أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 11 Januari 2013

Islam DiJunjung Rasulullah s.a.w DiSanjung

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 34-35 surah al-Anbiya’: وَمَا جَعَلْنَا لِبَشَرٍ‌ مِّن قَبْلِكَ الْخُلْدَ ۖ أَفَإِن مِّتَّ فَهُمُ الْخَالِدُونَ ﴿٣٤﴾ كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَنَبْلُوكُم بِالشَّرِّ‌ وَالْخَيْرِ‌ فِتْنَةً ۖ وَإِلَيْنَا تُرْ‌جَعُونَ Maksudnya: Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai nabi Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?. Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan Kini hampir 2 minggu kita berada pada tahun baru 2013 Masihi dengan sama-sama meninggalkan tahun 2012 dengan pelbagai cerita terutama berkaitan bencana alam yang silih berganti sehingga perbincangan berkenaan Qiamat begitu hangat dibincangkan. Para saintis begitu kalut membincangkan bencana alam seperti ribut salji di Negara-negara utara dunia, kepanasan melampau yang menimpa Negara-negara selatan dunia dan cuaca tidak menentu di Negara-negara tengah dunia sehingga keadaan sejuk tidak mampu ditanggung oleh manusia, kepanasan yang menggugat kehidupan serta memusnahkan harta dan mengancam nyawa. Malah Negara kita tidak terkecuali dengan banjir besar yang boleh dikatakan menimpa seluruh Negara, tanah runtuh, banjir lumpur malah ramalan ribut besar Sonamu begitu membimbangkan kita semua. Kita sebagai umat yang beriman kepada Allah dan hari Qiamat sepastinya meyakini bahawa segala apa yang berlaku merupakan antara tanda kekuasaan Allah di mana kedahsyatan Qiamat jauh lebih menggerunkan Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Firman Allah dalam Surah ar-Ruum ayat 41: ظَهَرَ‌ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ‌ وَالْبَحْرِ‌ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْ‌جِعُونَ Maksudnya : Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). Jika umat sebelum ini yang sempat hidup bersama dengan para nabi di mana ramai umat yang tetap mengengkari nabi-nabi mereka walau pun telah melihat dengan jelas mukjizat di depan mata sehingga mereka akhirnya dihancurkan oleh Allah samada dengan rebut taufan, banjir besar, pekikan guruh, ditukar kepada rupa binatang, ditelan bumi dan sebagainya. Kita walau pun tidak sempat hidup bersama dengan nabi Muhammad s.a.w namun di tangan kita adanya mukjizat yang berkekalan iaitu al-Quran di mana jika kita benar-benar beriman dan melaksana segala suruhan Allah disamping meninggalkan segala laranganNya sebagaimana terkandung dalam al-Quran dalam setiap aspek kehidupan samada ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya maka kita akan selamat dunia dan akhirat. Sebaliknya rasa was-was dan keengganan dalam mengikut isi kandungan al-Quran sepastinya menempah kecelakaan di dunia ditambah lagi dengan seksaan yang dahsyat di akhirat nanti. Ulama’ menggariskan 3 perkara besar mengapa Allah cetuskan musibah bencana alam di muka ini. [1] Bencana yang berlaku itu adalah bentuk hukuman kepada manusia yang kufur kepada Allah. Allah menghukum umat Islam dan bukan Islam yang engkar kepada arahan dan perintah Allah, yang selama ini bergelumang dalam kancah maksiat, bertindak derhaka terhadap ajaran Allah, melawan agama Allah dan menafikan hukum-hukum al-Quran. Manusia dalam golongan itu ada kalanya berani bertindak mengubah kehendak agama mengikut selera nafsu sendiri sehingga terpesong jauh dari bentuk keaslian Islam yang sebenar. Lalu mereka mengundang kemurkaan Allah dan jelas di dunia lagi mereka sudah pun mendapat laknat Allah. Belum lagi bagaimana nasib di akhirat kelak. [2] Musibah yang berlaku di dunia ini adalah satu peringatan buat yang selamat atau masih hidup. Sama ada mereka terbabit sama ataupun mereka yang hanya sebagai ‘penonton’ kepada paparan bencana yang terjadi dengan tidak mengambil pengajaran apatah lagi untuik bertaubat dan berubah kepada yang lebih baik. [3] Berlakunya bencana untuk menunjukkan kepada kita Allah Maha Berkuasa atas segala-galanya. Pesanan Ibnu Athaillah Askandary bahawa hikmah Allah turunkan cubaan ke atas hamba-Nya supaya mengingatkan manusia kepada Allah. Jika tidak disentuh kelalaian manusia, mereka akan terus melupakan Allah, lupa untuk menunaikan hak Allah dan hak makhluk Allah. Juga cubaan Allah itu dapat melemahkan nafsu dan seterusnya mengelakkan manusia daripada melakukan perkara yang Allah murkai. Justeru, segala rentetan bencana yang menimpa bumi sejak sekian lama wajarlah menjadi peringatan supaya kita tidak ‘derhaka’ terhadap Allah dan agamaNya. Ujian terhadap umat beriman juga sebagai proses bagi mempertingkat lagi tahap keimanan seseorang hamba ke tahap yang lebih tinggi. Sidang Jumaat yang dirahmati Allah, Firman Allah dalam ayat 63 surah al-‘Ankabut: وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْ‌ضَ مِن بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّـهُ ۚ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّـهِ ۚ بَلْ أَكْثَرُ‌هُمْ لَا يَعْقِلُونَ Maksudnya: Dan sesungguhnya jika engkau (wahai nabi Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Ucapkanlah (wahai nabi Muhammad): "Alhamdulillah" (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik) Ketika mengulas tentang isu penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible berbahasa Melayu maka sepatutnya ia diselesaikan secara baik demi maslahat agama bukannya dijadikan isu untuk kepentingan pangkat. Sebagai contohnya pihak yang ditonjol sebagai jaguh dalam mempertahankan kalimah Allah di kaca tv dan dada akhbar sepatutnya mengambil kira tentang tindakan yang telah diambil oleh keputusan mesyuarat kabinet Pusat yang telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2 April 2011 tentang kebenaran untuk membawa masuk Bible dari Indonesia yang sememangnya ada kalimah Allah. Begitu juga kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Januari 2010 yang mengumumkan bahawa kalimah Allah boleh digunakan di negeri Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak kerana ketua negeri bukan Sultan. Begitu juga keputusan hakim Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 yang menyatakan kalimah Allah bukan eklusif untuk umat Islam sahaja. Sebagaimana kita maklum bahawa bidang kuasa mahkamah sivil dalam negara kita jauh lebih tinggi daripada mahkamah Syariah. Oleh itu isu ini tidak menguntungkan Islam jika hanya bercakap kosong sedangkan apa yang telah berlaku adalah sebaliknya. Umat yang beriman sewajibnya mempertahankan bukan sahaja kalimah Allah malah seluruh sistem Islam daripada dihina dan dipermainkan. Sehubungan dengan ini kita jangan terjerat dengan mainan politik murahan golongan yang ingin menjaja bahawa mereka adalah umat yang sayang kalimah Allah sedangkan mempertikaikan sistem Islam yang menyeluruh. Golongan yang hanya bimbang orang Islam akan murtad sedangkan bukan sahaja hukuman murtad tidak digubalkan berlandaskan syariat Islam malah umat Islam dibiarkan hanyut dengan hiburan melalaikan dan buta agama. Jangan tertipu dengan manusia yang mendakwa mereka sayangkan Islam sedangkan banyak perkataan dan perbuatan mereka mengkhianat terhadap sistem Islam. Ibarat kata Ibnu Umar r.a bagaimana aku mahu melayan manusia yang datang jauh dari Iraq untuk bertanya tentang hukum darah nyamuk sedangkan mereka tidak meghiraukan hukum dosa yang begitu besar dalam menumpah darah cucu nabi iaitu Sayyidina Husin di Karbala Oleh itu kerajaan sewajibnya menjadikan pengajian agama sebagai asas dalam menyelematkan aqidah dan akhlak. Lihatlah negara Britain sebagi contoh di mana mulai 6 Julai 1994 telah mewajibkan semua pelajar sekolah berumur 5 hingga 16 tahun untuk mengambil mata pelajaran agama sehingga berjaya menyekat keruntuhan moral berbanding Amerika Syarikat. Gunakanlah tv dan radio semaksima yang mungkin terutama pada waktu perdana dalam menayangkan rancangan yang mendidik kerana pada hari ini ramai anak-anak menjadikan tv dan radio sebagai guru utama. Hentikan rancangan yang merosak aqidah dan akhlak rakyat. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 6 surah Luqman: وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِ‌ي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّـهِ بِغَيْرِ‌ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَـٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ Maksudnya: Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia, dalam Masjid yang mulia maka mimbar Jumaat pada hari ini menyeru kepada seluruh umat Islam yang cintakan nabi Muhammad s.a.w untuk mengutuk dan mengecan tindakan biadap sekali lagi Majalah mingguan Prancis, Charlie Hebdo yang membuka tahun baru 2013 dengan menerbitkan komik biografi Nabi Muhammad SAW dengan melukis gambar baginda yang mulia. Jika sebelum ini majalah ini melukis gambar yang menghina nabi Muhammad s.a.w dan kali ini dengan tujuan memuji nabi namun ia merupakan suatu perbuatan yang haram dan tidak boleh dibiarkan sama sekali. Kita menyeru kepada pemimpin Negara umat Islam supaya mendesak agar kerajaan Perancis untuk memusnahkan komik ini serta mengambil tindakan sewajar terhadap penerbitnya. Kita sebagai umat yang bermaruah tidak akan membenarkan sama sekali nabi kita dihina, kita tidak akan membiarkan nabi kita dicerca, kita tidak rela nabi dipersenda. Biar nyawa melayang asalkan nabi dipertahankan, biar darah tumpah ke bumi asalkan nabi disanjung tinggi, biar bercerai nyawa dari badan asalkan nabi terus dijulang بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: