أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Rabu, 12 November 2014

Muharram DiRai Hijrah DiHayati Kemuliaan DiMiliki

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 36 surah at-Taubah : إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ ﴿٣٦﴾‌ Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa Kini telah seminggu kita berada di bulan Muharram tahun 1436H di mana bulan Muharram merupakan salah satu dari 4 bulan haram yang telah Allah muliakan. Secara khusus Allah melarang berbuat zalim pada bulan ini untuk menunjukkan kehormatannya. Larangan berbuat zalim pada bulan-bulan ini menunjukkan bahawa dosanya lebih besar daripada dikerjakan pada bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amal kebaikan yang dikerjakan di dalam bulan-bulan haram termasuk Muhharam juga dilebihkan pahalanya. Salah satu amal soleh yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w untuk dikerjakan pada bulan Muharram ini ialah memperbanyakkan puasa sunat. قَالَ الرسول e: أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ – رواه مسلم Maksudnya : Puasa yang paling utama sesudah puasa Ramadlan adalah puasa pada Syahrullah (bulan Allah) Muharram. Sedangkan solat malam merupakan solat yang paling utama sesudah solat fardhu.” Begitu juga galakan khusus untuk berpuasa sunat hari ke-10 Muharram قَالَ رَسُولُ اللَّهِ e: .. وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ” – رواه مسلم Maksudnya : … Adapun puasa hari Asyura (iaitu hari ke-10 Muharram), pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya Sebaiknya jika berkemampuan kita gabungkan puasa Asyura’ dengan puasa sunat Tasua’ iaitu hari ke-9 Muharram sebagai bentuk berhati-hati terutama untuk membezakan daripada puasa orang Yahudi dan Nasrani لَئِنْ عِشْتُ إلَى قَابِلٍ لاَصُومَنَّ التَّاسِعَ – رواه مسلم Maksudnya : Jika aku masih hidup di tahun depan, pasti akan berpuasa pada hari kesembilan Muharram. Sidang Jumaat yang berkati Allah, Firman Allah dalam ayat 30 surah al-Anfal : وَإِذْ يَمْكُرُ‌ بِكَ الَّذِينَ كَفَرُ‌وا لِيُثْبِتُوكَ أَوْ يَقْتُلُوكَ أَوْ يُخْرِ‌جُوكَ ۚ وَيَمْكُرُ‌ونَ وَيَمْكُرُ‌ اللَّـهُ ۖ وَاللَّـهُ خَيْرُ‌ الْمَاكِرِ‌ينَ Maksudnya : Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya Beradanya kita pada tahun baru Hijrah turut mengetuk hati untuk sama-sama menghayati tentang strategi dan cara terbaik yang ditunjukkan oleh nabi Muhammad s.a.w dalam mendirikan Daulah Islamiah yang berjaya di bumi Madinah Munawwarah. Peristiwa hijrah bukan suatu perjalanan biasa malah menyingkap perjuangan penuh kekuatan tanpa putus asa dan menyerah kalah di samping ia menjadi garisan pemisah antara kebenaran dengan kebatilan. Ia juga diibaratkan jambatan yang menghubungkan antara 2 tahap masa perjuangan Rasulullah SAW selama 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah. 2 tahap ini sudah cukup untuk mengajar kita bahawa setiap kejayaan akan didahului dengan ujian yang hebat serta daya saing yang mantap. Hijrah menghasilkan umat yang dipandang lemah berjaya mendirikan Daulah yang gagah, dakwah yang banyak tertumpu kepada pembersihan Aqidah dan ibadat bentuk individu kepada pelaksaan system Islam yang menyeluruh merangkumi politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Hijrah penyempurna pelaksanaan syariat Islam bermula dari individu, keluarga, masyarakat seterusnya Negara. Berjayanya Hijrah kerana berpindah daripada cara hidup jahiliah kepada Islam, gelap kufur kepada sinar iman, kezaliman system manusia kepada keadilan system Islam. Sedangkan umat Islam hari ini tertinggal dari banyak sudut akibat berundur ke belakang termasuk daripada hukum Islam kepada mendewakan hukum manusia. Tanpa hukum syariat sesetengah kita sanggup menuduh seseorang berzina atau liwat tanpa saksi dan bukti sehingga dunia memandang betapa kolotnya sikap kita dan buruknya akhlak umat Islam. Ibarat kata Ulama’ perahu yang dipenuhi air akan karam agak bahaya kepada penumpangnya tetapi hati manusia yang karam kerana cinta dunia menyebabkan dia hina di dunia dan bakal diselam dalam api Neraka di akhirat kelak. Oleh itu gunalah semangat hijrah dalam memahatkan kembali kebanggaan dalam jiwa masing-masing bahawa Islamlah agama yang paling hebat. Sifat segan silu dan ragu-ragu hendaklah dikikis daripada dada umat Islam dalam menzahirkan keindahan dan keagungan Islam dalam setiap aspek kehidupan. Firman Allah dalam ayat 139 surah Ali ‘Imran : وَلَا تَهِنُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَنتُمُ الْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ ﴿١٣٩﴾ Maksudnya : Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal : وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُ‌وا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُ‌وا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَرِ‌زْقٌ كَرِ‌يمٌ Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia Model Daulah yang agung yang dibina oleh nabi Muhammad s.a.w berdiri atas 3 asas utama iaitu [1] pembinaan masjid bagi membina ikatan manusia dengan Allah yang menjadi kekuatan utama kepada kesejahteraan dan keberkatan Negara. [2] Nabi s.a.w membina ikatan persaudaraan yang kuat antara golongan Muhajirin yang berhijrah dengan golongan Ansar yang merupakan anak watan Madinah sehingga hubungan kemanusiaan atas dasar iman ini banyak membantu membina Negara yang kuat. Manakala asas ke-[3] yang dibina selepas hijrah ialah membentuk Piagam Madinah yang merupakan asas pembinaan Negara yang pertama di dunia dalam memastikan setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama dapat hidup aman di bawah satu system yang saksama. 3 asas yang dibina oleh nabi s.a.w turut memberi kefahaman kepada kita bahawa antara tanggungjawab manusia meliputi 3 bidang utama iaitu; [1] Al-ibadat iaitu manusia dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah merangkumi ibadat khusus seperti solat, haji, puasa dan juga ibadat umum seperti bekerja, berniaga, belajar dan apa-apa perlakuan manusia yang berfaedah untuk dunianya lebih-lebih lagi akhirat. Kita menyokong penuh usaha Kerajaan Kelantan yang akan menjatuhkan hukuman kepada orang Islam lelaki yang cukup syarat yang disabitkan tidak solat Jumaat 3 kali berturut-turut kerana semakin rakyat yang tidak solat akan membawa kemusnahan kepada Negara. Di Brunei Darussalam telah ada perintah sama dalam kanun hukuman jenayah syariah 2013 yang dikuatkuasakan April lalu Tanggungjawab ke- [2] Al-khalifah iaitu manusia perlu melaksanakan ajaran Islam dalam kehidupan dan mentadbir bumi ini mengikut kehendak. Contohnya, mendidik anak dan isteri mengikut acuan agama, melaksanakan Undang-undang Islam dalam pemerintahan, adil serta berusaha membahagiakan hidup keluarga dan masyarakat. Jika diperingkat keluarga, suami dan ayah wajib menyuruh anak isterinya solat dan menutup aurat maka peringkat Negara juga mesti berbuat demikian. Jika atas alasan Islam tidak memaksa umatnya untuk ikut syariat maka mengapa kita boleh menerima undang-undang manusia untuk memaksa manusia. Malangnya lahirnya umat Islam yang berfikiran yahudi iaitu agama ialah hak individu tidak boleh dihukum jika seseorang tidak mahu menurut perintah agama seperti solat, tutup aurat dan sebagainya. Malah bila mendengar cadangan SPRM supaya pencuri balak disebat maka mengapa umat Islam sendiri boleh menerima hukuman keras berdasarkan hukuman manusia tetapi tidak boleh menerima hukuman sebat terhadap penzina, penuduh orang berzina, peminum arak yang jauh lebih adil berbanding cara sebat sivil yang menyeksakan. Manakala tanggungjawab ke- [3] Al-Imarah iaitu Pembangunan di mana manusia perlu berusaha membangunkan diri dan masyarakat dalam bidang kerohanian dan kebendaan untuk memajukan masyarakat serta negara demi kesejahteraan semua. Pemimpin memikul tanggungjawab yang paling besar dan berat. Pemimpin amanah berasa takut untuk melanggari perintah ALLAH dan Rasulullah SAW. Rakyat mengharapkan harta negara diuruskan dengan adil. Harta negara dapat dikecapi bersama kerana disitu adanya bahagia. Khalifah Sayyidina ‘Umar al-Khottab pernah menulis surat kepada gabenornya Abu Musa al-Asy’ari RA, antara isinya: “Sesungguhnya pemimpin yang paling bahagia ialah mereka yang menyebabkan rakyatnya bahagia, dan pemimpin yang paling celaka ialah yang menyebabkan rakyatnya celaka. Jaga-jaga engkau jangan bermewah-mewahan, nanti pegawai-pegawaimu juga akan bermewah-mewahan”. Akhirat nanti, tidak kira pemimpin atau rakyat jelata, semuanya berhadapan seorang diri bertemu Allah bagi menjawab apa dilakukan di dunia. Mereka yang diberikan amanah untuk menguruskan harta negara, sudah pasti lebih banyak perbicaraannya. Pemimpin amanah balasannya Syurga, pemimpin khianat dilaknat dan tempatnya Neraka. Islamlah nescaya kita mulia dan bahagia dunia dan akhirat. Firman Allah dalam ayat 105 surah an-Nisa’ : إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّـهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا ﴿١٠٥﴾ Maksudnya : Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: