أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 29 Jun 2018

Contohi Umat Kemenangan Ulangi Kegemilangan

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ !! الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 4-6 surah at-Tiin : لَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ فِي أَحْسَنِ تَقْوِيمٍ ﴿٤﴾ ثُمَّ رَدَدْنَاهُ أَسْفَلَ سَافِلِينَ ﴿٥﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ فَلَهُمْ أَجْرٌ غَيْرُ مَمْنُونٍ ﴿٦﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika dia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah, Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka mereka beroleh pahala yang tidak putus-putus Kini lebih 2 minggu kita berada di bulan Syawal setelah sebulan kita sama-sama menghidupkan Ramadhan dengan amalan soleh. Suasana sambutan raya masih hangat terasa dengan pelbagai acara dan suasana. Pastikan keseronokan menyambut raya sama dengan amal kita sepanjang Ramadhan yang lalu iaitu berpaksi kepada agama bukan menurut hawa nafsu. Sayyidina Ali bin Abi Thalib RA pernah berkata: “Aduhai seandainya aku tahu siapakah yang diterima amalannya pastilah kami akan mengucapkan selamat kepadanya, dan siapa yang ditolak amalannya, kami akan bersedih kepadanya”. Para generasi salaf, 6 bulan pasca Ramadhan mereka gunakan untuk memohon kepada Allah agar seluruh amalan di bulan Ramadhan diterimanya. Khalifah Umar bin Abdul Aziz, di saat berkhutbah di hadapan rakyatnya pada hari raya : “Wahai rakyat sekalian! Kalian telah berpuasa selama 30 hari, dan telah solat malam selama 30 hari. Sekarang tiba saatnya kalian keluar dari bulan Ramadhan untuk memohon pada Allah agar semuanya diterima”. Antara usaha kita dalam memastikan tarbiah Ramadhan tidak terhenti dengan berlalunya Ramadhan ialah dengan kita terus bersemangat untuk membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran. Kita terus jinak dengan solat berjemaah di masjid atau surau. Tidak lupa untu kita hidupkan bulan lain dengan puasa sunat. Betapa beruntungnya orang-orang yang telah menyempurnakan puasa sunat 6 hari bulan Syawal, begitu juga yang sedang menunaikannya. Bagi yang belum memulakannya atau tak pernah menunaikannya sebelum ini maka marilah kita sama-sama membuktikan bahawa tarbiah Ramadhan lepas telah berjaya mengubah kita ke arah menjadi hamba Allah. Sama-samalah kita merebut kelebihan puasa sunat terutama berpuasa enam hari dibulan Syawal bagi menyahut sabda nabi s.a.w : مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّال كَانَ كَصِيَامِ الَّدهْرِ - رواه مسلم Maksudnya : Sesiapa yang telah berpuasa fardhu Ramadhan kemudian diikuti pula dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal maka adalah pahalanya seperti dia berpuasa sepanjang tahun. Abu Said Al-Khudri RA berkata: Rasulullah saw bersabda مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا - رواه البخاري. Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 9-10 surah As-Syamsu : قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا ﴿٩﴾ وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا ﴿١٠﴾ Maksudnya : Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), (9)Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat) Setiap diri insan yang beriman sentiasa mengambil berat tentang kuantiti dan kualiti amalan soleh mereka di mana timbul perasaan sentiasa berharap agar Allah maqbulkan disamping berasa takut jika amalan ditolak sehingga dia begitu bersungguh dan cermat dalam ibadat dan memohon keampunan. Ibnu Rajab Al-Hanbali RH menukil dalam kitabnya “Lathaa`ifu al-Ma’aarif” berkaitan 5 tanda yang menunjukkan bahawa amal atau ibadah mu’min diterima di bulan Ramadhan: [1] Memiliki persepsi atau pandangan yang benar berkaitan amalan yang dilakukan. Amal yang dilakukan di bulan Ramadhan tidak sampai membuatnya membezakannya dengan bulan yang lain. Ungkapan ulama’ : “Sehina-hina kaum adalah yang mengenal hak-hak Allah hanya di bulan Ramadhan saja. Sesungguhnya orang soleh adalah yang beribadah dan bersungguh-sungguh sepanjang tahun.” [2] Lahir sebagai hamba Allah bukan hamba Ramadhan iaitu beramal tidak bergantung pada bulan sebaliknya bergantung kepada Allah sepanjang masa [3] Melakukan ibadat secara istiqamah atau berkesinambungan. Kalau di bulan Ramadhan dia berpuasa, bersedekah, membaca Al-Qur`an dan qiamullail maka di bulan-bulan lain juga mengamalkannya secara berterusan. قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحَبُّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ - رواه مسلم Maksudnya : Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit. [4] Diberi taufiq atau pertolongan oleh Allah untuk mengamalkan kebaikan setelah berlalu Ramadhan. Sebagian ulama berkata: “Pahala kebaikan adalah kebaikan yang dilakukan setelahnya. Sesiapa melakukan amal kebaikan kemudian diikuti dengan kebaikan berikutnya, maka itu sebagai tanda diterima amal kebaikan yang pertama. Sementara orang yang melakukan amal keburukan setelah kebaikan, itu sebagai tanda amalnya tidak diterima oleh Allah.” Ibnu Rajab RH berkata: “Sesiapa yang mengamalkan beberapa ketaatan dan menyelesaikannya, maka tanda amal itu diterima adalah ketika berlanjutan atau bersambung dengan ketaatan yang lain. Sedangkan tanda amal ditolak ketika diiringi maksiat setelah selesai melakukan sesuatu amal kebaikan”. [5] Tidak lupa bersyukur kepada Allah yang memudahkan dan memberinya taufiq untuk beramal soleh. Ketika Wahab bin Warad ditanya mengenai pahala amalan tertentu seperti towaf dan semacamnya, beliau menjawab: “Jangan bertanya tentang pahalanya, tapi bertanyalah: apa kamu sudah bersyukur kepada Allah yang telah memberi taufiq dan pertolongan untuk melakukan amal kebaikan tersebut.” Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 104 surah An-Nisaa’ : وَلَا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ ۖ إِن تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّـهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ عَلِيمًا حَكِيمًا ﴿١٠٤﴾ Maksudnya : Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. Beradanya kita pada bulan Syawal juga mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti Peperangan Uhud, Peperangan Ahzab atau Khandak dan Peperangan Hunain. 3 peperangan yang berbeza dengan 3 keputusan yang berbeza banyak mengajar kita bagaimana perjuangan Islam bukan melalui jalan mudah, senang untuk mendapat kemenangan. Malah cara untuk mendapat kemenangan tidak boleh lari daripada garisan syarak, begitulah juga dalam mengisi kemenangan tidak boleh bercanggah dengan apa yang ditunjuk oleh Allah dan rasulNya. Islam mengajar umatnya agar ada prinsip supaya tidak menjadikan matlamat untuk menang, mendapatkan harta tanpa mengira halal dan haram, dosa pahala, syurga neraka. Malah suatu kemenangan yang dicapai mesti diisi dengan agenda memperkasakan Islam dengan bersungguh-sungguh dalam melawan sebarang usaha pihak yang terus berusaha dalam melumpuh dan melemahkan Islam. Isu murtad, budaya songsang, zina, keruntuhan akhlak akan semakin parah sekiranya umat Islam memandang bahawa isu ini adalah kes terpencil apatah lagi jika turut terikut-ikut dengan rentak pemikiran liberal. Allah mendatangkan Islam sebagai autoriti yang mengikat segala tingkah laku manusia. Namun, generasi baharu menganggap agama sebagai benda lapuk, kolot dan mundur. Mereka mudah rasa bosan dengan istilah tarbiah, taat, amal dan iman. Ada kemungkinan kebosanan itu disebabkan pendekatan untuk menerangkan hal agama yang tidak sesuai dengan jiwa generasi baharu. Namun, hidup mereka yang berteraskan teknologi menuntut semua perkara menjadi cepat dan segera. Mereka bosan kalau lambat, lama dan sama. Mereka mahu yang baharu, sensasi, teruja, moden dan ada kelainan. Mereka menuntut agar diraikan pandangan, pendapat, hak dan keinginan mereka walau bercanggah dengan agama. Yang lama, tradisional, lambat, garang, kasar, bengis dan membosankan bagi mereka. Apabila mereka mula ingin lolos dari ikatan agama, maka jarum liberalisme bermula. Oleh itu usaha yang bersungguh mesti diambil oleh semua pihak bermula daripada pemimpin, ibubapa, guru, pendakwah dan sebagainya dalam menerangkan kepentingan hidup beragama kepada generasi baru dengan nafas baru yang sesuai dengan masa. Generasi baharu perlu mengawal tarikan nafsu kepada semua perkara “baharu” agar tidak melepasi garisan merah yang dibenarkan oleh agama. Hidup biar ada ikatan dengan agama, kerana ia panduan buat umat manusia untuk berjaya dunia akhirat. Sidang Jumaat yang diberkati Allah S.W.T, Firman Allah dalam ayat 112 surah at-Taubah : التَّائِبُونَ الْعَابِدُونَ الْحَامِدُونَ السَّائِحُونَ الرَّاكِعُونَ السَّاجِدُونَ الْآمِرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّاهُونَ عَنِ الْمُنكَرِ وَالْحَافِظُونَ لِحُدُودِ اللَّـهِ ۗ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ ﴿١١٢﴾ Maksudnya : (Mereka itu ialah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang rukuk, yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat demikian). Sirah nabi s.a.w dan perjuangan para sahabat RA serta pejuang Islam selepas mereka bukan untuk dibaca sahaja sebaliknya mesti difahami seterusnya diteladani dalam mengulangi semula kejayaan dan kegemilangan umat Islam sebelum ini. Antara ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pejuang agama Allah agar kita termasuk di dalam golongan ini ialah : [1] Suka bertaubat [2] Rajin beribadat memperhambakan diri setiap masa [3] sentiasa memuji dan bersyukur kepada Allah [4] sentiasa menuntut ilmu dan menyebarkan ilmu [5] sentiasa rukuk dan sujud iaitu sentiasa menjaga sembahyang [6] Sentiasa menyuruh perkara makruf dan mencegah kemungkaran [7]sentiasa menjaga batas-batas hukum Allah Pejuang Islam bukan daripada kalangan yang hanya mendakwa dirinya pejuang Islam sedangkan dia tidak memiliki dan melaksana sifat pejuang Islam. Golongan yang berjaya bukan setakat mendabik dada dengan kejayaan generasi lalu sebaliknya bersungguh-sungguh dalam mengembalikan kejayaan yang pernah dicapai. Islamlah nescaya kita berjaya dunia akhirat بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: