أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Ahad, 18 Mei 2025

Khutbah Jumaat : Guru DiJulang, Kemerdekaan Palestin DiPerjuang

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 11 surah al-Mujadilah : يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ انشُزُوا فَانشُزُوا يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ‎﴿١١﴾‏ Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan GURU adalah insan yang sangat dimuliakan di dalam Islam dan diberi kedudukan yang tinggi sesuai dengan peranannya yang sangat memberi kesan kepada masa hadapan anak murid juga umat keseluruhannya. Rasulullah SAW adalah guru utama kepada umat manusia. Jasa guru-guru ini tidak sekadar dikenang semasa sambutan Hari Guru sahaja bahkan ia mesti dihargai sepanjang masa. Semua tokoh hebat di dunia ini adalah hasil dari didikan golongan yang mulia ini. Pada masa kini, memegang status sebagai seorang guru bukanlah satu perkara yang mudah. Realiti pada hari ini, menjadi seorang guru bermaksud individu tersebut perlu berhadapan dengan karenah serta perangai pelbagai pihak terutamanya ibubapa dan pelajar-pelajar. Ianya bukanlah satu perkara yang mudah, namun memerlukan kepada kesabaran dan kesungguhan dalam mendidik generasi yang terbaik. Sebenarnya manusia ini mempunyai pelbagai keistimewaan dan ragamnya, tetapi secara khusus dapatlah dibahagikan kepada tiga. Yang berilmu, yang belajar dan yang tidak berilmu dan tidak belajar. Justeru itu, Saidina Ali R.A berkata: النَّاسُ ثَلَاثَةٌ: فَعَالِمٌ رَبَّانِيٌّ، وَمُتَعَلِّمٌ عَلَى سَبِيلِ نَجَاةٍ، وَهَمَجٌ رَعَاعٌ أَتْبَاعُ كُلِّ نَاعِقٍ، يَمِيلُونَ مَعَ كُلِّ رِيحٍ Maksudnya: “Manusia ada tiga jenis: Seorang alim rabbani (yang takut kepada Allah SWT) dan seorang murid (pelajar) yang ingin selamat, dan selain itu rakyat jelata pengikut tiap suara seruan, condong mengikut arah angin. Beliau juga berkata: Ilmu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga dirimu, sedangkan kamu menjaga harta, dan ilmu bertambah jika disiarkan sedangkan harta berkurangan jika dibelanjakan…Dan ulama’ itu akan tetap hidup selamanya meskipun jasadnya tidak ada, dan ajaran mereka selalu diingati dalam hati.” Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Dengan menekuni nas-nas jelas menunjukkan betapa mulianya guru kerana dia telah membawa bersamanya ilmu. Begitu juga dengannya dia dapat menunjukkan pelajarnya erti kehidupan dan kemanusiaan yang mana wajib mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa. Antara yang menunjukkan kemuliaan guru atau mu’allim ialah: [1] Kebaikan yang Allah SWT kurniakan kepadanya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda: مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ – رواه البخاري ومسلم Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya.” Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037) [2] Guru sebagai khazanah harta yang tiada ternilai. Benarlah sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A: وَالنَّاسُ مَعَادِنُ، خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الإِسْلاَمِ إِذَا فَقِهُوا – رواه البخاري ومسلم Maksudnya: “Manusia itu adalah umpama barang-barang galian seperti barang galian emas dan perak. Sebaik-baik mereka di zaman kejahilan dulu juga akan menjadi sebaik-baik manusia setelah mengikut Islam jika mereka memahami Islam itu.” [3] Guru menjadi penunjuk jalan kebaikan. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah R.Ahuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda: مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ – – رواه البخاري ومسلم- رواه ومسلم Maksudnya: “Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun.” [4] Guru selamat daripada celaan. Hal ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda: الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ، مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرَ اللهِ أَوْ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا – – رواه ابن ماجه والترمذي Maksudnya: “Dunia ini dan seisinya adalah laknat kecuali mengingati Allah, yang membawa kepada taat kepada-Nya, orang alim (guru) dan pelajar.” Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat 269 surah al-Baqarah : يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ ‎﴿٢٦٩﴾‏ Maksudnya : Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya Sebagai pelajar maka kita wajib memuliakan guru kita dan antara tanggungjawab yang sepatutnya kita tunaikan ialah: Menghormati dan memuliakannya, walaupun sudah selesai dari bangku sekolah. Imam Nawawi berkata: “Seorang murid hendaklah melihat gurunya dengan pandangan penghormatan. Hendaklah dia meyakini keahlian gurunya berbanding yang lain. Kerana perkara itu akan menjadikan seorang murid dapat mengambil banyak manfaat darinya, dan lebih dapat memberi kesan dalam hati terhadap apa yang dia dengar dari gurunya tersebut.” Berdoa untuk kepada guru. Menjaga adab ketika berada dalam majlis guru seperti memberi sepenuh perhatian dan fokus. Menolong dan membantu serta menyelesaikan hajat gurunya apabila gurunya perlu kepada bantuannya dengan ini sudah pasti unsur keberkatan akan menyelubungi kehidupan murid tersebut. Tidak berasa hati apatah lagi berdendam kepada gurunya, Menziarahi gurunya apabila sakit atau mati. Begitu juga jika perlu pada masa hayat gurunya dengan menzahirkan sifat tawaduk sekalipun muridnya sudah menjadi tokoh yang terbilang. Tidak sombong serta takabbur kepada gurunya. Sentiasa bersikap rendah diri kepada guru Mencontohi dan meneladani akhlak guru Tidak membenci guru, tidak memaki guru, tidak menyakiti guru, tidak menyakiti hatinya, tidak meninggikan suara dengan guru, tidak bermasam muka dengan guru dan tidak menghina guru Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ : فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالْآخِرَةِ ۚ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيُقْتَلْ أَوْ يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا ‎﴿٧٤﴾‏ Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar Tanggal 15 Mei setiap tahun semenjak 1948 adalah tarikh yang menikam hati dan perasaan umat Islam, nakbah Palestin atau pun bencana Palestin yang hilang daripada peta digantikan dengan negara haram Israel. Pengusiran dan pembantaian kepada umat Palestin tidak berhujung, seolah dunia Islam sudah pekak dan tuli terhadap jeritan mangsa penindasan. Hilang sensitiviti dengan kemuliaan masjidil Aqsa yang diceroboh serta pembantaian lebih setahun di Gaza yang menikam sukma orang beriman Namun, dalam kesombongan dan kekejaman yang berpanjangan, kita mula menyaksikan tanda-tanda kehancuran yang Allah telah janjikan. Tujuh bukti nyata ini adalah manifestasi bagaimana regim Zionis sedang runtuh dari dalam. [ 1 ] Kejatuhan ekonomi yang parah di mana Israel sedang menghadapi kemerosotan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Bank Israel melaporkan ekonomi negara itu menguncup sebanyak 19.4 peratus pada suku terakhir 2023, didorong oleh konflik berterusan dan ketidakstabilan politik¹. Kos peperangan yang meningkat menelan lebih USD 55 bilion setakat awal 2024, meletakkan beban berat kepada fizikal negara² . [ 2 ] Kejatuhan teknologi tinggi dan kehilangan pelabur asing di mana Jumlah pelaburan menyusut kepada $7.3 bilion, sementara 42% firma modal teroka asing memilih untuk tidak melabur dalam syarikat permulaan Israel⁷.Hampir 70 peratus syarikat permulaan Israel mengambil langkah memindahkan dana dan operasi mereka ke luar negara. [ 3 ] Perpecahan dalaman, ancaman eksistensi dan gelombang penghijrahan di mana Pada tahun 2024 sahaja, sebanyak 82,700 penduduk Israel meninggalkan negara itu, menurut Biro Statistik Pusat Israel [ 4 ] Reformasi kehakiman yang memporak-perandakan politik di mana Cadangan reformasi kehakiman oleh kerajaan Netanyahu mencetuskan krisis politik terbesar dalam sejarah moden Israel. Hampir 500,000 rakyat Israel turun ke jalanan menuntut keadilan dan demokrasi. [ 5 ] Kebangkitan Muqawamah dan Taufan Aqsa di mana Serangan tersebut meruntuhkan ego “sistem keselamatan terbaik dunia” dalam sekelip mata, menunjukkan bahawa tembok keangkuhan itu tidak lagi kebal daripada serangan balas. [ 6 ] Kebakaran hutan terbesar dalam sejarah Israel di mana lebih 450,000 hektar hutan musnah; bersamaan dengan 20% daripada kawasan hutan negara itu¹, merosakkan infrastruktur dan menelan kos sebanyak USD 12.7 bilion. Diikuti dengan rebut pasir dan banjir secara serentak [ 7 ] Kehilangan sokongan global dan pengasingan diplomatic termasuk Presiden Amerika Syarikat Trump menolak permintaan Netanyahu untuk bertemu, dan sebaliknya menandatangani perjanjian pertahanan bernilai $142 bilion dengan Arab Saudi. Lebih mengejutkan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) secara terbuka menyatakan sokongan kepada penyelesaian dua negara dan menolak polisi perluasan tanah Israel di Tebing Barat. Percayalah, sebagaimana malam paling kelam sekalipun akan berakhir dengan terbitnya fajar, derita Palestin juga pasti berakhir dengan sinar kemerdekaan. Teruskan berdoa! Teruskan bersuara! Teruskan boikot! Dari sungai ke sanggara, Palestin akan Merdeka! Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali ‘Imran : إِن يَنصُرْكُمُ اللَّـهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١٦٠﴾ Maksudnya : Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri .بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: