أهلا وسهلا ومرحبا بكم

Kandungan Blog

Jumaat, 1 Julai 2011

Islam DiSanggah Fitnah Bercambah

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Renungilah firman Allah dalam ayat 1 surah al-Isra' :
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ
Maksudnya : Maha suci Allah yang memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari masjidil Haram ke masjid al-Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.
Bulan Rejab, peristiwa Isra’ dan Mikraj serta kewajipan solat 5 waktu sehari semalam berkait antara satu sama lain. Peristiwa yang menguji keimanan ini begitu banyak memberi peringatan dan pengajaran berharga kepada kita terutama dalam meyakini kehebatan dan kekuasaan Allah. Begitu juga dengan kewajipan solat yang merupakan tiang agama yang mampu melahirkan umat yang takut kepada Allah sehingga menjauhi kejahatan, berdisiplin dalam menjaga masa, hormat kepada pemimpin dan berkasih sayang melalui solat berjemaah, bertanggungjawab terhadap tugas, menjaga kesihatan melalui pergerakan dalam solat dan pelbagai lagi kelebihan solat. Sebab itulah kita menyokong cadangan kerajaan Kelantan untuk menjadikan solat 5 waktu dan Jumaat sebagai syarat kenaikan pangkat serta pengambilan baru kakitangan awam kerana jika seseorang itu tidak solat bererti dia tidak lagi takut kepada Allah yang Maha Kuasa apatah lagi untuk malu kepada sesama manusia yang serba lemah sehingga meluasnya pecah amanah, rasuah dan sebagainya. Begitu juga cadangan untuk digubalkan undang-undang bagi membolehkan orang Islam yang tidak menunaikan solat 5 waktu boleh diambil tindakan tegas. Ini adalah suatu yang penting kerana menurut suatu kajian bahawa hanya 25 peratus sahaja umat Islam di negara ini yang betul-betul menjaga solat 5 waktu. Benarlah amaran nabi Muhammad s.a.w bahawa simpulan Islam ini akan dirombak satu demi satu oleh umat Islam sendiri bermula dengan mengenepikan sistem Islam dalam kehidupan dan diakhiri dengan meninggalkan solat 5 waktu disebabkan kejahilan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Setiap kali membicarakan peristiwa Isra’ Mikraj maka sejak dari zaman nabi lagi wujudnya umat yang terus yakin bahawa ia benar-benar berlaku terhadap tubuh dan ruh nabi secara serentak kerana ia adalah salah suatu daripada kuasa Allah. Tidak kurang yang mengengkarinya akibat melihat kepada kelemahan diri manusia yang tidak mampu berbuat demikian sehingga tidak nampak lagi tentang kuasa Allah yang melakukan segala perjalanan nabi itu. Begitulah apa yang berlaku pada hari ini terutama kepada pelaksanaan sistem dan cara hidup Islam yang diyakini sebagai yang terbaik bagi golongan yang tunduk dan patuh pada arahan dan larangan Allah. Manakala lahirnya begitu ramai dari kalangan umat Islam sendiri yang mempertikaikan sistem dan cara hidup Islam kerana mereka seolah-seolah nampak bahawa itu hanya saranan manusia bukannya datang daripada kehendak Allah. Mereka meletakkan arahan dan larangan Allah sama taraf atau lebih hina daripada sistem ciptaan manusia. Oleh itu kita dapat saksikan bagaimana sistem Islam sentiasa menjadi korban kepada kehendak hawa nafsu umat Islam sendiri seperti sukatan dan masa untuk pengajian agama dikurangkan, pusat pengajian agama ditarik bantuan dan sentiasa ditekan, program agama dikawal ketat ketika program maksiat diperluaskan, pemakaian cara Islam dipertikaikan ketika pakaian bertelanjang digalakkan, ulama’ dibataskan peranannya dan sebagainya. Kita kecewa bila media massa menabur fitnah berkaitan saranan tidak eloknya bergincu dan memakai kasut bertumit tinggi di Kota Bharu yang merupakan suatu risalah dakwah sahaja bukannya undang-undang sehingga ada yang faham agama turut menghina saranan ini dengan mengatakan bahawa perempuan di Kelantan hanya layak memakai kasut getah sahaja agar tidak mengeluarkan bunyi. Sepatutnya orang faham agama memandang bahawa saranan ini adalah tuntutan agama yang mesti disokong terutama pada zaman orang yang tidak lagi pandai menutup aurat tetapi hanya pandai menutup tubuh sahaja.

Sidang Jumaat Yang diberkati Allah ,
Kita masih ingat lagi tentang masalah pemakaian serban dua tahun lepas yang menyaksikan 2 pelajar dibuang sekolah dan bila dibicarakan di mahkamah mereka bukan sahaja kalah malah hakim bukan Islam diberikan kebenaran dalam menjatuhkan hukuman yang berkaitan dengan ajaran Islam iaitu masalah serban yang dituduh sebagai pakaian padang pasir dengan alasan bahawa Abu Jahal pun pakai serban. Kini masalah ini timbul kembali bila pelajar Pondok Pasir Tumboh terpaksa dihadap ke mahkamah kerana mempertahankan pemakaian serban semasa memandu motosikal memandangkan ianya dibenarkan oleh perundangan negara. Tindakan anggota polis ini telah membuka ruang kepada ketua pengarang akhbar Inggeris The Star dengan biadapnya menulis dalam blognya bahawa kaum Sikh mengenakan serban atas alasan agama. Untuk umat Islam, adakah ianya tuntutan agama untuk berserban atau adakah semata-mata kerana mahu dilihat alim atau dilihat bagaikan Arab. Sepatutnya jika umat Islam sayang kepada ulama’ dan pengajian agama maka dia tidak akan tergamak untuk menyusahkan sesama Islam apatah lagi tindakannya ini akan menyebabkan orang bukan Islam akan turut menghina pakaian cara Islam. Malah tindakan ini bakal menyusahkan lebih ramai lagi umat Islam untuk pergi solat dan mengaji di masjid-masjid dan pusat pengajian agama dengan hanya perlu memakai serban sahaja. Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah melembutkan hati pihak yang berkenaan sebagaimana Dia melembutkan besi kepada nabi Daud sehingga saman ini ditarik balik dan permohonan maaf dilakukan. Ingatlah kita bahawa berpegang dan menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w di akhir zaman ini bagaikan menggenggam bara api malah ganjaran bagi mereka yang memperjuangkan dan mempertahankan sunnah nabi ini ganjarannya begitu besar sebagaimana yang tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi :
مَنْ تَمَسَّكَ بِسُنَّتِيْ عِنْدَ فَسَادِ أُمَّتِيْ فَلَهُ أَجْرُ مِائَة شَهِيْدٍ
Maksudnya : Sesiapa yang berpegang teguh dengan sunnahku ketika kerosakan umatku maka baginya pahala seratus orang mati syahid

Sidang jumaat yang dikasihi Allah ,
فرمان الله تعالى دالم أية 224-226 سورة الشعراء :
وَالشُّعَرَاء يَتَّبِعُهُمُ الْغَاوُونَ أَلَمْ تَرَ أَنَّهُمْ فِي كُلِّ وَادٍ يَهِيمُونَ وَأَنَّهُمْ يَقُولُونَ مَا لاَ يَفْعَلُونَ

Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat - tentu hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak tentu hala dalam setiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)? Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka sendiri tidak melakukannya?
Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan dalam masyarakat arab yang terkenal dengan ketinggian gaya bahasa. Kita dapat saksikan bagaimana peranan besar yang dimainkan oleh tukang syair yang mampu menaikkan seseorang yang jahat dan dalam masa yang sama boleh menjatuhkan seseorang yang baik melalui syair mereka yang kebanyakannya digantung di kelambu Ka’abah. Pada hari ini kita boleh katakan bagaimana golongan wartawan mengambil alih kerja tukang syair itu sehingga jika tidak menjaga batas agama maka pelbagai fitnah ditabur melalui media massa sehingga seorang yang jahat dipuja dan seorang yang baik dihina malah Islam turut nampak zalim akibat penulisan wartawan yang bencikan Islam. Wartawan boleh memburukkan lagi suasana bila tidak menjadikan Islam sebagai dasar penulisan sehingga masalah melibatkan maruah seperti zina dan liwat dijadikan bahan pelaris jualan. Ditambah lagi dengan sikap sebahagian umat Islam yang hanya setakat mahu menjunjung al-Quran untuk bersumpah sedangkan system dan jalan penyelesaian yang terkandung dalam al-Quran ditolak. Masalah tuduhan zina atau liwat sebagai contohnya di mana al-Quran telah pun menunjukkan bagaimana cara untuk menyelesaikannya sebagaimana firman Allah dalam ayat 4 dan 5 surah an-Nur :
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاء فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلاَ تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ إِلاَّّ الَّذِينَ تَابُوا مِن بَعْدِ ذَلِكَ وَأَصْلَحُوا فَإِنَّ اللهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya : Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik; - Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah itu (dari kesalahannya yang tersebut) serta memperbaiki amalannya, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan: