أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Selasa, 23 Mac 2021

Khutbah Jumaat : Nama Allah DiJaga Syariat DiPerkasa Umat Berjaya

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ!!! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Renungilah firman Allah dalam ayat 7-8 surah al-Bayyinah: إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ هُمْ خَيْرُ‌ الْبَرِ‌يَّةِ ﴿٧﴾جَزَاؤُهُمْ عِندَ رَ‌بِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِ‌ي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ‌ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ رَّ‌ضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَ‌ضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَ‌بَّهُ ﴿٨﴾ Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya. Kini kita berada pada minggu pertama bulan Sya’aban yang turut mempunyai kelebihan dan catatan sejarah yang tersendiri. Makna Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraiysh pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir. Nabi s.a.w bila ditanya tentang amalan baginda yang banyak berpuasa sunat pada bulan Sya’aban lalu baginda menjelaskan bahawa Sya’aban adalah bulan yang kebanyakan orang melalaikannya iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Sya’aban merupakan bulan yang di dalamnya di angkat amalan-amalan kepada Allah. Maka nabi s.a.w ingin amalan diangkat sedangkan baginda dalam keadaan berpuasa. Ibarat kata Ulama’ : “Bulan Rejab bulan menanam pokok. Bulan Syaaban bulan menyiram pokok. Dan bulan Ramadan bulan menuai buahnya.” Begitu juga Hukama’ menyifatkan bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun daripada segala dosa, bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri daripada segala macam celaan manakala bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Marilah kita sama-sama menghidupkan bulan Sya’aban ini dengan pelbagai amalan soleh sebagai latihan awal dan persiapan dari segi rohani dan jasmani sebelum datangnya Ramadhan. Antara amalan sunat yang paling baik bulan Sya’aban ialah berpuasa sunat selain daripada memperbanyakkan doa, membaca al-Quran, bersedekah dan memohon keampunan kepada Allah Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah S.W.T dalam ayat 27-13 surah as-Syura : وَلَوْ بَسَطَ اللَّـهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَـٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَّا يَشَاءُ ۚ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ ﴿٢٧﴾ وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ مِن بَعْدِ مَا قَنَطُوا وَيَنشُرُ رَحْمَتَهُ ۚ وَهُوَ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ ﴿٢٨﴾ Maksudnya: Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Ia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata. Dan Dia lah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan Ia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata. Dan (ingatlah) Dia lah pengawal (yang melimpahkan ihsanNya), lagi Yang Maha Terpuji. Kehidupan dunia ini pastinya dipenuhi dengan pelbagai ujian bagi menguji tahap keimanan kita. Ketika masih berdepan dengan ujian wabak covid 19 maka kebanyakan negeri pada hari ini sedang diuji dengan kemarau. Ini semua mengetuk hati kita supaya ingat bahawa setiap anugerah nikmat ini mestilah disambut dengan penuh kesyukuran serta digunakannya dalam memperbanyakkan lagi ibadat kepada Allah S.W.T paada setiap masa dan tempat. Kita juga mesti ingat bahawa segala kebaikan yang diturunkan oleh Allah S.W.T ke atas hambaNya bergantung kepada baiknya amalan kita terhadap Allah S.W.T. Begitu juga dengan curahan keberkatan dan kebaikan dari langit disebabkan umat manusia berusaha menjauhkan diri daripada jalan-jalan kesesatan yang memesongkan mereka daripada landasan Islam yang sebenar. Kita sentiasa berdoa agar rezeki yang diperolehi adalah suatu nikmat yang datang bersama dengan keberkatan dan keredhaan daripada Allah S.W.T sehingga kita mampu meraih kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Disamping itu, kita juga sentiasa memohon perlindungan daripada Allah S.W.T agar jangan jadikan rezeki yang diterima sebagai suatu pemberian yang tiada bersamanya keberkatan apatah lagi ia bertujuan untuk melalaikan kita daripada mendapatkan keredhaan Allah S.W.T sehingga menjadikan kita umat yang rugi di dunia dan akhirat Sidang Jumaat yang dirberkati Allah S.W.T, Firman Allah S.W.T dalam ayat 16 surah al-Jin : وَأَن لَّوِ اسْتَقَامُوا عَلَى الطَّرِيقَةِ لَأَسْقَيْنَاهُم مَّاءً غَدَقًا ﴿١٦﴾ Maksudnya: Dan sesungguhnya jika mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas landasan Islam maka sudah tentu Kami menurunkan hujan lebat kepada mereka Melihat kepada arahan dan amaran daripada Allah S.W.T dan rasulNya agar kita sentiasa bertaubat dengan segala dosa serta mematuhi segala perintah dan menjauhi segala apa yang ditegah maka sepatutnya kita lebih sedar tentang kesalahan kita yang menyebabkan turunnya sesuatu bala’ daripada Allah S.W.T. Kita juga mesti sentiasa istiqamah dan berada di atas landasan Islam yang sebenar dengan menghindarkan segala jalan yang membawa kepada kesesatan. Kita mesti tegas dalam melawan kebatilan dan maksiat sehingga datangnya kemenangan dan keredhaan daripada Allah S.W.T. Kita jangan takut untuk menegur kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita kerana sebarang dosa bakal mengundang bala’ dan bala’ apabila telah turun maka ia menyeluruh bukan tertentu kepada pelakunya sahaja. Kita menyokong penuh tindakan tegas terhadap pemilik dan pengunjung kelab malam yang terus berdegil melanggar SOP Covid 19 dengan denda lebih berat bagi individu yang telah melakukan kesalahan memasuki pub atau kelab malam yang mana tidak dibenarkan oleh undang-undang akan dikenakan kompaun maksimum RM10,000. Manakala, bagi peniaga yang ingkar perintah membuka pub atau kelab malam akan dikenakan kompaun maksimum RM50,000 dianggap kesalahan kategori tinggi. Semoga antara hikmat Covid 19 yang menyebabkan 70 peratus kelab malam gulung tikar akan membuka jalan untuk menutup terus tempat maksiat yang merosakkan akhlak dan membawa pelbagai penyakit sosial dalam negara Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Kehangatan suhu dalam negara semakin bertambah dengan isu Keputusan terbaru yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi yang membenarkan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain iaitu solat, Kaabah dan Baitullah dalam penerbitan agama mereka, untuk pendidikan dalam komuniti mereka mendapatkan reaksi hebat dari penganut Islam khususnya. Secara asasnya, penggunaan kalimah Allah sejak dahulu di Tanah Arab sudah pun digunapakai oleh masyarakat Arab sebelum kebangkitan Rasulullah S.A.W. Malah kalimah Allah secara umumnya merujuk kepada nama Tuhan yang disembah. Namun pihak Musyrikin Makkah menggunakannya secara menyeleweng dengan mempersekutukan Allah dan mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak perempuan iaitu Malaikat. Firman Allah S.W.T:dalam ayat 40 surah al-Isra’ : (أَفَأَصۡفَىٰكُمۡ رَبُّكُم بِٱلۡبَنِینَ وَٱتَّخَذَ مِنَ الْمَلآئِكَةِ إِنَـٰثًاۚ إِنَّكُمۡ لَتَقُولُونَ قَوۡلًا عَظِیمࣰا Maksudnya : Jika demikian wajibnya mengesakan Allah, maka patutkah kamu mendakwa bahawa Tuhan mempunyai anak, dan anak itu pula dari jenis yang kamu tidak sukai?). Adakah Tuhan kamu telah memilih anak-anak lelaki untuk kamu dan Ia mengambil untuk diriNya anak-anak perempuan dari kalangan malaikat? Sesungguhnya kamu adalah memperkatakan dusta yang amat besar.” Begitu juga, dakwaan kalangan Yahudi dan Nasrani yang menetapkan kepercayaan dalam agama mereka bahawa Tuhan mempunyai anak. Dakwaan sebegini adalah menyeleweng ke atas penggunaan kalimah Allah dari maksudnya yang sebenarnya. Firman Allah S.W.T: dalam ayat 30 surat at-Taubah : (وَقَالَتِ ٱلۡیَهُودُ عُزَیۡرٌ ٱبۡنُ ٱللَّهِ وَقَالَتِ ٱلنَّصَـٰرَى ٱلۡمَسِیحُ ٱبۡنُ ٱللَّهِۖ ذَ ٰ⁠لِكَ قَوۡلُهُم بِأَفۡوَ ٰ⁠هِهِمۡۖ یُضَـٰهِـُٔونَ قَوۡلَ ٱلَّذِینَ كَفَرُوا۟ مِن قَبۡلُۚ قَـٰتَلَهُمُ ٱللَّهُۖ أَنَّىٰ یُؤۡفَكُونَ) Maksudnya : Dan orang-orang Yahudi berkata: “Uzair ialah anak Allah” dan orang-orang Nasrani berkata: “Al-Masih ialah anak Allah”. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?” Meletakkan maksud yang salah bagi kalimah Allah adalah satu kesalahan di sisi Islam kerana mencemarkan kemuliaan pada lafaz dan makna bagi kalimah Allah itu sendiri. Penyelewengan bagi kalimah Allah bukanlah satu perkara yang kecil malah ia merupakan kesalahan yang besar sehingga digambarkan oleh Allah akan kemarahan makhluk lain ke atas mereka yang menyeleweng tersebut. Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T, Sehubungan itu, penggunaan kalimah Allah dalam buku penerbitan agama Kristian pastinya mamberikan maksud yang berbeza dengan tafsiran Islam berikutan dasar kepercayaan yang berbeza lagi bertentangan. Sedangkan kalimah Allah adalah bersifat eksklusif yang membezakan tafsiran kalimah Allah dari sudut kepercayaan musyrikin, Kristian dan selainnya. Firman Allah S.W.T dalam 1-4 surah al-Ikhlas: قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ ۝ ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ ۝ لَمۡ یَلِدۡ وَلَمۡ یُولَدۡ ۝ وَلَمۡ یَكُن لَّهُۥ كُفُوًا أَحَدُۢ Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”.” Kita memandang serius isu penggunaan kalimah Allah oleh non-Muslim berhubung keputusan oleh Mahkamah Tinggi tersebut. Secara asasnya, penggunaan kalimah Allah tanpa diseleweng maksudnya adalah dibenarkan. Dalam masa yang sama, perlunya tindakan tegas agar tidak ada sebarang usaha yang boleh membawa kecenderungan bagi menyeleweng kalimah Allah. Sekalipun, kelulusan penggunaan tersebut secara khusus kepada penganut Kristian dan untuk kalangan mereka sahaja namun tiada jaminan perkara ini boleh terkawal apatah lagi asasnya penggunaan kalimah Allah dalam kitab penerbitan agama mereka sudah tidak menepati maksud sebenar bagi kalimah Allah tersebut. Justeru, perlunya satu tindakan serius untuk menilai kembali keputusan ini agar dibawa ke peringkat yang lebih tinggi bagi memastikan kesucian kalimah Allah terpelihara dan tidak mengguris sensitiviti umat Islam di Malaysia ini. Kita menyokong penuh usaha kerajaan membuat rayuan bagi kes tersebut dan tidak sama sekali menarik balik Pekeliling KDN KKDN/S59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986 yang melarang penggunaan empat perkataan eksklusif untuk orang Islam iaitu kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan Solat, untuk dilarang penggunaannya kepada bukan Islam. Sekalipun Mahkamah Tinggi memutuskan ianya tidak berperlembagaan, Kerajaan boleh memohon penangguhan pelaksanaan (stay of execution) bagi memastikan larangan dalam Pekeliling tersebut dikekalkan. Ini bagi memastikan ianya tidak diambil kesempatan oleh para Evangelis untuk menggerakkan dakyah mereka. Kita tidak sekali berundur yang menyebabkan bukan sahaja kalimah Allah disalahguna malah Islam akan dihina. Bersama kita Pertahan dan perjuangkan Isllam untuk Berjaya dunia akhirat. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: