أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Rabu, 17 Mac 2021

Khutbah Jumaat : Hayati Isra’ Mikraj Perkuat Syariat Sekat Murtad

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ….. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Renungilah firman Allah dalam ayat 60 surah al-Isra’ : وَإِذْ قُلْنَا لَكَ إِنَّ رَبَّكَ أَحَاطَ بِالنَّاسِ ۚ وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِّلنَّاسِ وَالشَّجَرَةَ الْمَلْعُونَةَ فِي الْقُرْآنِ ۚ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا طُغْيَانًا كَبِيرًا ﴿٦٠﴾ Maksudnya : Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya; dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau. Ketika membicarakan tentang mukjizat agong yang berlaku ke atas batang tubuh nabi Muhammad s.a.w iaitu Isra’ dan Mikraj maka di sana kita dapat lihat bagaimana kedudukan akal dalam Islam bukanlah mutlak kerana akal juga mempunyai kemampuan dan had tertentu sepertimana kemampuan mata, telinga yang juga mempunyai had masing-masing. Ada hal-hal tertentu yang tidak mampu difikirkan oleh akal seperti perkara-perkara ghaib , antaranya kewujudan syurga dan neraka, azab kubur dan peristiwa Isra’ Mikraj itu sendiri. Kita jangan terpengaruh dengan golongan Liberalisme yang tidak mahu akal terkongkong dengan panduan agama. Bagi puak Liberal, kongkongan agama ke atas pemikiran manusia menjadikan manusia itu umat yang mundur terkebelakang. Kita yakinIslam tidak mengongkong akal berfikir sebaliknya Islam memimpin akal dengan menunjukkan cara berfikir yang selamat dan membawa kebaikan. Liberalisme hanya mahukan akal bebas daripada agama hingga dikongkong oleh nafsu dan emosi. Menjadikan kewarasan pertimbangan oleh akal tanpa memikirkan nasib keberuntungan di akhirat kelak. Sehubungan itu, Rasulullah S.A.W mendidik agar sesuatu bicara sekalipun pastikan ada nilai hubung kait dengan keimanan kepada Allah dan Hari Akhirat Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam ayat42 surah at-Taubah: لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوكَ وَلَـٰكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّـهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللَّـهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ ﴿٤٢﴾ Maksudnya : Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu”. (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu). Antara perkara hebat yang dilalui oleh nabi Muhammad s.a.w semasa Isra Mikraj ialah bau harum daripada keluarga Masyitah penyikat puteri Firaun yang sanggup mati demi mempertahankan iman. Inilah lumrah perjuangan Islam yang pasti berdepan dengan pelbagai ujian dan cabaran. Islam tidak menjanjikan kemenangan mudah dan cepat malah perlu mengorbankan nyawa dan menumpahkan darah. Kenapa Allah jadikan perjuangan Islam ini lambat untuk mencapai kemenangan?, kerana didunia adalah tempat ujian, dunia adalah tempat cubaan, Allah hendak jadikan manusia beriman yang diuji , martabatnya tinggi pada hari kiamat kelak dengan balasan Syurga, berbeza dengan malaikat dan binatang yang tidak diuji . Tujuannya Allah hendak memberi pahala yang banyak kepada manusia. Dengan sebab itulah Allah tidak menjadikan kerja menegakkan Islam ini mudah iaitu hari ini buat esok terus dapat kemenangan yang segera. Allah jadikan perjuangan Islam memakan masa yang lama, mengguna tenaga yang banyak, mengorban jiwa yang ramai serta harta benda yang banyak. Allah hendak tapis di kalangan kita siapakah yang benar-benar beriman, orang munafik dan orang kafir. Akan tiba masanya Allah beri kemenangan yang pasti mendapat pahala kepada kita. Maka kita terima apa jua keputusan yang dikurnia oleh Allah kepada kita Sidang Jumaat yang dikasihi Allah, Firman Allah dalam ayat 35 surah ar-Ra’du: مَّثَلُ الْجَنَّةِ الَّتِي وُعِدَ الْمُتَّقُونَ ۖ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ ۖ أُكُلُهَا دَائِمٌ وَظِلُّهَا ۚ تِلْكَ عُقْبَى الَّذِينَ اتَّقَوا ۖ وَّعُقْبَى الْكَافِرِينَ النَّارُ ﴿٣٥﴾ Maksudnya : Sifat Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa itu ialah air sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya; makanannya kekal tidak putus-putus dan naungannya sentiasa teduh. Itulah kesudahan usaha orang-orang yang bertaqwa, sedang kesudahan usaha orang-orang yang kafir pula ialah neraka. Kisah Isra Mikraj yang mempelihatkan kepada nabi Muhammad s.a.w tentang Syurga dengan segala nikmatnya dan Neraka dengan segala azabnya menambahkan lagi keimanan kita bahawa kehidupan kita tidak berakhir dengan kematian. Bahkan kita bakal dihisab atas segala amalan kita di akhirat nanti bagi menentukan antara Syurga atau Neraka. Oleh itu kita merasa bimbang dengan beberapa isu yang melibatkan segelintir anggota masyarakat yang berbangga dan mempromosi maksiat di media sosial dan ada yang mengugut untuk murtad. Kita wajib menangani virus merbahaya ini secara bersama antaranya : [1] Setiap individu hendaklah memberhentikan penyebaran klip video orang rosak akhlak dan masalah aqidah daripada ditularkan kepada orang lain kerana ianya membawa kepada tindakan mempromosikan beliau secara tidak langsung. [2] Membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi menunjukkan kebencian terhadap perbuatan keji ini seperti laporan polis dan sebagainya yang difikirkan munasabah. [3] Bersama menyedarkan pemerintah, pihak berkuasa dan seluruh lapisan masyarakat bahawa memelihara agama (hifz ad-din) berada di carta terpenting berbanding dengan maqasid yang lain. [4] Tanggungjawab pemerintah terhadap rakyat, para ibu bapa terhadap anak-anak, para guru terhadap anak didiknya, majikan terhadap pekerjanya perlu disedarkan dan dirasakan bahawa nilai Iman dan Islam adalah anugerah Allah SWT yang paling bernilai berbanding nilaian harta benda di dunia ini. [5] Menegaskan bahawa isu murtad bukanlah hak individu seperti yang difahami sesetengah pihak atas prinsip kebebasan beragama, malah isu murtad merupakan isu keselamatan di bawah tanggungjawab kerajaan. Oleh yang demikian, diseru kepada segenap lapisan masyarakat Islam agar kecemburuan kita terhadap sesuatu yang merosakkan nilai agama dan kepercayaan hendaklah didahulukan tanpa menunggu angka yang banyak untuk bertindak. Marilah kita menyedari bahawa dewasa ini kita bukan sekadar menghadapi krisis keruntuhan akhlak, konflik politik dan perpecahan umat, kecuaian dalam beribadah, kelemahan meninggikan syiar Islam dan pembudayaan songsang tetapi kekhuatiran utama yang perlu disedari adalah permasalahan Iman dan kufur. Kealpaan, kecuaian dan sikap sambil lewa kita dalam memelihara agama menyebabkan umat dan negara bakal menuju kepada kehancuran Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 81 surah al-Isra’ : وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ ۚ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا ﴿٨١﴾ Maksudnya : Dan katakanlah:” Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap”. Pada tarikh 3 Mac yang baru lalu kita mengingati ke-97 umat Islam hilang sebuah institusi yang memegang hegemoni dan kuasa politik dunia secara berpusat, iaitu sistem khalifah dengan jatuhnya Khilafah Uthmaniah Turki pada 1924. Hilangnya sistem khilafah tersebut menjadi permulaan kepada siri-siri cengkaman kuasa-kuasa Barat seperti British, Perancis, Amerika dan sebagainya terhadap umat Islam di seluruh dunia terutamanya di Timur Tengah, Afrika dan sebahagian besar wilayah Asia. Negara kita tidak terkecuali terasa dengan penjajahan ini termasuk dari segi perundangan. Minggu lepas kita dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyebabkan satu kuasa Mahkamah Syariah dilucutkan. Disusuli pula dengan satu lagi enakmen lain yang dicabar iaitu enakmen tentang menghina mahkamah. Umat Islam marhaen seolah-olah tidak boleh berbuat apa-apa walaupun ada rakan-rakan peguam kita bermati-matian berlawan di mahkamah. Kita seringkali lemah di mahkamah walaupun sistem perundangan kita sudah cantik, walaupun tidak sempurna. Apa yang diperuntukkan dalam sistem atas kertas pastinya rapuh jika mereka yang mengisinya tidak punyai ruh Islam kerana apa sahaja boleh diubah mengikut neraca sekular dan liberalisme agama. Itulah penting secara asasnya untuk setiap Muslim di Malaysia berpegang dan mempertahan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam, maka semuanya perlu ke arah itu dan tiada ruang untuk elemen-elemen sekularisme dan liberalisme agama masuk dan menguasai negara. Jika tidak, mereka akan sentiasa gunakan hujah bahawa negara ini adalah sekular, maka segalanya terutamanya perundangan mesti ditafsir secara sekular. Oleh itu ruh Islam dalam arus perdana, institusi-institusi Islam, pegangan ekonomi umat Islam dan sebagainya wajib dikuatkan kerana elemen-elemen inilah yang menguat dan menjadi ‘pendokong system’ secara langsung atau tidak langsung kepada kekuasaan politik Islam di Malaysia. Kecuaian terhadap elemen-elemen inilah yang menjatuhkan sistem khalifah, kerana ianya bukan jatuh begitu sahaja atau tiba-tiba. Ianya berpunca dari siri-siri perpecahan, kelemahan ekonomi umat, keruntuhan akhlak dan integriti, institusi-institusi Islam yang sudah rosak dan sebagainya. Usaha secara segera dan bersungguh mesti dilakukan oleh pihak Kerajaan dalam memastikan kedudukan dan kedaulatan perundangan syariah, yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak dicabar dan diperlekeh oleh pihak-pihak yang membawa ideologi Liberalisme dan Sekularisme dalam negara ini. Kita wajib bersatu dan bersungguh dalam memperkukuhkan sistem Islam dalam negara. Kesannya mungkin bukan hari ini, mungkin 100 tahun lagi. Kita semua sebagai umat Islam perlu bekerja untuk membina rangkaian tugas ini mengikut kapasiti dan bidang masing-masing. Islamlah nescaya kita selamat dunia akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: