السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 1 dan 2 surah al-Hajj:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُمْ بِسُكَارَىٰ وَلَٰكِنَّ عَذَابَ اللَّهِ شَدِيدٌ
Maksudnya : Wahai umat manusia! Bertaqwalah kepada Tuhanmu. Sesungguhnya goncangan hari qiamat itu adalah suatu yang dahsyat. Hari itu kamu dapati goncangan itu menyebabkan lalai semua perempuan yang menyusui anak daripada anak yang disusuinya, gugurlah perempuan yang hamil dan kamu lihat manusia dalam keadaan mabuk sedangkan mereka sebenanrnya bukan mabuk akan tetapi azab Allah itu sangat keras
Kita baru sahaja menyambut kedatangan Eidil Adha buat sekian kalinya dalam hidup kita. Bersyukur kepada Allah atas nikmat hari raya ini yang dihidupkan dengan amalan soleh terutama ibadat korban bagi yang berkemampuan. Ibadat korban bukan sahaja mengingatkan kita kepada pengorbanan besar yang pernah dilakukan oleh nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail tetapi turut mengimbas kembali arahan untuk mengorbankan harta yang paling disayangi terhadap dua anak nabi Adam iaitu Qabil dan Habil daripada hasil pekerjaan mereka sendiri iaitu tanaman dan ternakan. Ini semua jelas mengajar kita bahawa untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam dan umatnya mestilah melalui pengorbanan kerana Islam bukan menjanjikan kemenangan yang mudah sebaliknya perlu kepada penat lelah. Pejuang Islam tidak ditawarkan dengan janji kemewahan sebaliknya diminta untuk berkorban tenaga, masa dan harta kesayangan. Pejuang Islam tidak dihamparkan dengan permaidani merah sebaliknya terpaksa menumpahkan darah. Sebalik kesusahan datangnya kesenangan, selepas berkorban datangnya kemenangan.
Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Ayat 1 dan 2 surah al-Haj yang dibaca pada awal khutbah tadi memberikan kepada kita seribu pengajaran penting terutama tentang hikmat Allah memulakan surah Haji dengan keadaan hari Qiamat bukannya terus menerangkan berkenaan ibadat haji. Bagi kita yang pernah menunaikan ibadat haji maka kita dapat rasai bagaimana suasana perhimpunan di padang Arafah semasa wukuf yang mengingatkan tentang perhimpunan seluruh umat bermula daripada umat nabi Adam hinggalah kepada umat nabi Muhammad s.a.w di padang Mahsyar nanti untuk menerima balasan di atas segala amalan baik dan buruk, pahala dan dosa semasa hidup di dunia fana ini.
Allah juga mengingatkan kita tentang dahsyatnya hari qiamat yang bakal berlaku bila-bila masa sahaja. Kita sekarang sudah berada dipenghujung umur dunia yang hampir musnah di mana hampir kesemua alamat atau tanda-tanda qiamat yang diberitahu oleh Allah melalui nabi Muhammad s.a.w telah pun berlaku antaranya sebagaimana tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari daripada Anas:
قال الرسول : مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يَقِلَّ العِلْمُ وَيَظْهَرَ الجَهْلُ وَيَظْهَرَ الزِّنَا وَتَكْثُرَ النِّسَاء ُوَيَقِلَّ الرِّجَالُ حَتَّى يَكُوْنََ لِخَمْسِيْنَ امْرَأَةً القَيِّمُ الوَاحِدُ
Maksudnya : Antara tanda qiamat itu ialah ilmu agama sedikit, kejahilan semakin jelas, perbuatan zina dilakukan terang-terang, jumlah perempuan cukup ramai manakala jumlah lelaki berkurangan sehingga bandingan 50 orang perempuan dijaga oleh seorang lelaki
Oleh itu sebelum pintu taubat tertutup iaitu apabila nyawa berada dihujung halkum dan matahari naik disebelah barat maka kita mestilah segera bertaubat kepada Allah. Sebelum ini heboh diperkatakan bagaimana telahpun berlaku peristiwa matahari naik dari sebelah barat tetapi ia berlaku di planet Marikh bukannya di bumi kita lagi. Ini menunjukkan peristiwa yang sama sudah tidak lama lagi pasti terjadi di bumi kita pula. Insafi diri, perbanyakkan ibadat jauhi maksiat. Banyakkah bekalan akhirat jangan terpedaya dengan tipuan dunia. Jangan asyik membina mahligai mewah di dunia sedangkan mahligai di akhirat belum difikirkan lagi. Jangan asyik menghimpun harta bertimbun di dunia sedangkan pahala akhirat belum tersedia
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 8-10 surah al-Mursalat :
فَإِذَا النُّجُومُ طُمِسَتْ وَإِذَا السَّمَاءُ فُرِجَتْ وَإِذَا الْجِبَالُ نُسِفَتْ
Maksudnya : Oleh itu, apabila bintang-bintang (binasa dan) hilang lenyap; Dan apabila langit terbelah; Dan apabila gunung-ganang hancur lebur berterbangan
Peristiwa Tsunami diikuti dengan beberapa siri banjir besar dan pelbagai peristiwa yang lain dan yang terbaru kejadian tanah runtuh di kawasan Bukit Antarabangsa, Hulu Klang hujung minggu lalu yang mengorbankan 4 nyawa setakat ini apabila 14 buah banglo di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama tertimbus. Runtuhan ini berlaku 15 tahun selepas 48 orang terkorban akibat sebuah daripada tiga blok kondominium Highland Towers yang terletak 1.5 kilometer sahaja dari tempat runtuhan terbaru ini runtuh dalam kejadian yang berlaku pada 11 Disember 1993.
Kejadian ini semua perlu diambil pengajaran yang penting oleh kita semua tentang kekuasaan Allah. Kita juga boleh bayangkan bagaimana dengan kejadian yang sebegini pun manusia tidak mampu berbuat apa-apa apatah lagi bila berlakunya qiamat yang jauh lebih dahsyat daripada kejadian tersebut. Kita berasa kecewa apabila setiap kejadian yang berlaku dikatakan hanya bencana alam yang perlu dicari punca kejadian sahaja seperti air yang bergolak di bawah tanah, hujan yang terlalu banyak dan sebagainya sehingga menyembunyikan kekuasaan dan kehebatan Allah dalam melakukan setiap sesuatu. Kita mesti mengakui bahawa setiap bencana yang berlaku merupakan ujian Allah bagi menguji tahap keimanan umat manusia atau pun pembalasan daripada Allah bagi menimbulkan kesedaran dan pengajaran kepada umat manusia yang selama ini sering melakukan penderhakaan terhadap Allah disamping amaran bagi segelintir manusia yang merosakkan bumi Allah tanpa memikirkan keselamatan orang lain supaya segera menghentikannya.
Sempena berada pada hari Jumaat yang mulia tidak terlambat untuk mengucapkan sekalung takziah kepada semua mangsa dan keluarga yang terlibat dalam kejadian ngeri ini. Banyaklah bersabar kerana ujian Allah ada hikmatnya sekiranya kita tenang melaluinya. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim :
قال الرسول : عَجَبًا ِلأَمْرِ المُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ لَهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَلِكَ ِلأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
Maksudnya: Begitu beruntung nasib orang beriman kerana dalam semua keadaan mereka mendapat kebaikan. Dan tiada habuan yang baik kecuali bagi orang yang beriman. Apabila mendapat kesenangan maka dia bersyukur maka syukur itu baik baginya. Dan apabila ditimpa sesuatu kesusahan maka dia bersabar maka sabar itu baik baginya
Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Ketika merenungi kemusnahan alam yang berlaku akibat tangan manusia sendiri yang tidak pernah mengambil pengajaran daripada peristiwa lepas termasuk projek pembangunan dicerun bukit yang memang membahayakan maka kita turut memikirkan bagaimana kejadian jenayah yang membimbangkan dalam negara akibat mengenepikan system Islam termasuk jenayah rasuah yang bertambah parah. Kes pembunuhan mencatatkan 2.12 kes daripada setiap 100 ribu penduduk, kes rogol pula berlaku 11.47 kes bagi setiap 100 ribu penduduk manakala kes rompakan mencatatkan setinggi 90.49 kes bagi setiap 100 ribu penduduk di negara kita. Bila ubat mujarrab iaitu Islam diketepikan maka kehancuran yang dihadapi, bila racun berbisa iaitu system ciptaan manusia dijadikan ubat maka kemusnahan yang ditanggung. Julanglah Islam Buang Jahiliah, Laksanakan Islam ketepikan system ciptaan manusia maka kita pasti berjaya dunia akhirat
Firman Allah dalam ayat 155 – 157 surah al-Baqarah :
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعونَ أولئك عليهم صلوتٌ من ربهم ورحمةٌ وأولئك هم المهتدون
Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah maka mereka mengucapkan : إنا لله وإنا إليه رجعون . Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan