أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Rabu, 15 Ogos 2012

Lailatul Qadar DiGapai Kebahagiaan DiCapai

السلام عليكم الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ … Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Sidang Jumaat yang dihormati sekalian, Firman Allah dalam ayat 1-5 surah al-Qadar : إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. Dan tahukah engkau apakah itu Lailatul-Qadar?. Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! Kini kita telah berada pada hari yang ke-21 daripada bulan Ramadhan 1433H yang mengingatkan kita bahawa Ramadhan tahun ini telah memasuki fasa ketiga iaitu dijanjikan dengan kebebasan daripada api neraka bagi hamba Allah yang berjaya menghidupkan Ramadhan dengan amal soleh penuh keikhlasan kepada Allah. Beradanya kita pada 10 hari dan malam terakhir bulan Ramadhan ini juga memberi isyarat yang jelas supaya kita semakin bersemangat dalam menambahkan bekalan akhirat pada saat yang begitu berharga ini terutama salah suatu malamnya akan ada Lailatul Qadar yang beribadat padanya lebih baik daripada 1000 bulan atau 83 tahun 3 bulan. Sebahagian ulama berpendapat al-Qadar bermaksud pengagungan. Lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana telah diturunkan al-Quran pada malam berkenaan, turunnya malaikat termasuk Jibril, melimpah rahmat dan keampunan serta pada malam itu Allah SWT menganugerahkan keagungan dan kemuliaan kepada mereka yang melakukan ibadah kepadaNya. Banyak hadis nabi yang menyebut tentang kelebihan dan malam berlakunya Lailatul Qadar antaranya قال الرسول : مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِإِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ -– رواه البخاري ومسلم. Maksudnya : Sesiapa yang bangun beribadat pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu قال الرسول : ”تحََرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ فيِ العَْشِر الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ” - رواه البخاري ومسلم. Maksudnya : Carilah Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir daripada Ramadhan قال الرسول : “تحََرَّوْا لَيْلَةَ القَدْرِ فيِ الوِتْرِ مِنَ العَْشِر الأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ” - رواه البخاري ومسلم Maksudnya : Carilah Lailatul Qadar pada bilangan ganjil pada 10 malam terakhir daripada Ramadhan Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah , Firman Allah dalam ayat 133 surah Ali ‘Imran : وَسَارِ‌عُوا إِلَىٰ مَغْفِرَ‌ةٍ مِّن رَّ‌بِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْ‌ضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْ‌ضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ Maksudnya : Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Antara amalan terbaik dalam menghidupkan 10 malam terkahir Ramadhan terutama dalammengejar Lailatul Qadar ialah mandi antara Maghrib dan Isyak, memakai pakaian yang paling baik dan memakai haruma. Para sahabat seperti Anas ibn Malik dan ulama pada masa tabi’en menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju yang paling baik dan memakai haruman atau wangian apabila berada pada akhir Ramadan. Memperbanyakkan solat sunat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Nabi s.a.w sendiri tidak akan melalui bacaan ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui bacaan ayat azab kecuali memohon perlindungan Allah daripada azab itu. Menjaga Solat berjemaah sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan. Banyak beriktikaf di masjid kerana nabi s.a.w beriktikaf pada 10 akhir daripada Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah di mana sunnah iktikaf diteruskan oleh para isterinya. Kita turut dianjurkan untuk memperbanyakkan doa di mana doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT. Tidak ketinggalan dengan amalan mulia iaitu banyak bersedekah Sidang Jumaat yang diberkati Allah, Kita tidak mempunyai alasan untuk mensia-siakan kehadiran Ramadhan terutama untuk merebut kelebihan Lailatul Qadar. Gunakanlah Ramadhan sebagai saat keemasan dalam menambah kekuatan jiwa yang mampu mengawal hawa nafsu dalam diri. Renungilah keadaan saudara kita yang berada dalam kangcah peperangan seperti di bumi Palestin, Syria, bangsa Ronghiya di Myanmar dan beberapa negara lagi yang berdepan dengan senjata musuh yang menunggu masa untuk merobek dan memamah tubuh mereka ketika mahu menyempurnakan ibadat puasa apatah lagi untuk ke masjid. Begitu juga tekanan terhadap amalan berpuasa seperti kes pemecatan empat orang Muslim Perancis daripada pekerjaannya sebagai pengajar kem musim panas kerana melaksanakan ibadah puasa telah mencetuskan kemarahan umat Islam di Perancis. Hakim memutuskan amalan puasa menyebabkan tumpuan terhadap penjagaan pelajar terabai. Begitu juga penerusan kepada penderitaan umat Islam di sebuah negeri di China apabila para pegawai Islam dan pelajar di wilayah barat laut Xinjiang telah dilarang berpuasa selama bulan Ramadhan ini malah adanya larangan pelajar daripada memasuki masjid sepanjang Ramadhan. Itu belum dikira dengan beberapa sikap anti Islam yang lain seperti penentangan terhadap pembangunan masjid dan penerapan Syariah Islam di mahkamah menjadi bahan kempen untuk memenangi pilihan raya parlimen di sebuah negara di Amerika Syarikat. Apa yang lebih teruk apabila Jawatankuasa Kebangsaan Bahagian Urusan Agama Republik Azarbaijan memerintahkan kepada para khatib masjid di seluruh negara itu untuk melaksanakan solat Jumaat pada hari Sabtu. Arahan itu dikeluarkan pada 30 Jun yang lalu. Alasan pemindahan tersebut kerana dinilai mengganggu jam kerja, di mana hari Jumaat di Azarbaijan adalah hari kerja rasmi negara itu di mana pemindahan solat Jumaat ke hari Sabtu diharapkan dapat mengurangkan beban para pegawai dan pekerja pemerintah. Republik Azarbaijan adalah negara kecil yang majoriti penduduknya beragama Islam. Dilaporkan, jumlah penduduk muslim di sana mencapai 90% dari jumlah keseluruhan penduduknya. Hubungan rapat regim yang berkuasa dengan Israel, menyebabkan dasar-dasar pemerintah cenderung anti Islam. Sehingga kini, warga muslim Azarbaijan masih memperjuangkan hak-hak kaum muslimah untuk memakai tudung di negara itu. Malangnya apa yang berlaku di Negara kita adalah sebaliknya apabila umat Islam bebas berpuasa tetapi ramai yang tidak berpuasa akibat tewas kepada hawa nafsu. Umat Islam bebas untuk solat Jumaat tetapi ramai mengabaikannya. Umat Islam bebas memakai tudung tetapi ramai yang memilih untuk mendedah aurat. Ingatlah amaran keras daripada Allah dan rasulNya kepada golongan yang tidak bersyukur atas nikmat Allah di mana Allah akan memberi nikmat yang banyak sehingga mereka lalai lalu didatangkan azab yang dahsyat dalam keadaan mengejut sehingga tidak guna lagi penyesalan Firman Allah dalam ayat 44 surah al-An’am : فَلَمَّا نَسُوا مَا ذُكِّرُ‌وا بِهِ فَتَحْنَا عَلَيْهِمْ أَبْوَابَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّىٰ إِذَا فَرِ‌حُوا بِمَا أُوتُوا أَخَذْنَاهُم بَغْتَةً فَإِذَا هُم مُّبْلِسُونَ Maksudnya : Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan) Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah , Sempena berada pada bulan Ramadhan yang merupakan bulan diturunkan al-Quran maka marilah kita sama-sama memperbanyakkan untuk membaca al-Quran dan memahami isi kandungannya seterusnya melaksanakannya dalam kehidupan kita. Kegagalan dalam melaksanakan sistem al-Quran menyebabkan banyak masalah jenayah, sosial yang berlaku. Kita jangan menjadi golongan yang hanya setakat membaca al-Quran tetapi tidak memahami apatah lagi menghayati sistem al-Quran dalam kehidupan seharian. Ingatlah kita kepada suatu amaran nabi yang bermaksud : “ Akan zahir di kalangan umatku di akhir zaman, orang yang membaca al-Quran tetapi al-Quran hanya sampai ke halkumnya sahaja tetapi tidak sampai ke dalam hati.” Sempena berada pada bulan Ramadhan bulan turunnya al-Quran marilah kita sama-sama menghidupkan al-Quran dalam diri kita, keluarga kita seterusnya masyarakat sekeliling, negeri dan negara. Beruntunglah bagi orang yang menjadikan al-Quran sebagai teman hidup sehingga al-Quran mampu memberi ketenangan dalam kehidupan di dunia, membantunya ketika berada dalam alam kubur seterusnya padang mahsyar nanti. Betapa ruginya manusia yang menjauhi al-Quran sehingga hidupnya penuh kekosongan jiwa, dalam kubur melolong seorang diri mencari penolong dan di akhirat tercari-cari sesuatu yang mampu membantunya untuk lari daripada azab yang dahsyat Firman Allah dalam ayat 82 surah al-Isra’: وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا Maksudnya : Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: