أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Ahad, 18 Mei 2025
Khutbah Jumaat : Guru DiJulang, Kemerdekaan Palestin DiPerjuang
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 11 surah al-Mujadilah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ انشُزُوا فَانشُزُوا يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿١١﴾
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan
GURU adalah insan yang sangat dimuliakan di dalam Islam dan diberi kedudukan yang tinggi sesuai dengan peranannya yang sangat memberi kesan kepada masa hadapan anak murid juga umat keseluruhannya. Rasulullah SAW adalah guru utama kepada umat manusia. Jasa guru-guru ini tidak sekadar dikenang semasa sambutan Hari Guru sahaja bahkan ia mesti dihargai sepanjang masa. Semua tokoh hebat di dunia ini adalah hasil dari didikan golongan yang mulia ini.
Pada masa kini, memegang status sebagai seorang guru bukanlah satu perkara yang mudah. Realiti pada hari ini, menjadi seorang guru bermaksud individu tersebut perlu berhadapan dengan karenah serta perangai pelbagai pihak terutamanya ibubapa dan pelajar-pelajar. Ianya bukanlah satu perkara yang mudah, namun memerlukan kepada kesabaran dan kesungguhan dalam mendidik generasi yang terbaik.
Sebenarnya manusia ini mempunyai pelbagai keistimewaan dan ragamnya, tetapi secara khusus dapatlah dibahagikan kepada tiga. Yang berilmu, yang belajar dan yang tidak berilmu dan tidak belajar. Justeru itu, Saidina Ali R.A berkata:
النَّاسُ ثَلَاثَةٌ: فَعَالِمٌ رَبَّانِيٌّ، وَمُتَعَلِّمٌ عَلَى سَبِيلِ نَجَاةٍ، وَهَمَجٌ رَعَاعٌ أَتْبَاعُ كُلِّ نَاعِقٍ، يَمِيلُونَ مَعَ كُلِّ رِيحٍ
Maksudnya: “Manusia ada tiga jenis: Seorang alim rabbani (yang takut kepada Allah SWT) dan seorang murid (pelajar) yang ingin selamat, dan selain itu rakyat jelata pengikut tiap suara seruan, condong mengikut arah angin.
Beliau juga berkata: Ilmu lebih baik daripada harta. Ilmu menjaga dirimu, sedangkan kamu menjaga harta, dan ilmu bertambah jika disiarkan sedangkan harta berkurangan jika dibelanjakan…Dan ulama’ itu akan tetap hidup selamanya meskipun jasadnya tidak ada, dan ajaran mereka selalu diingati dalam hati.”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Dengan menekuni nas-nas jelas menunjukkan betapa mulianya guru kerana dia telah membawa bersamanya ilmu. Begitu juga dengannya dia dapat menunjukkan pelajarnya erti kehidupan dan kemanusiaan yang mana wajib mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa. Antara yang menunjukkan kemuliaan guru atau mu’allim ialah:
[1] Kebaikan yang Allah SWT kurniakan kepadanya. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:
مَنْ يُرِدِ اَللَّهُ بِهِ خَيْرًا, يُفَقِّهْهُ فِي اَلدِّينِ – رواه البخاري ومسلم
Maksudnya: “Siapa yang dikehendaki kebaikan yang banyak oleh Allah, nescaya akan difahamkan perihal agamanya.”
Riwayat al-Bukhari (71) dan Muslim (1037)
[2] Guru sebagai khazanah harta yang tiada ternilai. Benarlah sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
وَالنَّاسُ مَعَادِنُ، خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيَّةِ خِيَارُهُمْ فِي الإِسْلاَمِ إِذَا فَقِهُوا – رواه البخاري ومسلم
Maksudnya: “Manusia itu adalah umpama barang-barang galian seperti barang galian emas dan perak. Sebaik-baik mereka di zaman kejahilan dulu juga akan menjadi sebaik-baik manusia setelah mengikut Islam jika mereka memahami Islam itu.”
[3] Guru menjadi penunjuk jalan kebaikan. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah R.Ahuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا، وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ – – رواه البخاري ومسلم- رواه ومسلم
Maksudnya: “Barangsiapa yang memulakan suatu perbuatan dalam Islam suatu sunnah yang baik, lalu diamalkan orang selepasnya, dituliskan bagi pemulanya pahala orang yang beramal denganya, dan tidak akan berkurang daripada pahala mereka suatu pun.”
[4] Guru selamat daripada celaan. Hal ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW telah bersabda:
الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ، مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرَ اللهِ أَوْ عَالِمًا أَوْ مُتَعَلِّمًا – – رواه ابن ماجه والترمذي
Maksudnya: “Dunia ini dan seisinya adalah laknat kecuali mengingati Allah, yang membawa kepada taat kepada-Nya, orang alim (guru) dan pelajar.”
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 269 surah al-Baqarah :
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ ﴿٢٦٩﴾
Maksudnya : Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya
Sebagai pelajar maka kita wajib memuliakan guru kita dan antara tanggungjawab yang sepatutnya kita tunaikan ialah:
Menghormati dan memuliakannya, walaupun sudah selesai dari bangku sekolah.
Imam Nawawi berkata: “Seorang murid hendaklah melihat gurunya dengan pandangan penghormatan. Hendaklah dia meyakini keahlian gurunya berbanding yang lain. Kerana perkara itu akan menjadikan seorang murid dapat mengambil banyak manfaat darinya, dan lebih dapat memberi kesan dalam hati terhadap apa yang dia dengar dari gurunya tersebut.”
Berdoa untuk kepada guru.
Menjaga adab ketika berada dalam majlis guru seperti memberi sepenuh perhatian dan fokus. Menolong dan membantu serta menyelesaikan hajat gurunya apabila gurunya perlu kepada bantuannya dengan ini sudah pasti unsur keberkatan akan menyelubungi kehidupan murid tersebut.
Tidak berasa hati apatah lagi berdendam kepada gurunya,
Menziarahi gurunya apabila sakit atau mati. Begitu juga jika perlu pada masa hayat gurunya dengan menzahirkan sifat tawaduk sekalipun muridnya sudah menjadi tokoh yang terbilang.
Tidak sombong serta takabbur kepada gurunya.
Sentiasa bersikap rendah diri kepada guru
Mencontohi dan meneladani akhlak guru
Tidak membenci guru, tidak memaki guru, tidak menyakiti guru, tidak menyakiti hatinya, tidak meninggikan suara dengan guru, tidak bermasam muka dengan guru dan tidak menghina guru
Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T,
Firman Allah dalam ayat 74 surah an-Nisa’ :
فَلْيُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يَشْرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالْآخِرَةِ ۚ وَمَن يُقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيُقْتَلْ أَوْ يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا ﴿٧٤﴾
Maksudnya : Oleh itu (orang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada kesenangan dunia hendaklah mereka berperang pada jalan Allah. Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu dia gugur syahid atau beroleh kemenangan maka Kami akan menganugerahkannya ganjaran pahala yang besar
Tanggal 15 Mei setiap tahun semenjak 1948 adalah tarikh yang menikam hati dan perasaan umat Islam, nakbah Palestin atau pun bencana Palestin yang hilang daripada peta digantikan dengan negara haram Israel. Pengusiran dan pembantaian kepada umat Palestin tidak berhujung, seolah dunia Islam sudah pekak dan tuli terhadap jeritan mangsa penindasan. Hilang sensitiviti dengan kemuliaan masjidil Aqsa yang diceroboh serta pembantaian lebih setahun di Gaza yang menikam sukma orang beriman
Namun, dalam kesombongan dan kekejaman yang berpanjangan, kita mula menyaksikan tanda-tanda kehancuran yang Allah telah janjikan. Tujuh bukti nyata ini adalah manifestasi bagaimana regim Zionis sedang runtuh dari dalam.
[ 1 ] Kejatuhan ekonomi yang parah di mana Israel sedang menghadapi kemerosotan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Bank Israel melaporkan ekonomi negara itu menguncup sebanyak 19.4 peratus pada suku terakhir 2023, didorong oleh konflik berterusan dan ketidakstabilan politik¹. Kos peperangan yang meningkat menelan lebih USD 55 bilion setakat awal 2024, meletakkan beban berat kepada fizikal negara²
.
[ 2 ] Kejatuhan teknologi tinggi dan kehilangan pelabur asing di mana Jumlah pelaburan menyusut kepada $7.3 bilion, sementara 42% firma modal teroka asing memilih untuk tidak melabur dalam syarikat permulaan Israel⁷.Hampir 70 peratus syarikat permulaan Israel mengambil langkah memindahkan dana dan operasi mereka ke luar negara.
[ 3 ] Perpecahan dalaman, ancaman eksistensi dan gelombang penghijrahan di mana Pada tahun 2024 sahaja, sebanyak 82,700 penduduk Israel meninggalkan negara itu, menurut Biro Statistik Pusat Israel
[ 4 ] Reformasi kehakiman yang memporak-perandakan politik di mana Cadangan reformasi kehakiman oleh kerajaan Netanyahu mencetuskan krisis politik terbesar dalam sejarah moden Israel. Hampir 500,000 rakyat Israel turun ke jalanan menuntut keadilan dan demokrasi.
[ 5 ] Kebangkitan Muqawamah dan Taufan Aqsa di mana Serangan tersebut meruntuhkan ego “sistem keselamatan terbaik dunia” dalam sekelip mata, menunjukkan bahawa tembok keangkuhan itu tidak lagi kebal daripada serangan balas.
[ 6 ] Kebakaran hutan terbesar dalam sejarah Israel di mana lebih 450,000 hektar hutan musnah; bersamaan dengan 20% daripada kawasan hutan negara itu¹, merosakkan infrastruktur dan menelan kos sebanyak USD 12.7 bilion. Diikuti dengan rebut pasir dan banjir secara serentak
[ 7 ] Kehilangan sokongan global dan pengasingan diplomatic termasuk Presiden Amerika Syarikat Trump menolak permintaan Netanyahu untuk bertemu, dan sebaliknya menandatangani perjanjian pertahanan bernilai $142 bilion dengan Arab Saudi. Lebih mengejutkan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) secara terbuka menyatakan sokongan kepada penyelesaian dua negara dan menolak polisi perluasan tanah Israel di Tebing Barat.
Percayalah, sebagaimana malam paling kelam sekalipun akan berakhir dengan terbitnya fajar, derita Palestin juga pasti berakhir dengan sinar kemerdekaan. Teruskan berdoa! Teruskan bersuara! Teruskan boikot! Dari sungai ke sanggara, Palestin akan Merdeka!
Firman Allah dalam ayat 160 surah Ali ‘Imran :
إِن يَنصُرْكُمُ اللَّـهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا الَّذِي يَنصُرُكُم مِّن بَعْدِهِ ۗ وَعَلَى اللَّـهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١٦٠﴾
Maksudnya : Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri
.بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Khutbah Jumaat : Qiamat DiIngat, Jihad Palestin DiTingkat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 18 surah al-Hasyru:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ ﴿١٨﴾
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.
Allah memerintahkan setiap individu memelihara diri daripada perkara yang menyebabkan kemurkaan Allah, sentiasa menyedari kehadiran Allah dalam kehidupannya. Seterusnya hendaklah memastikan keseluruhan diri berada dalam syariat Allah, dan tidak mencerobohnya denga perlakuan maksiat. Dengan demikian seseorang yang mahukan dirinya sentiasa dalam ketakwaan, perlu bermuhasabah. Jika terbukti dia melakukan pelanggaran, hendaklah segera bertaubat dan menyempurnakan ketaatan penuh istiqamah, dengan memastikan terus berada di atas landasan syarak serta meningkatkan kualiti amalan penuh kesetiaan. Justeru, bermuhasabahlah dengan langkah-langkah berikut :-
Pertama : mulakan dengan menyemak perkara yang wajib dan yang sepatutnya dilakukan. Jika didapati ketinggalan atau kekurangan maka pastikan diqada, dilengkapkan atau disempurnakan serta bertaubat.
Kedua : periksa diri, jika terdapat larangan atau perkara yang tidak disukai Allah ada dalam senarai, maka jangan diulangi, berjanjilah bahawa kita tidak akan mengulanginya dan bertaubatlah.
Ketiga : mengingati semula jika kita terlalu banyak membuang masa dalam perkara yang harus atau melalaikan, maka bersegeralah mengingati Allah dan pastikan penglibatan dalam perkara yang harus itu membawa kepada kebaikan dan memberi pahala.
Keempat : membayangkan semula segala apa yang terlibat dengan perasaan, pemikiran, sikap dan pergerakan kita. Jika lebih kepada perkara yang negatif, berazamlah untuk tidak akan mengulanginya lagi. Sebaliknya, berubahlah dengan memastikan penglibatan semua itu dalam perkara yang positif, bersih dan menepati syarak.
Kelima : tidak membiarkan diri kita dengan sikap tidak perlu bermuhasabah dan bertaubat kerana berpendapat kita orang yang soleh tidak berbuat dosa, atau sebaliknya berputus-asa disebabkan terlalu banyak maksiat dilakukan, menunggu mendapat hidayah, menyangka belum tiba ajal lantaran masih muda, atau terpengaruh dengan rakan yang tiada kecenderungan bermuhasabah dan bertaubat.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Kita tidak sepatutnya hanya perlu menunggu suatu yang pelik berlaku untuk berubah menjadi baik atau baru mahu insaf untuk bertaubat. Telah banyak perkara besar yang disebutkan oleh nabi s.a.w termasuk tentang alamat atau tanda Qiamat yang berlaku depan mata kita sendiri yang mengingatkan kita tentang betapa hampirnya dunia ini kepada saat kehancuran. Antaranya melalui suatu hadis
عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ أَسِيدٍ الْغِفَارِيِّ قَالَ اطَّلَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْنَا وَنَحْنُ نَتَذَاكَرُ فَقَالَ مَا تَذَاكَرُونَ قَالُوا نَذْكُرُ السَّاعَةَ قَالَ إِنَّهَا لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ فَذَكَرَ الدُّخَانَ وَالدَّجَّالَ وَالدَّابَّةَ وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيَأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ وَثَلَاثَةَ خُسُوفٍ خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنْ الْيَمَنِ تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ
Maksudya: Rasulullah s.a.w menghampiri kami saat kami sedang membicarakan sesuatu, baginda s.a.w bertanya: “Apa yang kalian bicarakan?” Kami menjawab: Kami membicarakan berkenaan Qiamat. Baginda s.a.w bersabda: “Qiamat tidaklah terjadi hingga kalian melihat 10 tanda-tanda sebelumnya.” Baginda s.a.w menyebut iaitu [1] Asap, [2] Dajjal, [3] binatang yang akan bercakap kepada manusia, [4] terbitnya matahari dari barat, [5] turunnya nabi Isa bin Maryam a.s, [6] ya’juj dan ma’juj, [7] 3 gempa bumi; gempa bumi di timur, [8] gempa bumi di barat dan [9] gempa bumi di jazirah arab dan [10] yang terakhir adalah api muncul dari Yaman menghalau manusia menuju tempat perkumpulan mereka (HR imam Muslim)
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam Surah Yaasin ayat 48-49:
وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَـٰذَا الْوَعْدُ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿٤٨﴾ مَا يَنظُرُونَ إِلَّا صَيْحَةً وَاحِدَةً تَأْخُذُهُمْ وَهُمْ يَخِصِّمُونَ
Maksudnya : Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): ” Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu)!”, Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang – (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing).
Kita jangan menjadi umat yang sibuk mencari tarikh Qiamat dan hanya melihat sahaja tanda-tanda Qiamat berlaku di depan mata tanpa mengambil iktibar apatah lagi berlumba-lumba untuk menambah bekalan akhirat disamping menjauhi larangan Allah. Gempa bumi silih berganti serta peperangan yang tidak berkesudahan sepatutnya mengetuk hati kita untuk semakin mengingati tentang qiamat
قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقْبَضَ الْعِلْمُ وَتَكْثُرَ الزَّلَازِلُ وَيَتَقَارَبَ الزَّمَانُ وَتَظْهَرَ الْفِتَنُ وَيَكْثُرَ الْهَرْجُ وَهُوَ الْقَتْلُ الْقَتْلُ حَتَّى يَكْثُرَ فِيكُمْ الْمَالُ فَيَفِيضَ – رواه البخاري
Maksudnya : “Tidak akan terjadi hari kiamat kecuali setelah hilangnya ilmu, banyak terjadi gempa bumi, waktu berjalan dengan cepat, timbul berbagai macam fitnah, banyaknya Al haraj -iaitu pembunuhan- dan harta melimpah ruah kepada kalian”
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Dunia terkini menyaksikan bagaimana konflik yang memuncak antara India dan Pakistan susulan serangan pihak tertentu di Pahalgam pada 22 April lalu yang membunuh puluhan mangsa dan terkini Operasi Sindoor yang dilancarkan India terhadap Pakistan telah menimbulkan kebimbangan global, khususnya terhadap kesannya terhadap keselamatan makanan. India dan Pakistan, dua negara bersenjata nuklear, juga merupakan pengeluar utama hasil pertanian. Kedua negara ini menyokong kehidupan lebih 1.7 bilion penduduk dan menyumbang secara signifikan kepada pasaran makanan global. Sebarang gangguan terhadap pengeluaran pertanian mereka boleh memberi kesan besar di peringkat antarabangsa. Kita doakan semoga konflik ini dapat diredakan dengan kadar segera
Konflik ini juga mengingatkan kita tentang hadis bahawa di akhir zaman akan berlakunya peperangan terhadap Hind antaranya :
عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : عِصَابَتَانِ مِنْ أُمَّتِي أَحْرَزَهُمَا اللَّهُ مِنْ النَّارِ : عِصَابَةٌ تَغْزُو الْهِنْدَ ، وَعِصَابَةٌ تَكُونُ مَعَ عِيسَى بْنِ مَرْيَمَ عَلَيْهِمَا السَّلَام
Maksudnya : “Ada 2 golongan dari umatku yang Allah akan menjaga mereka dari api neraka : Golongan pertama ialah orang-orang yang memerangi Hind dan golongan kedua ialah orang-orang yang bersama Nabi Isa Ibni Maryam Alaihissalam (memerangi Dajjal dan tenteranya). ” [HR Nasai, Ahmad dan lain-lain]
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضي الله عنه قَالَ : وَعَدَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَزْوَةَ الْهِنْدِ ، فَإِنِ اسْتُشْهِدْتُ كُنْتُ مِنْ خَيْرِ الشُّهَدَاءِ ، وَإِنْ رَجَعْتُ فَأَنَا أَبُو هُرَيْرَةَ الْمُحَرَّرُ
Diriwayatkan dari Abu Hurairah RH beliau berkata : Rasulullah s.a.w telah menjanjikan kita peperangan Hind. Jika aku mati syahid maka aku termasuk sebaik-baik syuhada’. Jika aku kembali, maka aku ialah Abu Hurairah yang terbebas (dari api neraka). [HR Ahmad]
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يُقَاتِلَ الْمُسْلِمُونَ الْيَهُودَ ، فَيَقْتُلُهُمُ الْمُسْلِمُونَ حَتَّى يَخْتَبِئَ الْيَهُودِيُّ مِنْ وَرَاءِ الْحَجَرِ وَالشَّجَرِ ، فَيَقُولُ الْحَجَرُ أَوِ الشَّجَرُ : يَا مُسْلِمُ يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا يَهُودِيٌّ خَلْفِي فَتَعَالَ فَاقْتُلْهُ ، إِلَّا الْغَرْقَدَ فَإِنَّهُ مِنْ شَجَرِ الْيَهُودِ“
Maksudnya : Tidak berlaku qiamat sehingga orang Islam memerangi kaum yahudi maka mereka akan diperangi oleh orang Islam sehingga yahudi akan bersembunyi di sebalik batu dan pokok lalu berkatalah batu atau pokok :Wahai orang Islam Wahai hamba Allah! ini dia yahudi dibelakangku maka datanglah dan bunuhlah dia melainkan pokok gharqad maka sesungguhnya ia merupakan pokok yahudi.
Umat Islam yang bermaruah pasti terus memberi pertolongan dan perhatian semaksima yang mungkin kepada saudara seagama di Palestin yang terus dibunuh tanpa belas kasihan oleh musuh Islam. Jangan rasa penat dan putus asa dalam membantu saudara kita ke arah memerdekakan bumi Palsetin yang merupakan tanah wakaf milik seluruh umat Islam dan Masjid Aqsa. Kita yakin dengan janji kemenangan daripada Allah
Palestin membuka ruang bagi umat islam yang mengejar mati Syahid dan juga menguji siapakah dari kalangan umat Islam yang benar-benar bersungguh dalam membantu perjuangan jihad suci dalam memerdekakan bumi Palestin
Ribut pasir, banjir dan kebakaran besar yang melanda tanah-tanah yang dirampas oleh Zionis Israel adalah satu peringatan ilahi yang tidak boleh kita abaikan. Ketika musuh berdiri megah di sebalik tembok-tembok tinggi yang mereka banggakan, Ketika mereka merasa aman di bawah perlindungan Iron Dome yang diagung-agungkan, Ketika mereka bermegah dengan sokongan kuasa besar dunia dan veto PBB yang sentiasa melindungi mereka, Mereka terlupa satu hakikat paling agung, Kekuatan Allah SWT tidak tertanding oleh sebarang kekuasaan manusia. Di tengah-tengah kebakaran yang membakar tanah yang mereka rampas secara haram, Hari ini, mereka sepatutnya merayakan ulang tahun ke-77 penubuhan negara haram mereka. Tetapi lihatlah bagaimana Allah membalikkan perayaan itu. Daripada hari sorak menjadi hari tangis, daripada kegembiraan menjadi hari darurat nasional. Lebih menakjubkan lagi, api itu hanya menjilat kawasan pendatang Zionis. Tanah yang diduduki oleh warga Palestin yang mereka rampas hampir tidak disentuh langsung. Teruskan perjuangan menyokong dan membantu saudara seagama yang terus berjihad memerdekakan bumi Palestin dan Masjid Aqsa. Tiada erti kalah dan menyerah kalah dalam kamus pejuang Islam.
Firman Allah dalam ayat 173 Surah as-Saaffat
وَإِنَّ جُندَنَا لَهُمُ ٱلۡغَـٰلِبُونَ
Maksudnya : “Dan bahawasanya tentera Kami, merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran)”
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Jumaat, 2 Mei 2025
Khutbah Jumaat : Pekerjaan Halal DiJaga, Tentera Allah Bantu Palestin Merdeka
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 88 surah al-Maidah:
وَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي أَنتُم بِهِ مُؤْمِنُونَ ﴿٨٨﴾
Maksudnya : Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.
Setiap 1 Mei kita menyambut Hari Pekerja. Islam menyuruh umat Islam supaya bekerja dan mencari rezeki halal bagi meneruskan kelangsungan hidup. Setiap individu yang mempunyai kemampuan dan keupayaan dari segi fizikal dan mental adalah dituntut agar bekerja. Islam amat memuji pekerja yang mahir lagi profesional sebaliknya menegah manusia daripada sifat malas dan meminta-minta. Bekerja boleh menjadi ibadah yang terbaik kerana ia juga merupakan sunnah Nabi.
Islam menyukai orang yang kepenatan di dalam mencari rezeki yang halal kerana ia juga dikira sebagai ibadah sebaliknya mengecam mereka yang menganggur dan menjadi beban kepada masyarakat.
قَالَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الْحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ فَيَبِيعَهَا فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ - رواه البخاري
Maksudnya : “Seseorang itu mengambil tali lalu mambawa pulang seberkas kayu api di atas bahunya lalu dia menjualnya dengan itu Allah s.w.t. menjaga air mukanya, maka itu adalah lebih baik kepadanya daripada dia meminta daripada manusia sama ada mereka memberikan kepadanya atau tidak”.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Walaupun Islam menyarankan agar bertawakal kepada Allah SWT di dalam setiap urusan kehidupan, namun ia perlu dilaksanakan setelah berusaha melakukan pekerjaan yang boleh mendatangkan hasil. Rezeki yang ditentukan oleh Allah di dalam kehidupan seseorang amat berkait rapat dengan kerja dan usaha yang berterusan seperti kata pepatah 'Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.'
Islam memuji dan memberi galakan kepada sesiapa yang Ikhlas mencari rezeki halal untuk menampung kehidupan keluarga
قَالَ النَّبِيِّ : إِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا أُجِرْتَ عَلَيْهَا حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِي فَمِ امْرَأَتِكَ - رواه البخاري
Maksudnya : Sesungguhnya kamu tidaklah membelanjakan nafkah yang kamu harapkan redha Allah dengannya (nafkah tersebut) melainkan kamu akan diberikan ganjaran ke atasnya, sekalipun jua nafkah yang kamu jadikannya di dalam mulut isteri kamu.
Islam turut menekankan agar kita bekerja dengan bersungguh dan tekun
قَالَ النَّبِيِّ : إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ - رواه الطبراني والبيهقي
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”
Al-Munawi berkata makna Itqan apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang, yakni dia menyempurnakannya.
Pepatah menyebut: Orang yang hebat hanya memiliki sedikit masa namun banyak hasil dan kerjanya. Sedangkan orang yang malang memiliki banyak masa, namun hanya sedikit sahaja yang dapat dilakukannya
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 81surah Toha :
كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَلَا تَطْغَوْا فِيهِ فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِي ۖ وَمَن يَحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِي فَقَدْ هَوَىٰ﴿٨١﴾
Maksudnya : Serta Kami katakan: Makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia.
Islam memerintah umatnya agar menjauhi sumber dan makanan yang haram. Antara pekerjaan yang jelas diharamkan oleh Allah ialah perkara yang berkaitan arak
Hadis daripada Anas bin Malik sabda Nabi S.A.W:
قَالَ لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً عَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَآكِلَ ثَمَنِهَا وَالْمُشْتَرِيَ لَهَا وَالْمُشْتَرَاةَ لَهُ - رواه الترمذي
Maksudnya: Rasulullah saw melaknat sepuluh orang yang berkaitan dengan arak. Yang memerah,yang meminta perah, yang minum, yang membawa, yang dibawa kepadanya, yang menuangkan arak, yang menjual, yang memakan hasil jualan arak, yang membeli dan yang dijual untuknya.
Allah juga memberi ancaman yang keras daripada terlibat dengan riba
Firman Allah dalam ayat 278-279 surah al-Baqarah :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿٢٧٨﴾ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ ﴿٢٧٩﴾
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
Begitu juga haramnya Rasuah dan pekerjaan yang menggadai maruah seperti bekerja di tempat-tempat yang boleh menggadaikan maruah diri sebagai seorang Muslim atas nama teman sosial di kelab malam, penari, penyanyi dan pemain alat muzik di kelab malam terdapat hidangan arak dan pergaulan bebas lelaki perempuan, pengawal keselamatan untuk tempat maksiat, tukang urut untuk berlainan , menjadi model pakaian atau iklan yang mendedahkan aurat dan menjadi tontonan orang ramai dan sebagainya
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 7 Surah al-Fath
وَلِلَّهِ جُنُودُ ٱلسَّمَـٰوَ ٰتِٱلۡأَرۡضِۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَزِیزًا حَكِیمًا
Maksudnya : "Dan Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menyeksa orang-orang yang derhaka); dan Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
Allah swt memiliki bala tentera yang sangat banyak di langit dan di bumi, yang dengan mereka Allah swt menolong hamba-hambaNya dan juga menyeksa orang-orang yang derhaka. Menurut Imam ar-Razi rahimahullah: "Tentera Allah boleh menjadi “tentera rahmat” dan “tentera azab” kepada manusia. Ketika datang membantu orang beriman ia menjadi pengawal peribadi atau perisai rahmat, manakala ketika datang menerjah musuh Allah ia menjadi pembunuh ganas atau senjata tajam.
Firman Allah dalam ayat 12 surah al-Anfal:
إِذۡ یُوحِی رَبُّكَ إِلَى ٱلۡمَلَـٰۤىِٕكَةِ أَنِّی مَعَكُمۡ فَثَبِّتُوا۟ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ۚ سَأُلۡقِی فِی قُلُوبِ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ ٱلرُّعۡبَ فَٱضۡرِبُوا۟ فَوۡقَ ٱلۡأَعۡنَاقِ وَٱضۡرِبُوا۟ مِنۡهُمۡ كُلَّ بَنَانࣲ
Maksudnya : "(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka".
Kesemua tentera Allah ini melaksanakan tugasan mengikut aturan dan arahan Allah swt. Antara tentera Allah ialah:
1. Para Malaikat.
2. Matahari, di mana ia pernah berhenti seketika (lambat terbenam) ketika membantu perjuangan seorang nabi (bani Israel).
3. Api pernah bertukar sejuk, nyaman dan menyelamatkan nabi Ibrahim Alaishissalam.
4. Laut pernah membantu nabi Musa Alaihissalam dan Bani Israel ketika mereka melarikan diri daripada buruan Firaun.
5. Burung Ababil daripada berbagai kelompok dan arah pernah merejam batu kepada tentera bergajah ketika mereka mahu musnahkan Kaabah.
6. Belalang, kutu, katak, darah pernah menyerang Firaun dan para pengikutnya.
7. Air, yang memusnahkan dan melenyapkan penentang Nabi Nuh Alaihissalam.
8. Angin, yang dahsyat beserta guruh dan halilintar menghancurkan kaum 'Aad dan Tsamud.
9. Angin taufan dan hujan batu yang menjahanamkan kaum Luth yang terlibat dengan liwat.
10. Hujan penghilang dahaga, pembersih jasad dan membuatkan mengantuk menjadi tentera penenang umat Islam sebelum perang Badar.
11. Rasa gerun dan gentar turut menjadi tentera Allah. Dengar sahaja kemaraan tentera Muslimin, musuh terus kecut perut.
12. Pejuang-pejuang Islam dari kalangan kaum muslimin.
13. Virus yang menghuru-harakan kehidupan manusia.
Memahami ayat-ayat Allah swt berkaitan tentera-tenteraNya ini sangat penting bagi mengenal Tuhan sekalian alam yang berkuasa Mutlak mengarahkan semua tenteraNya samada untuk membantu pejuang-pejuangNya atau membinasakan penderhaka-penderhaka yang menentangNya. Jika satu tenteraNya pun kita tidak mampu hadapi maka usahlah berangan hendak melawan Allah, Pemilik segala kuasa dan tentera. Usahlah melawan Allah atau barisan tenteranya, sebaliknya kita wajib mendaftar diri menjadi tentera Allah dan hambaNya dengan patuh melaksana segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya.
Ingatlah bahawa kerajaan langit dan bumi serta semua tentera yang ada pada keduanya adalah milik Allah swt. Allahlah yang memberi pertolongan dan yang memberi kehinaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Ketahuilah bahawa tentera Allah sentiasa beroleh pertolonganNya. Sehebat dan sekuat mana pun manusia, tetap tidak mampu menandingi kuasa Allah swt dan tentera-tenteraNya. Ikutilah segala apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan jangan sesekali angkuh mencabar kekuasaan Allah. Banyakkan amal ibadat, jauhi dosa dan maksiat agar kita selamat daripada kebinasaan dan bahagia dunia akhirat.
Kebakaran besar yang melanda tanah-tanah yang dirampas oleh Zionis Israel adalah satu peringatan ilahi yang tidak boleh kita abaikan. Ketika mereka berdiri megah di sebalik tembok-tembok tinggi yang mereka banggakan, Ketika mereka merasa aman di bawah perlindungan Iron Dome yang diagung-agungkan, Ketika mereka bermegah dengan sokongan kuasa besar dunia dan veto PBB yang sentiasa melindungi mereka, Mereka terlupa satu hakikat paling agung, Kekuatan Allah SWT tidak tertanding oleh sebarang kekuasaan manusia. Di tengah-tengah kebakaran yang membakar tanah yang mereka rampas secara haram, Hari ini, mereka sepatutnya merayakan ulang tahun ke-77 penubuhan negara haram mereka. Tetapi lihatlah bagaimana Allah membalikkan perayaan itu. Daripada hari sorak menjadi hari tangis, daripada kegembiraan menjadi hari darurat nasional. Lebih menakjubkan lagi, api itu hanya menjilat kawasan pendatang Zionis. Tanah yang diduduki oleh warga Palestin yang mereka rampas hampir tidak disentuh langsung. Teruskan perjuangan menyokong dan membantu saudara seagama yang terus berjihad memerdekakan bumi Palestin dan Masjid Aqsa. Tiada erti kalah dan menyerah kalah dalam kamus pejuang Islam.
Firman Allah dalam ayat 173 Surah as-Saaffat
وَإِنَّ جُندَنَا لَهُمُ ٱلۡغَـٰلِبُونَ
"Dan bahawasanya tentera Kami, merekalah orang-orang yang mengalahkan (golongan yang menentang kebenaran)"
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catatan (Atom)