أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Isnin, 15 Disember 2008

74. BAI’AH AQABAH PEMANGKIN TERDIRINYA DAULAH

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 70 surah al-An’am :
وذر الذين اتخذوا دينهم لعبا ولهوا وغرتهم الحيــوة الدنيا وذكر به إن تبسل نفس بما كسبت ليس لها من دون الله ولى ولاشفيع وإن تعدل كل عدل لايؤخذ منها أولئك الذين ابسلوا بما كسبوا لهم شراب من حميم وعذاب أليم بما كانوا يكفرون
Maksudnya : Dan tinggalkanlah mereka yang menjadikan agama mereka sebagai mainan dan senda gurau. Dan mereka telah ditipu dengan kehidupan dunia. Peringatkanlah mereka dengan al-Quran agar mereka tidak dijerumuskan ke dalam neraka kerana perbuatan mereka sendiri. Tidak akan ada baginya pelindung dan tidak ada pula pemberi syafaat selain daripada Allah S.W.T. Dan jika dia menebus dengan segala macam tebusan pun nescaya tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah mereka yang dijerumuskan ke dalam neraka disebabkan perbuatan mereka sendiri. Bagi mereka disediakan minuman daripada air yang sedang mendidih dan azab yang pedih disebabkan kekufuran mereka dahulu
Kedatangan bulan Zulhijjah amat dirasai kegembiraan oleh umat Islam terutama para jemaah haji di Kota Mekah. Esok adalah 9 Zulhijjah atau hari Arafah di mana kita yang tidak mengerjakan ibadat haji disunatkan untuk berpuasa di mana antara kelebihan berpuasa hari Arafah ialah diampuni dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Rebutlah peluang yang datang sebelum ia hilang. Setelah itu umat Islam akan menyambut Eidil Adha dengan sama-sama memperbanyakkan takbir seterusnya melakukan ibadat korban bagi yang mampu. Sepatutnya kemeriahan Eidil Adha lebih terasa kerana kita disunatkan untuk memperbanyakkan takbir sebelum hari raya lagi dan berakhir pula pada hari terakhir bagi hari Tasyriq iaitu 13 Zulhijjah.
Setiap kali menyambut hari raya maka umat Islam sentiasa melaungkan kalimah yang membuktikan bagaimana tentera Islam telah mengalahkan tentera bersekutu kuffar dalam Peperangan Ahzab atau Khandak. Ia dilaungkan bagi membangkitkan semangat serta peringatan kepada umat Islam bahawa penentangan tentera bersekutu kuffar sentiasa berlangsung dalam memerangi umat Islam. Jika kita lihat kepada sejarah sebelum serangan Ahzab ini maka kita dapati bagaimana jahatnya yahudi yang sepatutnya bersama Rasulullah s.a.w dan umat Islam tetapi bertindak menghasut kuffar yang lain terutama Quraisy agar meruntuhkan Daulah Islamiah Madinah. Walau pun yahudi mengetahui bahawa negara Islam pimpinan Rasulullah s.a.w adalah negara yang adil terhadap semua agama namun atas rasa dendam serta benci kepada Islam yang berjaya menghapuskan sistem riba serta beberapa lagi bentuk penindasan yang mereka lakukan sebelum ini maka yahudi melakukan pengkhianatan yang besar ini. Sikap yahudi ini kadang-kadang ditiru oleh umat Islam sendiri akibat gila kuasa dan harta sehingga mereka sanggup melawan golongan yang telah mengharamkan arak dan judi serta hiburan yang melalaikan. Mereka terpengaruh dengan makna Islam mengikut tafsiran Lord Reid iaitu untuk adat dan ibadat khusus sahaja serta berkaitan individu bukannya agama yang merangkumi seluruh aspek kehidupan. Mereka menganggap Islam sebahagian daripada negara bukannya negara sebahagian daripada Islam. Mereka faham bahawa Islam agama yang diperintah sehingga boleh diambil apa yang berkenan dan ditolak apa yang bercanggah dengan nafsu sedangkan Islam agama memerintah yang memastikan kita tunduk kepada semua kehendak wahyu dengan menolak segala hasutan nafsu.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,
Apabila menyebut tentang Daulah Islamiah maka kita perlu tekankan bagaimana usaha dalam mendirikannya seterusnya peranan dalam mengisi segala tuntutannya serta kewajipan dalam mempertahankannya. Sempena kedatangan bulan Zulhijjah maka amat sesuai untuk kita menyentuh bagaimana usaha Rasulullah s.a.w ke arah mendirikan Daulah Islamiah dalam memastikan segala aspek kehidupan yang telah digariskan oleh Islam dapat dilaksanakan di mana pada bulan Zulhijjah tahun ke 13 selepas kenabian telah berlangsungnya Bai’ah Aqabah Kedua antara nabi dengan rombongan Aus dan Khazraj dari Madinah. Jika dalam Bai’ah Aqabah Pertama yang berlangsung setahun sebelum itu di mana isi kandungan taat setia lebih banyak menyebut tentang pembinaan peribadi dan masyarakat muslim yang berkaitan aqidah dan akhlak antaranya mengenai ikrar untuk menjauhi mencuri, zina, membunuh anak-anak, berbohong serta perlaksanaan Islam dalam semua bidang. Manakala dalam Bai’ah Aqabah Kedua mula disebut tentang kesanggupan dalam mempertahankan Rasulullah s.a.w setelah berhijrah ke Madinah nanti disamping sanggup memerangi siapa sahaja yang memusuhi Islam termasuk yahudi yang merupakan rakan kongsi Aus dan Khazraj selama ini.
Jika melalui Bai’ah Aqabah Pertama telah menyaksikan begitu ramai penduduk Madinah memeluk Islam maka Bai’ah Aqabah Kedua pula menambahkan lagi keyakinan penduduk Madinah untuk menerima nabi sebagai pemimpin yang wajib dipertahankan. Melalui kedua-dua Bai’ah inilah yang memudahkan tugas Rasulullah s.a.w dalam mendirikan Daulah Islamiah di Madinah selepas hijrah.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,
Antara pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa besar dan bersejarah ini ialah persiapan ke arah mendirikan Daulah Islamiah adalah penting antaranya usaha dalam memberi penjelasan kepada rakyat tentang keperluan dan kebaikan yang ada pada Daulah Islamiah untuk mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Umat Islam juga perlu diberi keyakinan bahawa tugas mendirikan Daulah Islamiah merupakan antara perkara yang wajib dilaksanakan bagi membolehkan kesemua system Islam dapat dilaksanakan. Umat Islam juga mesti berani dalam menegakkan Daulah Islamiah dan bersungguh dalam mengisi segala tuntutannya serta mempertahankannya daripada sebarang ancaman.
Daulah Islamiah yang mempunyai roh agama yang memastikan pembinaan tamadun kemanusiaan dan kebendaan dapat berjalan serentak merupakan suatu yang diakui oleh umat manusia termasuk bukan Islam tentang keadilannya. Namun akibat telah lama tidak didirikan maka di sana banyak persoalan dan pertanyaan yang timbul disamping sikap permusuhan terhadap Islam yang begitu menebal dalam hati musuh Islam yang memandang bahawa terbinanya Daulah Islamiah akan menggugat kepentingan agama masing-masing apabila manusia sudah pasti akan menerima Islam sebagai cara hidup. Sebab itulah pelbagai usaha yang dilakukan bagi memastikan Daulah Islamiah tidak ditegakkan. Musuh Islam menanamkan pelbagai tuduhan buruk terhadap Daulah Islamiah agar usaha dalam membinanya terbantut.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Umat Islam sendiri yang kurang yakin terhadap Qadha’ dan Qadar serta hari akhirat kadang-kadang mempertikaikan hukum Islam. Mereka boleh terima bahawa orang Islam sahaja yang wajib sembahyang dan puasa bulan Ramadhan sedangkan orang kafir tidak wajib tetapi mereka tidak boleh terima orang Islam dikenakan hudud contohnya dalam kes zina tetapi orang bukan Islam tidak kena akibat tidak faham agama dan juga tidak yakin bahawa orang Islam yang dikenakan hudud akan dilepaskan daripada hukuman neraka di akhirat sedangkan orang bukan Islam yang tidak dikenakan hudud tidak terlepas daripada siksaan akhirat. Mereka turut menuduh bahawa hukuman ini akan menggalakkan orang bukan Islam untuk melakukan jenayah terhadap orang Islam. Kita mesti yakin terhadap janji Allah S.W.T yang menjanjikan pencegahan melalui perundangan Islam kerana jika kita lihat kepada kes rogol dan bunuh yang berlaku pada hari ini maka didapati hampir kesemua pelakunya adalah orang Melayu. Mengapa tidak dipersoalkan bagaimana perundangan sekuler yang sedia ada bukan sahaja tidak mampu menjaga orang bukan Islam malah umat Islam sendiri. Inilah yang dikatakan pandangan berat sebelah di mana apabila sebut sahaja Islam maka ada saja alasannya tetapi bila disebut ideology dan perundangan ciptaan manusia maka boleh ditelan bulat-bulat tanpa banyak soal.
Jika manusia boleh menerima pemimpin sebuah negara komunis adalah komunis, negara sosialis adalah sosialis dan sekuler adalah pemimpin sekuler sendiri bukan penentangnya maka mengapakah dipersoalkan negara Islam mesti melantik pemimpin beragama Islam. Jika rakyat negara ini boleh terima perundangan penjajah yang tidak bersangkut paut dengan agama mereka maka mengapa mereka mesti benci kepada perundangan Islam sedangkan Islam adalah agama rasmi negara ini. Mengapakah kegagalan demi kegagalan perundangan manusia dalam menangani masalah jenayah tetapi ia diteruskan juga. Hukuman terbaru iaitu gantung sampai mati ke atas perogol yang membunuh pada zahirnya adil tetapi hakikatnya zalim kerana tiada jaminan daripada Allah S.W.T sebagai pencegah malah di akhirat nanti pesalah tersebut akan disiksa oleh Allah S.W.T. Sedangkan jika dijatuhkan hukum Qisas iaitu bunuh balas maka pesalah ini dilepaskan daripada siksaan di akhirat dan ada pula jaminan pencegahan daripada Allah S.W.T. Begitu juga baru-baru ini banyak cadangan agar perogol tanpa membunuh disebat depan orang ramai di mana ini juga zalim kerana di akhirat nanti sekali lagi akan dihukum oleh Allah S.W.T dan tiada jaminan pencegahan oleh Allah S.W.T. Sedangkan jika dijatuhkan hukuman rotan depan khalayak ramai mengikut hudud maka ia ada jaminan pencegahan daripada Allah S.W.T dan di akhirat nanti akan terlepas daripada siksaan. Hukum bunuh dalam perundangan dunia tidak sama dengan hukum bunuh dalam Qisas. Begitu juga hukum sebat perundangan manusia tidak sama dengan hukum rotan perundangan hudud. Mengapa ada umat Islam yang boleh terima hukum bunuh perundangan manusia sedangkan mereka tidak boleh menerima hukum bunuh balas mengikut Qisas. Mengapa mereka boleh terima hukuman sebat perundangan manusia sedangkan tidak dapat menerima hukuman rotan Hudud. Ingatlah bahawa manusia adalah makhluk ciptaan Allah S.W.T di mana tidak boleh sama sekali kita menzalimi mereka walau pun mereka adalah penjenayah dengan menjatuhkan hukuman yang bercanggah dengan perundangan Allah S.W.T. Setiap pemerintah akan dipertanggungjawab dengan setiap hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah samada bertepatan dengan apa yang disuruh oleh Allah S.W.T atau sebaliknya. Setiap rakyat akan ditanya tentang sebab mengekalkan pemimpin yang melaksanakan hukuman yang bercanggah dengan Islam pada hari akhirat nanti. Oleh itu kembalilah kepada ajaran Islam yang menyeluruh agar kita tidak dibangkitkan di hadapan Allah S.W.T sebagai orang yang zalim dan bersalah samada sebagai pemimpin atau pengikut.
Firman Allah dalam ayat 57 surah al-Qosas :
وقالوا إن نتبع الهدى معك نتخطف من أرضنا أولم نمكن لهم حرما ءامنا يجبى إليه ثمرت كل شيء رزقا من لدنا ولكن أكثرهم لايعلمون
Maksudnya : Dan mereka yang kufur berkata : “ Jika kami mengikut petunjuk bersama engkau nescaya kami akan diusir dari negeri kami”. Bukankah Kami telah melindungi mereka dan menjadikan tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman lalu dibawa hasil tanaman dari segala jenis rezeki sebagai pemberian dari Kami. Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: