara yang berkaitan arak Hadis daripada Anas bin Malik sabda Nabi S.A.W: قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً عَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَآكِلَ ثَمَنِهَا وَالْمُشْتَرِيَ لَهَا وَالْمُشْتَرَاةَ لَهُ ‏ - رواه الترمذي Maksudnya: Rasulullah saw melaknat sepuluh orang yang berkaitan dengan arak. Yang memerah,yang meminta perah, yang minum, yang membawa, yang dibawa kepadanya, yang menuangkan arak, yang menjual, yang memakan hasil jualan arak, yang membeli dan yang dijual untuknya. Allah juga memberi ancaman yang keras daripada terlibat dengan riba Firman Allah dalam ayat 278-279 surah al-Baqarah : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ‎﴿٢٧٨﴾‏ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ ‎﴿٢٧٩﴾‏ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa. Begitu juga haramnya Rasuah dan pekerjaan yang menggadai maruah seperti bekerja di tempat-tempat yang boleh menggadaikan maruah diri sebagai seorang Muslim atas nama teman sosial di kelab malam, penari, penyanyi dan pemain alat muzik di kelab malam terdapat hidangan arak dan pergaulan bebas lelaki perempuan, pengawal keselamatan untuk tempat maksiat, tukang urut untuk berlainan , menjadi model pakaian atau iklan yang mendedahkan aurat dan menjadi tontonan orang ramai dan sebagainya Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 7 Surah al-Fath وَلِلَّهِ جُنُودُ ٱلسَّمَـٰوَ ٰتِٱلۡأَرۡضِۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِیزًا حَكِیمًا Maksudnya : "Dan Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menyeksa orang-orang yang derhaka); dan Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" Allah swt memiliki bala tentera yang sangat banyak di langit dan di bumi, yang dengan mereka Allah swt menolong hamba-hambaNya dan juga menyeksa orang-orang yang derhaka. Menurut Imam ar-Razi rahimahullah: "Tentera Allah boleh menjadi “tentera rahmat” dan “tentera azab” kepada manusia. Ketika datang membantu orang beriman ia menjadi pengawal peribadi atau perisai rahmat, manakala ketika datang menerjah musuh Allah ia menjadi pembunuh ganas atau senjata tajam. Firman Allah dalam ayat 12 surah al-Anfal: إِذۡ یُوحِی رَبُّكَ إِلَى ٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ أَنِّی مَعَكُمۡ فَثَبِّتُوا۟ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ۚ سَأُلۡقِی فِی قُلُوبِ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ ٱلرُّعۡبَ فَٱضۡرِبُوا۟ فَوۡقَ ٱلۡأَعۡنَاقِ وَٱضۡرِبُوا۟ مِنۡهُمۡ كُلَّ بَنَانࣲ Maksudnya : "(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka". Kesemua tentera Allah ini melaksanakan tugasan mengikut aturan dan arahan Allah swt. Antara tentera Allah ialah: 1. Para Malaikat. 2. Matahari, di mana ia pernah berhenti seketika (lambat terbenam) ketika membantu perjuangan seorang nabi (bani Israel). 3. Api pernah bertukar sejuk, nyaman dan menyelamatkan nabi Ibrahim Alaishissalam. 4. Laut pernah membantu nabi Musa Alaihissalam dan Bani Israel ketika mereka melarikan diri daripada buruan Firaun. 5. Burung Ababil daripada berbagai kelompok dan arah pernah merejam batu kepada tentera bergajah ketika mereka mahu musnahkan Kaabah. 6. Belalang, kutu, katak, darah pernah menyerang Firaun dan para pengikutnya. 7. Air, yang memusnahkan dan melenyapkan penentang Nabi Nuh Alaihissalam. 8. Angin, yang dahsyat beserta guruh dan halilintar menghancurkan kaum 'Aad dan Tsamud. 9. Angin taufan dan hujan batu yang menjahanamkan kaum Luth yang terlibat dengan liwat. 10. Hujan penghilang dahaga, pembersih jasad dan membuatkan mengantuk menjadi tentera penenang umat Islam sebelum perang Badar. 11. Rasa gerun dan gentar turut menjadi tentera Allah. Dengar sahaja kemaraan tentera Muslimin, musuh terus kecut perut. 12. Pejuang-pejuang Islam dari kalangan kaum muslimin. 13. Virus yang menghuru-harakan kehidupan manusia. Memahami ayat-ayat Allah swt berkaitan tentera-tenteraNya ini sangat penting bagi mengenal Tuhan sekalian alam yang berkuasa Mutlak mengarahkan semua tenteraNya samada untuk membantu pejuang-pejuangNya atau membinasakan penderhaka-penderhaka yang menentangNya. Jika satu tenteraNya pun kita tidak mampu hadapi maka usahlah berangan hendak melawan Allah, Pemilik segala kuasa dan tentera. Usahlah melawan Allah atau barisan tenteranya, sebaliknya kita wajib mendaftar diri menjadi tentera Allah dan hambaNya dengan patuh melaksana segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya. Ingatlah bahawa kerajaan langit dan bumi serta semua tentera yang ada pada keduanya adalah milik Allah swt. Allahlah yang memberi pertolongan dan yang memberi kehinaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Ketahuilah bahawa tentera Allah sentiasa beroleh pertolonganNya. Sehebat dan sekuat mana pun manusia, tetap tidak mampu menandingi kuasa Allah swt dan tentera-tenteraNya. Ikutilah segala apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan jangan sesekali angkuh mencabar kekuasaan Allah. Banyakkan amal ibadat, jauhi dosa dan maksiat agar kita selamat daripada kebinasaan dan bahagia dunia akhirat. Kebakaran besar yang melanda tanah-tanah yang dirampas oleh Zionis Israel adalah satu peringatan ilahi yang tidak boleh kita abaikan. Ketika mereka berdiri megah di sebalik tembok-tembok tinggi yang mereka banggakan, Ketika mereka merasa aman di bawah perlindungan Iron Dome yang diagung-agungkan, Ketika mereka bermegah dengan sokongan kuasa besar dunia dan veto PBB yang sentiasa melindungi mereka, Mereka terlupa satu hakikat paling agung, Kekuatan Allah SWT tidak tertanding oleh sebarang kekuasaan manusia. Di tengah-tengah kebakaran yang membakar tanah yang mereka rampas secara haram, Hari ini, mereka sepatutnya merayakan ulang tahun ke-77 penubuhan negara haram mereka. Tetapi lihatlah bagaimana Allah membalikkan perayaan itu. Daripada hari sorak menjadi hari tangis, daripada kegembiraan menjadi hari darurat nasional. Lebih menakjubkan lagi, api itu hanya menjilat kawasan pendatang Zionis. Tanah yang diduduki oleh warga Palestin yang mereka rampas hampir tidak disentuh langsung. Teruskan perjuangan menyokong dan membantu saudara seagama yang terus berjihad memerdekakan bumi Palestin dan Masjid Aqsa. Tiada erti kalah dan menyerah kalah dalam kamus pejuang Islam. Firman Allah dalam ayat 173 Surah as-Saaffat وَإِنَّ جُندَنَا لَهُمُ ٱلۡغَـٰلِبُونَ "Dan bahawasanya tentera Kami, merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran)" بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: