أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Rabu, 12 November 2014

Hijrah DiHayati Jatidiri DiMiliki

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Anfal : وَالَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُ‌وا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَالَّذِينَ آوَوا وَّنَصَرُ‌وا أُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَ‌ةٌ وَرِ‌زْقٌ كَرِ‌يمٌ Maksudnya : Dan mereka yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dan mereka yang memberi tempat kediaman dan pertolongan maka merekalah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi keampunan dan kurniaan yang mulia Kita baru memasuki minggu kedua bagi bulan Muharram tahun baru 1436H di mana kita sedia maklum walau pun Hijraturrasul s.a.w dari bumi Mekah ke bumi Madinah berlangsung pada bulan Rabiul Awwal tetapi sambutan atau peringatan hijrah kita buat pada bulan Muharram atas 3 sebab utama iaitu: [1] Bulan Muharram merupakan bulan pertama bagi bulan-bulan yang lain dalam setahun mengikut perkiraan arab di mana telah berlaku pembaharuan dalam tarikh bermula pada bulan Muharram ini. [2] Bai’ah Aqabah antara Rasulullah S.A.W dengan rombongan daripada Yathrib(Madinah) telah berlangsung pada bulan Zulhijjah. Selepas itu baginda S.A.W menyuruh muslimin berhijrah ke Madinah bagi mendapat pertolongan daripada saudara mereka yang digelar golongan Ansar di sana bermula bulan Muharram. [3] Muharram merupakan bulan haram dan ia berada selepas bulan Zulhijjah di mana para haji pulang ke rumah masing-masing Sidang Jumaat yang berkati Allah, 3 syarat utama umat berhijrah yang berjaya yang digambarkan oleh al-Quran iaitu beriman, berhijrah dan berjihad pada jalan Allah. Syarat hijrah terus terbuka sehingga Mekah dikuasai oleh Islam, iaitu ketika bumi Arab itu tunduk kepada Islam dan kepimpinannya dan orang ramai bergabung di dalam masyarakatnya. Oleh sebab itu hijrah tidak ada lagi selepas pembukaan Kota Mekah dan yang masih kekal ialah jihad dan beramal sebagaimana telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW. قال الرسول  : لاَ هِجْرَةَ بَعْدَ الفَتْحِ وَلَكِنْ جِهَادٌ وَنِيَّةٌ - رواه البخاري Maksudnya: Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Kota Mekah tetapi yang ada hijrah pada jihad dan niat Semuanya itu berlaku dalam pusingan pertama kemunculan Islam, di mana ia dapat memerintah dunia ini selama kira-kira 1200 tahun dan meneruskan perlaksanaan syariat Islam pada masa itu tanpa putus-putus dan menegakkan kepimpinan Islamiah di atas landasan syariat Allah dan kekuasaan-Nya. Namun kini dunia telah kembali semula kepada jahiliah dan undang-undang Allah telah berangkat daripada kehidupan manusia di bumi manakala kuasa hakimiyah telah kembali kepada Toghut di seluruh dunia di mana manusia mulai tunduk kepada menyembah sesama manusia setelah Islam menyelamatkan mereka daripadanya sebelum ini. Kini Islam sedang memulakan satu pusingan yang baharu yang sama dengan pusingannya yang pertama, di mana ia mula mengaturkan peraturan-peraturan atau hukum-hukumnya yang berperingkat-peringkat sehingga kepada tahap menegakkan negara Islam kembali. Proses dalam mengubah masyarakat jahiliah moden kepada Islam memerlukan pengorbanan jihad yang tinggi yang dibina atas asas kesetiaan kepada akidah menggantikan kesetiaan kepada darah keturunan dalam segala bentuk dan rupanya serta menjadi hawa nafsu sebagai rujukan kepada mengikut lunas wahyu. Keyakinan kepada system Islam yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk politik, ekonomi, sosial dan sebagainya mesti dipasak kukuh dalam diri umat Islam dengan mengikis sikap mendewa system ciptaan manusia Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 49 surah al-Maidah : وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّـهُ إِلَيْكَ ۖ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّـهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ ۗ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ ﴿٤٩﴾ Maksudnya : Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik Sejarah mencatatkan beberapa perubahan zaman bermula dengan Zaman jahiliah atau zaman kegelapan memperlihatkan gelagat manusia yang tidak dipandu oleh akidah tauhid di mana manusia hidup bagaikan haiwan di mana yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin. Kemudian pada Zaman Rasulullah s.a.w di mana umat manusia mula dipandu untuk kembali kepada akidah tauhid sebagaimana yang pernah diseru oleh nabi-nabi sebelum ini berdasarkan wahyu daripada Allah yang jelas. Begitu juga pada zaman sahabat Nabi dan tabien-tabien memberikan asas pengembangan terhadap tapak akidah, ibadah, muamalat dan syariat yang terbina kuat pada zaman Rasulullah. Zaman Baghdad iaitu di zaman Abasiyah, ilmu pengetahuan menjadi sumber penting kepada perubahan. Zaman Andalusia membawa erti penting dalam tamadun umat Islam, tidak sahaja subur dalam jiwa rohani umatnya tetapi berkembang hingga menghasilkan suatu tamadun contoh. Zaman berikutnya, Eropah menjadi maju hasil ambilan ilmu-ilmu Islam yang tersohor sehingga menyebabkan Eropah atau masyarakat Barat mengalami proses tamadun yang bersifat kebendaan semata-mata dengan membuang asas aqidah sehinggalah kini. Ternyata ramai di kalangan orang Islam menjadi pengguna terhadap tamadun ini dan sesetengah daripadanya menjadi sekular dan liberal. Sekular bermakna sesuatu pegangan itu bersifat duniawi dan tidak terhubung dengan ukhrawi. Liberal bermakna usaha memisahkan agama dari kehidupan, agama dari ilmu dan agama dari pemikiran. Pemikiran yang merbahaya ini terus menjalar dalam jiwa ramai di kalangan umat Islam sehingga banyak arahan agama dipersenda dan cuba menafsirkan agama berdasarkan hawa nafsu sehingga tanpa segan silu mempertikaikan hukuman kepada orang murtad, tutup aurat, budaya songsang liwat disamping menolak hukum poligami, pembahagian pesaka dan sebagainya. Malah kita bimbang bila Mahkamah Sivil membebaskan lelaki yang berpakaian wanita atas alasan hukuman Mahkamah Syariah bercanggah dengan hak kebebasan yang diberi oleh perlembagaan negara dan merai kecenderungan individu sedangkan Allah melaknat lelaki yang berpakaian seperti perempuan dan perempuan yang berpakaian seperti lelaki. Tidak cukup lagikah bala Allah yang menimpa negara maka kita mahu tambah lagi dengan kebiadapan dalam melawan hukum Allah. Sidang Jumaat yang rahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 54 surah ar-Ruum : اللَّـهُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِن بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِن بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَشَيْبَةً ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْعَلِيمُ الْقَدِيرُ﴿٥٤﴾ Maksudnya : “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah (bayi dan kanak-kanak), selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat (remaja dan belia). Selepas itu Dia menjadikan kamu lemah pula (tua) serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah juga yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.” Ketika berlangsungnya Hijraturrasul s.a.w kita dapat melihat bagaimana nabi Muhammad s.a.w telah menggunakan peranan remaja dalam menjayakan misi hijrah yang gemilang seperti khidmat Sayyidina Ali RH disamping 2 orang anak Sayyidina Abu Bakar iaitu Abdul Rahman dan Asma’. Peranan penting yang dimainkan oleh mereka menunjukkan peri pentingnya kita membina generasi remaja yang bertaqwa sebagai pelapis kepada kepimpinan Negara yang berjaya. Kita mesti melahirkan generasi yang mempunyai jatidiri yang tinggi yang tidak mudah dipengaruhi dengan unsur negatif yang berlalu disekeliling mereka. Tidak menjadi golongan pak turut yang bersikap, “Aku bersama-sama orang ramai, kalau mereka baik maka baiklah aku dan kalau mereka tak baik, aku pun tak baik.” Sebaliknya hendaklah kamu cekalkan diri kamu dengan bersikap, “Jika orang ramai baik, aku akan menurut jejak langkah mereka dan jika mereka berlaku tak baik, aku akan menjauhi kejahatan mereka.” Pengisian ilmu agama bermula dari kecil serta menghidupkan suasana beragama bermula dalam keluarga, masyarakat seterusnya ruang yang lebih luas. Golongan ini begitu ketagih kepada kasih sayang dan perhatian yang banyak daripada ibubapa disamping perlu diberi perhatian tentang rakan sebaya yang boleh memesongkan perjalan hidup mereka. Begitu juga pengaruh hiburan melampau daripada media cetak dan elektronik di mana banyak memusnahkan cara berfikir dan cara bertindak remaja Islam. Dulu penjajah perlu datang ke Negara kita untuk menjajah umat Islam tetapi kini kita sendiri menjemput budaya negatif untuk masuk ke rumah kita sebebas-bebasnya melalui TV dan internet untuk menjajah diri dan anak-anak kita. Umat Islam di Negara yang menghadapi peperangan terpaksa berdepan dengan peluru dan bom musuh yang merobek dan menghancurkan tubuh saudara seagama tetapi kita di sini ramai yang tubuhnya sihat tetapi pemikiran dan akhlaknya berjaya dirosakkan oleh musuh Islam terutama yahudi dan Kristian. Jenayah di kalangan remaja yang terus meningkat seperti kes buli yang kembali menggemparkan Negara perlu kepada perhatian yang serius. قال الرسول e : لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ اَّلذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاٍع حَتَّى لَوْدَخَلُوْا فِى حُجْرِ ضَبٍّ لاتبَّعْتُمُوْهُمْ قُلْنَا : يارسولَ الله آليَهُوْدُ وَالنَّصَارَى؟. قَالَ : فَمَنْ ؟ Maksudnya: Kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka memasuki lubang dhob nescaya kamu pun akan turut mengikuti mereka. Para sahabat bertanya : “ Ya Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani?. Nabi bersabda: Siapa lagi kalau tidak mereka Pastikan kita dapat membiasakan diri kita seterusnya ahli keluarga untuk mengisi masa hidup untuk 4 perkara, iaitu [1] masa bermunajat kepada Allah, [2] masa melakukan muhasabah dirinya sendiri, [3] masa berfikir kejadian Allah, [4] masa untuk tujuan kehidupan seharian seperti makan minum, bekerja mencari rezeki halal Sidang Jumaat yang rahmati Allah, Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, bulan Muharram yang dihormati dan tahun baru hijrah marilah kita sama-sama mengutuk tindakan jahat zionis Yahudi yang bertindak rakus merosakkan Masjid Aqsa dalam usaha berpanjangan untuk meruntuhkannya bagi menggantikan dengan gereja Yahudi. Biar bermandi darah, pencerobohan Masjid Aqsa tetap kita cegah. Biar nyawa melayang asalkan keutuhan Masjid Aqsa dapat dipertahankan Firman Allah dalam ayat 52 surah al-Furqan : فَلَا تُطِعِ الْكَافِرِينَ وَجَاهِدْهُم بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا ﴿٥٢﴾ Maksudnya : Oleh itu, janganlah engkau (Wahai Muhammad) menurut kehendak orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan hujjah-hujjah Al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh. بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: