أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 8 Jun 2018
Lailatul Qadar DiCari Izzah Ummat DiMiliki
الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ ….فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Qadar :
إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ ﴿٣﴾ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ ﴿٤﴾ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ ﴿٥﴾
Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?. ( Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
Kini kita telah berada pada 10 hari dan malam terakhir bulan Ramadhan ini yang memberi isyarat jelas supaya kita semakin bersemangat dalam menambahkan bekalan akhirat pada saat yang begitu berharga ini terutama salah suatu malamnya akan ada Lailatul Qadar yang beribadat padanya lebih baik daripada 1000 bulan atau 83 tahun 4 bulan. Jika dalam urusan dunia seperti bila adanya tawaran gaji lumayan, jualan murah serta bonus kerja maka kita pasti berebut dan rasa begitu gembira apabila berjaya mendapatnya. Sepatutnya semangat berlumba untuk mendapatkan Lailatul qadar mesti lebih bersungguh daripada mengejar habuan dunia. Kita jangan hilang fokus dan tumpuan bila berada di akhir Ramadhan sebaliknya amalan soleh kita termasuk solat berjemaah, iktikaf di masjid, membaca al-Quran, bersedekah terus dijaga dan ditambah. Jangan biarkan persiapan menyambut hari raya mengganggu tumpuan kita dalam mengejar Lailatul qadar bagi menjamin hari raya yang lebih hebat dalam Syurga Allah di akhirat nanti
قال الرسول : “تحَرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ فيِ الوِتْرِ مِنَ العَشِر الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ” – رواه البخاري ومسلم
Maksudnya : Carilah Lailatul Qadar pada bilangan ganjil pada 10 malam terakhir daripada Ramadhan
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
قال الرسول : مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِإِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ -– رواه البخاري ومسلم.
Maksudnya : Sesiapa yang bangun beribadat pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu
Antara cara untuk membantu kita agar dapat fokus dalam mendapatkan fadhilat lailatul qadar ialah : [1] Benar-benar bersemangat untuk meraih lailatul qadar dimulai dengan meluruskan niat semata ingin redha Allah. [2] Bermujahadah atau bersungguh dalam ibadah termasuk berpuasa tanpa maksiat, membaca al-Quran dengan pemahaman dan penghayatan serta menunaikan solat Terawih tanpa putus [3] Melaksanakan kewajiban Syariat Allah termasuk menunaikan zakat, menutup aurat. [4] Beriktikaf di masjid lebih banyak daripada berada di kedai, depan TV [5] Selalu berjaga dalam kekhusyukan ibadah, tidak banyak tidur dan berbual kosong. [6] Berazam dan bersumpah untuk taubat nasuha, tidak kembali maksiat dan tidak akan menzalimi dan menyakiti siapa pun lagi. [7] Wajib meminta maaf kepada siapa pun termasuk kepada keluarga atau sahabat yang pernah dia sakiti kerana itu semua akan menjadi penghalang bagi maqbul doa dan ibadahnya. [8] Tiada waktu berlalu sia-sia kecuali banyak berzikir, istighfar, selawat, wudhu terjaga dan suka bersedekah. [9] Berdoalah bersungguh-sungguh dengan penuh pengharapan agar Allah menganugerahkan kita dengan kelebihan lailatul qadar.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 37-41 surah an-Naaziat:
فَأَمَّا مَن طَغَىٰ ﴿٣٧﴾ وَآثَرَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا ﴿٣٨﴾ فَإِنَّ الْجَحِيمَ هِيَ الْمَأْوَىٰ ﴿٣٩﴾ وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ﴿٤٠﴾ فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ ﴿٤١﴾
Maksudnya : Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya); adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya), - Serta dia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, - Maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya. Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, - Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.
Antara penghalang utama dalam berbuat ibadat dan rasa teruja dengan janji Allah ialah hawa nafsu dalam diri. Oleh itu anugerah Ramadhan ini merupakan medan yang penting dalam mendidik dan mengawal nafsu kita agar tunduk kepada Allah. 3 prinsip asas kaedah melawan nafsu sebagaimana yang digariskan oleh Imam Ghazali ialah : [1] Menahan atau menyekat sumber kekuatan nafsu di mana nafsu diibaratkan kuda yang liar yang boleh dijinakkan dengan syarat ditahan sumber yang memberikannya tenaga. Jadi, nafsu boleh dikawal dengan menahan makan dengan berpuasa. Begitu juga menahan mata, telinga, mulut, hati daripada tegahan Allah. Semua ini dapat diketahui dengan cara belajar dan beramal. [2] Membebankan nafsu itu dengan ibadah terutamanya ibadah khusus yang berbentuk fardhu dan sunat. Solat terutamanya, sangat diperlukan dalam kaedah ini semata-mata untuk ‘menyeksa’ nafsu. Bukan sahaja solat 5 waktu tetapi juga qiamulalil sangat berkesan untuk menundukan hawa nafsu. Begitu juga dengan zikrullah yang lain seperti membaca Al-Quran serta wirid-wirid tertentu. Begitu juga dengan amalan sedekah, kerja-kerja amal, mengajar, belajar dan lain-lain amal kebajikan. Pokok pangkalnya, bebankanlah nafsu kita dengan ibadah hingga ia merasa letih untuk melakukan kejahatan. Ingatlah nafsu itu tidak pernah puas dan kehendaknya tidak terbatas, maka ibadah yang dapat menundukkannya hendaknya begitu juga. Jangan terbatas dan jangan dibatasi oleh rasa puas. [3] Berdoa minta bantuan Allah untuk menewaskan nafsu. Nafsu itu makhluk Allah, maka Allah sahaja yang mampu memudahkan diri manusia untuk menguasai dirinya sendiri (nafsu). Bahkan, usaha awal kita untuk memperbaiki diri perlulah dimulai dengan membentuk hubungan yang baik dan dekat dengan Allah. Hubungan ini dibentuk melalui doa. Jika Allah permudahkan, jalan mujahadah yang payah akan menjadi mudah. Bantuan Allah inilah yang sangat kita dambakan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
قَالَ النبي :: ثَلَاثٌ مُهْلِكَاتٌ : شُحٌّ مُطَاعٌ ، وَهَوًى مُتَّبَعٌ ، وَإِعْجَابُ الْمَرْءِ بِنَفْسِهِ – رواه الطبراني
Maksudnya : 3 perkara yang membinasakan adalah: kebakhilan dan kerakusan yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti, dan seseorang yang membanggakan diri sendiri.
Imam Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan secara berperingkat-peringkat. Latihan menundukkan hawa nafsu ini perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah dan jangan pula sekadar “hangat-hangat tahi ayam”. Selain itu hendaklah bermujahadah dalam beramal. Dalam beramal sudah tentu ada halangan-halangannya, ada ujian-ujiannya dan ada pula cabarannya yang banyak. Jika tidak kuat mujahadah atau melawan nafsu, maka kita akan mudah terasa jemu. Bila ada sesuatu yang menghalang dan jika pada masa itu kita tidak kuat mujahadah, langsung kita tinggalkan ibadah itu kerana terasa berat. Mujahadah memerangi nafsu ini kena buat sungguh-sungguh.
Said Hawa dalam kitabnya Al-Asas fit Tafsir: Secara dasarnya melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan nafsu agar ia mengikut kehendak Allah dalam setiap perkara. Apabila nafsu dapat dikalahkan seseorang akan mengutamakan perkara yang dicintai Allah dan mengetepikan kehendak peribadi.
Seseorang yang mencintai Allah sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya kerana Allah. Dia tidak akan sanggup melakukan sesuatu yang maksiat. Berhubung dengan ini Abdullah ibnu Mubarak berkata, ‘Jika cintamu benar, kamu akan mentaatiNya kerana seseorang yang mencintai sesuatu sanggup mentaati sesuatu.’
Perjuangan untuk melawan hawa nafsu bukanlah suatu yang mudah. Imam Al-Ghazali dalam Raudatut Talibin berkata, ‘Berhati-hatilah kamu dengan hawa nafsu. Ia adalah musuh kita yang paling ketat dan yang paling sukar untuk dikalahkan
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 1-3 surah al-Fathu:
إِنَّا فَتَحْنَا لَكَ فَتْحًا مُّبِينًا ﴿١﴾ لِّيَغْفِرَ لَكَ اللَّـهُ مَا تَقَدَّمَ مِن ذَنبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ وَيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكَ وَيَهْدِيَكَ صِرَاطًا مُّسْتَقِيمًا ﴿٢﴾وَيَنصُرَكَ اللَّـهُ نَصْرًا عَزِيزًا ﴿٣﴾
Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata, Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian, dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayah ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya). Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepunuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya)
Beradanya kita pada bulan Ramadhan turut mengetuk hati kita untuk mengambil pengajaran kepada pembukaan Kota Mekah pada Ramadhan tahun 8 Hijrah yang berlaku akibat pencabulan perjanjian yang dimeterai antara Rasulullah SAW dengan puak Quraisy dalam Perjanjian Hudaibiyah pada tahun 6 Hijrah. Sebelum pembukaan Kota Makkah berlaku, pemimpin Quraisy Abu Sufyan bin Harb telah datang menemui Rasulullah S.A.W meminta perdamaian. Beliau tahu Quraisy tidak dapat lagi menghadapi kemaraan umat Islam. Nabi menerima perdamaian itu dengan meletakkan beberapa syarat. Namun semangat berkobar-kobar umat Islam mahu membalas pengkhianatan janji Quraisy menyebabkan Saad bin Ubadah menyatakan kata-kata keras di hadapan Abu Sufyan:
الْيَوْمَ يَوْمُ الْمَلْحَمَةِ ، الْيَوْمَ تُسْتَحَلُّ الْكَعْبَةُ
Maksudnya : Hari ini adalah hari peperangan! Hari ini Kaabah akan ditawan!"
Apabila Nabi S.A.W mendapat tahu perkara ini, baginda membalas:
الْيَوْمُ يَوْمُ الْمَرْحَمَةِ ، الْيَوْمُ يَعِزُّ اللَّهُ فِيهِ قُرَيْشًا
"Sebenarnya hari ini hari kerahmatan.. hari ini Allah memuliakan bangsa Quraisy.."
Umat Islam masuk Kota Mekah tanpa sebarang peperangan. Kaabah dibuka dalam keadaan aman. Apabila dihimpun pembesar-pembesar Quraisy yang sebelum ini begitu kuat melawan Islam, Nabi S.A.W menyatakan pada mereka:
اِذْهَبُوْا فَأَنْتُمُ الطُّلَقَاء
"Pergilah! kalian telah dibebaskan."
Keadaan ini telah membuatkan orang berbondong-bondong memeluk Islam. Kemenangan Islam tidak sedikitpun digunakan bagi membalas dendam kejahatan yang selama ini dilakukan Quraisy. Pembukaan Kota Mekah bukan sekadar untuk memudahkan mengerjakan ibadat umrah dan haji, bukan sekadar menghancurkan berhala yang berada di keliling Ka’abah malah kesannya lebih jauh terutama dalam mengembang dakwah Islam dan menaungi negara luar Mekah dan Madinah dengan system Islam. Kita yakin bahawa pejuang menghalau penjajah sebelum ini, seterusnya pertukaran pemimpin dan kerajaan bukan sekadar pertukaran orang dan kumpulan tetapi mesti diusahakan ke arah memperkasa system Islam dalam negara. Bukan setakat menukar system jahiliah kepada jahiliah baru, sekuler kepada liberal, kapitalis kepada sosialis sebaliknya membina negara atas dasar Islam untuk Berjaya dunia akhirat. Kemenangan dalam memperkasa kemuliaan Islam agar kes murtad dapat disekat, kerosakan akhlak dapat diubat, jenayah dapat dibanteras, rasuah dan penyelewengan dapat ditangani
Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, Ramadhan yang mulia, di masjid yang mulia maka marilah kita sama-sama mengambil peduli tentang penderitaan saudara kita di Myanmar, Iraq, Syria dan lain-lain. Begitu juga kekejaman zionis yahudi di Palestin termasuk yang terbaru menembak mati sukarelawan perempuan ketika membantu mangsa lain dalam membantah kekejaman rejim zionis yahudi. Nyatakan keimanan kita dengan turut menderita atas penderitaan saudara seagama, turut bersedih atas kesedihan saudara segama. Jangan biar mereka mati kelaparan ketika kita letih kekenyangan. Jangan biarkan mereka meraung kesakitan ketika seronok kegirangan. Kasihanilah saudara seagama semoga kita dikasihi oleh Allah dan para malaikat
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan