أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 5 November 2021

Khutbah Jumaat : Tarbiah Nabi s.a.w DiTeladani, Pemuda DiSantuni, Negara DiBerkati

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ !!الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah !Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 13 surah al-Kahfi : نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ‎﴿١٣﴾‏ Maksudnya : Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka (Ashabul Kahfi) dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Pengutusan nabi Muhammad s.a.w penghulu para nabi dan rasul merupakan suatu nikmat yang besar daripada Allah dalam menunjuk jalan kebenaran bukan sahaja untuk bahagia di dunia malah kebahagiaan yang abadi di akhirat nanti. Antara tugas nabi s.a.w ialah membina jatidiri dalam diri para pemuda kerana Generasi muda berperanan memacu negara ke arah yang lebih maju dan lebih baik. Generasi muda adalah masa depan agama dan negara. Sekiranya generasi muda hari ini rosak, maka akan rosaklah agama dan negara pada masa akan datang. Al-Quran telah membawakan contoh kisah ashab al-Kahfi iaitu penghuni gua yang teguh akidah mereka, kukuh iman mereka, indah budi pekerti mereka. Mereka hidup di bawah pemerintahan raja yang zalim dan masyarakat yang rosak agama dan akhlaknya. Sejarah Islam membuktikan bahawa Islam telah diperjuangkan, dipertahankan dan disebarkan oleh generasi-generasi muda di sisi Rasulullah s.a.w. Masa depan negara sama ada dari segi syakhsiah, ekonomi, sosial mahupun agama terletak di tangan generasi muda. Inilah cabaran kepada generasi muda pada hari ini. Ketahuilah, sesungguhnya serangan musuh terhadap Islam atau penganutnya datang dalam pelbagai seperti serangan ideologi , budaya, ekonomi, pendidikan dan sebagainya. Generasi muda yang tidak mempunyai kesedaran terus hanyut mengikut arus dengan mencontohi gaya kehidupan yang melalaikan serta jauh dari panduan syariat Islam. Generasi sebegini hidup seakan-akan tidak memikirkan masa hadapan. Apa yang penting adalah keseronokan, glamor dan hiburan. Atas slogan “Hak asasi manusia” dan “Kebebasan”, identiti bangsa dan agama sedikit demi sedikit cuba dikikis dan dihapuskan. Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ …وَعَدَّدَ مِنْهَا : شّابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ الله – رواه البحاري ومسلم Maksudnya : “Tujuh golongan yang akan mendapatkan naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya.. (salah satunya) pemuda yang tumbuh di dalam ketaatan kepada Allah” Formula atau cara terbaik dalam membina jatidiri pemuda ialah dengan meneladani apa yang telah ditunjuk ajar oleh Nabi s.a.w. Sarjana Islam iaitu Abdullah Nashih ‘Ulwan telah menukilkan 6 kaedah yang telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dalam mentarbiah para pemuda iaitu : [1] Mempersiapkan pemuda untuk iltizam atau konsisten dalam ketaatan kepada Allah beribadah kepada-Nya dan menjauhi segala hal yang dilarang-Nya. [2] Menyeru pemuda supaya mengambil dan memanfaatkan setiap peluang dan kesempatan yang ada guna membentuk peribadi pemuda menjadi baik dan kukuh dari aspek rohani, jasmani, mental, akal dan akhlak. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: اغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ: حَيَا تَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ وَشَبَابَكَ قَبْلَ هَرَمِكَ وَغِنَاكَ قَبْلَ فَقْرِكَ.- رواه الحاكم Maksudnya : “Pergunakanlah (dengan baik) lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu hidupmu sebelum matimu, sihatmu sebelum sakitmu, masa lapangmu sebelum masa sibukmu, mudamu sebelum tuamu dan kayamu sebelum miskinmu” Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Cara ke[3] yang ditunjuk oleh Nabi s.a.w dalam membina jatidiri pemuda ialah Memelihara jiwa pemuda dari penyelewengan dan penyimpangan, serta menjaga kesuciannya dengan menganjurkan para pemuda untuk segera berkahwin jika sudah memiliki kemampuan, sebagaimana telah disyariatkan Allah kepada hamba-Nya. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: يَا مَعْشَرَ الشَبَابِ مَنْ استَطَاعَ مِنْكُمْ البَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ. – رواه الجماعة Maksudnya : “Wahai para pemuda, siapa saja dari kamu yang mampu untuk menikah, hendaklah ia segera menikah. Karena hal tersebut lebih menjaga pandangan dan lebih memelihara kemaluan.” [4] Membina para pemuda untuk senantiasa menghitung diri atau muhasabah dan memperbaiki amalnya, kerana amal-amalnya akan diminta untuk dipertanggung jawabkannya di hadapan Allah Allah Ta’ala di akhirat kelak. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: لاَتَزُوْلُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ القِيَامَةِ حَتىَّ يُسْأَلَ عَنْ أَرْبَعٍ : عَنْ عُمْرِهِ فِيْمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيْمَا أَبْلاَهُ وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيْمَا أَنْفَقَهُ وَعَنْ عِلْمِهِ مَا عَمِلَ فِيْهِ.- رواه الترمذي Maksudnya : “Tidaklah berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari Kiamat, sehingga ditanyakan kepadanya mengenai empat perkara. Umurnya dihabiskan untuk apa, masa mudanya dipergunakan untuk apa, hartanya diperoleh dari mana dan kemana ia membelanjakannya, dan apa yang diperbuat dengan ilmunya” Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Cara ke[5] yang ditunjuk oleh Nabi s.a.w dalam mempersiapkan dan membina generasi muda ialah Membina para pemuda untuk sentiasa istiqomah di atas manhaj Islam, menjauhkan mereka dari hal-hal yang sia-sia dan mendorong pemuda untuk terus berusaha agar selalu berada dalam ketakwaan kepada Allah. Rasulullah s.a.w bersabda: إِنَّ اللهَ لَيَعْجَبُ مِنْ الشَبَابِ الَّذِيْ لَيْسَ لَهُ صَبْوَةٌ. -رواه أحمد وأبو يعلى Maksudnya :”Sesungguhnya Allah ta’jub pada pemuda yang tidak ada padanya kesia-siaan” [6] Rasulullah s.a.w berwasiat kepada umat Islam agar sentiasa menjaga para pemuda dan menjelaskan kelebihan mereka atas orang-orang tua. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: أُوْصِيْكُمْ باِلشَّبَابِ خَيْرًا فَإِنـَّهُمْ أَرَقُّ أَفْئِدَةً لَقَدْ بَعَثَنِيَ اللهُ باِلْحَنَفِيَّةِ السَّمْحَةِ فَحَالَفَنِيْ الشَبَابُ وَخَالَفَنِيْ الشُّيُوْخُ. Maksudnya :”Aku berwasiat kepada kalian supaya berbuat baik kepada para pemuda. Sesungguhnya hati mereka adalah hati yang paling lembut. Sesungguhnya Allah telah mengutusku dengan Hanafiyyatu As-Samhah (agama Islam), lalu para pemuda bergabung denganku dan para orang tua menentangku.” Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 37 surah an-Nuur : رِجَالٌ لَّا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلَا بَيْعٌ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ۙ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالْأَبْصَارُ ‎﴿٣٧﴾‏ Maksudnya : (Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan Inilah asas-asas terpenting dalam pembinaan peribadi pemuda dan masyarakat. Tidak diragukan lagi bahawa tujuan dari pembinaan dan persiapan ini adalah agar pemuda terbentuk sebagai pribadi yang sempurna, baik dari aspek rohani, akhlak, mental, jasmani dan jiwa. Serta seluruh aspek yang menyempurnakan kepribadian mereka. Dengan pembentukan ini para pemuda akan lebih mampu untuk menghadapi pelbagai tentangan, lebih kuat untuk melaksanakan tanggung jawab dan lebih kukuh dalam berpegang teguh dengan dasar-dasar Islam. Sehingga mereka tidak akan menyeleweng, merasa lemah, terhembus angin fitnah, menyerah kalah kepada tipu daya kerosakan, berputus asa dan lemah semangat, begitu juga mereka tidak akan tergelincir ke dalam lubang keruntuhan dan penyelewengan. Demikianlah, pemuda muslim akan kekal sebagai peribadi yang sihat, teguh, beriman, berjihad menyampaikan risalah Islam, menunaikan amanah dan bekerja untuk Islam. Sehingga dia diwafatkan Allah Ta’ala dalam keadaan yang mulia atau dia menghadap Tuhannya sebagai seorang dikalangan para syuhada’. Kejayaan kita adalah bergantung kepada sejauh mana kita berjaya melaksana dan meniru nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan samada ibadat khusus, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Kegagalan kita akibat menjauhi dan membenci cara hidup Nabi s.a.w. Tepuklah dada dan tanya iman kita. Islamlah nescaya kita selamat dan berjaya dunia dan akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: