أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Kandungan Blog
Jumaat, 18 Januari 2013
Sistem Islam DiNobat Ajaran Nabi Muhammad s.a.w DiMartabat
السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 21 surah al-Ahzab :
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللهَ كَثِيرًا
Maksudnya : Sesungguhnya adalah bagi kamu contoh ikutan yang terbaik pada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) pada hari akhirat. Dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya
Rabiul Awwal menjelma lagi yang mengingatkan kita tentang kelahiran bayi bertuah di Kota Mekah pada Tahun Gajah oleh ibunya Siti Aminah yang diberi nama Muhammad bin Abdullah. Kelahirannya adalah pilihan Allah sebagai nabi akhir zaman untuk membawa cahaya iman bagi menghilangkan kegelapan jahiliah, menggantikan penindasan nafsu serakah kepada keadilan Islam yang gah. Kejayaan umat Islam dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat banyak bergantung kepada kesungguhan mereka dalam mencontohi system yang dibawa oleh nabi Muhammad s.a.w dalam setiap aspek kehidupan. Sebagai contohnya dalam bab makan minu di mana nabi Muhammad SAW memulakan makan dengan menyebut kalimah Basmallah, kemudian membaca doa makan dan makan menggunakan tangan kanan serta makan makanan yang berada berdekatan dengan baginda. Sebelum menjamah makanan, Rasulullah SAW makan secubit garam dan disudahi dengan menjilat jari serta mengucapkan Alhamdulillah. Baginda menggunakan tiga jari untuk makan iaitu ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah serta baginda mengunyah makanan sebanyak 40 kali sebelum menelannya. Baginda tidak bernafas ketika minum air iaitu bernafas di luar bekas minuman serta baginda minum air seteguk-seteguk dengan dimulakan dengan Bismillah. Menu harian Rasulullah SAW di pagi hari ialah segelas air dicampur sesudu madu dan selesai solat sunat dhuha, baginda SAW akan memakan tujuh biji kurma ‘ajwah. Sekiranya berpuasa, baginda akan berbuka dengan segelas susu dan kurma. Baginda menambahkan cuka dan minyak zaitun di dalam makanannya pada waktu petang. Bahkan, baginda melarang umatnya meneruskan makan sekiranya sudah kenyang kerana perut sepatutnya dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu makanan, air dan udara. Kejayaan kita dalam mengikut sunnah Nabi kerana Allah termasuk dalam makan minum akan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda serta mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat disamping menjamin hidup sihat. Kegagalan mengikut cara makan nabi mengundang pelbagai penyakit dan bahaya apatah lagi terlibat dengan makanan yang haram dan syubhat. Betapa malangnya manusia yang makan apa sahaja ikut selera tapi mahu hidup sihat apatah lagi tidak menghiraukan halal dan haram tapi mahu masuk Syurga. Ibarat suatu kisah wali Allah, Syeikh Ibrahim bin Adham ketika beliau berhenti di persinggahan untuk ke tandas, lalu dikenakan bayaran kepadanya. Lantas Ibrahim menangis teresak-esak kerana memikirkan tempat yang sejijik itupun dikenakan bayaran, inikan pula syurga Allah yang perlu dibayar dengan amal ibadah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 31 surah Ali ‘Imran :
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Musuh Islam sentiasa mencari jalan bagaimana cara untuk menjauhkan umat Islam sendiri daripada menjadikan nabi Muhammad s.a.w sebagai contoh teladan terbaik dalam setiap aspek kehidupan disamping memomokkan kepada dunia dengan tuduhan liar tentang nabi Muhammad s.a.w yang digambarkan dengan pelbagai kejahatan. Sebagai contohnya tindakan Majalah mingguan Perancis, Charlie Hebdo yang membuka tahun baru 2013 dengan menerbitkan komik biografi Nabi Muhammad SAW dengan melukis gambar baginda yang mulia. Jika sebelum ini majalah ini melukis gambar yang menghina nabi Muhammad s.a.w dan kali ini dengan tujuan memuji nabi namun ia merupakan suatu perbuatan yang haram dan tidak boleh dibiarkan sama sekali. Sebenarnya musuh Islam tidak mampu menutup sanjungan kepada nabi Muhammad s.a.w daripada tokoh mereka sendiri seperti tokoh legenda Perancis yang tersohor, Napoleon Bonapart di mana walaupun dia bukan seorang Islam, namun dia pernah berkata, “Saya begitu kagum kepada manusia agung ini. Saya kagum kerana keagungan akal dan hati nabi Muhammad s.a.w.” Begitu juga pandangan ikhlas seorang ilmuwan dari Itali, Prof Laura Vecccia Vaglieri yang lebih terkenal sebagai seorang orientalis banyak menghasilkan artikel mengenai Islam. Katanya, “Semasa menyeru manusia supaya menyembah Allah yang Maha Esa, nabi Muhammad s.a.w tidak pernah menggunakan pendekatan yang menghalang manusia daripada berfikir mengenai kebenaran. Beliau tidak menggunakan pendekatan sihir yang memukau penglihatan, tidak juga menyeru dengan menggunakan ancaman serta ugutan. Apakah yang beliau lakukan? Beliau menyuruh mereka supaya menggunakan akal dan bertafakur mengenai kejadian alam dan rahsia kejadiannya. Dalam bahasa mudah, dia menyuruh manusia membaca ‘Buku Alam’ dan berfikir mengenainya supaya dengannya manusia yakin ada kewujudan Tuhan.” Begitulah panjang lebarnya cetusan tokoh Barat itu dalam memperkatakan tentang keunggulan Rasulullah SAW. Tetapi mengapakah pada masa ini mereka tidak membaca dan mengambil peduli apa yang tokoh-tokoh mereka pernah katakan itu hinggakan tercetus Islamofobia dengan sengaja mewujudkan bentuk provokasi sentimen agama yang sempit dan tidak bertamadun. Masih banyak lagi tokoh-tokoh Barat yang bukan Islam yang mengakui kelebihan agama Islam dan mereka mengangkat imej Nabi Muhammad s.a.w di puncak tinta kajian mereka. Michael H Hart seorang sejarawan, pakar matematik dan ahli astronomi terkemuka di Barat meletakkan nama nabi Muhammad s.a.w pada kedudukan teratas dalam kalangan 100 orang tokoh dikagumi. Malah Universiti Harvard di Cambridge sebagai institusi pengajian tinggi paling tua di Amerika Syarikat meletakkan ayat al-Quran di pintu masuk ke fakulti undang-undangnya iaitu terjemahan ayat 135 Surah An-Nisa :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَاءَ لِلَّـهِ وَلَوْ عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ ۚ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَاللَّـهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا ۖ فَلَا تَتَّبِعُوا الْهَوَىٰ أَن تَعْدِلُوا ۚ وَإِن تَلْوُوا أَوْ تُعْرِضُوا فَإِنَّ اللَّـهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 1-5 surah ar-Ruum :
الم ﴿١﴾ غُلِبَتِ الرُّومُ ﴿٢﴾ فِي أَدْنَى الْأَرْضِ وَهُم مِّن بَعْدِ غَلَبِهِمْ سَيَغْلِبُونَ ﴿٣﴾ فِي بِضْعِ سِنِينَ ۗ لِلَّـهِ الْأَمْرُ مِن قَبْلُ وَمِن بَعْدُ ۚ وَيَوْمَئِذٍ يَفْرَحُ الْمُؤْمِنُونَ ﴿٤﴾ بِنَصْرِ اللَّـهِ ۚ يَنصُرُ مَن يَشَاءُ ۖ وَهُوَ الْعَزِيزُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: Alif, Laam, Miim. Orang-orang Rom telah dikalahkan. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya. Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira. Dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani
Kehebatan al-Quran sebagai mukjizat terbesar dan kekal di mana banyak menceritakan peristiwa dahulu dan akan datang antara bukti bahawa ia bukan rekaan nabi Muhammad s.a.w sebaliknya merupakan wahyu daripada Allah. Antaranya kisah kemenangan silih berganti antara Rom Kristian dan Parsi Majusi yang benar-benar dilihat berlaku oleh para sahabat. Malah semasa kelahiran nabi Muhammad s.a.w lagi dunia mengalami beberapa peristiwa gempar antaranya runtuhnya beberapa tiang istana kerajaan Rom dan padamnya api penyembahan Majusi kerajaan Parsi seolah-olah petanda awal kedatangan nabi Muhammad s.a.w bakal menjatuhkan 2 empayar besar pada itu iaitu Rom dan Parsi. Ini diikuti dengan sabda nabi dalam hadis riwayat imam Muslim daripada Jabir bin Samurah yang bermaksud : Segolongan orang Islam bakal menguasai harta kekayaan kaum kerabat maharaja Parsi di Abyad. Ia terbukti pada zaman Khalifah Sayyidina Umar melalui panglima tenteranya Saad bin Abi Waqqas pada tahunn 637 Masihi. Begitu juga sabda nabi dalam hadis riwayat imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah yang bermaksud : Kaisar Parsi bakal hancur dan tidak ada kisra selepas itu. Kaisar Rom juga bakal hancur dan tidak ada kaisar selepas itu. Harta-harta rampasan diagihkan pada jalan Allah. Ia terbukti dengan kejatuhan Rom pada zaman Empayar Uthmaniah pada tahun 1453 Masihi dengan kejatuhan kota Istanbul.
Kita pada hari ini sudah tidak dapat melihat mukjizat seperti pembelahan bulan, air yang keluar dari celah jari nabi yang mulia, pokok tamar yang berjalan bila diseru oleh nabi dan banyak lagi mukjizat yang lain namun mukjizat yang paling besar dan berkekalan terus ada pada tangan kita umat akhir zaman iaitu al-Quran yang mulia disamping hadis nabi. Umat Islam dahulu berjaya merajai dunia kerana berjaya melaksanakan perintah Allah dan rasulNya termasuk menjatuhkan Empayar Rom dan Parsi. Oleh itu tidak menjadi suatu perkara yang mustahil untuk menghentikan kekejaman zionis yahudi dan seterusnya memerdekakan bumi Palestin dan Masjid Aqsa kerana ia telah dimaklumkan melalui lidah nabi Muhammad s.a.w. Begitu juga bagaimana kehancuran dunia akibat system riba serta kesalahan memberi tampuk pemerintahan kepada orang yang khianat telah dijelaskan oleh al-Quran dan hadis nabi. Tidak ketinggalan tentang tanda-tanda qiamat yang jelas berlaku satu demi satu pada zaman kita walau pun ia diberitahu oleh nabi lebih 1400 tahun lalu. Yakinlah bahawa kejayaan dan kegagalan kita bergantung kepada sejauh mana keyakinan dan kesungguhan kita dalam melaksanakan perintah Allah dan rasulNya dalam setiap aspek kehidupan. Jika Islam yang kita pilih maka kejayaan yang kita bakal raih. Jika jahiliah yang kita guna maka kehinaan yang kita bakal terima. Islamlah nescaya kita selamat dan bahagia dunia dan akhirat. Islam DiJunjung nabi Muhammad s.a.w DiSanjung, Sistem Islam DiNobat Ajaran nabi DiMartabat, Nabi Dikasihi Sunnahnya DiHayati, Nama nabi disebut ajarannya diikut
Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru :
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللهَ إِنَّ اللهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan